Sabtu, 28 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Merdeka: Rakyat perlu azam kerajaan baru

Posted: 28 Aug 2010 01:30 AM PDT

JERAI, 28 Ogos: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara 31 Ogos ini, rakyat disarankan supaya menanam semangat baru dan keazaman dalam jiwa untuk memastikan negara mempunyai kerajaan baru pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) ketika mengulas ulang tahun Hari Kemerdekaan negara ke-53, Selasa ini.

Menurut beliau lagi, rakyat harus menyedari tempoh had pemerintahan dan kuasa yang ada pada Barisan Nasional (BN) sudah sampai ke penghujungnya.

Kata beliau lagi, dengan adanya pemerintahan baru ini, maka kebimbangan rakyat dalam pelbagai masalah yang sekian lama menjadi persoalan akan berakhir.

"BN tidak mampu untuk mengurus hal ekonomi rakyat dengan baik. Isu saman ekor belum selesai, datang pula isu air dan tanah.

"Pakatan Rakyat (PR) cadangkan pendapatan setiap rakyat adalah RM4 ribu, menghapuskan cukai dan membanteras penyelewengan yang berterusan di bawah pemerintahan BN," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun saranan itu hanyalah sebagai cadangan tetapi ia menampakkan idea yang membina dari kepimpinan PR jika dibandingkan dengan BN.

Beliau juga berkata oleh kerana itu, rakyat tidak lagi harus berdiam diri atas cadangan yang telah dibuat oleh PR baru-baru ini.

"Sebagai bukti Kerajaan Negeri Kedah telah pun menurunkan harga cukai tanah di Kedah. Syarikat Air Darul Aman (SADA) dikorporatkan dan bukan diswastakan. Rakyat mendapat bekalan air bersih tanpa bebanan harga yang mahal.

"Dalam situasi ekonomi rakyat yang tidak menentu ini pelbagai sekatan dikenakan oleh Kerajaan Pusat. Slogan mereka rakyat didahulukan hanya mendahulukan rakyat dalam bebanan bagi merealisasikan hasrat dan pencapaian kerajaan diutamakan," tambahnya lagi.


Sumber: Harakah Daily

Umno Langgar Fatwa, Dr Asri Pertahan Teo Nie Ching

Posted: 28 Aug 2010 01:25 AM PDT


Dua tokoh terkemuka agama terkemuka negara, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan perbuatan Ahli Parlimen Sedang Teo Nie Ching memasuki bahagian dalam surau, tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Selain diperkuat dengan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Malaysia, mereka berpendapat, amalan orang bukan Islam mendekati masjid atau surau adalah tanda positif terhadap penerimaan agama, selagi tidak bercemar kesucian agama.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Keputusan itu dicapai pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010.
Bekas Mufti Perlis itu tegas menyatakan, bukan menjadi satu kesalahan kepada orang bukan Islam untuk memasuki surau dan masjid asalkan niatnya baik dan betul.

"Jika tujuan dia masuk itu tujuannya untuk mempelajari Islam mengetahui tentang Islam dan mengkaji tentang Islam ataupun untuk urusan kehidupan yang ada dengan kepimpinan Islam dalam masjid umpamanya seperti zaman nabi.

"Nabi sebagai ketua agama dan berpusat di masjid mereka masuk untuk berjumpa dengan nabi dan meminta masuk yang mereka rasa urusan mereka dan mereka masuk tidak ada masalah," kata bekas Mufti Perlis kepada TV Selangor.

Dr Asri berharap kepada umat Islam di negara ini tidak terikat dengan stigma tertentu hingga mendorong mereka membuat kesimpulan mudah tapi salah.

Beliau menyarankan semua pihak menyelesaikan masalah ini berpandukan hukum hakam agama dan bukan bersandarkan kepada pemikiran politik.

"Saya mengharapkan perkara seperti ini jangan dimulakan hukuman yang menjadikan orang bukan Islam takut, lebih baik media-media ini memainkan peranan menerangkan prinsip umum Islam termasuk dalam masjid, apa pandangan Islam. Islam kata tidak ada masalah, mereka boleh masuk masjid jika niat mereka betul.

"Jika niat mereka salah, maka tujuan mereka salah, maka tidak boleh masuk masjid," kata beliau.

Dr Asri mengingatkan semua pihak prinsip agama bukan bertiangkan politik kepartian yang membawa kepada pelbagai prejudis dan persepsi, sebaliknya mesti bersandarkan fakta dan dalil.

"Isu agama mesti diulas atas prinsip agama. Prinsip agama sentiasa ditegakkan melalui fakta sedangkan politik kepartian sentiasa ia dibina di atas prejudis dan persepsi.

"Jika kita mahu bercakap berkenaan agama, mesti mengikut kepada penghujahan agama. Jangan jadikan penghujahan politik untuk penghujahan agama kerana politik kepartian ada agenda di sebalik isu.

"Akan tetapi, agama sentiasa konsisten dan tegap dan dibina di atas prinsip," katanya lagi.


Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa umat Islam menyelak kembali lembaran sejarah ketamaduan Islam sebelum membuat kesimpulan melulu.

Ini akan membolehkan umat Islam lebih memahami isu dan perkembangan dunia Islam dengan lebih luas dan tidak terperangkap dengan kepompong budaya yang belum tentu berpaksi ajaran agama.

"Saya fikir masyarakat umat Islam kena mendalami lagi Islam daripada segi hukum hakam dan juga sejarah ketamadunan umat Islam yang berpangkalan di Makatul Mukarramah kemudian ke Madinah kemudian ke Baitul Maqdis.

Ini, supaya memahami adanya ruang-ruang yang diadakan orang Islam untuk masuk ke dalam masjid dan juga pembinaan gereja yang dibina berhampiran masjid seperti di Baitul Maqdis. Jadi umat Islam kena pertingkatkan kefahaman tentang Islam dan sejarahnya," katanya.

Beliau menganggap tindakan Teo Nie Ching itu menunjukkan seorang pemimpin bukan Islam cuba membantu dan menyelami kehidupan umat Islam.

Malah, ia jauh berlawanan dengan gelagat wakil rakyat Barisan Nasional yang selama ini memandang remeh keperluan infrastruktur surau tertentu.

"Hari ini kita tengok Ahli Parlimen Serdang sudah memberitahu tujuan dia bukan bertazkirah tetapi orang menyebut-nyebut dia memberi tazkirah. Mana ada dia bertazkirah, dia menyampaikan maklumat terkini polisi kerajaan Selangor.

"Sebagai wakil rakyat dia perlu untuk menjalankan tugasnya di mana wakil rakyat daripada PR lebih baik daripada menjalankan tugas daripada wakil rakyat BN yang menjalankan tugas yang bukan Islam langsung tidak menghayati budaya orang Islam terutamanya dalam bulan Ramadan," katanya.


Sumber: TVSelangor

Taib Dapat Rumah RM21 Juta Di AS Hadiah Kroni Balak

Posted: 28 Aug 2010 01:20 AM PDT


SHAH ALAM 28 Ogos - Tatkala hampir 70 peratus penduduk rumah panjang di Sarawak masih tidak mendapat kemudahan bekalan air bersih, jalan raya dan tenaga elektrik serta dibelit derita kemiskinan yang parah, Ketua Menteri serta keluarganya pula bergelumang dengan kemewahan dan kekayaan yang melimpah ruah.

Terbaru, sebuah laman web yang banyak mendedahkan salahlaku, penyelewengan serta amalan rasuah Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sarawakreport.org melaporkan 25 Ogos lalu kediaman berprestij yang dimiliki keluarga beliau di Boylston Avenue, Seattle Amerika Syarikat dikatakan dihadiah oleh syarikat konglomerat dan pembalakan Samling.

Disifatkan sebagai rumah agam 'gred atasan' kediaman tersebut dianggarkan bernilai USD6.8 juta pada 2008 atau bersamaan RM21 juta.

Berkeluasan 9,020 kaki persegi, ia mempunyai 6 bilik tidur dan lima bilik mandi utama, termasuk satu tingkat bawah tanah berkeluasan 2,120 kaki persegi, selain memiliki patio yang luas, gazebo, kolam renang dan gelanggang tennis.

Kediaman itu juga dikatakan memiliki sebuah anjung besar dan terdapat garaj di tingkat bawah tanah untuk simpanan kereta mewah kesayangan keluarga Taib.

Ia dikatakan di kelilingi taman berkeluasan 26,172 kaki persegi atau bersamaan dengan keluasan enam padang bola.

Menurut Sarawak Report, rumah agam tersebut dibeli oleh syarikat pelaburan CSY melalui anak syarikatnya, Inc W A Boylston pada 1991.

Pemilikan hartanah itu didakwa telah dipindahkan kepada keluarga Taib beberapa tahun selepas itu dengan harga US$1 (RM3.1).

Transaksi ini dikatakan dilakukan pada 19 September 1991 yang meletakkan pemilikan harta tersebut ke dalam anak syarikat W A Boylston yang ditubuhkan beberapa hari lebih awal iaitu pada 5 September oleh CSY.

Alamat berdaftarnya ialah di 2260 Douglas Boulevard, Roseville, yang juga merupakan ibu pejabat CSY.

Menurut sarawakreport, CSY dan Boylston kemudian segera memfailkan satu surat bersama kepada jabatan hartanah daerah diraja dan cukai eksais bagi mengisytiharkan W A Boylston ialah subsidiari milik penuh Syarikat pelaburan CSY, dan dengan itu menjadikan transaksi itu dikecualikan dari cukai eksais.

Bagaimanapun , siasatan laman web itu mendapati tiada rekod berikutnya selepas pemindahan pemilikan W A Boylston dari CSY (Samling) kepada Taib.

Menurut peraturan diterbit oleh jabatan hartanah, pemindahan sedemikian lazimnya memerlukan pembayaran beribu dolar cukai eksais. Laporan Sarawak Report menyebut, nama CSY dibentuk dari huruf awal Chee S Yaw, presiden syarikat pelaburan tersebut yang merupakan anak kepada Yaw Teck Seng, 62 pengasas Samling Global.

Samling merupakan sebuah syarikat pembalakan yang turut menjalankan aktiviti di luar negara seperti Guyana, Russia dan China.

Teck Seng sering tersenarai antara 40 individu terkaya di Malaysia oleh majalah Forbes dan keluarganya merupakan antara keluarga yang terkaya di Asia.

Awal minggu ini Samling mendapat liputan meluas media antarabangsa apabila dana pencen kerajaan Norway menarik balik semua pelaburan dalam Samling selepas mengutuk syarikat itu sebagai 'tidak beretika, disebabkan kegiatan pembalakan haram dan pemusnahan alam sekitar yang dilakukan di Sarawak.

Menurut Sarawak Report, bukan sesuatu yang rahsia Samling telah membina empayar perniagaannya menerusi konsesi pembalakan di Sarawak.

Sepanjang tempoh Taib menjadi ketua menteri, syarikat beroperasi di bawah lesen Taib itu telah memusnahkan hampir kesemua hutan dara berharga di Sarawak, yang kebanyakannya diambil tanpa pampasan dari orang-orang asal yang menerima kesan dari aktiviti pembalakan tersebut.


Sumber: Suara Keadilan

Felda Kalah Bukan Sebab Peguam Tidak Hadir Tapi Wujud Bukti Penipuan

Posted: 28 Aug 2010 01:15 AM PDT


SHAH ALAM 28 Ogos - Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri Sembilan, Rebin Birham menegaskan kemenangan kes tuntutan 354 peneroka Felda Kemahang 3 bukan disebabkan oleh ketidak hadiran peguam mewakili Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tetapi keputusan mahkamah dibuat setelah mendapati Felda sememangnya telah menipu peneroka terbabit.

"Walaupun peguam tidak hadir, namun prosiding perbicaraan tetap dijalankan. Apa yang penting setelah mahkamah membuat penelitian, diputuskan bahawa penipuan terhadap peneroka sememangnya wujud.

Malah keputusan yang sama diperolehi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Oleh yang demikian ketidak hadiran peguam di mahkamah bukanlah penyebab kepada kekalahan Felda dalam kes ini," jelas Rebin dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menuding jari kepada kegagalan peguam Felda menghadiri prosiding awal mahkamah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebagai penyebab ia tewas dalam kes tuntutan 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Kelantan yang diputuskan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Felda diperintah membayar ganti rugi RM11 juta kepada kesemua peneroka terbabit selepas agensi tersebut gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

Rebin juga membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang akan mempertahankan imej dan maruah Felda habis-habisan.

"Kenyataan sedemikian tidak seharusnya keluar dari mulut seorang Perdana Menteri. Sebagai seorang PM yang mewakili suara rakyat seluruh negara seharusnya mengambil inisiatif menyelesaikan masalah ini bukannya berpihak kepada Felda.

"Kenyataan sebegini sememangnya mendukacitakan peneroka khususnya dan rakyat Malaysia amnya dan ini amat dikesali. Saya percaya peneroka bukanlah boleh ditipu lagi oleh Felda. Mereka kini sudah berfikir dan mampu bertindak pada masa sekarang dan akan datang," kata Rebin.


Sumber: Suara Keadilan

Tindakan Mais Keluar Amaran, Gantung JK Surau Dibidas

Posted: 28 Aug 2010 01:10 AM PDT


SHAH ALAM 28 Ogos - Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah melahirkan rasa kesal di atas tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi amaran kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berhubung lawatannya ke Surau Al Huda Ahad lalu serta menggantung jawatankuasa surau tersebut.

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Ean yang juga Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram beliau menyeru Mais supaya membuat siasatan dengan lebih terperinci sebelum mengambil tindakan kepada mana-mana pihak.

"Saya tidak mahu lihat isu ini dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia, Umno dan Perkasa sebagai satu isu politik dan perkauman untuk merosakkan keharmonian masyarakat kita," kata Ean.

Ean berkata beliau difahamkan Nie Ching hanya berkunjung ke Surau Al Huda di Kajang Sentral 22 Ogos lalu untuk menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada jawatankuasa Surau dan dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata.

"Pada ketika itu, beliau hanya menerangkan maklumat tentang skim pinjaman pengajian tinggi negeri Selangor kepada umat Islam yang hadir. Beliau tidak menyentuh apa-apa isu politik dalam ucapan ringkas beliau.

"Beliau melawat ke surau tersebut dengan hati yang penuh ikhlas sempena bulan Ramandhan yang suci. Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, beliau perlu membantu semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," jelas Ean lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Lawatan Untuk Hulur Bantuan Baiki Pagar Surau Bukan Politik

Posted: 28 Aug 2010 01:05 AM PDT


SHAH ALAM 28 Ogos - Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching kesal lawatan beliau ke Surau Al Huda telah dieksloitasi sebagai modal politik murahan oleh pihak tertentu sehigga menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara ini.

Beliau menegaskan kunjungannya ke surau tersebut di Kajang dibuat secara ikhlas dan murni serta tidak berniat politik malah tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.

Nie Ching membuat lawatan ke Surau Al Huda 22 Ogos lalu bagi menyampaikan bantuan kerajaan negeri Selangor untuk memperbaiki pagar surau dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

"Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

"Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang.

"Akhir sekali, saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan mengenai perkara ini," kata Nie Ching dalam satu kenyataan hari ini.


Sumber: Suara Keadilan

KEADILAN Parti Masa Depan Beri Ruang Kepada Pemimpin Muda Srikandi

Posted: 28 Aug 2010 01:00 AM PDT


SHAH ALAM 28 Ogos - Langkah menampilkan buat pertama kalinya Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail dalam pemilihan parti sebagai calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) membuktikan kesediaan dan keterbukaan parti dalam mengenengahkan bakat baru sebagai generasi pelapis kepimpinan masa depan.

Selain Siti Aishah, sayap baru Wanita KEADILAN itu juga mencalonkan tiga tokoh muda barisan untuk jawatan dalam kepimpinan Wanita Pusat.

Dalam satu kenyataan media, Naib Ketua Srikandi II, Juwairiya Zulkifli berkata pemilihan parti kali ini bakal menyaksikan proses demokrasi tulen dilaksanakan dalam memilih kepimpinan parti yang buat kali pertama di lakukan oleh sebuah parti politik di Malaysia.

"KEADILAN sebuah parti muda yang dianggotai dan dibarisi oleh ramai kepimpinan muda, meraikan kepimpinan baru yang berpotensi untuk memimpin parti ini ke arah Malaysia yang baru.

"Srikandi sebagai sebuah sayap baru Wanita KEADILAN turut sama bergandingan dalam menyokong dan mengukuhkan parti dengan menyediakan pelapis kepimpinan muda parti.

"Segala kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada Srikandi pastinya akan dipikul sebaik mungkin oleh pimpinan Srikandi yang ada. Srikandi akan menghadapi semua proses pemilihan dengan baik dan menjadikan ia sebagai satu pengalaman baru yang cukup ternilai," kata Juwairiya.

Kata beliau, ruang dan peluang yang seluasnya dibuka oleh kepimpinan Wanita Pusat bagi melibatkan kepimpinan wanita muda di dalam menerajui Wanita KEADILAN wajar diberikan penghargaan dan ucapan terima kasih.

Srikandi menyokong penuh kepimpinan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin serta kepimpinan Wanita Pusat yang sentiasa memastikan suara dan pandangan kepimpinan wanita muda Srikandi diiktiraf dan diambil kira dalam usaha bersama mengukuhkan parti dan memperjuangkan hak rakyat.

Juwairiya menambah Srikandi akan terus memastikan wanita muda diiktiraf dan dihargai oleh parti dengan tekad setia dan keazaman tulus kepada perjuangan parti.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: