Selasa, 28 September 2010

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Jika ada sesuatu yang saya boleh berkongsi dengan Zaid.....

Posted: 28 Sep 2010 09:31 PM PDT

Jika ada sesuatu yang saya boleh berkongsi dengan pandangan Datuk Zaid Ibrahim ialah mengenai Dato Seri Anwar Ibrahim. Seperti Zaid, saya juga bersetuju jika Dato Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai Presiden, dan pimpinan ini dipandang lebih kokoh dan kuat dan kena pada tempatnya.
Namun untuk mengatakan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Presiden dan meletakkan
Zaid sebagai Timbalan Presiden memerlukan banyak lagi pandangan-pandangan. Ini bukan bermakna Zaid tidak layak menjadi Timbalan Presiden tetapi bagi saya Datuk Zaid belum sampai masanya untuk menjawat jawatan nombor dua tertinggi didalam parti.
Ini tidak juga bererti bahawa Datuk Zaid tidak layak duduk didalam saf kepimpinan parti, beliau boleh menduduki jawatan sebagai Naib Presiden atau Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi.
Seseorang yang duduk di jawatan Naib Presiden bahkan didalam MPP boleh dibebankan dengan perlantikan-perlantikan penting. Bahkan pada hari ini Datuk Zaid memainkan peranan sebagai Penyelaras kepada pembentukan sebuah organisasi yang dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP.
Tidak ada halangan bagi Zaid memainkan peranan itu, bahkan PKR memberikan mandat sepenuhnya kepada Zaid untuk menjayakan penubuhan organisasi baru itu.
Ramai pemimpin yang layak untuk menduduki jawatan nombor 2 itu bukan kerana mereka layak diatas kapasiti mereka mempunyai merit dari segi kelulusan yang profesional dan akademik, tetapi layak kerana sumbangan mereka sangat berharga kepada perjuangan PKR dan Reformasi.
Tokoh-tokoh seperti R.Sivarasa, Tian Chua, Mustaffa Kamal Ayob untuk dinamakan sebahagiannya adalah orang-orang yang layak. Dan yang paling layak adalah Sdr Azmin Ali. Azmin telah teruji dari segi "thick and thin". Tetapi pemimpin-pemimpin seperti Sivarasa dan Tian Chua tidak "menerkam" akan jawatan itu, bahkan mereka hanya menyerahkan kepada budibicara akar umbi samada mahu mencalonkan mereka atau tidak.
Zaid perlu banyak belajar dari segi perjuangan rakyat dan reformasi yang dibawakan oleh PKR. Tidak sama perjuangan PKR dengan perjuangan UMNO. Tidak semestinya bahawa seseorang itu sudah berpuluh tahun berjuang didalam UMNO dan terlantik sebagai Menteri menjadi kriteria untuk menjadi pemimpin besar dalam PKR dalam sekelip mata. Menjadi pemimpin - yes, tetapi menjadi pemimpin nombor 2 perlu ditangguhkan dulu.
Saya menyokong Zaid duduk didalam saf kepimpinan PKR tetapi panjatlah tangga dari bawah, dan didalam kes Zaid, tak perlu panjat dari bawah, memadailah panjat dari pertengahan tangga.
Memang Zaid telah mendapat layanan yang sangat baik dari Dato Seri Anwar Ibrahim. Dengan tiba-tiba beliau dilantik sebagai anggota MPP, dengan tiba-tiba beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR WP Kuala Lumpur, dan dengan tiba-tiba beliau dilantik menjadi Orang Penting untuk penubuhan Pakatan Rakyat.
Ini semua jawatan yang tidak dipilih, hanya jawatan yang dilantik, tetapi janganlah kerana berjaya dilantik kejawatan-jawatan yang penting itu maka dengan sendirinya melayakkan diri untuk memegang jawatan nombor 2 didalam parti seperti kata orang Melaka memberi Tanah Belanda.
Kalau suara dari orang kecil ini diterima saya mencadangkan agar Zaid menerima jawatan orang ketiga iaitu Naib Presiden parti. Itu adalah satu jawatan yang besar didalam PKR, dan didalam UMNO dulu pun, Zaid tidak pernah menjawat jawatan seumpama itu, maka belajar-belajarlah merendah diri, moga-moga boleh membawa kepada kebaikan dan perpaduan parti.

Tiada ulasan: