Rabu, 25 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Video terbaru inkues Teoh 'hilang' dari web AG?

Posted: 25 Aug 2010 01:45 AM PDT

"Mengapa rakaman terdahulu inkues Teoh Beng Hock dimuat-naikkan di lamanweb Pejabat Peguam Negara, tetapi yang terbaru sengaja ditinggalkan?

"Adakah kerana ia berkaitan dengan persembahan yang kurang memuaskan ketua pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa (kiri) dalam inkues itu?"

Ia antara persoalan yang dilemparkan oleh ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng dari DAP, hari ini yang mendakwa kegagalan pihak pendakwaan memuat-naikkan laporan inkues terbaru itu membuktikan bahawa suruhanjaya berkenaan tidak berkecuali.

"Pejabat AG memuat-naik video perbicaraan di lamanweb mereka sejak hari pertama inkues. Tetapi mengapa memilih tidak menyiarkan yang terbaru?

"Ini cuma menunjukkan mereka adalah berat sebelah, walaupun dalam kes ini mereka sepatutnya berkecuali," kata Lim dalam sidang medianya hari ini.

Katanya, beliau telah berhubungan dengan pejabat peguam negara berhubung perkara itu tetapi alasan yang diberikan adalah lucu.

"Saya telefon mereka semalam dan bertanyakan mengapa video itu tidak dimuat-naik. Pada mulanya mereka berkata ada 'isu teknikal'. Tetapi selepas saya tanya berkali-kali, mereka kata tidak dapat mencari video itu," katanya.

"Perbicaraan pada 18 Ogos adalah ...yang paling lucu dan penuh dengan kejutan. Adakah mereka secara sengaja cuba menyembunyikannya?"

Lim (kanan) juga mencabar pejabat peguam negara untuk memuat-naikkan video berkenaan dalam tempoh 24 jam.

"Jika tidak, mereka sepatutnya mengeluarkan semua video yang lain itu," kata Lim.

Pada inkues terbaru pada 18 Ogos lalu, ahli patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mempertahankan pendapatnya bahawa Teoh kemungkinan besar tidak membunuh diri tetapi sebaliknya diasak oleh Abdul Razak yang sejak awal mempersoalkan kelayakan Pornthip sebagai saksi.

Abdul Razak berpendapat keterangan Pornthip adalah berdasarkan imaginasinya. Pornthip menafikan perkara itu dan berkata kesimpulannya adalah berdasarkan pemerhatian dan kerjanya.

Abdul Razak berkata berdasarkan kelayakan Pornthip, ahli patologi Thailand itu tidak layak bergelar pakar di Malaysia kerana universiti tempat beliau belajar, tidak diiktiraf di negara ini. Pornthip (kiri) menjawab bahawa universiti tempat beliau belajar adalah satu daripada lima yang terbaik di Asia - mereka yang berada di mahkamah memberikan tepukan.

Cekik diri sendiri

Razak kemudiannya mencadangkan kepada Pornthip bahawa Teoh mencekik dirinya sendirinya. Katanya, ini kerana empat daripada doktor telah mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan Teoh dicekik.

Gobind bangkit dan mengarahkan Razak menunjukkan bagaimana seseorang mencekik diri sendiri. Razak menyahut cabaran itu dan cuba mencekik diri sendiri sambil digelakkan daripada mereka di mahkamah itu.

"Saya cadangkan bahawa anda datang ke mari untuk serang SPRM," katanya.

Beliau memberi beberapa kesilapan yang didakwa dilakukan oleh Pornthip tetapi dinafikan oleh pakar patologi Thailand itu. Menurut Pornthip, laporan yang dikemukakannya disokong dengan bukti saintifik.

Razak: Awak kata 80 peratus pembunuhan.

Pornthip: Saya telah terangkan. Awak mesti terima...

Razak:
Apabila awak beri keterangan 80 peratus adalah kes pembunuhan, ia dilaporkan di semua media negara ini.

Pornthip berulang-kali menggesa Razak supaya membaca laporannya, tetapi ketua pendakwa SPRM itu berkata: "Saya habiskan masa tiga hari membacanya."

Orang ramai yang mengikuti perbicaraan kemudian mula berbisik yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara soalan Razak.

Razak kemudiannya bertanya sama ada objek tumpul yang dirujuk oleh Porthip pada awal inkues pagi ini merujuk kepada kerusi atau benda lain.

Pornthip: Saya ingin tanya sama ada awak seorang peguam?

Razak: Mungkin, saya lebih muda daripada awak tetapi saya telah berkhidmat sebagai peguam untuk 24 tahun.

Ini disambut dengan cemuhan 'wah' daripada mereka yang hadir.

Pengalaman terjun bangunan

Razak kemudian mengajukan soalan kepada Pornthip, bagaimana Teoh boleh mati pada tingkat 14 (lokasi pejabat SPRM Selangor yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam) tetapi masih bernyawa apabila sampai di bawah.

Soalan Razak semakin bercelaru dan menyebabakan koroner terketawa kecil. Azmil kemudian menjelaskan kepada Razak apa yang Pornthip maksudkan ialah Teoh berkemungkinan sedar semasa jatuh dan belum mati.

Razak: Dari Tingkat 14, 99 kaki dari atas tanah - dia tidak sedarkan diri, jadi badannya semestinya lebih berat.

Pornthip: Tiada perbezaan. Secara saintifik, bagaimana boleh berlaku kehilangan berat berdasarkan tahap kesedaran?

Razak juga bertanya kepada Pornthip sama ada dia mempunyai pengalaman terjun dari bangunan. Ini kerana ahli patologi itu dalam keterangannya berkata mayat yang dijumpai itu didapati lebih jauh daripada bangunan berkenaan berbanding kes lazim membunuh diri dengan melompat.

Satu lawan empat

Malik bangkit dan berkata Razak cuba 'memasukkan perkatan' dalam mulut Pornthip. "Cara dia mengajukan soalan seolah-olah mahu kami sendiri terjun!"

Razak kemudiannya mengulangi soalan kepada Pornthip bahawa pendapatnya adalah berlainan dengan empat orang doktor yang hadir pada bedah siasat kedua.

Razak: Satu lawan empat...

Pornthip: Awak perlu hormat hakim (koroner) yang akan membuat keputusan.

Razak: Kita bekerja berdasarkan majoriti.


Sumber: Malaysiakini

Waris rayu bebas tahanan ISA sebelum raya

Posted: 25 Aug 2010 01:40 AM PDT


KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Harapan Mohammad Fadhlullah Abdul Razak, 28, tahanan terbaru ISA untuk beraya bersama keluarga bulan depan mungkin malap.

Menurut Hasnol Hadi Abdul Razak, 25, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum memberitahu tentang status tahanan abangnya itu sejak ditahan 36 hari lalu.

Bagaimana pun, katanya, Polis memanggil waris Fadhlullah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok.

"Setakat ini, tidak ada apa-apa lagi tetapi esok, polis panggil kami ke Bukit Aman.

"Saya kerja, kedua-dua ibu bapa saya mungkin pergi melawat abang esok," ujarnya tengah hari tadi pada Harakahdaily.

Beliau turut menyuarakan rasa yakin bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri akan membebaskan abangnya itu sebelum raya ekoran tiada dakwaan yang jelas ke atas abangnya itu.

Difahamkan, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA membolehkan seseorang tahanan tanpa bicara ditahan maksimum selama 60 hari untuk membantu siasatan.

Turut difahamkan, berdasarkan Seksyen 8, ISA, tahanan tanpa bicara itu memberi kuasa kepada seorang Menteri Dalam Negeri untuk mengizinkan seseorang itu ditahan atau sebaliknya.

Lanjutan itu, katanya lagi, pihak pembelaan yang dilantik telah mengfail permohonan habeas corpus atau 'hak untuk bersuara di mahkamah' beberapa hari lalu.

20 Julai lalu, Fadhlullah ditahan di Sungai Buloh oleh seorang pegawai polis berpakaian seragam serta 14 pemuda berpakaian biasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.

Menurut laporan Harakahdaily, Hasnol ditahan kononnya demi memerangi keganasan Jamaah Islamiah (JI) dalam negara.

Namun, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri beberapa hari kemudian pada satu kenyataan media di ibu negara mengaku di depan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa Kuala Lumpur komited bersama Washington dalam memerangi keganasan global.

Sumber: Harakah Daily

Isu perkauman tidak timbul jika tiada Umno

Posted: 25 Aug 2010 01:35 AM PDT


KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Pusat Pembangunan Kebudayaan (LLG) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghapuskan ideologi perkauman yang didoktrinkan ke dalam masyarakat. Mereka berpandangan, isu perkauman yang timbul kini berpunca daripada doktrin perkauman yang diterapkan oleh Umno sejak dari dahulu lagi.

Presidennya, Dr. Toh Kin Woon berkata, semua isu perkauman yang meretakkan hubungan antara kaum tidak akan berlaku jika Umno tidak memulakannya.

"Politik perkauman yang melaksanakan dasar pecah dan perintah, pemuda Umno menghunus keris dan mengugut akan membakar Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor, kenyataan diskriminasi perkauman secara terbuka oleh Ahmad Ismail dan Nasir Safar, unsur-unsur perkauman yang didoktrinasikan oleh Biro Tata Negara.

"Tanpa semua tindakan ini, kita tidak akan dijangkiti virus perkauman," kata Kin Woon dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengetua sebuah sekolah di Johor yang mengeluarkan kenyataan 'pelajar Cina boleh pulang ke Cina' dan menyamakan gelang tangan yang dipakai pelajar India dengan rantai anjing.

Tambahnya, sekiranya kerajaaan terus berdiam diri dalam isu tersebut, keyakinan rakyat terhaddap slogan "1Malaysia' yang diwarwarkan Najib akan hilang.

"Lebih memeranjatkan ialah sehingga kini Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berdiam diri dalam isu-isu tersebut, ini mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap slogan inklusif umpamanya "Satu Malaysia"dan "Rakyat Didahulukan"yang diketengahkan Perdana Menteri," kata beliau lagi.

Beliau turut menyatakan kekesalan di atas sikap berdiam diri kerajaan Umno BN terhadap beberapa kenyataan berbau perkauman antaranya mengenai cadangan Majlis Perundingan NGO Melayu (MPP) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang mahu kerajaan menahan Presiden MCA, Chua Soi Lek di bawah ISA kerana menyokong cadangan kuota 30% bumiputera dimansuhkan.

"MPP menyaran kerajaan memansuhkan sekolah ibunda; Utusan Malaysia cuba mengapi-apikan isu pemansuhan kuota bumiputera dan perlembagaan baru, sebuah surau Seremban disimbah cat merah tapi pimpinan tertinggi kerajaan tidak mengkritik perkembangan kurang sihat ini.," katanya.

Sumber: Harakah Daily

Lantik anak peneroka

Posted: 25 Aug 2010 01:30 AM PDT


SHAH ALAM, 25 Ogos – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menolak dakwaan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor bahawa keprihatinan Pakatan Rakyat (PR) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebagai cubaan untuk mengganggu masyarakat dan pengurusan Felda.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata, kenyataan Mohd Yusof itu begitu dangkal dan tidak menjawab persoalan utama apa yang berlaku dalam tadbir urus dan kewangan Felda.

Katanya, AMK Selangor bertegas bahawa sudah tiba masanya pengurusan tertinggi Felda diisi oleh anak-anak peneroka Felda sendiri yang lebih memahami realiti dan perkara terbaik untuk pembangunan masyarakat peneroka.

"AMK Selangor mendesak agar anak-anak peneroka Felda dilibatkan dalam pengurusan dan tadbir urus Felda agar mereka yang mempunyai semangat kebertanggungjawaban dilibatkan bersama.

"Kita yakin keprihatinan Pakatan Rakyat dan NGO dalam memperjuangkan hak dan nasib masa hadapan peneroka Felda merupakan kegusaran mereka tatkala kewangan Felda dipersoalkan banyak pihak sejak akhir-akhir ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada masa sama katanya, AMK Selangor berharap masyarakat Felda di seluruh negara bangkit menyatakan hak bahawa mereka mempunyai suara untuk menentukan hala tuju dan masa hadapan yang perlu diperkasakan lagi.

"AMK Selangor yakin masyarakat Felda kini sudah celik dan bijak dalam menentukan nasib mereka dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.

"Justeru, kita berharap kerajaan mengembalikan hak peneroka Felda yang selama ini tidak diambil perhatian dan prihatin masalah serta isu yang di bawa oleh Pakatan Rakyat dan NGO terhadap cabaran yang dihadapi peneroka di seluruh negara,"katanya.

Terdahulu, Mohd Yusof berkata, cubaan pembangkang untuk masuk ke Felda merupakan satu gangguan yang tidak diingini oleh warga komuniti itu.

Menurut beliau, pihak-pihak terlibat sebenarnya mahu melihat peneroka dan pentadbiran dalam organisasi itu berpecah-belah untuk memudahkan mereka menyusup masuk. – SINAR HARIAN

Akan Saman, Ujar Zakaria

Posted: 25 Aug 2010 01:25 AM PDT


25 Ogos - Khatib Zakaria Ahmad, yang dijadikan bahan kontroversi oleh media arus perdana akan mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pihak yang terus mensensasikan isu bacaan doa khutbah Jumaat.

Zakaria mempersoalkan mengapa tindakannya mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya mendapat hidayat dan memeluk agama Islam dalam bacaan-bacaan doanya menjadi pertikaikan sekarang ini, walhal ia telah diamalkan beliau sejak dua tahun lalu.

Zakaria berkata demikian selepas beliau tampil mempertahankannya dirinya dihadapan panel Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang berhubung isu bacaan doa khutbah Jumaat.

Zakaria, yang dijemput sebagai khatib di Masjid Padang Menora menjadi bahan isu oleh media arus perdana selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa masjid-masjid tertentu di Pulau Pinang menggantikan nama Yang Dipertuan Agong kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dalam bacaan doa mereka.

Pengurusan Masjid Padang Menora mengesahkan kejadian itu, dan Zakaria telah diberitahu akan kesilapannya. Di hadapan panel semalam, Zakaria akur untuk tidak lagi menggunakan nama Lim Guan Eng dalam doa khutbahnya.

Zakaria bagaimanapun melahirkan rasa tidak puas hati kerana telah menjadi mangsa percaturan politik Umno yang memperbesarkan isu itu, walhal ia bukan kesalahan di sisi agama Islam.

Zakaria berkata beliau akan menyaman sesiapa yang cuba menjatuhkan maruah beliau dengan pelbagai tuduhan paslu dan sehubungan dengan itu beliau telah menghubungi peguam untuk tindakan seterusnya.

Zakaria mengesahkan beliau sudah dipanggil memberi keterangan ke Ibu Pejabat Polis Butterworth. Beliau setakat ini belum menerima sebarang teguran dari pihak Istana Negara.

"Saya fikir perkara tersebut adalah perkara kecil tapi diperbesar-besarkan" ujar Zakaria.

Menurut beliau lagi, perkara tersebut sengaja diperbesarkan oleh pemimpin Umno-Bn

Sementara itu, Yang Dipertua MAIPP, Ellias Zakaria berkata, hasil perbincangan tersebut pihaknya berpuas hati dengan keterangan Zakaria dan menyifatkan perkara ini perlu diselesaikan secara baik.

Mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah, Ellias berkata ianya adalah untuk mengelak kekeruhan berpanjangan.


Sumber: TVSelangor

Tidak Patut Campur Tangan, ujar Sivarasa

Posted: 25 Aug 2010 01:20 AM PDT


25 Ogos - Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat pita rakaman perbualan VK Lingam dan mantan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dipertanggungjawabkan untuk membongkar dakwaan wujudnya usaha untuk melobi dan mencatur perlantikan hakim-hakim kanan di badan kehakiman.

Lantas, Mahkamah Rayuan Putrajaya yang membenarkan laporan Suruhanjaya Diraja dicabar akan dilihat seperti campurtangan badan kehakiman untuk meminda laporan yang menemui dan mengesahkan salahlaku dan jenayah telah berlaku di badan kehakiman.

Ahli Parlimen Sivarasa Rasiah berkata mahkamah tidak patut dan tidak boleh mencampuri urusan suruhanjaya yang ditubuhkan dibawah kuasa Yang Dipertuan Agong untuk menyiasat integriti badan kehakiman.

Beliau berkata keputusan mahkamah itu akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat kerana keputusan itu membawa impilikasi yang mahkamah rayuan campur tangan dalam proses Suruhanjaya Diraja yang mana isu yang disiasat dalam prosiding Suruhanjaya Diraja itu adalah berkenaan badan kehakiman itu sendiri.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan peguam kontroversi Datuk V.K. Lingam dan dua bekas ketua hakim negara untuk mengemukakan permohonan semakan penghakiman berhubung laporan Suruhanjaya Diraja Siasatan 2007 yang menyiasat peranan mereka dalam dakwaan melobi pelantikan hakim.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Zaharah Ibrahim mendengar hujah Lingam semalam.

Hakim Tengku Baharudin Shah dan Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan permohonan rayuan itu manakala Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menolak.

Dua perayu lain ialah Tun Mohd Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Mahkamah mengenakan RM30,000 sebagai kos perundangan bagi ketiga-tiga perayu. Kes itu kini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit kes berkenaan.

Sumber: TVSelangor

Kelantan Bawa Saman Royalti Minyak Ke Mahkamah 30 Ogos

Posted: 25 Aug 2010 01:15 AM PDT


Kota Bharu, 25 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Royalti Minyak kerajaan negeri Kelantan dijangka memfailkan saman ke atas syarikat minyak Petronas kerana telah melanggar kontrak royalti minyak tersebut.

Writ saman tersebut akan di bentangkan dalam mesyuarat Exco negeri untuk mendapat keluluskan dan sekiranya ia berlaku, tindakan saman tersebut akan dibuat pada 30 Ogos nanti melalui peguam Tommy Thomas.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Paduka Haji Husam Hj Musa menjelaskan bahawa saman ini adalah berbeza dengan saman yang difailkan oleh PAS Terengganu satu ketika dahulu kerana saman ini disokong dengan Afidavit oleh bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga telah menyatakan persetujuan untuk memberi keterangan dimahkamah nanti.

Menurut Husam, walaupun demikian ruang-ruang untuk perbincangan untuk emnyelesaikan masalah masih terbuka dan bersempena Ramadhan, inilah masa yang terbaik untuk membayar royalty minyak tersebut.

Terdahulu, exco kerajaan negeri Kelantan telah memberi mandat kepada kerajaan negeri untuk menuntut royalty minyak ini seperti yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1975 setelah carigali minyak dilakukan di kawasan perairannya.

Walau bagaimana pun Perdana Menteri Malaysia datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak melayan tuntutan itu sebaliknya meneruskan dengan skim 'wang ehsan'.

Memetik dari Harakah Daily, Husam ketika Ditanya berhubung surat Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, katanya Datuk Seri Najib Razak mungkin sibuk untuk menjawab surat penjelasan mengenai royalti petroleum.

Sumber: TVSelangor

SOGT: Pemimpin Politik, Industri Anggap Kepentingan Sabah Diketepikan

Posted: 25 Aug 2010 01:10 AM PDT


KOTA KINABALU, 25 Ogos — Petronas Carigali bertindak tidak adil kepada Sabah jika betul ia memenganugerahkan projek mega bernilai RM1 bilion untuk membina Terminal Minyak dan Gas (SOGT) di Kimanis kepada sebuah syarikat Sarawak.

Ahli politik dan industri berkata tindakan itu seolah-olah membelakangkan kepentingan kontraktor tempatan dan penduduk Sabah secara keseluruhannya yang berharap untuk turut meraih manfaat daripada projek yang dibuat di atas tanah mereka sendiri.

Bendahari Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), sebuh komponen Barisan Nasional, Datuk Marcus Mojigoh berkata, beliau tahu ada beberapa syarikat yang cuba melobi untuk mendapatkan kontrak yang lumayan itu.

"Saya tidak tahu butiran mereka tetapi malanglah jika mereka tidak berjaya mendapat kontrak itu.

"Dan terus terang saya katakan, ramai pihak tidak akan senang dengan keadaan ini," kata Ahli Parlimen ini dan menambah yang beliau tidak terkejut dengan keputusan itu.

Ini katanya, selagi syarikat yang diberi kontrak itu dapat melakukan kerja mereka dengan baik dan adil membahagikan projek kecil-kecilan kepada syarikat tempatan Sabah, ia lebih baik daripada terus diketepikan.

"Saya mesti akui bahawa Sabah masih belum ada kepakaran yang cukup luas dalam industri minyak dan gas jika dibandingkan dengan Sarawak yang sudah lama dan berpengalaman dalam bidang ini," katanya.

Kata beliau yang tidak senang pasti akan mempersoalkan makna integrasi, perpaduan dan konsep 1 Malaysia yang diuar-uarkan pemimpin di peringkat persekutuan tetapi apabila tiba kepada soal kemewahan, Sabah terus dipinggirkan.

Namun sebagai pemimpin dalam BN, beliau akur dengan keputusan kerajaan itu.

"Jika kerajaan nampak tiada kontraktor dari Sabah yang layak untuk menerajuinya, maka itu adalah haknya.

"Namun, saya minta Petronas agar berlaku adil dengan dengan memberi keutamaan kepada kontraktor Sabah ketika mengagih projek kecil-kecilan," katanya.

Bagi Presiden Pekilang-pekilang Sabah (FSM) Datuk Wong Khen Thau, kerajaan berlaku tidak tidak adil sekali lagi kepada Sabah kerana banyak-banyak pakar yang ada kenapa kontrak itu tidak diberi kepada usahawan berkebolehan Sabah?

Keputusan itu katanya, adalah preregotif Petronas sebagai pemaju projek mega itu, tetapi mempersoalkan kenapa pilih orang Sarawak dan meminta kerajaan telus ketika memberikan kontrak serta memberi sebab kenapa kontraktor Sabah tidak diberi keutamaan.

Katanya, bagaimana mahu melahirkan rakyat yang mempunyai pendapatan tinggi jika anak Sabah selalu diketepikan setiap kali ada projek mega ini.

Majoriti penduduk Sabah miskin dan hidup di bawah paras kemiskinan, katanya.

"Projek ini sudah terlepas ke tangan orang luar dan harapan untuk penduduknya menambahkan sedikit pendapatan berkecai," katanya menambah FSM ada lebih 200 ahli di mana ada yang terbabit dalam industri minyak dan gas.

"Ahli saya ada yang terbabit dalam industri ini dan belum tentu mereka ada harapan untuk mendapatkan secubit kek yang besar ini," katanya.

Apabila beroperasi pada 2013, SOGT di Kimanis akan muncul sebagai bandar petroleum tertunggul seperti Miri dan Bintulu di Sarawak serta Kerteh, Terengganu.

Melalui dua terminal di Kimanis dan Sipitang dengan keluasan kira-kira 800 hektar, industri minyak dan gas di Sabah akan berkembang dengan pesat.

Hasil minyak dan gas menyumbang 8.2 peratus terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada tahun lalu.

Bagi eksport petroleum mentah pula, ia menyumbang sebanyak 37.4 peratus atau RM13.9 bilion tahun lalu pendapatan negeri ini.-THE MALAYSIAN INSIDER

Pakatan Rakyat Sarawak Siap Siaga Hadapi Pilihan Raya Negeri

Posted: 25 Aug 2010 01:05 AM PDT


SHAH ALAM 25 Ogos - Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang akan berlangsung esok akan menumpukan kepada agenda persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Mesyuarat itu akan menyentuh pelbagai perkara mengenai pembahagian kerusi antara empat rakan kongsi Pakatan Rakyat Sarawak - KEADILAN, DAP, PAS dan SNAP, persiapan logistik pilihan raya, manifesto pilihan raya, mengenalpasti calon berpotensi dan isu utama lain yang akan diketengahkan dalam pilihan raya negeri itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak, Baru Bian ketika dihubungi Suara Keadilan berkata, hampir 90 peratus pembahagian kerusi telah diselesaikan menerusi persetujuan dan persefahaman antara parti komponen Pakatan Rakyat.

"Perbincangan kita esok akan menjurus kepada pilihan raya negeri Sarawak seperti manifesto dan slogan pilihan raya, termasuk pengagihan kerusi. Setakat ini hampir 90 peratus kerusi telah diagihkan di kalangan komponen parti Pakatan Rakyat.

"Manakala dari segi pemilihan calon ia akan ditentukan oleh parti masing-masing. KEADILAN sendiri telah menyenarai pendek calon-calon yang akan diketengahkan dalam pilihan raya ini dan telah dikemukakan kepada Biro Politik dan Pengarah Piliah Raya Pusat," ujarnya.

Menurut beliau, antara isu utama yang akan diketengahkan dalam pilihan raya itu adalah mengenai tanah adat Sarawak, kemudahan infrastruktur di luar bandar seperti kemudahan perubatan, pendidikan, masalah kemiskinan dan isu berkaitan urus tadbir Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Kegagalan urus tadbir oleh Ketua Menteri Sarawak akan menjadi antara isu utama dalam pilihan raya ini memandangkan beliau mempunyai harta yang berbilion sedangkan kawasan pendalaman masih serba kekurangan.

"Isu kemudahan kesihatan seperti klinik yang jauh dari kawasan pedalaman, isu seperti masalah kemudahan kuarter guru yang mengecewakan, isu pendidikan dan kemiskinan adalah antara isu utama di Sarawak.

"Kemudahan untuk fasiliti dan jalanraya umpamanya masih teruk dibandingkan dengan Semenanjung kerana kemudahan infrastrukturnya yang masih jauh ketinggalan. Sarawak adalah negeri terkaya tetapi antara yang keempat miskin di Malaysia.

"Saya yakin dengan isu-isu yang di bawa ini Pakatan Rakyat berjaya menawan Sarawak daripada Barisan Nasional. Sekiranya pilihan raya ini dijalankan dengan adil tanpa ugutan dan politik wang, saya yakin kita akan menang," tegas beliau.

Ditanya mengenai persiapan KEADILAN di peringkat akar umbi, beliau berkata gerak kerja telah diperkukuhkan diperingkat cabang dan ranting dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

"Datuk Seri Anwar akan mengadakan lawatan di Limbang dan Lawas pada 31 Ogos ini. Pada bulan depan, Zaid Ibrahim dan Azmin Ali antara pimpinan yang dijadualkan akan datang ke Sarawak," jelasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail berkata secara umumnya parti berpuas hati dengan tahap persiapan jentera Keadilan Sarawak dalam menghadapi pilihan raya tersebut yang tempoh matangnya ialah pada Julai 2011.

"Kita berada dalam tahap siap siaga, kalau sekiranya wisel pilihan raya ditiupkan dalam tempoh terdekat ini pun, kita sudahpun bersedia untuk memasuki gelanggang.

"Kita punya keyakinan yang tinggi bahawa mesej perubahan yang kita bawa bersama dengan rakan komponen Pakatan Rakyat yang lain di negeri Sarawak kali ini boleh menangkap imaginasi rakyat yang akan mendorong kepada perubahan berlaku. Itu perkara yang kita bincangkan pada hari ini," katanya dalam sidang media ketika rangka lawatan selama dua hari di Sarawak bersama Pengarah Strategi, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Badrul Hisham Shaharin 20 Ogos lalu.


Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Tentang Penggunaan Dinar, Dirham Tapi Begitu Cepat Lulus Lesen Judi

Posted: 25 Aug 2010 01:00 AM PDT


SHAH ALAM 25 Ogos - Exco Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa membidas kejahilan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mengenai penggunaan dinar dan dirham dan menyifatkan kedangkalan ilmu beliau selari dengan pengurusan pincang pengurusan ekonomi negara di bawah Umno-Barisan Nasional

Dalam responsnya kepada langkah kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan dinar emas dan dirham perak, Dr Awang berkata tindakan tersebuthanya akan mengundang aktiviti pemalsuan serta mempertikaikan keberkesanan penggunaan dinar dan dirham dalam aktiviti perniagaan.

"Kalau Timbalan Menteri Kewangan tidak tahu bagaimana urus tadbir emas dan juga perak bagi saya itu satu tanda yang serius bakal dihadapi oleh negara ini dalam soal ekonomi pada masa yang akan datang. Persoalan yang sukar kenapa bila soal dinar dan dirham yang telah lama digunakan sejak beribu-ribu tahun tidak diiktiraf olehnya tetapi bila soal judi senang pula beliau ingin memberi kelulusan lesen untuk dijadikan halal.

"Walaupun ada pihak tertentu yang mempertikaikan penggunaan dinar serta dirham ini akan menjadi penyebab kepada pemalsuan dengan alasan emas serta perak boleh dicampur dengan bahan-bahan yang lain, bagi saya itu bukan persoalan besar untuk kita tidak meneruskan penggunaannya. Mana-mana mata wang pun ada juga yang memalsukannya seperti juga wang kertas Ringgit Malaysia kita gunakan ini wujud juga yang palsu tetapi kita mempunyai mekanisme untuk mengenal pasti yang mana betul ataupun palsu.

"Seperti penggunaan dinar serta dirham, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menyediakan satu alat untuk mengenalpasti dinar serta dirham yang palsu ataupun tidak, kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kesemuanya," jelas Husam.

Tambah beliau, dinar dan dirham mempunyai nilainya yang tersendiri di mana nilainya tidak akan berkurang seperti yang berlaku kepada mata wang didunia.

"Kuasa nilai dinar dan dirham ini melebihi nilai wang kertas yang ada, kalau kita menyimpan wang kertas dan dinar dalam jangka masa yang panjang umpama sepuluh tahun kita akan mendapati nilai dinar akan bertambah daripada nilai asal yang kita beli dulu sedangkan simpanan kita melalui wang kertas hanya bertambah sedikit dan mungkin berkurangan.

"Nilai dinar dan dirham ini meningkat mengikut masa, aset yang berharga tidak akan ada penurunan harga malah cetakan wang kertas Malaysia juga mengikut simpanan emas kita yang ada.

"Kerajaan Kelantan yakin dengan apa yang dilakukan ini boleh memberi faedah kepada Malaysia khususnya di Kelantan, kita akan sentiasa memberi penjelasan kepada rakyat agar mereka tahu menggunakan dinar ini dengan cara yang berkesan. Nilai emas bukannya ditentukan oleh kerajaan yang memerintah, kerajaan tidak boleh sesuka hati ingin menurunkan harga emas," tegas beliau lagi.

Husam berkata beliau berpuas hati sambutan menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap dinar dan dirham yang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan.

Malah kata Husam, masyarakat bukan Islam juga menunjukkan minat untuk membeli dan berurus niaga dengan menggunakan dinar dan dirham.

Selain itu Husam menyatakan Pasar Khadijah di Kota Bharu menjadi sebuah pasar yang moden kerana terdapat urus niaga dalam dua mata wang.

Bagi memudahkan peniaga dan pembeli, kerajaan negeri telah menyediakan kaunter khas bagi mereka yang ingin membuat pertukaran dinar dan dirham.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: