Rabu, 18 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Inkues Teoh: Bukan bunuh diri, ulang Pornthip

Posted: 18 Aug 2010 03:10 AM PDT

Ahli patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mula memberi keterangan di bangunan mahkamah di Shah Alam, jam 9.31 pagi bagi menyambung keterangan inkues kematian Teoh Beng Hock.
Ia merupakan sambungan kepada keterangan yang diberikannya hujung tahun lalu, yang tidak dapat diteruskannya ketika itu apabila beliau tidak hadir di Mahkamah Koroner, dikatakan berikutan terdapat ancaman terhadap keselamatan dirinya.

Pada keterangannya tahun lalu, Pornthip menyuarakan pendapat terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera, dan mahkamah kemudiannya membenarkan mayat Teoh dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 November lalu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Kehadirannya di mahkamah pagi ini disambut tepukan gemuruh oleh penyokong Teoh yang memenuhi bilik perbicaraan hari ini.

Aktivis telah berkumpul bagi menghadiri inkues ini bukan sahaja sebagai sokongan kepada Teoh dan mendengar keterangan terbaru Pornthip tetapi juga untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pejabat Peguam Negara berhubung sekeping 'nota misteri'.

Bekas ketua forensik Unit Siasatan Lokasi Jenayah, Amidon Anan, juga berada di mahkamah hari ini. Beliau hadir atas kapasiti peribadi.

Saksi pertama

Koroner Azmil Munthapa Abas memulakan prosiding dengan memanggil Pornthip sebagai saksi pertamanya.

Beliau kemudian disoal oleh peguam, Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor dengan meneliti laporannya dan beberapa gambar yang diambil pada bedah siasat kedua.

Pornthip berkata beliau mendapati pendarahan di tengkuk Teoh sehingga ke bahagian otot mangsa. Kesan berkenaan juga, katanya lebih luas daripada kesan dicekik kerana cengkaman fizikal di bahagian leher adalah lebih kuat.

Menurut Pornthip berdasarkan 34-35 kes kajiannya hasil jatuh daripada tempat tinggi sebelum ini, - tidak ada yang mempunyai kesan seumpama itu.

Katanya, dia berpendapat tidak mungkin lebam adalah kerana impak akibat jatuh.

Pornthip juga menolak kemungkinan lebam itu disebabkan keretakan tulang belakang. Beliau mempertahankan pemerhatiannya sebelum ini bahawa ia adalah kecederaan sebelum jatuh yang dilakukan dengan "tekanan dan kuasa yang lebih besar" berbanding dicekik.

Katanya, ia mungkin " seseorang meletakkan sesuatu di tengkuk Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu".

Tak sependapat dengan Dr Vaneziz

Merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.

Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.

Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

'Ini adalah protokol'

Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.

Malik (kanan) selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.

Pornthip berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penyiasat lokasi jenayah dan juga ahli sains forensik, sebarang nota yang dijumpai mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan pada kadar segera dan kemudiannya dihantar untuk ujian analisis tulisan. "Ini adalah protokol."

Bagaimanapun nota sedemikian tidak memberi kesan ke atas siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi. Justeru, katanya, beliau lebih gemar bergantung kepada sains.

Ketua pendakwa SPRM, Abdul Razak Musa memulakan sesinya dengan cuba mempersoalkan kelayakan Pornthip sebagai saksi yang mempunyai kewibawaan.

Abdul Razak mencadangkan bahawa keterangan Pornthip adalah berdasarkan imaginasinya. Pornthip menafikan perkara itu dan berkata kesimpulannya adalah berdasarkan pemerhatian dan kerjanya.

Abdul Razak berkata berdasarkan kelayakan Pornthip, ahli patologi Thailand itu tidak layak bergelar pakar di Malaysia kerana universiti di mana beliau belajar tidak diiktiraf di negara ini. Pornthip menjawab bahawa universiti tempat beliau belajar adalah satu daripada lima yang terbaik di Asia - mereka yang berada di mahkamah memberikan tepukan.

Cekik diri sendiri

Razak kemudiannya mencadangkan kepada Pornthip bahawa Teoh mencekik dirinya sendirinya. Katanya, ini kerana empat daripada doktor telah mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan Teoh dicekik.

Gobind bangkit dan mengarahkan Razak (kanan) menunjukkan bagaimana seseorang mencekik diri sendiri. Razak menyahut cabaran itu dan cuba mencekik diri sendiri sambil digelakkan daripada mereka di mahkamah itu.

"Saya cadangkan bahawa anda datang ke mari untuk serang SPRM," katanya.

Beliau memberi beberapa kesilapan yang didakwa dilakukan oleh Pornthip tetapi dinafikan oleh pakar patologi Thailand itu. Menurut Pornthip, laporan yang dikemukakannya disokong dengan bukti saintifik.

Razak: Awak kata 80 peratus pembunuhan.

Pornthip: Saya telah terangkan. Awak mesti terima...

Razak:
Apabila awak beri keterangan 80 peratus adalah kes pembunuhan, ia dilaporkan di semua media negara ini.

Pornthip berulang-kali menggesa Razak supaya membaca laporannya, tetapi ketua pendakwa SPRM itu berkata: "Saya habiskan masa tiga hari membacanya."

Orang ramai yang mengikuti perbicaraan kemudian mula berbisik yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara soalan Razak.

Razak kemudiannya bertanya sama ada objek tumpul yang dirujuk oleh Porthip pada awal inkues pagi ini merujuk kepada kerusi atau benda lain.

Pornthip: Saya ingin tanya sama ada awak seorang peguam?

Razak: Mungkin, saya lebih muda daripada awak tetapi saya telah berkhidmat sebagai peguam untuk 24 tahun.

Ini disambut dengan cemuhan 'wah' daripada mereka yang hadir.

Pengalaman terjun bangunan

Razak kemudian mengajukan soalan kepada Pornthip, bagaimana Teoh boleh mati pada tingkat 14 (lokasi pejabat SPRM Selangor yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam) tetapi masih bernyawa apabila sampai di bawah.

Soalan Razak semakin bercelaru dan menyebabakan koroner terketawa kecil. Azmil kemudian menjelaskan kepada Razak apa yang Pornthip maksudkan ialah Teoh berkemungkinan sedar semasa jatuh dan belum mati.

Razak: Dari Tingkat 14, 99 kaki dari atas tanah - dia tidak sedarkan diri, jadi badannya semestinya lebih berat.

Pornthip: Tiada perbezaan. Secara saintifik, bagaimana boleh berlaku kehilangan berat berdasarkan tahap kesedaran?

Razak juga bertanya kepada Pornthip sama ada dia mempunyai pengalaman terjun dari bangunan. Ini kerana ahli patologi itu dalam keterangannya berkata mayat yang dijumpai itu didapati lebih jauh daripada bangunan berkenaan berbanding kes lazim membunuh diri dengan melompat.

Satu lawan empat

Malik bangkit dan berkata Razak cuba 'memasukkan perkatan' dalam mulut Pornthip. "Cara dia mengajukan soalan seolah-olah mahu kami sendiri terjun!"

Razak kemudiannya mengulangi soalan kepada Pornthip bahawa pendapatnya adalah berlainan dengan empat orang doktor yang hadir pada bedah siasat kedua.

Razak: Satu lawan empat...

Pornthip:
Awak perlu hormat hakim (koroner) yang akan membuat keputusan.

Razak:
Kita bekerja berdasarkan majoriti.

Selepas Razak, giliran kerajaan yang dilantik oleh kerajaan Tan Hock Chuan memulakan soalannya.

Menjawap soalan Tan, Pornthip memaklumkan beliau tidak sependapat dengan keterangan Dr Shahidan bahawa kecederaan pada tengkuk Teoh adalah konsisten dengan kejatuhan.

Mahkamah koroner selesai menyoal-balas Porntip sebagai saksi pada jam 12.25 tengah hari.

Koroner Azmil Munthapa kemudiannya mengumumkan perbicaraan ditangguhkan sehingga 1 September ini.


Sumber: Malaysiakini

Projek perindustrian di S'gor tertinggi di M'sia

Posted: 18 Aug 2010 03:09 AM PDT

Selangor mencatatkan pelaburan perindustrian dan jumlah projek perindustrian yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pelaburan yang diperolehi dalam tempoh tersebut membabitkan 120 projek, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok.

Katanya, ia berdasarkan statistik terkini Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Statistik MIDA tersebut, katanya, menunjukkan Selangor telah mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM2.47 bilion bagi tempoh tersebut - jumlah projek perindustrian yang tertinggi.

Sebanyak 120 projek telah diluluskan di Selangor dan angka tersebut merupakan 36 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

Di belakang Selangor ialah Johor dengan 65 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 44 projek, kata Teresa dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada 120 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 68 adalah projek baru manakala baki 52 merupakan projek yang diperkembangkan.

Di samping itu, Selangor juga telah mencatatkan jumlah peluang pekerjaan yang tertinggi dengan 7,602 pekerjaan.

Menurut Teresa, RM942 juta atau 38 peratus daripada pelaburan di Selangor adalah terdiri daripada pelaburan asing.

Manakala RM 1.52 bilion atau 62 peratus adalah pelaburan tempatan.

"Ini menunjukkan pelaburan tempatan amatlah penting bagi kerajaan negeri Selangor. Pelabur tempatan masih kekal melabur di Selangor di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat," tambahnya.

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun membuat pelaburan tertinggi sebanyak RM366 juta, diikuti Singapura (RM 121 juta) dan Jerman (RM116 juta).

"Bilangan projek perindustrian yang tinggi di Selangor itu menunjukkan ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur asing dan tempatan," katanya.

Sumber: Malaysiakini

Utusan Berhadapan Saman Malu RM50 Juta Dari Anwar

Posted: 18 Aug 2010 01:19 AM PDT


PETALING JAYA 18 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan surat tuntutan kepada akhbar Utusan Malaysia berhubung laporan yang dianggap berniat jahat yang mendakwa beliau membayar agensi berita luar negara, Cable News Network (CNN) untuk liputan berita.

Peguam Latheefa Koya berkata surat tuntutan itu diserahkan oleh Tetuan Edwin, Lim & Suren yang bertindak bagi pihak Anwar.

"Kita meminta pihak Utusan dengan segera menarik balik dan meminta maaf kepada Anwar. Permohonan maaf itu harus dipaparkan sebesar artikel yang disiarkan itu dan berjanji tidak akan mengeluarkan apa-apa artikel seperti itu lagi.

"Sekiranya pihak defendan gagal berbuat demikian dalam masa 7 hari yang diserahkan hari ini, pihak peguam akan membawa kes ini ke mahkamah untuk saman fitnah RM50 juta," ujar Latheefa yang juga Ketua Penerangan KEADILAN.

Menurut Latheefa, jumlah tersebut adalah munasabah memandangkan fitnah tersebut mempunyai impak global terhadap imej dan maruah Ketua Umum KEADILAN.

Pada 10 Julai lalu Utusan menyiarkan artikel bertajuk "Anwar Didakwa Bayar CNN" yang menjadi asas kepada tindakan undang-undang yang diambil Anwar terhadap akhbar tersebut.


Sumber: Suara Keadilan

Kain Rentang Provokotif Cuba Naikkan Kemarahan Melayu Tetapi Gagal

Posted: 18 Aug 2010 01:18 AM PDT


PETALING JAYA 18 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan tindakan menggunakan isu kain rentang provokatif yang dilakukan oleh pihak tertentu bagi mengheret institusi diraja ke kancah politik kepartian sebagai muslihat dan niat buruk dengan tujuan menimbulkan kemarahan rakyat Johor, terutamanya di kawasan majoriti Melayu di luar bandar.

"Sudah tentu perkara ini tidak menguntungkan KEADILAN atau pun Pakatan Rakyat. Ia sengaja dihantar ke kawasan majoriti orang Melayu, seolah-olah kita memperkenalkan Datuk Chua Jui sebagai Menteri Besar Johor. Ini tidak benar. Apa yang diputuskan oleh parti adalah beliau dilantik untuk membina kekuatan bagi KEADILAN dan Pakatan Rakyat di negeri Johor.

"Tidak pernah menjadi amalan kita dalam KEADILAN mahupun Pakatan Rakyat (untuk melakukan perkara tersebut). Apatah lagi apabila ia melibatkan nama baik Tuanku Sultan Johor. Jadi kita minta pihak polis siasat dengan segera dan teliti," kata Anwar.

Beliau menjelaskan demikian selepas ditemui oleh dua orang pegawai polis dari ibu pejabat polis daerah Batu Pahat yang mengunjunginya di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana pagi tadi untuk mengambil keterangannya.

Keterangan tersebut yang dibuat di bawah Seksyen 112 kanun Prosedur Jenayah adalah bagi membantu siasatan berhubung penggunaan imej Sultan Johor pada kain rentang yang kononnya digunakan oleh penganjur bagi satu program ceramah yang di Batu Pahat, Johor bulan lalu.

DSP Che Mahazan Che Aik dan pegawai penyiasat ASP Aziz Abdullah tiba kira-kira pada jam 11.45 pagi dan bersama Anwar serta Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng, peguam Willian Leong, Latheefa Koya selama hampir satu jam.

Jui Meng berkata tindakan pihak yang cuba mengaitkan KEADILAN adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk menyebabkan Sultan Johor murka kepada parti.

"Kita dan para penyokong KEADILAN tidak sebegitu bodoh untuk katakan, yang saya dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini adalah satu muslihat yang gagal. Sebagai seorang peguam yang terlatih dalam bidang undang-undang, saya tahu bahawa orang Cina seperti saya tidak boleh menjadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal dan tak logik langsung.

"Matlamat mereka telah gagal, kerana tidak ramai orang yang percaya dengan apa yang ditulis di atas kain rentang itu. Tiada siapa yang untung daripada perbuatan mereka ini. Jadi kami minta pegawai polis siasat dengan segera kejadian ini, dan tangkap mereka yang terlibat dengan komplot ini," kata Jui Meng.

Pada 31 Julai lalu, Anwar dijadualkan untuk berucap di program ceramah di Markaz PAS Kampung Sungai Tongkang, Batu Pahat selepas menghadiri majlis makan malam dan perasmian Pakatan Rakyat Batu Pahat di Restoran Grand Sea View, di Jalan Tanjung Labuh.

Namun, pihak penganjur terpaksa membatalkan ceramah tersebut selepas diserbu oleh pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Tujuh orang termasuk peniaga ditahan di Balai Polis Rengit tetapi mereka dibebaskan dengan jaminan polis keesokan paginya.

Sumber: Suara Keadilan

Umno Parti Tenat Terdesak Guna Isu Perkauman

Posted: 18 Aug 2010 01:18 AM PDT


SHAH ALAM 18 Ogos - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa terdapat pihak tertentu cuba mewujudkan perlembagaan baru hanyalah percubaan terakhir Umno yang kini sudah tenat untuk meraih sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

Anwar mengulas perkara tersebut ketika ditanya wartawan mengenai satu artikel di dalam Utusan Malaysia hari ini memetik kenyataan Harussani dan menimbulkan kemungkinan 'perang besar' sekiranya kerajaan gagal menangani konflik kaum.

"Kita berhadapan dengan satu parti yang sudah tenat dan tahu kehilangan dukungan dan pengaruh orang Melayu dan rakyat.

"Umno yang sekarang ini kehilangan pengaruh untuk memerintah negara, mereka mula dilihat memainkan sentimen tersebut.

"Kalau benar ada orang yang mahu buat perlembagaan baru, kita minta perkara itu disiasat kerana ia bertentangan dengan pendirian rakyat negara ini.

"Ini cara ugut, menakutkan orang supaya kes kezaliman, rasuah itu ditutup. Saya tidak percaya ketegangan ini parah melainkan ia sengaja dimainkan oleh orang-orang berkepentingan," tegas beliau pada sidang akhbar di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana tengahari tadi.

Semasa menjadi panel Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya di Ipoh Isnin lalu, Harussani mendakwa pihak tertentu mahu menggantikan Perlembagaan Persekutuan dengan perlembagaan baru yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Tambah Anwar, seperti juga dalam isu berhubung isu kain rentang provokatif yang menghina Sultan Johor dan cuba dikaitkan dengan KEADILAN, beliau meminta pihak polis melakukan siasatan telus dan professional.

Katanya, sekiranya ada pihak tertentu cuba menghilangkan semua peruntukan orang Melayu-Islam atau hak Raja-Raja Melayu, beliau menggesa supaya pihak polis supaya menyiasat dakwaan tersebut.

"Kalau Pakatan Rakyat, kita ketiga-tiga parti sudah pun tandatangan. Saya, Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang dan Lim Kit Siang mengesahkan peruntukan yang ada dalam Perlembagaan dengan pendekatan baru untuk rakyat Malaysia lebih yakin,' jelas beliau.


Sumber: Suara Keadilan

Rakyat Selangor Bakal Nikmati Wi-Fi Percuma

Posted: 18 Aug 2010 01:17 AM PDT


PETALING JAYA 18 Ogos - Rakyat negeri Selangor bakal menikmati perkhidmatan akses internet wireless (W-Fi) percuma dalam masa terdekat yang merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan Pakatan Rakyat merakyatkan informasi dan akses kepada maklumat serta mewujudkan rakyat celik IT.

Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman akan dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khlaid Ibrahim tidak lama lagi dengan hanya membabitkan kos minima meliputi seluruh negeri sebanyak RM10 juta.

"Kita di Pakatan Rakyat berbincang mengenai wi-fi percuma yang sebenarnya tidak mahal. Kita pertikai kos yang ditetapkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang kita anggap terlalu tinggi.

"Saya kini sedang peneliti perancangan untuk menyediakan wi-fi secara percuma di Selangor yang yang kita anggap cukup rendah. Di Selangor yang kita kaji ia hanya melibatkan kos RM10 juta.

"Kalau ia hanya membabitkan RM10 juta di satu negeri, maka menjadi perkara yang tidak sukar untuk kerajaan (pusat) baru Pakatan Rakyat untuk laksanakan (diseluruh negara)," kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana tengahari tadi setelah memberikan keterangan kepada pegawai polis daripada ibu pejabat polis daerah Batu Pahat berhubung isu kain rentang provokatif.

Anwar juga berkata isu yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap warga emas di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan pusat juga tudak menjadi masalah besar.

"Isu ini juga tidak jadi masalah sekiranya wang negara tidak dicuri, rasuah dapat dibanteras, ketirisan tidak digunakan untuk memperkayakan segelintir kecil termasuk atas nama Melayu," jelas Anwar.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: