Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Pengumuman Keputusan Rasmi Pemilihan Pimpinan Cabang Kota Raja 2010
- Karpal Gesa 'Nolle Prosequi' Terhadap Kes Anwar
- SPR Tentukan 6 Oktober Tarikh PRK DUN Galas
- Kes Skandal PKFZ Ditangguh 8 November
- 1,000 Peneroka Bakal Saman Felda Lagi Isu KPG
- Keputusan Mahkamah Sanggah Dakwaan PR Hasut Peneroka
- Kuasa Barat Dokong Pemerintahan Negara Islam Yang Zalim, Menindas Rakyat
- Mahathir Momokkan Orang Melayu Kerana Umnoputra Takut Hilang Kuasa
- KEADILAN, PAS Tidak Ada Masa Layan Pelawaan Perkasa
- Mimpi Umno-BN Hilang Kuasa Pada PRU-13 Bertambah Ngeri
Pengumuman Keputusan Rasmi Pemilihan Pimpinan Cabang Kota Raja 2010 Posted: 30 Sep 2010 02:00 AM PDT Pada Ahad, 26 September 2010, proses pengundian Pemilihan Pimpinan Cabang Kota Raja bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) bagi Parti Keadilan Rakyat Cabang Kota Raja telah berlangsung di Dewan Bukit Naga, Shah Alam, Selangor mulai jam 11:00 pagi hingga 5:00 petang. Setelah tamat pengundian, bagi tujuan menjamin kelancaran dan kesempurnaan pemilihan tersebut, pengawas pemilihan yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat Parti Keadilan Rakyat (JPP) membuat keputusan bahawa proses pengiraan dan penjumlahan undi tidak dapat diteruskan di Dewan Bukit Naga, Shah Alam. Sebaliknya urusan-urusan tersebut diserahkan kepada tanggungjawab langsung JPP yang beribu pejabat di A-1-09 Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya, Selangor. Jawatankuasa Pemilihan Pusat, menurut Fasal 18.15 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat, adalah bertanggungjawab bagi mengawal selia proses pengundian dan pemilihan untuk jawatan dalam parti di peringkat Cabang dan Pusat. Di bawah kuasa menurut peruntukan Fasal tersebut, JPP memutuskan untuk menyempurnakan proses pengiraan dan penjumlahan undi bagi pemilihan Cabang Kota Raja itu di dalam bangunan Ibu Pejabat Parti dalam tempoh seberapa segera yang mungkin. Bagi tujuan melaksanakan keputusan tersebut, JPP telah melantik Timbalan Setiausaha Agung PKR Saudari Sharifah Shahidah sebagai Penyelia yang bertindak mengetuai satu pasukan petugas khas terdiri daripada pengawas-pengawas dan kakitangan Ibu Pejabat untuk menjalankan urusan Penjumlahan dan Pengiraan Undi bagi Pemilihan Pimpinan Cabang Kota Raja. Proses pengiraan dan penjumlahan undi itu bermula dari jam 2:30 pagi, Isnin 27 September 2010 dan berakhir pada 4:17 petang, Selasa 28 September 2010. Penjumlahan undi telah dijalankan mengikut satu demi satu kotak-kotak undi yang berjumlah 20 kotak undi semuanya. Sejumlah kertas-kertas undi telah diasingkan ke dalam bekas kiraan mengikut calon-calon yang bertanding atau sebagai undi rosak. Pengiraan undi pula dijalankan mengikut satu demi satu jawatan yang dipertandingkan. Kesemuanya melibatkan 8851 kertas undi terdiri daripada 8481 (95.82%) undi sah dan 370 (4.18%) undi rosak. Pertandingan bagi jawatan-jawatan dalam Cabang Kota Raja telah melibatkan kesemua 12 jawatan bagi pimpinan Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Cabang. Setelah selesai urusan pengiraan dan penjumlahan undi, satu inventori dokumentasi urusan pengiraan dan penjumlahan undi bagi Cabang Kota Raja telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat pada jam 5:23 petang, Selasa 28 September 2010 bagi tujuan semakan dan pengesahannya. Setelah disemak, Jawatankuasa Pemilihan Pusat mendapati bahawa proses pengiraan dan penjumlahan tersebut telah dijalankan dengan sempurnanya sejajar dengan kehendak Peraturan Penjumlahan dan Pengiraan Undi Pemilihan Pimpinan Cabang di bawah Tatacara Pemilihan 2010 Parti Keadilan Rakyat. Seterusnya, Keputusan Rasmi Pemilihan Pimpinan Cabang Kota Raja adalah seperti berikut: PROFIL CABANG KOTA RAJA Jumlah Anggota - 7992 Lelaki - 4,835 60.50% Perempuan - 3,154 39.50% AMK - 3,978 49.77% Keturunan Anggota Melayu - 2,212 27.68% Cina - 292 3.65% India - 5,470 68.44% Jumlah Anggota Berdaftar Untuk MATC / Pemilihan - 1264 - 15.82% KEPUTUSAN RASMI PEMILIHAN CABANG 2010 PIMPINAN CABANG KOTA RAJA KETUA CABANG -. DR XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDAM TIMBALAN KETUA CABANG -. MAT SHUHAIMI BIN SHAFIEI NAIB KETUA - ZAIDI YUSOFF AJK CABANG 1. ABDUL HALIM BIN AMIN 2. ALAGAN A/L VELLASAMY 3. MOHAMMAD BIN HJ ISHAK 4. MANIMARAN A/L MUNICHAMY 5. MD. HUSAIN BIN MOHD SAMURI 6. MOHANA SUNDAR A/L ARUMUGAM 7. MUHAMAD FAUZI BIN MUKHTAR 8. NOR AZMAN BIN BADARUDDIN 9. SAHARUDDIN SHAID 10. SALEHHIN HASSAN 11. SANDRAN A/L VELLASAMY 12. TAN AH KOW 13. TANG ENG GHEE 14. VICKNESVARAN KRISHNAN 15. ZAIDI BIN ZAILANI PIMPINAN WANITA CABANG KOTA RAJA KETUA WANITA - ROZAINA HAMZAH TIMBALAN KETUA WANITA - RUTHIRA A/P K. SURASAN NAIB KETUA WANITA - JAMIAH BINTI ABBAS AJK WANITA 1. ANIDA BINTI ABU BAKAR 2. ANITA BINTI HANAN 3. GAN SIEW LIAN 4. KALAIARASI A/P KRISHNAN 5. SARASWATHY A/P RAMALINGAN 6. SRI MAHALEKSHUMY UMADEVI 7. ZALEHA BTE JALAL PIMPINAN ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) CABANG KOTA RAJA KETUA AMK - AZMIZAM BIN ZAMAN HURI TIMBALAN KETUA AMK - SATTHIYA SEELAN A/L NAGAMUTTU NAIB KETUA AMK - HANNAFE BIN ZAINI AJK AMK 1. ABDUL HALIM BIN AMIN 2. AHMAND FAHMI BIN HANAPIAH 3. AMIRRUDDIN BIN MD. ARIF 4. AZALI BIN ABD WAHAB 5. IDANIS SURIANI BINTI MOHD JOHANIS 6. JABERI BIN AMI 7. JESTIN RAJ A/L SAVARIMUTHU 8. JEYABALAN A/L SUBRAMANIAM 9.. KHAIRUL BIN MUHIDIN 10. MAGESWARAN / RAJAGOPAL 11. MOHD ARIS B. ZAKARIA 12. MOHD NAZAR BIN SULAIMAN 13. NAGARAJAN A/L KANIAPPAN 14. NAGESWARAN A/L MUNISAMY 15. POOBALAN A/L M. SEENIVASAN Abd Malek Bin Hussin Jawatankuasa Pemilihan Pusat Parti Keadilan Rakyat |
Karpal Gesa 'Nolle Prosequi' Terhadap Kes Anwar Posted: 30 Sep 2010 01:40 AM PDT KUALA LUMPUR 30 SEPT: Peguam, Karpal Singh menggesa Peguam Negara mengunakan nolle prosequi (hentikan pendakwaan) bagi kes konspirasi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, berikutan percabangan antarabangsa seperti yang dinyatakan oleh usahawan Britain, Sir Richard Branson. Karpal, peguam bela yang mengetuai pihak pembelaan berkata penarikan pertuduhan adalah cara terbaik untuk mencabut 'duri dalam daging' yang dinyatakan Branson. "Menyeksa Anwar dilihat tidak produktif terhadap pendirian kerajaan, khususnya selepas pilihan raya umum 8 Mac, 2008 yang menunjukkan BN tidak menikmati mandat padu daripada rakyat. "Di latar antarabangsa, kerajaan terus dibidas dalam isu ini. Saya seru kerajaan agar pragmatik dan realistik. Mendakwa Anwar adalah bercanggah dengan kepentingan nasional kerana tumpuan antarabangsa adalah ke atas perbicaraan itu," kata Karpal. Branson pada 27 September lalu berkata perbicaran liwat membabitkan ketua pembangkang itu yang sedang berlangsung memberi kesan ke atas Malaysia dan mematahkan semangat pelabur untuk menanam modal di negara ini. "Malaysia mempunyai reputasi yang baik di luar negara. Tetapi apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim membawa kesan buruk ke atas Malaysia," katanya pada majlis khas forum Invest Asia 2010, anjuran International Herald Tribune di Kuala Lumpur. "Saya fikir ia bukan isu utama tetapi yang pasti ia bagaikan duri dalam daging. Saya berpendapat ini telah berlarutan agak lama. Ini tidak baik di luar negara," katanya. Mengikut Malaysiakini, Karpal mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa pihaknya akan cuba mengheret beliau dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk bertindak sebagai saksi dalam perbicaraan itu. "Jika perdana menteri dan isterinya bersedia diheret, jadi biarkannya. Pasukan pembela memberi jaminan bahawa semua kebenaran akan didedahkan," katanya. Pengadu utama kes berkenaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan pernah berkata dia berjumpa dengan Najib di kediaman rasminya, dan Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri melahirkan rasa terkejutnya. Sumber: TVSelangor |
SPR Tentukan 6 Oktober Tarikh PRK DUN Galas Posted: 30 Sep 2010 01:35 AM PDT KUALA LUMPUR 30 Sept - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 6 Okt di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya. Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPR hari ini, satu sidang media akan diadakan oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar selepas mesyuarat itu yang dijangka membincangkan tarikh penamaan dan pengundian untuk pilihan raya kecil itu. SPR berkata ia telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berhubung kekosongan kerusi di kawasan DUN Galas pada Selasa lepas. Kerusi DUN Galas itu menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, Ahad lepas ekoran barah usus dan beliau meninggal dunia di Hospital Al-Islam Kampung Baru di sini. Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim (PAS) berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi. Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan DUN Paloh. Bernama |
Kes Skandal PKFZ Ditangguh 8 November Posted: 30 Sep 2010 01:30 AM PDT SHAH ALAM 30 Sept - Perbicaraan kes membabitkan tiga individu didakwa membuat tuntutan palsu membabitkan jumlah berjuta-juta ringgit dalam projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditangguhkan ke 8 Nov depan. Hakim Asmadi Hussin memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan peguam V. Sithambaram, mewakili arkitek Bernard Tan Seng Swee, dari BTA Architect, yang merupakan perunding PKFZ untuk menangguhkan kes itu berikutan pihaknya baru menerima sebanyak 101 dokumen tambahan pada Isnin lepas. Sithambaram berkata pihaknya juga memerlukan masa untuk merujuk dokumen berkenaan kepada pihak konsultan memandangkan ia bersifat teknikal. Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Steven Abok juga memaklumkan bahawa pihaknya baru menerima dokumen berkenaan pada hari sama dan beliau memerlukan masa untuk menelitinya. Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad yang mengetuai pendakwaan mengesahkan bahawa pihaknya menghantar dokumen tambahan berkenaan kepada pihak pembelaan pada Isnin lepas. Beliau berkata pihaknya tidak membantah terhadap permohonan pihak pembelaan demi keadilan semua pihak dan bagi mengelakkan saksi-saksi dipanggil semula untuk memberi keterangan. Dzulkifli memberi jaminan bahawa kes itu akan berjalan seperti yang ditetapkan. Selain Tan, 48, dan Abok, 51, seorang lagi tertuduh dalam kes itu ialah bekas pengurus projek KDSB Law Jenn Dong, 51, diwakili oleh peguam Justin Wee yang hadir bagi pihak peguam Tan Hock Chuan. Abok dan Tan menghadapi dua tuduhan menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 Sept 2007. Tan dan Law menghadapi 24 pertuduhan menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB membabitkan dua projek di PKFZ, antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008. Bernama |
1,000 Peneroka Bakal Saman Felda Lagi Isu KPG Posted: 30 Sep 2010 01:25 AM PDT SHAH ALAM 30 Sept - Seramai 1,000 peneroka Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh daerah Jengka, Pahang dijangka akan memfailkan saman berhubung harga Kadar Perahan Gred (KPG) yang didakwa rendah daripada harga pasaran sebenar. Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda dan Orang Asal KEADILAN Suhaimi Said ketika dihubungi Suara Keadilan berkata satu perjumpaan akan diadakan pada 3 Oktober depan bagi memberikan penerangan kepada peneroka seterusnya memfailkan saman terhadap agensi tersebut. "Kita akan memfailkan saman bagi pihak peneroka, kerana mereka ini telah dianiaya dan ditipu apabila hanya diberikan antara 18 hingga 20 peratus KPG sedangkan ikut pasaran adalah 26 peratus. "Memandangkan di kawasan Jengka ini mempunyai banyak kilang dan kadar perahannya pula berbeza antara satu sama yang lain, jadi kita akan kumpulkan peneroka mengikut kilang yang ada di sini," kata beliau. Menurut Suhaimi lagi, kadar 1 peratus KPG dianggarkan sekitar RM40 yang bermakna setiap kali hasil sawit peneroka dipetik, mereka kerugian antara RM200 hingga RM300. Tambah beliau, tindakan itu bukannya dilakukan sekadar suka-suka tetapi bagi menuntut hak peneroka yang saban tahun telah ditipu oleh Felda berhubung harga sebenar kadar perahan buah kelapa sawit. Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan supaya Felda membayar RM11 juta kepada 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan. Ini memberikan tamparan hebat kepada agensi itu dan kemenangan moral yang besar kepada peneroka Felda di seluruh negara. Tindakan agensi itu dilihat tidak menghormati hak peneroka berhubung harga KPG sudah lama berlaku di kebanyakan rancangan Felda di seluruh negara. Berhubung dakwaan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan kononnya Pakatan Rakyat menghasut peneroka menyaman Felda, Suhaimi berkata tindakan saman itu bukan hanya menuntut hak peneroka yang menganggotai KEADILAN dan PAS sahaja bahkan untuk semua peneroka tanpa mengira fahaman politik masing-masing. Sumber: Suara Keadilan |
Keputusan Mahkamah Sanggah Dakwaan PR Hasut Peneroka Posted: 30 Sep 2010 01:20 AM PDT SHAH ALAM 30 Sept - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengarahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) supaya membuat pembayaran tanam semula kepada 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 membuktikan bahawa dakwaan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menuduh pemimpin Pakatan Rakyat menghasut peneroka adalah tidak benar. Sebelum itu, Hakim Datuk Mariana Yahya semalam membuat keputusan mengarahkan Felda membuat pembayaran sebanyak RM1,700 seekar bagi pembayaran tanam semula walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu. Mengulas kemenangan tersebut, Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Seluruh Malaysia (Anak) Mazlan Aliman, berkata ini membukti perjuangan para peneroka yang tertindas dalam isu Kadar Perahan Gred (KPG) dan bayaran tanam semula akhirnya membuahkan kejayaan. "Saya bersyukur kerana perjuangan mereka dalam menuntut hak akhirnya berjaya. Ini membuktikan perjuangan Anak adalah benardan bukan seperti dituduh pemimpin Umno. "Kemenangan menyangkal dakwaan Ahmad yang menuduh Pakatan Rakyat yang menjadi dalang menghasut peneroka supaya membuat tuntutan khususnya berhubung isu KPG dan bayaran tanam semula. "Ini memberikan isyarat kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional supaya merendahkan sedikit ego dan tahap kesombongan dan mendengar rintihan penoka yang selama ini tertindas. Tuduhan yang mengatakan peneroka tidak tahu apa-apa dan dihasut oleh Pakatan Rakyat adalah tidak betul," kata beliau kepada Suara Keadilan. Ketika ditanya berhubung rancangan Anak selepas ini, Mazlan berkata beliau akan meneruskan lagi perjuangan bagi menuntut hak peneroka dalam isu tersebut. "10 Oktober depan, kita akan melancarkan Anak khususnya bagi Lembah Klang dan kita mengharapkan agar anak-anak peneroka yang berjumlah hampir 800,000 orang akan turut bersama untuk membantu kita. "Daripada jumlah itu, terdapat 10,000 orang anak peneroka ini terdiri daripada golongan profesional dan kebanyakkan daripada mereka telah menghubungi saya untuk turut sama membantu," tambah beliau. Sehubungan itu juga, pada hari yang sama, beliau akan turut melancarkan penubuhan alumni bekas pekerja Felda di bangunan Ibupejabat PAS Kuala Lumpur bagi bersama-sama memberikan penerangan kepada masyarakat berhubung masalah yang dihadapi oleh peneroka Felda di seluruh negara. Sumber: Suara Keadilan |
Kuasa Barat Dokong Pemerintahan Negara Islam Yang Zalim, Menindas Rakyat Posted: 30 Sep 2010 01:15 AM PDT SHAH ALAM 30 Sept - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap kuasa-kuasa Barat yang menutup sebelah mata terhadap pemerintahan zalim di beberapa negara yang menindas secara terang-terangan hak asasi manusia atas alasan mempromosi demokrasi.Anwar menyelar sikap ini yang dilihat sebagai hipokrit di mana kuasa Barat menyokong negara yang menindas rakyatnya sendiri tetapi pada masa yang sama mengecam tindakan serupa di negara lain. "Anda tidak boleh berkata," berikan kami sokongan anda dalam perang melawan terorisme dan kami tidak akan campur tangan dalam hal dalaman anda. Polisi 'anda garu belakang saya, saya garu belakang anda' mungkin bagus untuk diplomasi realpolitik tetapi ia adalah satu pengkhianatan kepada perjuangan menegakkan demokrasi dan kebebasan. "Malangnya inilah pendekatan bersikap hipokrasi kepada demokratisasi yang kita lihat di kebanyakan negara islam yang hidup dalam merana di bawah sistem demokrasi palsu. Pemerintahan sebegini diselaputi dengan imej demokrasi yang muluk tetapi pada hakikatnya penuh dengan kedurjanaan, kezaliman dan ketidakadilan. "Demokrasi seperti ini menggunakan seluruh apparatus negara dan mengeksploitasi dana rakyat demi agenda serta kepentingan peribadi mereka. Mereka merompak perbendaharaan negara, merampas kawasan tanah prima dan bernilai tinggi dan menganugerahkannya kepada kaum kerabat, kroni serta mengambil jutaan ekar hutan dara dan mentransformasinya kepada tanah yang kontang dan tidak berguna," kata Anwar. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Why Islam and Democracy are destined to coincide' di Brussels anjuran Friedrich Naumann Stiftung Selasa lalu. Dalam ucapannya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempertahankan ideologi Islam yang berteraskan kepada konsep keadilan dan mempromosi keamanan dan perpaduan sejagat. Beliau mengecam golongan yang menggunakan nama Islam untuk melakukan kezaliman dan penindasan ke atas orang Islam di negara yang kononnya mengaku mengamalkan sistem Islam. "Mereka yang mengkritik Islam berkata ia bukan sahaja membenarkan malah menggalakkan pengikutnya untuk melakukan keganasan atas nama jihad. Ini pendapat yang mengarut. Mereka turut menggunakan ayat Al-Quran untuk menyokong pendapat mereka. Memang ada, tapi mereka mentafsirnya secara ekstrim. Sebaliknya, hakikat sebenar ialah Islam melarang keganasan dan terorisme kerana ia mendokong prinsip kesederhanaan dan perlindungan nyawa dan keselamatan. Ini tersirat di bawah doktrin maqasid al-Shari'ah, satu instrumen yang amat penting dan signifikan untuk memajukan masyarakat Islam. "Bagaimanapun ia telah dipinggirkan dan diketepikan. Melalui doktrin ini umpamanya, jihad adalah seruan kepada umat untuk mentaati tiang agama dengan berbuat amalan baik dan menjauhi kemungkaran, menegakkan keadilan, menganjurkan amal jariah dan membantu golongan lemah dan terpinggir. "Ia bukannya laungan untuk berperang, apatah lagi melakukan kerosakan dan membunuh. Lebih penting, jihad menggalakkan orang Islam mewujudkan keamanan dan melindungi kesucian nyawa dan harta benda. Ini merupakan prinsip yang selari dengan desakan demokrasi," jelas beliau lagi. Anwar menjelaskan mereka yang menyeru kepada keganasan dan terorisme atas nama jihad tidak mendapat sokongan terhadap aliran Islam yang mereka reka. Mengambil contoh Indonesia di mana semasa dua pilihan raya umum yang lepas memperlihatkan rakyat negara itu menolak secara mutlak golongan radikal yang menunggangi atas tiket jihad. Kata beliau, perkembangan ini penting untuk menyanggah pemikiran bahawa demokrasi di dalam negara majoriti orang Islam senang dipengaruhi oleh ekstremis dan radikal. Malah kata Anwar, Islam menggalakkan umatnya mempertahankan kesamarataan, keadilan dan maruah insan. Jika keganasan dan terorisme disebar luaskan oleh umat Islam atas nama Islam maka yang dipersalahkan pengikutnya dan bukan agama. Menyalahkan Islam tidak akan menyelesaikan masalah selagi puncanya tidak diatasi dan diselesaikan. Tambah Anwar, Turki adalah contoh baik di mana pemimpinnya memegang taat kepada prinsip asas kenegaraan Islam: modernis, sederhana, progresif dan toleransi dengan keadilan dan negara hukum sebagai motto pemerintahan. Anwar berkata referendum baru-baru ini yang menyokong perubahan asas kepada perlembagaan untuk mengukuhkan demokrasi adalah bukti jelas. Dalam hal ini pemimpin Turki amat berlawanan dengan pemimpin autokratik dan diktator di sesetengah negara Islam yang terus menafikan rakyat nikmat demokrasi dengan mengamalkan sikap ekstrim. "Jadi hakikatnya serangan ke atas kebebasan dan demokrasi bukan datangnya dari Islam walaupun kebanyakan yang melakukannya adalah orang Islam. Indonesia dan Turki membuktikan demokrasi bukan sahaja diterima malah amat penting dalam Islam. Sebaliknya musuh Islam bukan dari demokrasi tetapi adalah kezaliman, rasuah, tirani, dan ketamakan. "Kebebasan dan demokrasi adalah sebahagian daripada kebenaran hakiki yang membezakan antara makhluk di bumi ini. Isu sebenar bukannya Islam dan demokrasi ditakdirkan selari tetapi samada golongan yang berkuasa di negara Islam akan menghormati kebebesan dan demokrasi, memartabatkan undang-undang dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat. Jika ini tidak berlaku adalah wajib bagi kita merealisasikannya dan itu satu perjuangan yang wajar. "Kemodenan Islam di Asia Tenggara dicerminkan oleh adaptasi prinsip kebebasan dan demokrasi untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas. Dari segi ini peralihan rantau ini kepada demokrasi menyanggah ide Islam dan demokrasi tidak selari. "Tindakan menyamakan Islam dengan sikap tidak toleransi dan keganasan pun tidak mempunyai asas dalam realiti. Orang Islam memerintah Sepanyol berkurun lamanya dan ini disahkan oleh rekod sejarah sebagai bukti jelas kepada toleransi dan semangat hidup muafakat antara orang Islam, Kristian dan Yahudi. "Di Asia Tenggara, pedagang dan ahli Sufi menyebarkan agama melalui stail dakwah akomodatif yang menarik minat penganut yang pada masa sama mengekalkan aspek signifikan budaya pra-Islam. Ini menjelaskan bagaimana kepelbagaian budaya dan agama wujud dalam negara bermajoriti Islam," tegas Anwar dalam ucapannya. Anwar berkata adalah penting merubah kekakuan aliran idealogi yang menjurus kepada persepsi bahawa ajaran Islam adalah kaku dan eksklusif. Hakikat bahawa Islam mampu mengadaptasi kepada keadaan sekeliling menunjukkan sifat inklusifnya. " Bagi memastikan negara Islam bergerak ke arah memartabatkan demokrasi berperlembagaan dan menterjemahkannya kepada realiti, adalah penting mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, memastikan pemisahan kuasa dan menjamin kebebesan hak sivil termasuk membenarkan penglibatan wanita dalam arean politik. "Pendakwaan bersifat kedengkian, penahanan rambang, dan salahguna apparat negara untuk mengekang musuh politik mestilah dihapuskan. Reformasi ini mesti dilaksanakan, jika tidak harapan pertembungan Islam dan demokrasi hanyalah satu fatamorgana," kata Anwar. Sumber: Suara Keadilan |
Mahathir Momokkan Orang Melayu Kerana Umnoputra Takut Hilang Kuasa Posted: 30 Sep 2010 01:10 AM PDT SHAH ALAM 30 Sept - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memomok-momokkan kononnya masyarakat Melayu akan kehilangan kuasa jika Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pakatan Rakyat menubuhkan Kerajaan Pusat sebenarnya menyerlahkan ketakutan golongan elit Umnoputra kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum akan datang. Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail yang menyanggah dakwaan Dr Mahathir itu berkata kenyataan beliau amat tidak tepat dan malah berunsur ugutan kerana yang mengkhianati umat Melayu dan Islam adalah Umno itu sendiri. "Ini terbukti dalam kes Perlembagaan membabitkan Raja-Raja Melayu dan penarikan bantuan sekolah-sekolah agama. "Ia juga terbukti dalam pengagihan peluang perniagaan, permit AP dan saham yang hanya tertumpu kepada golongan elit pemerintah Umno sahaja dan bukan rakyat terbanyak," tegas beliau kepada Suara Keadilan. Tambahnya lagi, ini berpunca daripada kegagalan Umno untuk mengekalkan kerjasama baik di antara kaum yang akhirnya melemahkan tapak sokongan Melayu. "Tohmahan beliau ini adalah tohmahan daripada seorang yang mempunyai hati yang sangat busuk, berbaur kebencian yang tidak terubat bila melihat kejayaan KEADILAN dan PAS khususnya dalam mendekati masyarakat Melayu," ujar Saifuddin lagi. Minggu lalu, Dr Mahathir mengingatkan orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini. Bekas Perdana Menteri itu turut menuduh PAS yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi mereka sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan. Dr Mahathir juga menuduh KEADILAN bukannya untuk memperjuangkan orang Melayu tetapi lebih kepada untuk merealisasikan cita-cita peribadi seseorang pemimpin mereka untuk menjadi Perdana Menteri. Sumber: Suara Keadilan |
KEADILAN, PAS Tidak Ada Masa Layan Pelawaan Perkasa Posted: 30 Sep 2010 01:05 AM PDT SHAH ALAM 30 Sept - Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menganggap cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) untuk mengadakan rundingan meja bulat antara orang Melayu di dalam KEADILAN, PAS dan Umno sebagai satu pelawaan biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata pada ketika ini, KEADILAN dan PAS mempunyai agenda yang lebih penting dan lebih utama daripada itu. "Saya berpendapat adalah lebih baik KEADILAN dan PAS memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting daripada menerima pelawaan Perkasa untuk mengadakan perbincangan meja bulat berhubung isu orang Melayu. "Kita menganjurkan supaya Perkasa meneruskan sahaja kerja buat mereka dalam lapangan yang mereka percaya. "KEADILAN pula dalam konteks tersebut akan memfokuskan isu-isu utama seperti persiapan parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang serta memperkukuhkan organisasi," ujar beliau. Pada masa yang sama, KEADILAN kata Ahli Parlimen Machang itu akan memperhebatkan lagi siri penerangan kepada rakyat terbanyak. "Dalam kata lain, saya berpendapat pelawaan Perkasa itu sebagai pelawaan biasa dan tidak perlu diberikan tumpuan dan perhatian," ujar beliau. Ahad lalu, Wira Perkasa Kedah mencadangkan supaya diadakan Rundingan Meja Bulat melibatkan Pemuda Umno, Pemuda PAS dan Angkatan Muda KEADILAN bagi membincangkan beberapa isu yang disifatkan menjadi penyebab perpecahan Melayu. Ketuanya Shaharol Niza Omar berkata tujuan rundingan itu diadakan bagi merungkai permasalahan dan pertelingkahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini antara Perkasa dan parti-parti politik itu. Sumber: Suara Keadilan |
Mimpi Umno-BN Hilang Kuasa Pada PRU-13 Bertambah Ngeri Posted: 30 Sep 2010 01:00 AM PDT Melihat kepada suhu ketegangan kaum yang semakin dahsyat kini dan Umno pula kelihatan semakin fobia dan ekstrim dengan agenda Perkasa dan ultra-Melayunya, akhirnya Barisan Nasional akan dipulaukan secara total oleh yang bukan Melayu dan menyebabkan kejatuhan kerajaan BN yang terbina atas sifat kow-tow kepada orang Inggeris dahulukala. Sekaligus membenarkan teori RAHMAN daripada kumpulan mistik penyokong Umno. Teori yang mereka gunakan untuk menafikan Anwar kini menjadi senjata terhadap mereka sendiri, kerana N untuk Najib adalah huruf terakhir; maka dacing itupun tumbang. Kembalinya Umno kepada perjuangan ultra-Melayu adalah kesan langsung daripada kekalahan teruknya dalam pilihan raya umum 2008. Keadaan yang sama memperlihatkan PAS kembali kepada perjuangan negara Islam pada 2004 apabila Barisan Alternatif mengalami kekalahan teruk ketika itu. Namun sentralisasi ini ada kelemahannya. Di dalam usaha memperkuatkan kembali parti maka segala persefahaman diantara sahabat politik akhirnya terbantut. Dan sokongan hasil daripada penggabungan dalam BA terhakis. Situasi sama kini berlaku kepada Umno. Di dalam mencari penyelasaian kekalahan BN pada 2008, mereka kembali kepada perjuangan Melayu mereka tanpa mempedulikan persefahaman MCA dan MIC. Maka timbullah isu 'Hak Melayu' dan 'Kedaulatan Islam Melayu' yang menghancurkan setiakawan antara tiga sekawan yang dahulunya dilihat sebagai 'Sekukuh Gunung Tahan'. Kini MCA dan MIC hanya berpura-pura sesama-sendiri bersahabat dengan Umno dan Umno pula dilihat terus menerus menyerang kaum-kaum selain Melayu didalam usahanya menawan kembali 'base-support' mereka iaitu orang Melayu. Kini MCA dan MIC hampir lumpuh diserang ahli mereka sendiri. Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa BN sendiri yang akan menghancurkan BN, dan hakikat ini dilihat dalam percaturan terakhir BN dalam menghadapi PEMILU yang akan datang. PR atau Pakatan Rakyat tidak lagi dilihat sebagai 'gabungan lemah' malah persepsi rakyat kini melihat mereka sebagai 'Government-in-Waiting'. Pelbagai taktik digunakan Umno seperti rasuah sehingga tumbangnya kerajaan Perak, membuka semula kes Anwar dan menahan pimpinan mereka. Namun ini adalah gerak longlai terakhir rejim zalim yang tersalah arah, dan PR akan mengorak langkah ke Putrajaya dengan penuh bergaya. Umno mengatakan bahawa tujuan Anwar adalah untuk menjadi Perdana Menteri. Saya dan jutaan rakyat yang akan mengundi Pakatan Rakyat turut bersetuju dan berikrar akan melakukan apa jua untuk memastikan beliau ke sana. Kenapa pula Umno tidak tertanya-tanya mengapa boleh pula Rosmah 'tergila-gila'kan gelaran First Lady? sehinggakan membuat 'First Ladies Summit' di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh mereka yang turut 'tergila-gila'kan gelaran yang sama? Perlu kita ingat beratus negara menolak pelawaan Rosmah itu kerana mereka tahu penyertaan mereka memberikan legitimasi kepada Rosmah dan mereka tidak mahu dipergunakan untuk tujuan politik. Ayuh kita berlaku adil dan letakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai. puterakemuning.blogspot.com |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan