Jumaat, 24 September 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


First Ladies: Rosmah Tidak Sopan Pada Permaisuri Agong

Posted: 24 Sep 2010 01:45 AM PDT


Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menganjurkan sidang kemuncak First Ladies pada 11 hingga 13 Oktober ini disifatkan sebagai 'tidak sopan' dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Rosmah masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran yang diterima selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah disiarkan di New York Times pada April lalu.

Ia adalah iklan ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

"Tindakan Rosmah ini satu tindakan yang sangat tidak bersopan. Setelah mendapat kritikan daripada banyak pihak selepas iklan itu, kita ingatkan dia belajar daripada kesilapan dan tahu meletakkan diri dia di mana," kata Athirah ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Athirah yang merupakan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, penggunaan istilah 'wanita pertama' itu juga ternyata bertentangan dengan Artikel 32, Perlembagaan Malaysia.

"Dalam artikel itu jelas menyebut bahawa ketua pertama negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jadi secara automatik, wanita pertama mestilah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong," katanya lagi.

Tambahnya, penggunaan 'wanita pertama' setelah Najib memerintah negara menunjukkan ceteknya kesedaran beliau mengenai kepentingan menghormati Perlembagaan Negara.

"Negara kita mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan, bukan negara republik yang mempunyai presiden. Memang tidak pernah wujud istilah wanita pertama di negara kita.

"Apabila Najib dan Rosmah muncul, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan, ini menunjukkan kesedaran mereka yang sangat cetek dari sudut sejarah dan berpelembagaan," katanya. - Harakah Daily

KDNK 9% atau 6%? Najib Digesa Bercakap Benar

Posted: 24 Sep 2010 01:40 AM PDT


KUALA LUMPUR 24 SEPT: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa Perdana Menteri Najib Abdul Razak menjelaskan apakah sasaran tahunan 6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar sudah memadai untuk negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Izzah berkata KDNK Malaysia perlu berkembang sekurang-kurangnya sembilan peratus untuk mencapai matlamat pendapatan kasar nasional RM1.7 trillion dalam masa 10 tahun dari sekarang.

Izzah, menurut Malaysiakini, berkata Perdana Menteri Najib sekali-lagi mengulangi sikap berdolak-dalik dengan mengakui bahawa KDNK tahunan negara perlu mencapai kadar sembilan peratus sehingga tahun 2020.

Najib dilaporkan berkata demikian dalam ucapan pembukaannya di mesyuarat Majlis Perlaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia ke-21 pada 9 November 2009.

"Kita perlu melipat gandakan pendapatan kadar per kapita dari USD7,000 kepada sekurang-kurangnya USD17,000," tegas Najib.

"Ini bermakna Malaysia perlu menaikkan KDNK tahunan sebanyak sembilan peratus sehingga tahun 2020," katanya lagi.

Menurut Malaysiakini lagi, Najib menafikan ucapan itu beberapa jam kemudiannya di satu sidang akhbar, dan berkata Malaysia memerlukan enam peratus sahaja kerana sembilan peratus adalah sasaran yang tidak realistik.

Nurul Izzah berkata sikap dolak-dalik seperti ini hanya mengundang keraguan pada unjuran-unjuran rasmi kerajaan.

Beliau menegaskan kerajaan Malaysia harus bersikap jujur dalam mengemukakan unjuran dan sasaran ekonomi, kerana jika tidak pemerintah akan menjejaskan prestasi sektor swasta dan pelaburan asing, yang sebelum ini corot lebih 80 peratus tahun lalu.

"Saya seru Kerajaan supaya memberi kenyataan yang betul dan dengan segera menjelaskan adakah Malaysia memerlukan kadar perkembangan sembilan peratus untuk mencapai sasaran RM1.7 trilion menjelang 2020," kata Izzah.


Sumber: TVSelangor

Kartunis Zunar Di Tahan Polis Sebelum Pelancaran Buku Kartun Terbaru

Posted: 24 Sep 2010 01:35 AM PDT


SHAH ALAM 24 Sept - Kartunis Zunar atau Zulkifli Anwar Ulhaq ditahan di bawah Akta Hasutan setelah pihak polis menyerbu pejabat Gedung kartun di Brickfields pada pukul 4.15 petang tadi.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, isteri beliau, Noor Fazlina Rosley mengesahkan penahanan suaminya serta memberitahu Zunar di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada pukul 5.15 petang.

Seramai 10 anggota polis dari IPD Brickfields yang diketuai ASP Arikrishnan Apparau turut merampas kira-kira 70 buku kartun terbaru Zunar berjudul Cartoon-O-Phobia.

"Zunar menelefon saya dipejabat dan memberitahu anggota polis menyerbu pejabatnya kira-kira pukul 4.15 petang. Mereka merampas buku kartun 'Cartoon-O-Phobia' yang akan dilancarkan malam ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

"Zunar pesan kepada saya pelancaran buku tetap diteruskan walaupun beliau ditahan. Bagaimanapun saya tidak tahu beliau ditahan di bawah akta apa," kata Noor Fazlina.

Menurutnya, peguam dan juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kini bersama Zunar di IPD Brickfields dan dijangka akan di bawa ke IPD Petaling jaya untuk soal siasat.

"Saya tidak berapa terkejut kerana sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Tidak ada bahan baru yang dicetek. Yang ada hanya 5 atau 6 keping 'masterpiece' yang belum diterbitkan. Bukan pertama kali Zunar menerbitkan buku kartun dan buku kartunnya yang ada dalam pasaran pun boleh didapati secara online dalam portal berita Malaysiakini.

"Selalunya mereka akan bertahan dahulu dan tidak mengambil apa-apa tindakan tetapi kali ini saya nampak pihak berkuasa amat terdesak sekali," jelasnya.


Sumber: Suara Keadilan

PR Bentang Usul Tergempar Jika Tiada Tindakan Terhadap Pengetua Rasis

Posted: 24 Sep 2010 01:30 AM PDT


SHAH ALAM 24 Sept - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan membuat usul tergempar jika tidak ada tindakan tegas terhadap dua pengetua sekolah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi dan berbaur perkauman terhadap murid sekolah mereka.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang di dalam twitternya menegaskan ahli parlimen Pakatan Rakyat akan membawa usul tergempar tersebut pada hari pertama Dewan Rakyat bersidang bermula 11 Oktober depan.

"Kita tengok perkembangannya dahulu sehingga Parlimen bersidang bulan depan. Jika tidak apa-apa berlaku, kita ahli parlimen Pakatan Rakyat akan membangkitkan isu ini pada hari pertama dewan bersidang nanti.

"Masih ada lagi 18 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang. Kita tengok dahulu apa tindakan mereka," kata Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dua pengetua yang didakwa mengeluarkan kata-kata rasis adalah Siti Insyak Mansor dari SMK Tunku Abdul Rahman dan Ungku Aznan Ungku Ismail dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau (SMKBS)

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran tidak boleh menentukan tindakan ke atas pengetua SMKBS kerana ia di bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pada 4 September lalu, media melaporkan JPA telah menerima laporan setebal enam inci daripada kementerian itu tetapi masih membisu berhubung keputusannya.

Siti Insyak didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman pada 12 Ogos lalu ketika menyentuh mengenai masalah disiplin pelajar.

Beliau didakwa berkata pelajar Cina "tidak diperlukan" dan perlu "pulang" ke China manakala pelajar India patut membuang ikatan tali di pergelangan tangan mereka yang disifatkan hanya anjing yang memakai tali seperti itu.

Ungku Aznan pula didakwa mengeluarkan kata-kata "balik ke China" kepada pelajar bukan Islam sekolah berkenaan kerana menegur mereka yang tidak menghormati pelajar Islam yang berpuasa.


Sumber: Suara Keadilan

Sistem Undi Terus Bakal Lahirkan Pemimpin Terbaik Bagi KEADILAN

Posted: 24 Sep 2010 01:25 AM PDT


PETALING JAYA - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perlaksanaa kaedah pengundian secara langsung pada Pemilihan 2010 akan melahirkan pemimpin yang terbaik bagi parti.

Seterusnya pemimpin yang terpilih dalam pilihan raya parti pula akan lebih bertanggungjawab kepada ahli-ahli yang memilih mereka.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Anwar yakin ahli KEADILAN akan membuat keputusan yang bijaksana serta berhemah demi kebaikan kepada parti.

"Pemerkasaan ahli-ahli seiring dengan kuasa di tangan mereka. Kami yakin semua anggota parti akan menggunakan kuasa ini secara bijaksana dan berhemah.

"Amalan seperti ini sudah menjadi lumrah dalam sistem demokrasi yang matang diseluruh dunia tetapi ia adalah pertama kali dilaksanakan di Malaysia.

"Proses pemerkasaan bukan sahaja memberikan hak untuk mengundi tetapi juga untuk menyuarakan sokongan atau bangkangan," kata Anwar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu juga menegur sesetengah yang dilihat berlebihan dalam kritikan terhadap saingan dalam pertandingan atau pembawaan semasa berkempen.

Bagaimanapun beliau menolak dakwaan pihak yang mengatakan apa yang berlaku adalah kerana masuknya 'budaya Umno' dalam parti.

"Adalah diperakui beberapa kebelakangan ini bukanlah tempoh yang selesa bagi KEADILAN. Kita masih mempunyai perjalanan yang jauh tetapi sekurang-kurangnya kita bergerak ke hadapan dan bukannya ke belakang.

"Perjalanan proses pemilihan telah memperlihatkan beberapa kenyataan yang amat pedas dan kasar diluahkan oleh sesetengah pemimpin yang dilihat tidak secucuk dengan kedudukan dalam parti yang mereka kejar.

"Dalam hal ini kritikan bahawa munculnya 'budaya Umno' semasa berkempen untuk jawatan parti adalah tidak benar sama sekali.

"Pada masa yang sama kita juga tidak menolak kemungkinan serigala berbulu kambing telah menyusup masuk ke dalam parti. Namun kita tetap beristiqamah dalam keyakinan bahawa ahli-ahli adalah matang dan bijak membuat keputusan yang terbaik bagi parti. Kebenaran akhirnya akan terserlah," jelas beliau lagi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menasihatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi etika pemilihan bagi mengelakkan keadaan yang tidak sihat.

"Perbezaan pendapat dan perselisihan pandangan berhubung dasar bukan sahaja lumrah malah harus digalakkan bagi memastikan sebuah parti yang meraikan demokrasi yang sihat.

"Calon juga mempunyai hak untuk mengemukakan agenda mereka serta berkempen tetapi ia bukannya bermakna apa sahaja boleh dilakukan."Semua aktiviti harus dijalankan dalam lingkungan kesopanan, tatasusila dan sivil, sebab itulah kita tubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

"Kita komited untuk berkhidmat kepada rakyat. Sejak penubuhannya, parti terus menerus mendesak kepada reformasi di negara supaya rakyat boleh melihat perubahan kepada keadaan yang lebih baik.

"Kita menolak alasan yang diberikan oleh mereka yang berada di tampuk kuasa bahawa rakyat belum bersedia untuk demokrasi sepenuhnya dan oleh demikian terpaksa bergantung kepada sandaran politik. Kita tidak memerlukan semua itu. Ini seterusnya akan menjadikan kita lebih kuat," ujar Anwar.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan KEADILAN, Anwar berkata sejak parti diwujudkan sokongan rakyat terhadapnya terus meningkat.

"Apabila saya dipecat daripada kerajaan dan juga parti pemerintah pada September 1998, sokongan kuat seluruh negara tercetus yang tidak mampu dikekang oleh kerajaan.

"Malah dinding penjara Sg Buloh tidak berdaya menghalang kelahiran parti baru yang telah ditakdirkan bersama-sama dengan sekutunya, PAS dan DAP, untuk membawa politik negara ke dimensi baru.

"Maka tertubuhlah Parti Keadilkan Nasional, sebuah parti yang benar-benar berdasarkan kepada konsep pelbagaian kaum serta berjuang di atas landasan keadilan dan kebebasan, demokrasi dan urus tadbir yang baik.

"Parti ini bertambah kuat dari hari ke hari bersandarkan azam yang kuat untuk menggerakkan proses reformasi dan perubahan. Setelah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia, ia dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat.

"Semangat perubahan inilah yang memacu perlaksanaan sistem baru pengundian dalam pemilihan kali ini di mana kira-kira 500,000 anggota parti berpeluang mengundi pemimpin mereka dari segenap lapisan pimpinan," kata beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Najib Takut Hadapi PRU-13

Posted: 24 Sep 2010 01:20 AM PDT


SHAH ALAM 24 Sept - Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dijangka tidak akan mengadakan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) dalam masa terdekat kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai dalam ketakutan untuk berhadapan situasi itu apabila keadaan ekonomi negara bertambah muram.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne-Loh berkata jangkaan itu lebih menghimpit Najib yang terpaksa berusaha keras untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya sejak memegang jawatan pada April 2009.

Ini dilihat dengan pelbagai bentuk bebanan ke atas rakyat sebaik sahaja beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara termasuk kenaikan harga barangan serta penarikan subsidi.

"Tak mungkin dia (Najib) adakan pilihan raya sekurang-kurangnya dalam masa 18 bulan. Ini kerana beliau takut dan tidak yakin untuk memenangi pilihan raya tambahan pula dengan apa yang berlaku sekarang bahkan rakyat kini semakin menolak pentadbiran BN," katanya kepada Suara Keadilan.

Kata beliau, dalam senario politik semasa, Najib juga menghadapi tekanan untuk memulih dan mengekalkan kembali peningkatan taraf ekonomi negara.

Beliau berkata untuk mengadakan pilihan raya, Najib perlu melepasi dua agenda utama yang merupakan sasaran untuk membolehkan pilihan raya diadakan.

Pertama, menurut Burne-Loh, Najib hendaklah memastikan jumlah kerusi Barisan Nasional di Parlimen melebihi dua pertiga.

"Najib jangan bermimpi untuk menawan kembali negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat terutama sekali Selangor yang merupakan kekuatan persekutuan sebelum tsunami politik berlaku pada PRU-12 lalu.

"Bolehkah dia ambil semula Selangor? Selagi Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, jangan harap BN boleh berbuat demikian. Faktor ini juga menambah kekalutan Najib dengan orang-orang bawahannya supaya bertindak memporak-perandakan Selangor," jelas beliau lagi.

Beliau berkata, meskipun PRU-13 masih diawang-awangan dan menjadi teka-teki penganalis politik negara tetapi di dalam dunia maya pertembungan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional untuk mendapatkan sokongan rakyat Malaysia sudah pun bermula dengan rancaknya.

Keadaan ini katanya menggambarkan senario baru politik negara yang mana rakyat tidak sabar membuat perubahan tampuk pemerintahan daripada Umno-BN kepada Pakatan Rakyat.

"Kehendak dan harapan tinggi rakyat untuk mengubah kerajaan menggambarkan keadaan sebenar politik negara yang mana rakyat mahukan perubahan pemerintah. Dasar yang dibawa oleh Perdana Menteri tentang 1Malaysia jauh terpesong daripada apa yang beliau katakan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

"Kita lihat rakyat sekarang berada dalam keadaan tertekan dengan faktor ekonomi apatah lagi dengan kenaikan harga baru-baru ini.

"Najib dan Umno-BN sebenarnya tidak mempunyai tanggungjawab dalam memastikan hak rakyat terus terbela, malah beliau hanya tahu menekan rakyat bila berhadapan dengan masalah kewangan negara," tambah Burne-Loh.

Katanya, rakyat juga sudah mula menghantar isyarat awal yang jelas kepada BN sebelum PRU-13 bahawa mereka sudah serik dengan pentadbiran yang penuh dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Sementara pengundi pula menganggap pentadbiran BN di bawah Najib tidak mampu memberi keselesaan hidup kepada rakyat berbanding sebelum ini.

Selain itu juga kegagalan BN meningkatkan taraf ekonomi negara ini juga menjadi faktor utama rakyat merasa tertekan yang dikaitkan dengan isu kenaikan harga barang dan penarikan subsidi.

Sokongan padu kepada Pakatan Rakyat pula memberi petunjuk jelas bahawa rakyat yakin gagasan itu bersedia untuk menggalas tugas menubuhkan kerajaan pusat yang baru selepas PRU-13 nanti.

Selain itu katanya, pengundi juga melihat faktor membela rakyat yang menjadi teras Pakatan Rakyat mendapat perhatian berbanding BN.


Sumber: Suara Keadilan

Amalan Demokrasi Dalam KEADILAN Bukan Slogan Kosong

Posted: 24 Sep 2010 01:15 AM PDT


PETALING JAYA 24 Sept - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kaedah Pemilihan 2010 yang berdasarkan satu ahli satu undi membuktikan demokrasi dibudayakan sepenuhnya di dalam parti dan bukan hanya sekadar slogan kosong.

"Justeru, saya mengharapkan agar ruang Pemilihan kali ini harus dibudayakan dengan penuh tertib dan etika. Sebaran jamak pandangan yang berlaku harus dirai dengan penuh sopan dalam disiplin parti sebagaimana digariskan dalam Etika Pemilihan parti.

"Saya juga menyeru agar Pemilihan ini dijadikan platform untuk ahli menilai barisan kepimpinan yang mantap dan segar idealisme bagi memandu KEADILAN untuk merealisasikan harapan rakyat ke arah Malaysia yang demokratik dan madani," kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau yakin pemilihan kali ini pastinya menarik perhatian segenap lapisan masyarakat seluruh Malaysia dan oleh kerana itu proses yang dilalui seharusnya tersusun dan tidak menampakkan sebarang cacat cela.

Dr Wan Azizah menyifatkan kaeadah pemilihan yang dipelopori KEADILAN mencatat sejarah politik tanahair.


Sumber: Suara Keadilan

Sistem Undi Terus KEADILAN Catat Sejarah Politik Malaysia

Posted: 24 Sep 2010 01:10 AM PDT


PETALING JAYA 24 Sept - Jawatan Pemilihan Pusat (JPP), Dr Molly Cheah berkata KEADILAN mencatat sejarah politik negara apabila memberi hak kepada setiap anggota parti untuk memilih pemimpin mereka secara demokratik.

Ini dimungkinkan melalui pindaan kepada perlembagaan KEADILAN yang dibuat tahun lepas sebagai sebahagian daripada proses pendemokrasian pemilihan parti yang melibatkan ahli pada peringkat akar umbi.

"Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, kaedah satu ahli satu undi melayakkan lebih 400,000 anggota parti memilih secara langsung pemimpin mereka.

"Ahli KEADILAN akan mengundi sebanyak dua kali, pertama dalam pemilihan di peringkat cabang yang berlangsung sempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) dan kali kedua di peringkat pusat," kata Dr Molly dalam satu kenyataan media semalam.

Dr Molly menambah pada peringkat cabang seramai 8,570 calon menawarkan diri untuk pelbagai jawatan dalam cabang, sayap wanita serta Angkatan Muda.

Disamping itu daripada 204 cabang yang layak mengadakan MATC, pertandingan jawatan diadakan dalam 145 cabang.

"Dalam tempoh seminggu lalu, MATC telah berjaya diadakan oleh 84 cabang dengan pertandingan di 67 cabang. Di antara cabang yang menyaksikan tahap keluar mengundi yang tinggi adalah Tuaran di Sabah dan Tangga Batu, Melaka. Minggu hadapan sebanyak 83 lagi cabang akan mengada mesyuarat tahunan mereka di mana pertandingan akan diadakan dalam 60 cabang.

"Tugas memantau pemilihan pada peringkat cabang dan pusat telah dipertanggungjawabkan kepada JPP. Selain itu fungsi JPP termasuk memastikan proses pemilihan yang bersih dan bebas, menerima dan bertindak ke atas semua aduan dan bantahan," jelas beliau lagi.

Menurut Dr Molly setakat ini JPP telah menerima 135 aduan dan bantahan; 86 berkaitan dengan pencalonan, 17 proses pemilihan dan 32 berkenaan disiplin.Tambahnya sebagai badan eksekutif dan pemantauan, JPP memberi jaminan setiap aduan dan bantahan akan diteliti secara serius, bebas dan tidak memihak.

"JPP berbesar hati memaklumkan sepanjang tempoh seminggu lalu Sekretariat KEADILAN dan sukarelawan telah bertugas secara profesional dan pengundian pula berjalan lancar dan tertib.

"Pemilihan pada peringkat cabang kini sedang berlangsung selama lapan hari antara 17 September dan 2 Oktober 2010. Pemilihan pusat pula akan mengambil tempoh masa yang sama sebelum berlangsungnya Kongres Tahunan Parti pada 26 dan 27 November," ujar Dr Molly lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Khalid Diseru Henti Buat Ugutan Melalui Media

Posted: 24 Sep 2010 01:05 AM PDT


SHAH ALAM 24 Sept - Ketua Penerangan Wanita KEADILAN, Elizabeth Wong meminta pihak polis khususnya Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berhenti daripada membuat ugutan melalui media dan bersikap lebih profesional dalam usaha memanggil Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi keterangan berhubung isu pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Elizabeth yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berharap Khalid bersikap tidak memihak dari segi politik agar kes-kes seperti itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

"Saya amat kecewa melihat Khalid yang membuat kenyataan bersifat ugutan melalui media terhadap Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar yang juga merupakan seorang peguam.

"Jika pihak polis percaya bahawa Shamsul mempunyai maklumat yang dapat membantu siasatan, beliau wajib dipanggil untuk memberi kenyataan," ujar beliau.

Katanya lagi, sememangnya diakui benar rakyat mengikuti dengan rapat perkembangan kes pembunuhan mendahsyatkan Sosilawati dan tiga rakan beliau tetapi jika terdapat usaha untuk membawa pesalah ke muka keadilan, ianya wajar disokong.

"Saya pasti Khalid yang berpengalaman lama dalam hal ini sedar akan tatacara asas yang mewajibkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah dikeluarkan untuk merakamkan kenyataan saksi di bawah Sekseyn 112 Kanun Acara Jenayah.

"Malangnya, aturan yang betul ini tidak diikuti dan Khalid didapati membuat kenyataan kepada pihak media dengan ugutan penangkapan Shamsul.

"Ini merupakan kelakuan yang tidak profesional oleh seorang yang berpangkat tinggi seperti Datuk Khalid," kata beliau.


Sumber: Suara Keadilan

Kes 'Bini Puaka' - Mahkamah Putus 5 Mahasiswa Tidak Bersalah

Posted: 24 Sep 2010 01:00 AM PDT


KUALA LUMPUR 24 Sept - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membuat keputusan menggugurkan kes terhadap 5 mahasiswa Universti Malaya berhubung kes 'Bini Puaka', pagi tadi.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah memutuskan tiada kes 'prima facie' untuk mengaitkan terhadap kelima-lima mereka bersabit kes itu.

Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan mereka yang berdepan dengan tuduhan cubaan melakukan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah dibebaskan.

Lima mahasiswa berkenaan - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya - dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: