Jumaat, 24 September 2010

anjung setiawangsa

anjung setiawangsa


Syabas Tuntut RM308 Juta Kerana Dihalang Naikkan Tarif Air

Posted: 24 Sep 2010 04:01 AM PDT

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah menuntut bayaran sebanyak RM308 juta dari Kerajaan Selangor didakwa sebagai "pampasan" kerana terhalang dari menaikkan tarif air di Selangor.
Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, Syabas membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan bertarikh 15 Septermber lalu dengan memberi alasan kononnya syarikat itu mengalami kerugian disebabkan keengganan Kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung di dalam perjanjian konsesi.
"SYABAS pada masa yang sama mengugut untuk mengheret Kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Faekah bagaimanapun menegaskan Kerajaan Negeri tidak gentar dengan tuntutan Syabas, kerana tidak mahu rakyat Selangor menanggung harga air yang lebih tinggi dari kadar sepatutnya.
"Syarikat itu tidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masih berdepan dengan pelbagai masalah air antaranya; bekalan air yang teruk, bekalan air yang tidak berkualiti dan peratusan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi disebabkan penyelenggaraan paip yang buruk yang telah mengakibatkan Kerajaan Negeri kerugian berjuta ringgit," tegas Faekah.
"Jika SYABAS dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37% seperti yang disebut dalam perjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal dari harga petrol hari ini. Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku," tambahnya lagi.
Dalam reaksi yang sama, Faekah berkata Kerajaan Selangor berhak untuk mengheret Syabas ke mahkamah kerana kegagalan syarikat swasta itu mematuhi beberapa asas penting yang terkandung dalam perjanjian konsesi air yang ditandatangani.
"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menangguhkan sebarang niat untuk menggunakan hak sedia ada (undang-undang) bagi menghormati perbincangan pihak-pihak yang terlibat dalam menyelesaikan penstrukturan semula hak konsesi air dan model perancangan yang boleh digunapakai," jelas Faekah.

MAHATHIR PERKAUMAN - DS NIZAR

Posted: 24 Sep 2010 12:53 AM PDT

Dari Harakah

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muihamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkaumannya manakala Nuzul Izzah Anwar pula mencabar Tun Dr Mahathir berdebat ekoran dakwaannya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah negara.

"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu – yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat – yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana Takut

Melayu Hilang Kuasa atau Hilang Harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataannya.

Bagi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin, kenyataan Mahathir itu satu kenyataan bersifat perkauman.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang adalah Umno bukannya Melayu.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika PR memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata beliau dalam twitternya.

Media hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa sebagai di Perak sebelum dirampas oleh Barisan Nasional.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Bagi Nurul Izzah pula, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak, katanya.

Menurut Nurul Izzah, masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno.

Beliau dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali yang mana Mahathir adalah penasihatnya.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan 'Politik Berlandaskan Harapan dan Kebebasan' yang akan mengubah Minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata beliau dalam kenyataannya.

ROSMAH WANITA PERTAMA MALAYSIA?

Posted: 23 Sep 2010 06:47 PM PDT

Dari Harakah

Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menganjurkan sidang kemuncak First Ladies pada 11 hingga 13 Oktober ini disifatkan sebagai 'tidak sopan' dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja

Permaisuri Agong.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Rosmah masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran yang diterima selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah

disiarkan di New York Times pada April lalu.

Ia adalah iklan ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

"Tindakan Rosmah ini satu tindakan yang sangat tidak bersopan. Setelah mendapat kritikan daripada banyak pihak selepas iklan itu, kita ingatkan dia belajar daripada kesilapan dan tahu meletakkan diri dia di mana," kata Athirah ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Athirah yang merupakan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, penggunaan istilah 'wanita pertama' itu juga ternyata bertentangan dengan Artikel 32, Perlembagaan Malaysia.

"Dalam artikel itu jelas menyebut bahawa ketua pertama negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jadi secara automatik, wanita pertama mestilah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong," katanya lagi.

Tambahnya, penggunaan 'wanita pertama' setelah Najib memerintah negara menunjukkan ceteknya kesedaran beliau mengenai kepentingan menghormati Perlembagaan Negara.

"Negara kita mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan, bukan negara republik yang mempunyai presiden. Memang tidak pernah wujud istilah wanita pertama di negara kita.

"Apabila Najib dan Rosmah muncul, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan, ini menunjukkan kesedaran mereka yang sangat cetek dari sudut sejarah dan berpelembagaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu gerakan perlu diwujudkan bagi memberikan kesedaran kepada rakyat dan juga para pemimpin agar menghormati Perlembagaan Negara.

"Saya sebagai wanita muda Malaysia sangat terpanggil untuk menggerakkan kesedaran massa untuk menolak kebiadapan dan ketidaksopanan Rosmah yang membelakangi Raja Permaisuri Agong.

"Ini satu tindakan yang sangat derhaka dan rakyat mesti sedar dan menolak kepimpinan yang tidak menghormati keluhuran perlembagaan," tegasnya.

Beliau turut mempersoal tindakan Rosmah yang seolah-olah cuba mencampuri peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Dari satu sudut dia mempergunakan Sharizat. Isteri perdana menteri telah mempergunakan Menteri Pembangunan Wanita (Keluarga dan Masyarakat) untuk mengadakan satu program besar di negara kita dan akan menggunakan segala duit daripada hasil negara dan cukai yang dibayar oleh rakyat," katanya.

Rosmah seperti yang dilaporkan berkata, sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama dengan wanita-wanita pertama dunia mengenai agenda penting dalam memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.

Ianya Sidang Kemuncak ini akan diadakan selama tiga hari di Hotel Palace Of Golden Horses, di sini, dan bakal dihadiri lebih 20 Wanita Pertama dari seluruh dunia.

RAYUAN KES ADUN KOTA SIPUTEH DITANGGUH LAGI ... ALAHAI!

Posted: 23 Sep 2010 05:52 PM PDT

Tarikh pendengaran rayuan kes Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh yang telah ditetapkan pada 20 dan 22 September lalu, sekali lagi ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian. 

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail berkata, keputusan penangguhan dimaklumkan kepada pihaknya dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Anaz Ahmad Zakie setelah menerima satu surat daripada Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada dua minggu lalu. 

Menurutnya, dalam surat itu ada menyatakan keputusan penangguhan tarikh pendengaran rayuan kes Kota Siputeh dibuat setelah pihak mahkamah membenarkan permohonan peguam bela bekas ADUN kawasan itu, Datuk Abu Hassan Sarif untuk menunda ke satu tarikh lain. 

"Peguam Abu Hassan memberi alasan anak guamnya tidak dapat menghadiri perbicaraan pada kedua-dua tarikh yang ditetapkan atas alasan yang tidak dinyatakan. 

"Bagaimanapun, kami akan cuba meminta penjelasan secara bertulis daripada pihak mahkamah untuk mengetahui alasan sebenar yang dikemukakan peguam Abu Hassan," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Dr Abd Isa berkata, keputusan mahkamah rayuan itu sememangnya tidak memberikan sebarang impak kepada Kerajaan Negeri sedia ada dan perjalanan sidang DUN pada November nanti. 

"Bagaimanapun, ia adalah satu kerugian kepada pengundi DUN Kota Seputeh kerana ketiadaan ADUN untuk mereka meluahkan permasalahan di kawasan Kota Siputeh," katanya. 

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan tarikh pendengaran rayuan kes Kota Siputeh ditetapkan pada 20 hingga 22 September lalu. 

Dr Abd Isa berkata, tarikh itu diputuskan oleh Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya selepas pengurusan kes terbabit yang diadakan pada 29 Julai lalu. 

"Kerajaan Negeri telah bersedia untuk mengikuti kes itu tidak lama lagi. Kita harap kes ini dapat segera diselesaikan," katanya, ketika dihubungi, semalam. 

Menurutnya, pihaknya diberitahu mengenai penetapan tarikh itu menerusi peguam Kerajaan Negeri secara bertulis. 

Pada 24 November 2009, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membenarkan penangguhan interim (sementara) yang dipohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh sementara menunggu rayuan. 

Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah terdahulu yang dibuat beliau di Mahkamah Tinggi pada 16 November apabila mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan Abu Hassan bukan lagi ADUN. 

Beliau turut mengarahkan SPR mengeluarkan writ bagi mengadakan pilihan raya kecil. 

Bagaimanapun SPR kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. 

SPR mengemukakan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan berlaku 

kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, seterusnya mengundang satu lagi pilihan raya kecil berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut menghadiri sidang Dewan berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos tahun lalu.

KENYATAAN AKHBAR PRESIDEN MENGENAI PEMILIHAN PKR

Posted: 23 Sep 2010 05:45 PM PDT

KENYATAN AKHBAR

Alhamdulillah, pemilihan KeADILan 2010 ternyata mencatat sejarah politik tanah air apabila KeADILan menjadi pelopor kepada kaedah pemilihan berdasarkan satu ahli satu undi. Dalam erti kata sebenarnya, demokrasi dibudayakan sepenuhnya di dalam KeADILan dan bukan sekadar slogan kosong.

Saya yakin pemilihan ini pastinya menarik perhatian segenap lapisan masyarakat seluruh Malaysia. Maka proses yang dilalui seharusnya tersusun dan tidak menampakkan sebarang cacat cela.

Justeru, saya mengharapkan agar ruang Pemilihan kali ini harus dibudayakan dengan penuh tertib dan etika. Sebarang jamak pandangan yang berlaku harus dirai dengan penuh sopan dalam disiplin parti sebagaimana digariskan dalam Etika Pemilihan parti.

Saya juga menyeru agar Pemilihan ini dijadikan platform untuk ahli menilai barisan kepimpinan yang mantap dan segar idealisme bagi memandu KeADILan untuk merealisasikan harapan rakyat ke arah Malaysia yang demokratik dan madani.

DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)

Tiada ulasan: