Jumaat, 30 Julai 2010

N37 Batu Maung

N37 Batu Maung


Serahkan Politik Kepada Ahli Politik, Kakitangan Awam Digesa Bersikap Profesional

Posted: 29 Jul 2010 12:12 PM PDT

KUALA LUMPUR 30 Julai - Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim menggesa Ketua-Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri menasihati kakitangan awam yang berkhidmat di negeri Pakatan Rakyat supaya menjalankan tugas secara profesional tanpa perlu melibatkan diri dalam aktiviti politik yang menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketika berucap dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 di Dewan Negara Selasa lalu Tunku Aziz berkata, kakitangan kerajaan Pusat yang berkhidmat di negeri Pakatan Rakyat kini menghadapi dilemma samada berkhidmat untuk kerajaan negeri atau mendengar arahan kerajaan Pusat.

"Terma kakitangan kerajaan di dalam Bahasa Inggeris ialah 'civil servant' yang sekiranya kita terjemahkannya menjadi 'orang gaji kepada masyarakat sivil'. Jadi, peranan kakitangan awam ini ialah untuk memberi khidmat terbaik kepada majikan mereka iaitu kerajaan negeri yang berkuasa – tidak kira sama ada mereka ini daripada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Ucapan beliau ditujukan kepada isu pertikaian di antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pegawai kemajuan negeri, Nik Ali Mat Yunus yang didakwa cuba mensabotaj pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut Tunku Abdul Aziz lagi, kakitangan kerajaan perlu mengetahui keutamaan mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan tidak membuat keputusan untuk melengah-lengahkan arahan kerajaan negeri dengan alasan birokrasi.

Tegasnya, sekiranya keadaan itu berterusan, pentadbiran kerajaan negeri akan terjejas dan memberikan kesan buruk kepada rakyat.

"Dengan ini saya ingin mencadangkan kepada Ketua-ketua Setiausaha Kerajaan untuk menasihatkan kakitangan mereka supaya tidak bersikap seperti apa yang saya nyatakan.

"Terapkan sikap telus, bertanggungjawab yang harus ada pada seorang kakitangan kerajaan awam yang berkhidmat untuk rakyat bukan memuaskan nafsu ahli-ahli politik yang tidak mempunyai kuasa sah di dalam kerajaan," jelas Naib Presiden DAP itu.

Tunku Abdul Aziz turut menyentuh mengenai perkhidmatan klinik 1Malaysia yang tidak mempunyai perkhidmatan doktor dan kemudahan perubatan yang mencukupi.

Beliau juga mengulas mengenai dasar baru Kementerian Pelancongan memperkenalkan Visa Ketibaan (VOA) yang mengundang banyak masalah keselamatan.

"Pelaksanaan dasar ini kononnya untuk menggalakkan pelancongan di negara ini. Atas dasar ini, ratus ribuan warganegara India telah didapati 'hilang' di dalam rekod imigresen kita. Sekarang ini pun, kita sudah mempunyai banyak kes yang melibatkan pendatang tanpa izin dan kini kita dibebani dengan masalah hasil daripada VOA.

"Sekiranya kita mahu mengesani mereka yang masuk ke negara ini melalui VOA, kos yang terlibat berkali-kali ganda. Pihak yang terlibat akan mengalami kesukaran terutama sekali pihak imigresen dan polis," tegasnya.

Tiada ulasan: