Selasa, 14 September 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Malaysia hilang jawatan penting PBB

Posted: 14 Sep 2010 01:35 AM PDT

Sekiranya perwakilan Malaysia di Geneva menyokong pencalonannya, peguam Ambiga Sreenevasan pastinya telah dilantik menjadi pelapor khas (rapporteur) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai kebebasan beragama.

Sebaliknya, proses pelantikan itu menumbulkan pelbagai kekeliruan.

"Saya dapat maklumat bahawa saya telah dipilih sebagai pelapor khas PBB berhubung kebebasan beragama kerana nama saya dicatatkan pada senarai akhir di laman sesawang PBB," kata Ambiga kepada Malaysiakini.

"Bagaimanapun keputusan itu tidak lama kemudian ditukar. Saya belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai apa yang terjadi tetapi difahamkan ini bukan sesuatu yang lazim."

Terdapat spekulasi pencalonan bekas presiden Majlis Peguam itu dihalang oleh kerajaan Malaysia kerana Ambiga didakwa 'terlalu lantang' dalam pendiriannya berhubung isu kebebasan beragama.

Bagaimanapun seorang perwakilan NGO di Geneva berkata masalah timbul akibat sikap dingin perwakilan Malaysia yang 'tidak menyokong mahupun membantah' pencalonan Ambiga.

"Mereka tidak hadir pada mesyuarat (bagi membincangkan pemilihan pelapor khas) dan apabila mereka hadir, mereka tidak bercakap bagi pihaknya," kata perwakilan yang tidak mahu dikenali itu.

Katanya lagi, anggota OIC, yang kebanyakan mereka dari negara-negara Afrika dan beberapa kumpulan serantau yang sebenarnya menolak pencalonan Ambiga.

Sumber: Malaysiakini

Umno dicabar tukar jadi Pekembar

Posted: 14 Sep 2010 01:30 AM PDT

PAS mencabar Umno agar menukar singkatan namananya dalam bahasa Inggeris 'United Malay National Organisation' kepada bahasa Melayu iaitu Pertubahan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar).

Menurut timbalan pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tindakan itu bagi memastikan orang Melayu memahami agenda politik Umno.

Katanya, di kawasan pedalaman, kebanyakan orang Melayu tidak faham apa itu Umno kerana ia dalam bahasa Inggeris.

Malah menurut Nizar, ada juga di kalangan ahli Umno sendiri tidak tahu dan memahami singkatan bagi nama Umno itu.

Menteri besar Perak yang disingkirkan itu berhujah jika Umno ikhlas berjuang untuk masyarakat Melayu termasuk mempertahankan bahasa dan budayanya, adalah amat menghairankan bagi mereka mengekalkan nama dalam bahasa penjajah.

"Tidak perlu malu bagi menggantikan nama Inggeris - Umno dengan versi Melayu - Pekembar untuk mencerminkan agenda politik mereka," kata Nizar.

Menurut beliau Umno sebenarnya adalah parti perkauman dan juga hiprokit kerana menggunakan nama Inggeris untuk memperkenalkan budaya dan bahasa Melayu.

Dakwanya setelah mencapai kemerdekaan 53 tahun, Umno tetap merupakan sebuah parti rasis kerana hanya memperjuangkan hak Melayu sedangkan PAS bergelut untuk kepentingan Islam dan juga bukan Islam.

Nizar berucap di sebuah ceramah baru-baru ini di Kampung Batu Enam, Selama di Perak.

Pada ucapannya itu, beliau juga membidas tindakan kerajaan dan mepersoalkan mengapa pembelajaran tulisan Jawi dikeluarkan daripada sistem pendidikan di sekolah-sekolah.

Katanya, akibat tindakan itu, sebahagian besar generasi muda tidak boleh membaca dalam tulisan Jawi dan menyukarkan pembelajaran Al-Quran dan agama kerana kebanyakan bahan berkenaan adalah dalam bahasa Arab yang menggunakan tulisan Jawi.


Sumber: Malaysiakini

Khairy Bidas Utusan Melalui Twitter

Posted: 14 Sep 2010 01:25 AM PDT


KUALA LUMPUR 14 SEPT - Keghairahan akhbar Utusan Malaysia mempertahankan Perkasa dibidas oleh pemimpin 'tuan'nya sendiri.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin hari ini mengecam tindakan akhbar milikan parti itu yang mendedikasi satu muka surat penuh mempertahankan NGO itu dalam akaun 'twitter'nya.

"Sebuah surat khabar perlu diingatkan siapa pemiliknya," tulis Khairy kira-kira lapan jam lalu dalam akaun twitternya yang diikuti 13,919 pengguna laman web sosial itu.

Beliau juga menambah: "Saya menyokong perubahan ke arah media yang bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma kini, saya tidak boleh menerima arah editorial akhbar ini."

Walaupun tidak dinamakan, kenyataan itu jelas ditujukan kepada Utusan Melayu hari ini yang mendakwa majoriti orang Melayu menyokong Perkasa serta membidas keputusan pimpinan parti itu supaya Umno menjauhkan diri daripada Perkasa minggu lalu.

Utusan hari ini turut menyiarkan temu ramah bersama Ketua Penerangan Kerajaan NPerak, Datuk Hamdi Abu Bakar yang mendakwa ada pemimpin Umno 'syok' sendiri dan tidak memikirkan masa depan parti.

Kenyataan sinis itu mungkin ditujukan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansur dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengkritik hebat peranan Perkasa.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mempertahankan NGO itu dengan mengatakan hubungan UMNO - Perkasa akan mengelakkan kehilangan sokongan orang melayu pada Pilihanraya Umum akan datang.

Kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri yang menguar-uar slogan '1 Malaysia' dilihat rakyat marhaen sebagai tidak berkesan apabila Perkasa yang dipimpin Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali terus mencetuskan ketegangan antara UMNO dan parti komponen BN lain seperti MCA dan MIC.

Malah 'perceraian' antara UMNO dan Perkasa dapat dilihat sebagai usaha menarik sokongan bukan Melayu kepada BN bagi persediaan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Ibrahim Ali yang juga bekas ahli UMNO mendakwa beliau mewakili suara orang Melayu dan mempunyai lebih 50,000 ahli yang akan patuh arahannya apabila membuat undian dalam PRU ke-13.


Sumber: TVSelangor

Guna Ungkapan 'India Mabuk', Polis 'Periksa Alat Sulit' Anggota AMK

Posted: 14 Sep 2010 01:20 AM PDT


KUALA LUMPUR 14 SEPT - Tujuh anggota polis lelaki didakwa mencabul kehormatan seorang anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak dan tiga rakan lain dalam satu sekatan jalan raya di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, 7 September lalu.

Mendedahkan perkara itu, Arjunan pada sidang media hari ini, berkata, mereka ditahan sepasukan anggota polis yang dikatakan menggunakan ungkapan 'India Mabuk' sebelum pemeriksaan tubuh dilakukan ke atas mereka secara giliran.

Mencerita detik kejadian lebih lanjut, katanya, beliau dalam perjalanan ke Ipoh, Perak ketika ditahan polis di satu sekatan jalan raya sebelum lesen dan kad pengenalannya diminta dengan cara tidak sopan.

"Seorang anggota polis mengetuk cermin kereta seperti mahu memecahkannya. Saya kata, dia tidak sopan lalu dia (polis) naik berang dan menyelongkar kereta serta ada menyebut untuk membuka seluar dan baju saya," katanya.

Arjunan berkata, seorang anggota polis juga memasukkan tangan dalam poket seluar dan memegang alat sulitnya dan mendakwa perbuatan sama turut dilakukan terhadap tiga individu lain yang turut bersama beliau.

Beliau kesal kerana anggota polis terbabit tidak menyatakan sebab beliau diperiksa dan kenderaannya digeledah tetapi percaya perbuatan sedemikian adalah perkara biasa di kalangan polis.

Katanya, tindakan kurang sopan anggota polis itu ditegur anak yang juga pembantu peribadinya, Kalaimugilan Arjunan, mendorong polis mengeluarkan kata-kata kesat sambil mengugut untuk membogelkan mereka dengan alasan polis berkuasa berbuat demikian.
.
Kurang senang dengan tindakan itu, Arjunan bersama tiga rakan lain membuat laporan di balai polis Bukit Sentosa pada hari sama.

Mereka juga bercadang menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak mereka mengambil tindakan tegas ke atas tujuh anggota polis itu.
.
Mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, seseorang yang melakukan kesalahan mencabul terhadap seseorang baik perempuan mahupun lelaki, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.


Sumber: TVSelangor

Umno-BN Gagal Hayati Roh Islam Sebenar

Posted: 14 Sep 2010 01:15 AM PDT


BUKIT MERTAJAM 14 Sept - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap Umno-Barisan Nasional dan media milik mereka kerana gagal menghayati roh sebenar tuntutan agama dalam isu yang membabitkan kesucian Islam kebelakangan ini.

Menurut Anwar, sepatutnya isu seperti doa mendapatkan hidauah bagi orang bukan Islam tidak sepatutnya dipolitikkan oleh Umno-BN semata-mata sebab mahu mendapat kembali sokongan rakyat.

"Sepatutnya kita yang menjadi pemerintah menunjukkan sikap keterbukaan yang digalakkan oleh agama dalam proses berdakwah kepada bukan Islam supaya mereka menerima Islam.

"Kita sewajarnya menjadi contoh kepada mereka yang tidak memerangi kita selama ini. Tunjukkan tauladan yang baik dan sikap yang mampu dijadikan ikutan.

"Namun begitu sikap ini tidak langsung dipamerkan oleh kepimpinan Umno dan BN bagi membawa masyarakat bukan Islam memahami kesucian agama Islam yang sebenar. Jika kita berjaya berdakwah kepada mereka sehingga mereka mampu menerima Islam maka ini adalah satu kejayaan yang besar," kata beliau semasa berucap dalam majlis meraikan anak qariah Kubang Semang, Bukit Mertajam sempena sambutan Aidilfitri di perkarangan Masjid Kubang Semang semalam.

Majlis meraikan anak qariah anjuran Pemuda Qariah Kubang Semang dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Kubang Semang adalah acara tahunan kali ke sepuluh.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid baru-baru ini juga sengaja dipolitikkan oleh segelintir pihak yang merasakan itu adalah satu kesalahan besar.

"Apabila mereka tidak mempelajari sejarah Islam, maka pengetahuan yang tidak sampai ke tahap pemikiran mereka itu dianggap sebagai sesuatu yang benar walaupun sebenarnya Islam membolehkan bukan Islam untuk mendekati masjid," jelas Anwar.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya yang turut hadir di majlis itu menegaskan isu tersebut sengaja digembar-gemburkan oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan tetapi pada masa yang sama menonjolkan kejahilan mereka sendiri.

Beliau berkata sepatutnya menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menarik lebih ramai masyarakat bukan Islam untuk memahami dan mendekati Islam.

"Contoh yang baik dipertontonkan akan membuktikan bahawa Islam itu adalah yang terbaik dikacamata bukan Islam. Sebab itulah kita dapat bezakan dalam pemerintahan yang di bawa oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Pakatan Rakyat, masyarakat bukan Islam amat menggemari untuk mendekati dan memahami Islam.

"Ini adalah satu perkembangan yang sihat. Cumanya dalam isu memasuki masjid masyarakat bukan Islam perlu diberitahu mengenai adab dan tatasusila memasuki masjid. Kita yang menganjurkan program di masjid dan surau yang harus menceritakan apa yang dibenarkan dan ditegah semasa berada dalam masjid," kata Hashim.

Katanya lagi amalan tidak menghormati masjid berlaku dikalangan umat Islam semasa mengadakan majlis akad nikah.

Terdapat antara tetamu yang hadir tidak menutup aurat ketika acara akad nikah berlangsung.

Namun begitu perkara ini tidak menjadi satu isu kerana ia tidak disedari atas kejahilan masyarakat sendiri.


Sumber: Suara Keadilan

Polis Kurang Komited, Golongan Wanita Semakin Tidak Selamat

Posted: 14 Sep 2010 01:10 AM PDT


SHAH ALAM 14 Sept - Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Malaysia, Zuraida Kamaruddin membidas pasukan polis yang dilihat semakin gagal memberi jaminan keselamatan kepada golongan wanita negara ini sehingga menjurus kepada kes pembunuhan yang melibatkan kaum Hawa yang terbaru Datuk Sosilawati Lawiya.

Sambil menyifatkan pembunuhan tragik Sosilawati mempunyai persamaan dengan kematian kejam model Mongolia, Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu, Zuraida menegaskan keadaan ini adalah akibat sikap lepas pandang dan kurang komited pihak polis dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar.

Kata beliau ini menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidak mampuan polis menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita.

"Wanita KEADILAN mengecam perbuatan terkutuk ini sebagai sesuatu yang kejam dan zalim. Wanita KEADILAN juga merasakan tragedi tersebut merupakan satu lagi kes pencabulan terhadap wanita di negara ini. Perasaan hormat kapada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis.

"Sebelum ini negara digemparkan dengan berita kematian ngeri seorang model yang dikenali sebagai Altantuya Shaariibuu beberapa tahun yang lalu. Beliau dibunuh secara kejam dengan letupan bom. Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukkan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin.

"Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakizah. Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak menggunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi," kata beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Zuraida berkata Wanita KEADILAN menyampaikan perasaan simpati dan takziah kepada keluarga Allayarhamah Sosilawati dan tiga mangsa yang lain.

Wanita KEADILAN juga mengharapkan satu bentuk tindakan yang tegas oleh pihak Polis DiRaja Malaysia dan menaruh harapan agar Ketua Polis Negara yang baru mampu membawa perubahan dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia sekaligus menyegerakan siasatan dan mengheret semua mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Jutawan kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu dibunuh bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Sosilawati, 47, dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mereka dipercayai diculik, dipukul, dibunuh dan kemudiannya dibakar. Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.


Sumber: Suara Keadilan

Kejutan Dari Ibrahim Ali Yang Kita Tidak Akan Terkejut

Posted: 14 Sep 2010 01:05 AM PDT


Perkasa di bawah Ibrahim Ali MP Pasir Mas akhirnya dimalukan oleh Umno. Umno yang mengaku memperjuangkan nasib bangsa Melayu di negara ini menolak Perkasa yang juga mengaku menjadi hero orang Melayu.

Kedua-duanya yang menjual nama Melayu ini bersengketa kerana apa? Jawapannya mudah, mereka bersengketa kerana masing-masing sebenarnya tidak ikhlas membela nasib orang-orang Melayu.

Kenyataan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mengaku akan membuat kejutan di dalam PRU nanti sebenarnya bukan satu kejutan. Terkejutkah kita jika raja katak Pasir Mas ini mengisytiharkan untuk menubuhkan parti baru?

Mungkin juga beliau akan keluar dari sarang di Pasir Mas dan berhijrah ke tempat lain yang beliau rasa kawasan itu boleh menyelamatkan beliau untuk kekal sebagai Ahli Parlimen?

Ke mana sekali pun raja katak ini berhijrah, ianya tidak mengubah pandangan orang terhadap Presiden Perkasa ini. Jika Umno sebuah parti yang kuat Melayunya pun menolak Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali, bangsa atau kaum mana yang mahu percaya kepada perjuangan beliau?

Ibrahim Ali mendapat sokongan kuat dari Tun Mahathir iaitu tokoh yang mula-mula memecahkan perpaduan Melayu. Tun Mahathir menganggap rugi besar jika Umno menjauhi Perkasa. Kita tidak nampak pula di mana untungnya Umno jika bersama Perkasa, apatah lagi di bawah Najib dengan konsep 1Malaysianya itu. Perkasa lebih banyak memeningkan Umno daripada memulihkan Umno yang sememangnya sudah pening itu.

PAS awal-awal lagi sudah mengumumkan bahawa di dalam PRU akan datang, PAS tidak lagi mahu bersedekah kepada Ibrahim Ali kerusi Parlimen Pasir Mas. Memang tepat dan bijak keputusan PAS itu kerana bersedekah kepada orang yang sombong dan khianat tidak akan memperolehi pahala.

Ibrahim Ali juga menyebut bahawa Umno juga tidak mungkin (mustahil lebih tepat) untuk mencalonkan beliau di kerusi Parlimen Pasir Mas. Bahkan, jika Umno terdesak sangat untuk memilih raja katak ini sebagai calon mereka, Umno bakal mendapat malu besar nanti.

Ibrahim Ali menyebut masih banyak lagi kawasan majoriti Melayu yang boleh beliau wakili di dalam pilihan raya nanti. Mungkin Ibrahim menganggap bahawa kawasan majoriti Melayu adalah kawasan selamat buatnya.

Adakah sebelum ini Ibrahim Ali pernah bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu? Dan kawasan mana yang pernah menghilangkan deposit beliau?

Beliau mesti ingat bahawa beliau menang di Parlimen Pasir Mas dahulu bukan kerana Ibrahim Ali Melayu, tetapi kerana pengundi memilih calon yang dipilih oleh parti yang memperjuangkan Islam bukan memperjuangkan Melayu semata-mata. Di Kelantan, sebuah negeri yang hampir 100 peratus Melayu, sekarang mempunyai Adun dari kaum berbangsa Cina.

Apa pun kejutan dari Ibrahim Ali tidak akan menjadi kejutan kepada mereka yang kenal Ibrahim Ali. Ibrahim Ali bukan sahaja menjadi duri dalam daging buat Umno, bahkan ianya menjadi racun kepada semua.

Insan yang satu ketika memuji Tuan Guru Nik Aziz, kemudiannya memperlekehkan MB Kelantan itu dan orang ini juga satu ketika menghina Datuk Seri Anwar, kemudiannya ingin bersama Datuk Seri Anwar dan kini kembali menyerang Datuk Seri Anwar adalah insan yang tidak boleh dipercayai bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang sekali pun.

wfauzdin.blogspot.com

Suaram Kecam Penahanan Fadzullah Di Bawah ISA

Posted: 14 Sep 2010 01:00 AM PDT


SHAH ALAM 14 Sept - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam sekeras-kerasnya tindakan penahanan dua tahun ke atas Mohamad Fadzullah Abdul Razak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang diarahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien.

Fadzullah, 28, yang ditahan di bawah ISA sejak 15 Julai 2010 telah dipindahkan ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak pada 2 September lalu tanpa pengetahuan keluarga dan peguamnya.

Malah pihak polis telahpun dimaklumkan oleh peguam Fadzullah bahawa mereka mewakilinya.

Beliau didakwa terlibat di dalam jaringan teroris antarabangsa.

"Semua dakwaan terhadap Fadzullah semenjak hari pertama beliau ditangkap tidak pernah dibuktikan di dalam mahkamah.

"Malah kami berasa sangsi dakwaan terhadapnya dapat dibuktikan langsung sekiranya beliau dibicarakan dalam mahkamah.

"Arahan eksekutif penahanan selama dua tahun tanpa bicara adalah pelanggaran keadilan yang amat dahsyat. Fadzullah tekah dinafikan hak asasinya iaitu hak kepada perbicaraan yang adil, hak untuk mempertahankan diri dalam mahkamah yang adil, hak untuk diwakili peguam serta hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," kata Koordinator GMI dan Suaram, E Nalini dalam satu kenyataan media semalam.

Kedua-dua badan itu yakin penggunaan Seksyen 8 ISA untuk menahan Fadzullah selama dua tahun telah dirancang sebegitu rupa supaya menghambat usaha peguam beliau mengfailkan writ habeas corpus bagi mencabar penahanan beliau di bawah Seksyen 73(1) ISA.

"Beliau tidak diberi peluang untuk mempersoalkan penanahannya di bawah ISA. Ini adalah taktik lama dan modus operandi yang sama yang digunakan dalam banyak kes untuk memastikan writ habeas corpus hanyalah langkah akademik kerana tahanan telah ditahan di bawah seksyen yang berlainan dan juga oleh cawangan berasingan badan eksekutif," tegas kenyataan itu.

Dalam pada itu, GMI dan Suaram juga memaklumkan Sheikh Abdullah Sheikh Junaidi, 70, yang ditahan di bawah ISA pada 11 Ogos lalu telah dibebaskan pada 25 Ogos.

Beliau telah ditahan bersama-sama dengan seorang rakyat Indonesia, Mustawan Ahbab, 34, dan seorang rakyat tempatan, Samsul Hamidi juga berusia 34 tahun yang kini masih dalam tempoh tahanan 60 hari di bawah Seksyen 73(1) ISA.

"Walaupun kami mengalukan pembebasan beliau, namun kita melihat ini hanya sebagai satu lagi pembebasan selektif dan kita tetap berpegang kepada pendirian bahawa tidak siapa seharusnya di tahun di bawah ISA atau mana-mana undang-undang tanpa hak dibicarakan.

"Adalah jelas lantikan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan akuan kerajaan untuk mmepromosi dan melindungi hak asasi melalui cadangan pindaan kepada ISA hanyalah retorik dan janji kosong kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa.

"Rakyat Malaysia menentang ISA, penyiksaan dan lain-lain bentuk pelanggaran hak asasi. Kami mendesak ISA dimansuhkan dan hentikan semua pelanggaran hak asasi manusia," tegas kenyataan itu.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: