Aminuddin Harun |
KEADILAN Yakin Mendapat Sokongan Padu Rakyat Batu Sapi Posted: 25 Oct 2010 05:46 AM PDT SANDAKAN 23 Okt - Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yakin mengatasi Barisan Nasional dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam pilihan raya kecil Batu Sapi atas respons memberangsangkan dari penduduk tempatan terhadap perjuangan parti yang mahu menegakkan keadilan. Ketua Cabang Tanjung Karang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata daripada lawatan dan pertemuan rakyat di beberapa buah kampung telah menampakkan perubahan sokongan rakyat kepada KEADILAN berdasarkan isu-isu relevan yang diperjuangkan. "Kami melawat Kampung Sundang, Kampung Air, Kampung Bokara, Kampung Gas, Kampung Nenas, Kampung Bahagia, Kampung Batu Sapi dan penduduk di situ melihat KEADILAN memperjuangkan isu asas dan keperluan rakyat seperti NT (native title, tanah pribumi), pendidikan dan perumahan. "Kami berdialog dengan mereka berhubung isu tekanan kehidupan seperti kenaikan harga barang yang tidak diambil perduli oleh pemimpin BN," kata Mohd Yahya. Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat, Aminuddin Harun yang bersama-sama mengikuti rombongan membentuk jentera pilihan raya Batu Sapi berkata penduduk di sini juga membangkitkan isu Amanah Yayasan Sabah (AYS) yang ditelah dirampas oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran Parti Bersatu Sabah (PBS). Jelas Aminuddin, AYS yang dikenali sebagai Amnanah Saham Tun Mustapha telah ditubuhkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun untuk membantu rakyat negeri ini melalui pemberian unit saham. "PBS telah mengambilalih saham tersebut sejak 1980an yang berjanji akan menggantikan dengan saham baru namun sehingga hari ini mereka gagal menunaikan janji. "Jadi pada PRK ini rakyat mahu menghukum PBS yang dijangka menurunkan calon bagi mewakili BN," kata beliau. PRK P185 Batu Sapi diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam satu kemalangan jalanraya di Tanjung Aru pada 9 Oktober lalu. Kawasan parlimen mempunyai 26,004 pengundi berdaftar yang mana pengundi Bumiputera Islam merangkumi 60 peratus, Cina (38 peratus), dan lain-lain (2 peratus). Hari penamaan calon adalah pada 26 Oktober manakala hari mengundi 4 November depan. | ||
Pakatan sandar harapan pada Ansari Abdullah Posted: 25 Oct 2010 05:45 AM PDT Pakatan Rakyat hari mengumumkan pemilihan ketua cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini. Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berusia 56 tahun itu adalah seorang peguam lulusan Universiti Malaya. Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pencalonan Ansari itu di satu majlis di Dewan Persatuan Hakka Sandakan petang ini. Antara yang hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; naib presiden PKR, Azmin Ali; pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh dan pengerusi DAP Sabah, Hiew King Cheu. Ahli parlimen DAP Lim Kit Siang tidak dapat hadir hari ini kerana tidak sihat. Kira-kira 2,000 menghadiri majlis tersebut sambil melaungkan "reformasi" selepas pengumuman itu dibuat. Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku perpecahan undi di kalangan pembangkang apabila Parti Maju Sabah (SAPP) turut bertanding, Anwar memberitahu Bernama bahawa soal itu tidak timbul kerana SAPP tidak pernah menyifatkan diri mereka, termasuk di Parlimen, sebagai pembangkang. Katanya SAPP adalah parti bebas yang boleh menyokong mana-mana pihak dan sehubungan itu undi mungkin berpecah di kalangan calon bebas. Ansari pula mengakui pilihan raya kecil di Batu Sapi kali ini adalah sengit namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12. Pengerusi DAP negeri Ir Hiew King Cheu juga mengakui pilihan raya kecil berkenaan adalah sengit. BN hari ini mengumumkan pemilihan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi. SAPP pula memilih presidennya Datuk Yong Teck Lee sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan. Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan pada Selasa ini dan pengundian pada 4 November |
You are subscribed to email updates from Aminuddin Harun To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan