Khamis, 26 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Selangor lancar kempen anti zina Isnin ini

Posted: 26 Aug 2010 01:40 AM PDT

Kerajaan Selangor akan melancarkan kempen anti zina, sempena program sambutan kemerdekaan dan penghayatan bulan Ramadan Isnin depan.
Pelancaran kempen tersebut adalah antara aktiviti menarik yang disusun untuk program berkenaan yang akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut kenyataan sekretariat akhbar kerajaan negeri Selangor, program tersebut akan berlangsung selama dua hari mulai jam 3.30 petang Isnin depan sehingga 7.30 pagi 31 Ogos.

Di samping kempen anti zina, antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah konsert amal Merdeka, laungan kemerdekaan oleh menteri besar dan banyak lagi.

"Program ini diadakan sempena menghayati bulan Ramadhan dan Menyambut Hari Kemerdekaan yang diadakan secara serentak," tambah kenyataan itu lagi.


Sumber: Malaysiakini

Kilang arak: Umno melutut pada siapa

Posted: 26 Aug 2010 01:35 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagai meludah ke langit, apabila mendakwa PAS takutkan DAP berhubung penutupan kilang arak di Selangor.

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, Noh yang juga Menteri Pertanian tidak sedar bahawa perkara dibangkitkan tersebut seperti meludah ke muka sendiri.

"Saya nak tanya lah, kalau kilang Carlsberg itu tak tutup sebab PAS takutkan DAP, maka Umno waktu buka kilang tu diorang melutut pada siapa?" soalnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau menyoal demikian ketika diminta mengulas kenyataan Noh dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Noh dalam wawancara tersebut secara khusus mengaitkan nama Khalid dalam isu penutupan kilang arak tersebut.

Khalid katanya ada berjanji mahu menutup kilang arak jika Pakatan Rakyat memerintah Selangor, namun belum dibuat.

Khalid bagaimanapun menjelaskan Pakatan Rakyat Selangor masih baru dan dalam fasa memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu dan tidak boleh bertindak melulu.

Jelasnya, lawatan ke kilang Carlsberg baru-baru ini kerana mahu bertanya sama ada pengusaha kilang tersebut mempunyai perancangan untuk berpindah tapak atau tidak.

"Berbanding Umno, mereka bangga letak kilang Carlsberg di pintu masuk Shah Alam.

"Seperti didedahkan bekas ahli Umno, Saifudin Nasution di parlimen, pemuda Umno ni 'berenang' dalam arak, sebab itu diorang tak peduli," katanya lagi.

Mengulas isu 'berbeza kitab' antara Selangor dan Kelantan yang dibangkitkan Noh, Khalid berkata bukan kitab yang berbeza tetapi suasana.

"Saya rasa Noh Omar tak mengaji Siasah Syar'iyyah, ini bukan masalah kitab berbeza, tetapi suasana dan realiti itu berbeza," katanya.

PAS Selangor, jelasnya sedang berusaha memberi kefahaman berhubung Syariat Islam termasuk kepada bukan Islam negeri itu.

"Bukan orang bukan Islam je menolak Syariat lslam sebab tidak faham, tetapi orang Islam sendiri yang menyokong Umno pun menolak.

"DAP tak halang kita memberi kefahaman Islam tetapi yang banyak halang kita dulu dan sekarang adalah Umno," katanya lagi.

Mengulas kesan kempen 'Selamatkan Selangor' yang dibuat Umno negeri itu, Khalid berkata beliau yakin rakyat Selangor adalah bijak, bermaklumat dan mampu menilai.

"Kita tak nampak akan menjejaskan kedudukan kita dan kita tidak akan halang kerja mereka," katanya.


Sumber: Suara Keadilan

Pemilihan AMK: Badrul anggap persaingan 'adik beradik'

Posted: 26 Aug 2010 01:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Pertembungan tiga penjuru pada pemilihan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) November depan seharusnya mengajak setiap ahli parti itu mengangkat semangat baru dalam PKR.

Demikian harapan salah seorang calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

"Saya tidak akan umum bertanding, biarlah 'adik beradik' dalam AMK yang menentukan pemimpin mereka dengan ruang demokrasi ini.

"Ini pertandingan dalam keluarga, pertandingan adik beradik takkan perlu abang memburukkan adik atau sebaliknya," ujarnya.

Padanya, Shamsul Iskandar Md Akin telah memberi sumbangan yang termampu sejak mengetuai AMK selama ini.

Rekod kepemimpinan Shamsul menurutnya sudah tentu memberi kelebihan pada Ketua AMK itu berbanding dirinya dan seorang lagi calon Ketua AMK, Rafizi Ramli.

"Kita perlu menyuntik budaya politik baru, bukan atas atas arahan atau sentimen atau retorik semata-mata.

"Cara berkempen harus seiring dengan semangat demokrasi yang melebar dalam AMK yang memberi kuasa pada ahli.

Menurutnya inisiatif akar umbi AMK Perak mengadakan dialog calon ketua AMK menjelang pemilihan kelak adalah baru dalam parti itu dan seharusnya disambut secara sihat oleh semua.

"Seharusnya dipertemukan semua, diberi ruang yang sama, bentangkan apakah tawaran (manifesto) yang nak dibawa serta ke mana AMK ini nak dihalakan," ujarnya.

Selain itu, pemilihan AMK kali ini juga jelasnya penting dalam suasana menjelang pilihanraya Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.

Sehingga kini menurutnya, AMK tidak mempunyai satu cabang pun di Sarawak dan tindakan segera perlu diambil.

"Sarawak tidak lama lagi akan hadapi pilihan raya tetapi tidak ada satu pun cabang rasmi AMK sedangkan AMK mesti bina jentera dan kekuatan di sana...sebab potensi kita ada di sana," tambahnya.

Sumber: Harakah Daily

Muktamad: Felda diarah bayar peneroka RM11 juta

Posted: 26 Aug 2010 01:25 AM PDT


26 Ogos - Selepas lebih sepuluh tahun, akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang 3 dari Kelantan mendapat khabar gembira apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu peneroka tersebut berhubung gred buah kelapa sawit mereka.

Ia berikutan keputusan mahkamah itu yang menolak permohonan Felda yang mencabar keputusan yang dibuat oleh panel lain yang sebelum ini mengketepikan rayuan berkenaan.

Lebih 150 peneroka hadir pada perbicaraan yang penuh sesak ini manakala ratusan lagi berhimpun di luar menantikan penghakiman. Kebanyakan mereka mengagahi perjalanan lebih sembilan jam dari Kelantan untuk mencari keadilan.

Dengan penghaliman hari ini, setiap peneroka itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.

Ini adalah saman pertama yang dikemukakan oleh peneroka terhada Felda.

Keputusan hari ini mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan dan mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu oleh perdana menteri kedua, Tun abdul Razak Hussein bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff mengetuai panel tiga hakim dalam perbicaraan hari ini.

Katanya, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah hari ini tidak mempunyai jurisdiksi untuk mengkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

"Justeru, rayuan itu ditolak."

Hakim lain adalah Datuk Hashim Yusof dan Datuk Md Raus Sharif.-MALAYSIA KINI

Pakatan Rakyat Tolak Politik Perkauman Sempit Dijuarai Umno-BN

Posted: 26 Aug 2010 01:20 AM PDT


PETALING JAYA 26 OGOS - Pakatan Rakyat sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional untuk mengapikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecah belahkan keharmonian masyarakat.

Politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pimpinan Umno-BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mereka berkata demi mencapai cita-cita politik tersebut pelbagai jentera kerajaan seperti BTN dan media seumpama Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.

"Berhadapan serangan bertali arus itu, Pakatan Rakyat tetap beriltizam untuk melaksanakan Perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya. Kita beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna dari negara ini.

"Pakatan Rakyat menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat. Permuafakatan ini sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati," kata kenyataaan itu.

Dasar Pakatan Rakyat menyatakan:

"Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama."

Pimpinan Pakatan Rakyat menegaskan walaupun terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan Rakyat, namum pimpinan tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap terbuka.

Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala permasalahan.

"Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan Umno-BN terhadap rakyat. Kami beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini.

"Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat. Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.

"Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan Umno-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM52 billion. Kita menggesa satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut," tegas kenyataan itu lagi.

Permuafakatan Pakatan Rakyat menyatakan:

1. Demokrasi Telus dan Tulen

A - Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-UndangPerlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.Pakatan Rakyat akan:

Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153

Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

iii. Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

iv. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

v. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.

vi. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.


Sumber: Suara Keadilan

Selangor Beri RM500 Sumbangan Hari Raya Kepada Kakitangan Awam

Posted: 26 Aug 2010 01:15 AM PDT


SHAH ALAM 26 Ogos - Kakitangan kerajaan negeri Selangor akan menerima bayaran bantuan khas sebanyak RM500 sebagai persediaan untuk menyambut Aidilfitri bulan depan.

Dalam satu kenyataan media, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bayaran bantuan khas itu akan dibayar sebelum 1 Syawal kepada semua kakitangan kerajaan negeri kecuali kakitangan Gred Jusa ke atas.

Sehubungan dengan pengumuman itu, 9,089 kakitangan awam akan mendapat manfaat. Ia membabitkan kos pembayaran sebanyak RM4.5 juta.Selain itu, Khalid juga mengumumkan peruntukkan bayaran khas sebanyak RM250 kepada 5,297 guru kelas agama dan Fadhu Ain (Kafa) yang akan melibatkan dana RM1.3 juta.

"Menteri Besar berharap bantuan Hari Raya ini dapat meringankan beban kakitangan awam untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

"Menteri Besar juga menasihatkan kakitangan awam dan guru Kafa supaya bersederhana dalam segala hal dan berbelanja secara berhemah mengikut kemampuan serta keperluan," petik kenyataan itu.


Sumber: Suara Keadilan

Wanita KEADILAN Yakin Kuota 30 Peratus Mampu Dipenuhi

Posted: 26 Aug 2010 01:10 AM PDT


SHAH ALAM 26 Ogos - Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mengumumkan senarai calon wanita yang akan bertanding pada pemilihan parti akan datang atas keyakinan ia mampu memenuhi peruntukan 30 peratus pimpinan untuk kaum wanita.

Ini selaras dengan peruntukan berhubung perkara itu daam perlembagaan KEADILAN yang diluluskan pada tahun lalu.

"Ini hanya merupakan satu senarai awal dengan jumlah 36 calon termasuk calon baru dan calon mempertahankan kerusinya. Walaupun jumlah ini jauh daripada peruntukan 30 peratus, tetapi kami yakin lebih ramai lagi yang akan tampil memberikan nama memandangkan masih ada masa," kata Ketua Penerangan Wanita, Elizabeth Wong.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin yang dijangka mempertahankan jawatannya serta bertanding untuk jawatan Ketua Cabang Ampang berkata, pemilihan kali ini akan menampilkan lebih ramai lagi calon wanita yang berkaliber untuk bertanding jawatan dalam parti dan menyeru pucuk pimpinan parti agar menyambut baik calon wanita tanpa mengira usia dan pengalaman.

"Sejak penubuhan parti dahulu, pucuk pimpinan Wanita KEADILAN telah mengenalpasti ramai wanita muda yang mempunyai ciri-ciri pemimpin. Mereka telah diberi pendedahan, latihan dan 'hands-on' di dalam pimpinan dan kita amat mengharapkan mereka, walaupun berusia muda tetapi diterima oleh parti sebagai calon Wanita KEADILAN setara dengan calon-calon lain," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana di sini pagi tadi.

Pengarah Pilihan Raya Pusat, Fuziah Salleh yang akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden berkata pemilihan kali ini yang berdasarkan sistem undi terus menjadikan ia lebih adil kepada calon terutamanya yang kerap turun padang.

"Bagi diri saya yang sentiasa turun padang berjumpa ahli mengadakan program dan berkempen di akar umbi cabang, saya merasakan konsep undi terus akan memberikan calon seperti saya peluang sama rata dengan calon-calon KEADILAN lain," jelas beliau.

Ditanyakan berkenaan strategi Wanita KEADILAN untuk memenuhi peruntukan 30 peratus sekiranya calon wanita tidak mencukupi, Zuraida menjelaskan terdapat jawatan yang dibuat secara perlantikan dan Wanita KEADILAN yakin akan ada lantikan terus ke jawatan bagi memenuhi peruntukan 30 peratus yang diberikan oleh parti.

"Pada masa ini, kita (Wanita) mempunyai enam Ketua Cabang di Wilayah Persekutuan sahaja, dan kesemua mereka telah menunjukkan contoh pimpinan yang amat membanggakan. Maka, kita cukup yakin dengan kemampuan Wanita KEADLIAN pada pemilihan kali ini," jelas beliau lagi.


Sumber: Suara Keadilan

BTN Punca Kakitangan Kerajaan Menjadi Ektremis Kaum

Posted: 26 Aug 2010 01:05 AM PDT


KUALA LUMPUR 26 Ogos - Biro Tatanegara (BTN), sebuah unit propaganda Umno-Barisan Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri dipersalahkan atas kewujudan sikap perkauman dikalangan kakitangan kerajaan yang diloihat semakin menjadi dewasa ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa kem latihan BTN yang diwajibkan ke atas semua kakitangan kerajaan dan juga golongan pelajar pada asasnya mengajar dan memupuk nilai ekstremis 'Ketuanan Melayu' dan mengutuk kaum lain sebagai satu kaedah lapuk Umno-BN mengekalkan undi Melayu.

Kata beliau atas sifat modul kursus yang dijalankan BTN yang menjurus kepada pengajaran ekstremisme kaum menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor mengambil langkah drastik menghentikan penghantaran pegawai dan kakitangan awam kerajaan negeri menghadiri mana-mana kursus yang dianjurkan agensi itu.

Khalid juga merujuk kepada kejadian seorang pengetua di sebuah sekolah menengah di Kulai, Johor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pelajar Cina dan India baru-baru ini.

"Walaupun setelah lebih 50 tahun Merdeka, bagaimana pula seorang guru yang bekerja untuk kerajaan Umno-BN boleh berkata sebegitu? Ini jelas menunjukkan sistem pengajaran guru itu sendiri salah pada dasarnya," kata Khalid ketika menjawab soalan peserta pada 'Ramadhan Forum' yang dianjurkan oleh majalah Leaders di sebuah hotel di sini semlam.

Khalid berkata melalui dasar 'Ketuanan Melayu' kerajaan Umno-BN menakut-nakutkan orang Melayu dengan propaganda kemungkinan perkelahian antara kaum akan tercetus jika mereka tidak terus menyokong Umno-BN.

"Apabila sebahagian rakyat menjadi takut untuk mengundi pembangkang manakala sebahagian lagi menjadi ekstremis Melayu, maka tujuan Umno-BN dan dasarnya telah tercapai iaitu meraih undi dengan apa cara sekalipun," jelas beliau.

Beliau menganggap kejadian di mana dua pengetua masing-masing di Kulai dan Bukit Selambau mencemuh pelajar Cina dan India dilihat sebagai sebahagian daripada rencana teliti yang telah lama dirancang oleh Umno-BN.

Khalid berkata tindakan membangkitkan isu perkauman adalah senjata terahkir Umno-BN apabila sedar majoriti rakyat sudah tidak lagi yakin terhadap kepimpinan mereka.

"Rakyat bukan macam dahulu, mereka boleh lihat sendiri dan sedar pembangunan yang di bawa oleh kerajaan Umno-BN selama lebih 50 tahun ini hanyalah satu gimik untuk meraih undi dan satu kaedah memberikan projek pembangunan kepada kroni-kroni Umno-BN," tegas beliau lagi.


Sumber: Suara Keadilan

JK Disiplin KEADILAN Cadang Gantung Setahun 12 Ahli Terbabit Tubuh Parti Cinta Sabah

Posted: 26 Aug 2010 01:00 AM PDT


PETALING JAYA 26 Ogos - Laporan siasatan Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terhadap aduan penubuhan Parti Cinta Sabah yang membabitkan 12 anggota parti mengesahkan berlakunya perlanggaran terhadap disiplin parti.

Kenyataan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengatakan kesalahan yang dilakukan adalah mengikut Fasal 27.7 iaitu patuh kepada perlembagaan parti, menjalankan dasar-dasar parti dan memelihara nama baik parti yang membabitkan dua belas penama yang diadu.

"Pejabat Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat pada 25 Ogos 2010 telah menerima hasil siasatan tersebut.

"Jawatankuasa Disiplin juga telah mencadangkan hukuman penggantungan satu tahun dikenakan ke atas mereka yang akan hanya berkuatkuasa tertakluk kepada perakuan oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 29 Ogos 2010 yang akan datang.

"Pada masa yang bersama dua belas penama tersebut mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari bermula dari 29 Ogos 2010 nanti," kata Saifuddin.

Dua belas penama kes siasatan Jawatankuasa Disiplin KEADILAN terbabit adalah seperti berikut:

1. Daniel John Jambun

2. Awang Ahmad Sah

3. Moses @ Mozes Michael Iking

4. Nicholas James Guntobon

5. Paul Kerangkas

6. Slyvester @ Balon Mujim

7. Innocent Makajil

8. Nasir Samie

9. Harry Kujukok Manisit

10.Rubbin bin Guribah

11.Gosibin Yosundang

12.Guandee Kohoi


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: