Selasa, 17 Ogos 2010

AMK KLGT

AMK KLGT


MURAHNYA UMNO DI SELANGOR.......

Posted: 17 Aug 2010 10:29 AM PDT

Roslan SMS

Isu Umno mahu mempolitikkan masjid di bulan Ramadhan ini terus hangat. Siang tadi saya menerima panggilan bertalu-talu dari berbagai pihak menyatakan bantahan terhadap cadangan Umno Selangor untuk mengadakan majlis berbuka bersama PM (yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor) di Masjid Nurul Ehsan, Kg Medan, Petaling Jaya.

Malah petang tadi saya telah menemani Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Hasan Ali bersama Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Sdr Khairuddin Othman bertemu dengan Dato' Menteri
Besar di rumah beliau bagi melahirkan kebimbangan PAS Selangor terhadap apa yang berlaku.

Sedang kami berada di rumah MB berbagai pihak bertandang ke masjid berkenaan termasuklah kontraktor yang mahu memasang khemah tetapi dihalang oleh pihak pimpinan masjid. Pimpinan Umno Selangor turut berada di masjid kononnya untuk berunding.

Tanpa segan-silu mereka mengguna dan menjual berbagai nama untuk melanggar masuk mengguna masjid, termasuklah nama MB, EXCO Agama malah nama istana pun turut dibabitkan.

Mujurlah pihak pimpinan masjid menghadapi isu ini dengan tenang dan membenarkan kami dan MB merundingkan suatu penyelesaian terbaik demi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Hakikatnya Umno Selangor mahu guna masjid. Surat permohonan atas nama parti itu diserahkan kepada Nazir masjid. Pihak masjid keranan menjunjung titah Tuanku Sultan telah menolak permohonan itu kerana masjid tidak boleh digunakan bagi tujuan politik. Itu bukan arahan MB atau EXCO Agama, itu perintah Tuanku sendiri. Jangankan Umno, PAS dan PKR pun tidak pernah membuat sebarang permohonan begitu untuk guna masjid di Selangor ini!

Saya masih ingat semasa Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam tahun lalu, Pengarah JAIS mentah-mentah menolak permohonan bagi membenarkan YAB Mursyidul Am dan YB Presiden PAS berkhutbah dimana-mana masjid di Selangor. Lalu apa istimewanya Umno yang merupakan parti pembangkang di Selangor ini?

Kalau pusat-pusat, kemudahan dan bangunan milik kerajaan Persekutuan, pimpinan kerajaan negeri diharamkan menjejak kaki, apa pula istimewa Umno di pusat-pusat, kemudahan dan bangunan milik negeri.

Saya difahamkan apabila ditolak oleh Nazir, maka Umno Selangor mengguna apa sahaja talian hayat yang tinggal pada mereka, walaupun tanpa mengiku peraturan untuk memastikan agenda mereka itu dapat diteruskan juga. Surat Umno ditukar dengan surat dari Pejabat PM dan kali ini diserah terus kepada JAIS.

Apakah mereka ini sudah hilang pertimbangan sehingga menjadi jahil dan buta peraturan. Mengapa dari awal tidak buat permohonan rasmi?

Jika PM mahu turun sepatuntnya Pejabat PM menghubungi Pejabat MB, tidakkah itu sopan dan mengikut saluran namanya? Kenapa perlu digunakan surat berkepala Umno, ditandatangani oleh SU Kerja Umno Negeri dialamatkan kepada Nazir.........beginikah cara Umno mengurus diri mereka?

Akhirnya setelah berunding, kata putusnya pihak negeri memberikan laluan tetapi bersyarat. Antaranya tiada sepanduk dan bendera Umno dibenar dikibarkan, tiada ucapan politik, semua pimpinan setempat termasuklah ahli parlimen, ADUN, ahli majlis dan lain-lain mesti diundang dan paling penting sekali majlis itu nanti mesti dianjurkan oleh pihak JAIS dan bukan parti politik.

Saya mendengar sendiri arahan yang diberi oleh Dato MB kepada Dato Setiausaha Kerajaan Negeri melalui telefon. Kemudiannya Dato Hasan menghubungi Nazor masjid memberikan arahan yang sama, kata Dato Hasan yang dibenar memberi ucapan adalah Nazir dan PM.

Malah apabila saya bertanya kepada Dato MB, bagaimana jika Noh Omar berucap, bagaimana jika Ezam Md Nor berucap? Kata Tan Sri mereka tiada tauliah, tidak boleh, jika bercakap juga kita tangkap!

Walaupun berat kita terima keputusan negeri, tetapi kita wajib memastikan yang pihak pemohon mematuhi semua peraturan yang disebutkan di atas. Kepada ahli kariah Masjid Nurul Ehsan, raikanlah mereka tetapi berwaspada jika ada pihak-pihak lain selain yang dibenarkan itu berucap,ambil tindakan./Harakahdaily

Menyanggah Josh Treviño Berhubung Perbicaraan Anwar Ibrahim

Posted: 17 Aug 2010 10:27 AM PDT


Huffington Post

Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dibicarakan atas tuduhan liwat. Pada asasnya, dunia politik Barat meragui perbicaraan ini dan mempercayai ia bermotifkan politik untuk menamatkan karier politik ketua pembangkang yang dipopular itu daripada arena politik sebelum beliau dapat mengambil tampuk kuasa.

Hanya 11 peratus rakyat Malaysia mempercayai pertuduhan itu, manakala 88 peratus lagi yakin ini merupakan konspirasi politik.

Pakar perhubungan awam, Joshua Trevino menumpukan serangannya terhadap Anwar kebelakangan ini, dengan menulis beberapa artikel beberapa bulan lalu mengkritik serta mempersoalkan kredibilitinya di media Barat.

Dalam penulisan terbarunya, Trevino tidak menyatakan secara langsung bahawa perbicaraan ini betul, tetapi beliau mengutarakan beberapa sebab mengapa kita perlu mempertikaikan andaian lumrah bahawa perbicaraan ini bermotifkan politik untuk mencantas Anwar. Malangnya sebab yang diberi lemah. Mari kita lihat satu persatu sebab yang beliau nyatakan.

Dalam artikelnya, Trevino berhujah populariti Anwar di Barat adalah disebabkan badan politik Barat terkeliru dengan gambaran bahawa Anwar berkongsi banyak nilai politik Barat.

Tetapi pada hakikatnya, Anwar popular di kalangan dunia Barat kerana beliau sentiasa menganjurkan nilai demokrasi, kebertanggungjawapan, akauntibiliti dan dialog peradaban.

Bandingkan dengan Perdana Menteri sekarang atau mana-mana mantan Perdana Menteri, terlalu sedikit yang diperkatakan mereka mengenai perkara ini dan lakukan untuk mereformasi sistem yang dibebani dengan amalam rasuah berleluasa.

Apatah lagi sekiranya Trevino benar-benar yakin Anwar tidak mendokong nilai-nilai tersebut sudah tentu beliau akan nyatakan dalam penulisannya.

Hakikat bahawa Trevino tidak mengambil peluang tersebut menunjukkan bahawa Trevino sedar jika dibandingkan dengan pemimpin lalu, Anwar sememangnya berkongsi banyak nilai-nilai politik Barat.

Jika kita meneliti aspek spesifik perbicaraan ini, akan jelas keraguan terhadap hujah Trevino.

Pertama, Trevino mendakwa media Barat tidak memandang serius tuduhan substantif terhadap Anwar.

Dia dituduh meliwat - satu jenayah di Malaysia - Mohd Saiful Bukhari Azlan, seorang pembantu politik yang muda.

Memang benar media Barat tidak mengambil serius tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar dan ada tiga sebab kukuh bagi menjelaskan sikap ini.

Pertama, telah terbukti kerajaan Malaysia membuta tuduhan liwat palsu terhadap Anwar satu ketika dahulu. Pada tahun 2000, setelah berselisih faham dengan Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad, beliau telah menghina Anwar dengan tuduhan homoseksual, dibicarakan dan kemudian dihukum penjara 15 tahun - satu hukuman di bawah undang-undang Malaysia yang bermakna Anwar tidak boleh aktif dalam politik selama lima tahun setelah tamat tempoh hukuman.

Tidak lama kemudian, pihak pendakwa telah menarik balik dakwaan mereka dengan alasan mereka telah dipaksa untuk berbuat demikian. Amnesty International dan Human Rights Watch mempersoalkan sama ada Anwar telah mendapat perbicaraan yang adil. Seperti diduga, setahun setelah Mahathir bersara, mahkamah tertinggi Malaysia telah menyemak semula hukuman atas alasan wujud percanggahan dalam kes pendakwaan.

Trevino sendiri mengakui pertuduhan pertama memang satu komplot politik kerajaan untuk menyingkir Anwar. Beliau juga mengakui kebanyakan media Barat tidak mengambil serius pertuduhan kali ini adalah disebabkan oleh keadaan perbicaraan pertama.

Nampak gaya begitu juga kali ini kerana setelah Anwar muncul kembali dalam arena politik sebagai Ketua Pembangkang dan berpotensi menjadi Perdana Menteri, beliau dilemparkan dengan tuduhan liwat sekali lagi.

Sebab kedua media Barat tidak mengambil serius pertuduhan ini ialah kerana kekurangan bukti. Buat masa ini yang ada hanyalah tuduhan Saiful terhadap Anwar. Bukan sahaja tidak ada bukti kukuh, terdapat pula laporan perubatan yang menyanggah dakwaan pengadu.

Sebab ketiga ialah perbicaraan ini diadakan dengan penuh kerahsiaan tanpa sebab yang boleh diterima.

Setelah enam bulan berjalan perbicaraan, pasukan pembelaan masih dinafikan dokumen berkaitan, laporan forensik, dan rakaman CCTV yang kini berada di dalam tangan pihak pendakwaraya. Kita perlu bertanya, jika kerajaan cukup yakin dengan kes ini, sudah tentu ia mahukan perbicaraan seminima mungkin pengawasan.

Satu lagi sebab untuk mengatakan kes ini bermotifkan politik ialah pihak pendakwa raya sehingga kini tidak mampu menjuruskan apa kesalahan yang dilakukan oleh Anwar. Trevino berkata walaupun Anwar dibicarakan kerana melanggar undang-undang yang mengharamkan perbuatan liwat, namun sudah mencukupi pihak pendakwaaan melihatnya sebagai serangan seksual.

Trevino tidak menjelaskan mengapa Anwar tidak dibicarakan ke atas jenayah utama beliau didakwa.

Beliau tidak menerangkan, jika benar dakwaan perlakuan tersebut dibuat secara paksa, mengapa laporan perubatan yang dibuat 48 jam selepas kejadian berlaku tidak ada langsung kesan serangan seksual. Beliau tidak menerangkan, sekiranya dipaksa, bagaimana Anwar yang masih menanggung kecederaan semasa didalam tahanan dapat memaksa dirinya ke atas seorang lelaki berusia 23 tahun.

Trevino juga tidak menerangkan mengapa dalam pertuduhan liwat secara rela, kedua-dua individu terlibat tidak dibicarakan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang Malaysia. Dalam apa jua usaha untuk mempertahankan proses kehakiman, kegagalan menimbangkan faktor ini adalah kecuaian yang serius.

Trevinno berhujah kita tidak boleh beranggapan perbicaraan ini bermotifkan politik kerana kita tidak lagi berada dalam era Mahathir (beliau mengakui faktor ketiadaan Mahathir tidak membuktikan perbicaraan Anwar kali ini sah).

Bagaimanapun melihat kepada kaedah bagaimana perbicaraan dijalankan, kita terfikir sama ada semangat era Mahathir kekal selepas persaraannya.

Isu sebenar bukanlah mengenai Mahathir - ia adalah mengenai sistem secara keseluruhannya. Mahathir mungkin sudah berundur tetapi partinya, Umno masih berkuasa dan sistem ini tidak berubah di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak. Umno hanya memikirkan kelangsungan parti, dan Anwar dilihat sebagai ancaman terbesar kepada kewujudan mereka.

Oleh kerana itu, tidak ada satu pun reformasi demokrasi yang diperlukan Malaysia telah dilakukan oleh Umno. Badan kehakiman kekal tercemar, media terus dikekang (tiga akhbar parti pembangkang digantung, satu kemudiannya diperbaharui permit dengan syarat ketat). Pihak pembangkang secara keseluruhan menghadapi tekanan termasuk ancaman ISA.

Perbicaraan kali ini hanya satu representasi kesemua gambaran di atas.

Akhir sekali, Trevino berhujah jika kerajaan Malaysia mahu menyingkirkan Anwar seperti didakwa, mereka tidak akan bertindak seperti ini, kerana Anwar kini lebih popular daripada dahulu dan mereka tidak mahu perhatian umum tertumpu kepada Anwar. Trevino secara jelas mengambarkan kerajaan lebih suka jika Anwar tiada dalam arena politik negara.

Telahan Trevino tepat sekali. Sebagai Ketua Pembangkang yang popular dan ancaman utama kepada kekuasaan mereka, kerajaan pada hakikatnya mahu Anwar lenyap. Nampaknya mungkin mereka telah mendapat satu cara, memenjarakan beliau atas tuduhan liwat. Sama seperti dahulu.


Azeem Ibrahim ialah seorang penyelidik dari Kennedy School of Government, Universiti Harvard, dan juga ahli lembaga pengarah Institut Dasar Sosial dan Pemahaman, serta Ketua Pegawai Eksekutif Ibrahim Assosiates.


RPK Kini Dakwa Peguam Negara Ada Hubungan Sulit Dengan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa

Posted: 17 Aug 2010 10:26 AM PDT

SHAH ALAM 17 Ogos - Tidak cukup dengan pendedahan mengenai hubungan pengadu dan saksi utama perbicaraan Fitnah II, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dan hubungan sulit Saiful dengan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Prof Datuk Khairil Annas Jusoh, kini penulis blog terkenal, Raja Petra Kamaruddin melontarkan 'bom' yang bakal menggegarkan badan kehakiman negara - dakwaan hubungan sulit antara Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dengan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Datuk Azailiza Mohd Ahad.

Dalam kolumnya 'No Holds Barred' Raja Petra atau RPK menulis dalam artikel berjudul 'Okay, What About This Affair Then?' bertarikh 16 Ogos, hubungan sulit antara Abdul Gani dan Azailiza adalah 'rahsia terbuka' dikalangan kakitangan Jabatan Peguam Negara.

"Ya, semua orang tahu mengenai hubungan suklit ini. Ia bukan rahsia. Peguam Negara dan Azailiza selalu ke luar negara bersama, dan untuk menjimatkan wang pembayar cukai, mereka memilih untuk berkongsi bilik daripada menyewa bilik berasingan.

"Nampak gayanya banyak sangat skandal seks di Istana Keadilan. Apatah lagi Ketua Hakim Negara mengahwini isteri kedua di Thailand secara tidak sah dan kemudiannya menghapuskan bukti bagi mengelak pendakwaan, seperti juga kawan kita Ahli Parlimen dari Sabah. Terfikir kita sama ada mereka mempunyai cukup masa untuk menyediakan kes di mahkamah," kata RPK secara sinis.

RPK mengaitkan pendedahan beliau terhadap Abdul Gani dengan dakwaan skandal antara Saiful dan Farah.

"Kenapa Peguam Negara tidak mahu mengesah atau menafikan dakwaan bahawa salah seorang anggota pasukan pendakwaan mengadakan hubungan dengan saksi utama? Alangkah mudah sekiranya beliau terus menafikannya dan selesai semua masalah?

"Beliau (Abdul Gani) toidak mahu mengambil risiko ke atas dirinya kerana pertamanya beliau tahu sekiranya beliau menafikan lebih banyak keburukan akan terdedah. Lebih-lebih lagi beliau risau saya akan mendedahkan satu lagi hubungan sulit iaitu antara beliau dengan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Datuk Azailiza Mohd Ahad," kata RPK dalam artikelnya.

RPK mendakwa mahkamah pada hakikatnya mengakui hubungan romantis Saiful-Farah kerana ia tidak berminat samada perkara itu berlaku atau tidak.Mahkamah hanya mahu menentukan sama ada hubungan itu akan menjejaskan kes yang sedang dibicarakan.

"Dalam erti kata lain, adalah berlaku 'pillow talk' semasa hubungan diadakan? Dan mahkamah pun sudah yakin tidak ada 'pillow talk' hanya hubungan intim sahaja. Jadi tidak ada salah pendakwaan dan maka itu pertuduhan terhadap Anwar tidak harus digugurkan," kata RPK membuat kesimpulan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan pasukan pembelaan membuang kes.

Tiada ulasan: