Khamis, 30 September 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Harga Air Di Selangor Kekal

Posted: 30 Sep 2010 02:00 AM PDT

SHAH ALAM,30 SEPT:  Tiada kenaikan tarif air di Selangor. Itu tegas Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)  untuk menaikkan tarif air seperti yang diumumkan  oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin .

Tegas Tan Sri Khalid, "SYABAS perlu mendapat kebenaran Kerajaan Selangor sebelum menaikkan tarif air, dan saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan kenaikan selagi rundingan penstrukturan semula industri air tidak selesai".

Tuntutan SYABAS atas dakwaan kerugian akibat kegagalan menaikkan tarif air  tidak akan mengubah pendirian Kerajaan Negeri mengenai isu ini demi menjaga kepentingan 5 juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Negeri komited dalam menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air Selangor dan dalam semua rundingan keutamaan adalah kepentingan pengguna, perkhidmatan air yang efisyen dengan harga yang berpatutan.

Tan Sri Khalid berkata, "Perlu ditegaskan bahawa rundingan penstrukturan semula terbantut kerana ada pihak yang tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Malah ada pihak konsesi yang menuntut pulangan keuntungan melampau sehingga 70% setiap tahun untuk proses pengambilalihan".

Sementara itu,Kerajaan Negeri menegaskan tidak akan menswastakan keuntungan dan membiarkan harta negara menanggung kerugian  dalam industri air .

"Kajian semula kadar tarif air hanya boleh dibuat selepas proses penyusunan semula industri perkhidmatan air selesai dilakukan". Ujar Tan Sri Khalid.


Sumber: Selangorkini

Tiada ulasan: