Khamis, 21 Oktober 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Nasib peniaga di kawasan selamat UMNO di Melaka

Posted: 20 Oct 2010 08:16 PM PDT

Baca sendiri nasib peniaga di kawasan selamat di Melaka. Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat. Utusan Malaysia 17 Okt. 2010

Saman tidak relevan: Peniaga
Sinar Harian 21 Okt 2010

ALOR GAJAH - Seramai 50 peniaga barang basah di pekan Alor Gajah, dekat sini, melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang tidak berasas dan bersikap biadab terhadap mereka.

Kumpulan peniaga itu mendakwa mereka menerima tekanan apabila menerima saman setiap bulan daripada anggota penguat kuasa MPAG yang berusaha mencari pelbagai alasan untuk menyaman peniaga itu dan turut menggunakan bahasa kesat.

Peniaga ditemui, Leong Mei Wah, 47, berkata, dia disaman anggota penguat kuasa MPAG atas alasan meletakkan bekas tempat mengisi barang di luar kawasan tapak perniagaan sedangkan dalam satu perjumpaan telah dimaklumkan tentang kawasan yang dibenarkan untuk meletak barang.

Dia bukan sahaja diarah menunjukkan surat hitam putih kepada anggota penguat kuasa yang datang menerjah, sebaliknya mendakwa tapak berniaganya kotor dan pelbagai alasan diberikan sehingga mengeluarkan kompaun ke atas perniagaannya.

"Saya letak bekas ini dekat sini sebab saya berniaga setiap hari, sukar sekiranya saya hendak membawa barang pulang setiap hari dan sehingga kini sudah dua saman saya terima, satu pada bulan lepas dan satu lagi tiga hari lalu.

"Dia datang saman satu kedai RM50 kadang-kadang dalam satu hari berniaga tidak dapat hasil pun, tetapi kena saman, mana boleh tahan kalau sering disaman, kami cari makan. Bila mereka datang terjah pelanggan lari sebab takut tengok mereka.

Saemah Yusuf, 48, berkata, perniagaannya terjejas sejak tindakan anggota penguat kuasa MPAG sering mengeluarkan kompaun sehingga hampir 70 peratus hasil pendapatannya sekali gus menyebabkan dia hilang punca pendapatan, sebaliknya ditambah dengan baya-ran kompaun yang terpaksa dilunaskan.

"Setiap hari mereka tekan kami dengan saman, kalau sering begini bagaimana kami mahu makan, duit berniaga habis bayar saman sahaja, bukan peniaga sahaja disaman, sebaliknya pelanggan yang tengah beli barang turut terkejut apabila kenderaan mereka disaman," katanya.

Selain itu, janji pihak berkenaan ingin memasang bumbung turut tidak dilaksanakan menyebabkan peniaga di sini terpaksa basah setiap kali hujan," katanya.

Peniaga buah-buahan ditemui, Mohd Radzi Rosli, 27, berkata, dia menerima 14 saman sejak bulan puasa lalu dan menerima kata-kata kurang kesat daripada anggota penguat kuasa bertugas.

"Sudahlah mengeluarkan kata-kata kesat, kemudian mereka pergi buat laporan polis mengatakan saya pula yang mahu ajak mereka bertumbuk.

"Kami ini peniaga cari makan, kami tidak kacau kerja orang lain, tetapi ini yang kami terima kata-kata kesat, herdikan, tohmahan, laporan polis dan sebagainya," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8315321.asp

Nasib penduduk di kawasan selamat UMNO di Pahang

Posted: 20 Oct 2010 06:26 PM PDT




Tengok sendiri penduduk di kawasan selamat di Pahang. Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat. Utusan Malaysia 17 Okt. 2010

JAMBATAN GANTUNG KIAN UZUR

Utusan Malaysia 21 Okt 2010

KUALA LIPIS 20 Okt. - Seramai 350 penduduk Kampung Kuala Kechau, dekat sini berdepan dengan risiko keselamatan berikutan jambatan gantung yang menyeberangi Sungai Kechau di kampung itu semakin uzur.

Struktur jambatan sepanjang 60 meter yang menghubungkan Kampung Kechau dan Kampung Cherba yang usang itu boleh menyebabkan ia terputus dan jatuh ke dalam sungai pada bila-bila masa, sekali gus mengundang padah kepada penduduk.

Menurut penduduk, keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan mereka untuk menyeberang sungai bagi menjalankan urusan seharian.

Selama ini, kata mereka, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk ke kebun dan ke bandar Jerantut selain kemudahan pelajar ke sekolah dan menunaikan solat Jumaat.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu mendapati, lapan tali penahan lantai jambatan putus manakala tali di bahagian lain juga bakal mengalami nasib sama.

Seorang penduduk Kuala Kechau, Mohd. Asri Jaafar, 44, berkata, jambatan berkenaan tidak sesuai lagi digunakan kerana banyak tali pengikat lantai putus dan strukturnya semakin uzur.

"Tali besi penghadang di kiri kanan laluan kini tidak kukuh dan hampir putus yang boleh mengundang bahaya kepada penduduk melintasinya setiap hari," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurutnya, lantai jambatan berkenaan dimakan usia dan licin ketika hujan menyebabkan motosikal dan basikal mudah tergelincir.

Rakannya, Mohd. Zukri Ismail, 49, berkata, jambatan gantung itu bergoyang dengan kuat apabila dilalui kenderaan dan pejalan kaki kerana tali besi pengikatnya longgar dan berkarat.

"Ramai penduduk termasuk penunggang motosikal terjatuh ke dalam sungai akibat tergelincir ketika melalui jambatan ini," katanya.

Mohd. Zukri berkata, jambatan itu juga kerap ditenggelami banjir pada musim tengkujuh.

Katanya, penduduk berharap kerajaan negeri membaik pulih jambatan itu atau menggantikannya dengan jambatan konkrit untuk kemudahan penduduk menjalankan urusan seharian mereka.

Seorang penduduk Kampung Cherba, Ahmad Omar, 18, berkata, jika jambatan itu tidak dibaiki, penduduk terpaksa mencari alternatif menggunakan perahu atau bot untuk menyeberangi sungai itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman ketika dihubungi berkata, pihaknya menyedari masalah yang dihadapi penduduk terbabit dan mengemukakan isu itu ke mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk dapatkan peruntukan membaiki jambatan itu.

"Kita meneliti dan cuba menyelesaikan masalah berkenaan. Saya harap penduduk bersabar kerana kerajaan negeri beri keutamaan untuk baik pulih jambatan ini," katanya.

Beliau meminta penduduk mengutamakan aspek keselamatan jika menggunakan bot atau perahu dengan memakai jaket bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_01.htm


GADAI NYAWA JAMBATAN GANTUNG USANG

Kerosakan jambatan

Berita Harian 14 Jun 2010 .

PENDUDUK Kampung Beriang dan Kampung Pamah Aur menggadai nyawa setiap hari meniti jambatan gantung usang.Penduduk meniti jambatan usang setiap hari

KUALA LIPIS: Lebih 450 penduduk Kampung Beriang dan Kampung Pamah Aur dekat sini menggadai nyawa setiap hari meniti jambatan gantung usang yang menghubungkan kedua-dua kampung itu sejak lima bulan lalu.

Jambatan gantung yang berusia lebih 30 tahun itu menjadi laluan utama penduduk berulang alik sama ada untuk mencari rezeki, menghantar anak ke sekolah dan aktiviti harian, termasuk ke surau. Penduduk, Wan Mohd Arif Wan Ahmad, 73, berkata mereka tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menyeberangi Sungai Tanum yang menghubungi kedua-dua kampung kerana jambatan gantung itu adalah jalan pintas dan menjimatkan masa.

"Paling membimbangkan penduduk kampung ialah keselamatan dan nyawa anak-anak kecil dan pelajar yang menyeberangi sungai setiap pagi untuk ke sekolah.

"Pelajar sekolah terdedah kepada bahaya kerana tempat pemijak licin dibasahi embun pagi dan mereka boleh tergelincir ke dalam sungai jika tidak berhati-hati," katanya.

Beliau berkata, jambatan itu mengalami kerosakan kesan daripada banjir yang berlaku awal tahun lalu menyebabkan tempat pejalan kaki tidak dapat digunakan lagi kerana ia senget hampir 90 darjah.

Saleh Mamat, 69, berkata, mereka terpaksa memijak jaring penghadang keselamatan yang diperbuat daripada dawai untuk menyeberang dan meniti dengan berhati-hati sambil tangan berpaut pada besi untuk mengelak dan menahan daripada tergelincir.

"Konkrit yang menjadi penghubung utama di kedua-dua jambatan sepanjang 200 meter dan lebar 1.5 meter itu turut tercabut.

"Kami juga bimbang keselamatan nyawa warga emas yang mengadu sakit atau pening kepala ketika menyeberangi jambatan itu yang berayun dan beralun menyebabkan warga emas boleh terjatuh ke dalam sungai," katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung dimaklumkan kerajaan akan membina jambatan baru yang dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui agensi kementerian itu iaitu Risda dengan perbelanjaan RM250,000.

"Kami difahamkan urusan tender dan kerja teknikal akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Lipis.

"Bagaimanapun kami terkilan kerana terpaksa mengambil masa yang terlalu lama untuk memulakannya kerana mengikut prosedur," katanya.

Katanya, kerosakan jambatan gantung yang sangat teruk sejak lima bulan lalu perlu diganti segera sebelum ada nyawa yang terkorban.

Penduduk Kampung Pamah Aur, Norazman Mohamad, 40, berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan peruntukan khas atau kecemasan membina projek yang mendapat keutamaan bagi menjaga keselamatan rakyat.

Norazman yang mempunyai tiga anak bekerja sebagai penoreh getah dan terpaksa menggunakan dua motosikal untuk menjalankan kerja dan urusan hariannya itu sejak jambatan gantung berkenaan rosak.

Katanya, sebuah motosikal di letak di Kampung Beriang dan sebuah lagi di Kampung Pamah Aur kerana motosikal tidak lagi boleh digunakan untuk menyeberangi sungai Tanum.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Timur_Gadainyawa/Article

Tiada ulasan: