Rabu, 14 Julai 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Pembangkang Diikat Tangan, Kaki Dan Mulut Ditutup,Manakala BN Terus Memukul

Posted: 14 Jul 2010 06:41 PM PDT

Dari Harakah Daily
Oleh Mohd Sabri Said

Suasana sekarang bolehlah diibaratkan pembangkang diikat tangan dan kaki serta mulut ditutup sedangkan Barisan Nasional (BN) dan Umno melakukan tumbukan bertubu-tubi ke perut, kata Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man (gambar).

Baginya, situasi itu menggambarkan Umno dan BN bacul kerana tidak berani berhadapan dengan pembangkang yang tidak menyambung permit penerbitan akhbar milik PAS, PKR dan DAP.

“Adakah patut pembangkang diikat tangan, kaki dan mulut ditutup, Umno dan BN pula melakukan tumbukan bertubi-tubi. Cara ini penakut dan dayus, bukan cara berani beradu tenaga di medan demokrasi,” ujarnya ketika dihubungi.

Kata beliau, Umno dan BN sepatutnya tidak gusar berhadapan dengan pembangkang yang bergabung atas nama Pakatan Rakyat melalui media atau penerbitan mereka tetapi harus bertemu bagi menentukan siapa yang kuat dan diterima rakyat.

Katanya, kaedah yang dilaksanakan BN itu sebenarnya boleh menimbulkan kemarahan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti kerana menghalang rakyat daripada menerima maklumat yang jelas dan benar.

“Rakyat sekarang sudah matang berpolitik, mereka tidak mahu lagi dikongkong untuk mendapatkan maklumat sebenar. Justeru itu, BN harus sedar dan membenarkan kembali ketiga-tiga suara pembangkang beroperasi kembali,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir.

Bagi beliau, BN tergugat sekarang ini sehingga sanggup mengambil sikap menyekat kebebasan media yang sedang mendapat perhatian rakyat yang cintakan kebenaran.

"Tidak mustahil Kerajaan BN akan menghalang kegiatan ceramah pembangkang sebab media pembangkang bergantung pada ceramah yang disampaikan oleh pemidato hebat berbanding BN dan Umno yang hanya berkokok dari jauh," ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Suara Keadilan (milik PKR), Harakah (PAS) dan Roket (DAP) diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan masih tidak diberikan permit.

Sehubungan itu, pimpinan Pakatan Rakyat semalam memutuskan untuk menangguhkan sementara penerbitan akhbar berkenaan bagi mendapatkan penjelasan daripada menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien.

Fitnah Jahat Kerana Pimpinan UMNO-BN Terdesak

Posted: 14 Jul 2010 04:25 AM PDT

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
14 Julai 2010, Parlimen Malaysia

Pimpinan Umno, melalui lidah rasminya Utusan Malaysia telah memintal fitnah jahat demi menggambarkan saya sebagai seorang yang terdesak dan sanggup menjadi talibarut CIA. Laporan akhbar bertarikh 11hb Julai 2010 telah memuatkan laporan yang bertajuk "Penulis Blog AS Dedah Anwar Alat CIA" dan juga memintal pembohongan kononnya saya membuat bayaran kepada Cable News Network(CNN) untuk muncul di ruangan Connect The World. Dengan hanya berasaskan tulisan blog Elaine Supkis (kononnya blog terkenal) dan kenyataan seseorang yang bernama Joshua Trevino, Utusan Malaysia milik Umno, tanpa berpandukan etika kewartawanan memulakan satu kempen yang berakarkan kebencian.

Walaubagaimanapun pada 13hb Julai 2010, Cable News Network (CNN) telah menafikan bahawa saya membuat sebarang bayaran kepada organisasi media tersebut untuk muncul di ruangan Connect The World. Penafian ini sekaligus membuktikan tuduhan yang dilemparkan pimpinan Umno-Bn terhadap saya melalui akhbar Utusan Malaysia merupakan satu fitnah yang jahat dan dangkal. Malahan organisasi CNN yang berpengkalan di Hong Kong berpandangan adalah janggal mengapa tiada usaha dari pihak Utusan untuk mendapatkan kepastian dari pihak mereka. Tindakan Utusan merupakan satu kecurangan yang nyata dari amalan kewartawanan yang bermaruah dan bebas.

Kita sedar fitnah ini direkayasa khusus untuk merosakkan reputasi saya sebagai Ketua Pembangkang serta bercita-cita menggugat keutuhan muafakat Pakatan Rakyat. Pastinya cita-cita jahat mereka hanya akan tinggal sebagai satu angan-angan kosong semata. Serangan fitnah bertali arus yang ditujukan kepada saya ini bukanlah suatu yang baru. Sebelum ini saya telah dituduh sebagai agen Cina, agen India, agen Kadazan, agen Iban dan kini, mengulangi skrip lama yang usianya menjangkau satu dekad, pembohongan kononnya saya tali barut CIA kembali didendangkan.

Ternyata ianya tidak mengejutkan. Apa yang mengejutkan ialah kegagalan pimpinan Umno-Bn untuk menyedari bahawa rakyat sudahpun mual dengan fitnah sebegini. Apatah lagi sepanjang pentadbiran Dato' Sri Najib, rakyat disajikan dengan khabar yang muluk muluk kononnya Umno-Bn berhasrat mahu melaksanakan perubahan. Namun semua itu tidak mungkin berlaku di bawah pemerintahan Umno-Bn. Setiap kali pimpinan Umno-Bn terdesak mereka akan menggunakan taktik kekerasan seperti melumpuhkan kebebasan media serta memintal fitnah jahat terhadap lawan yang berupaya menewaskan mereka. Kita memberi amaran kepada pimpinan Umno-Bn untuk bersedia dihukum pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Rakyat akan membuat pilihan tepat demi memilih permuafakatan Pakatan Rakyat untuk memimpin Perubahan.

ANWAR IBRAHIM

MB Selangor: TPM Subahat Jika Tak Tangkap Pencuri Pasir

Posted: 14 Jul 2010 04:13 AM PDT

Dari Malaysiakini

Selangor telah menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon kerjasama timbalan perdana menteri itu dalam menangani isu kecurian pasir di negeri itu, kata menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, surat yang sama telah dihantar hari ini kepada menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta ketua polis negeri Datuk Khalid Abu Bakar.

“Saya telah hantar surat kepada timbalan perdana menteri untuk jelaskan isu kecurian pasir di Selangor dan jemput beliau dan agensi kerajaan persekutuan untuk perangi kegiatan ini.

Tambahnya, turut disertakan dalam surat tersebut ialah laporan polis yang dibuat oleh kerajaan negeri berhubung kegiatan tersebut, serta penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah dijalankan Selangor dalam menangani isu berkenaan.

“Sebab dalam berita dia kata ‘bila kita tahu siapa terlibat, kita akan tangkap.’ Jadi sekarang kita telah beri maklumat ini kepada beliau.

“Kalau dia tidak tangkap, dia bersubahat dengan pencuri pasir pula,” katanya dalam satu sidang media selepas persidangan DUN Selangor hari ini.

Tiada ulasan: