Jumaat, 2 Julai 2010

anjung setiawangsa

anjung setiawangsa


BN salah guna agensi cuba tumbang k'jaan S'gor - PRBBC Selangor

Posted: 02 Jul 2010 11:48 AM PDT

Kelab penyokong Pakatan Rakyat (PRBBC) menuduh BN menggunakan agensi dan jentera kerajaan bagi menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR.

Pengerusi PRBBC Azmin Ali berkata mereka mendapat maklumat bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal dua ADUN Pakatan semalam "bermotifkan politik".

"Umno menggunakan institusi seperti SPRM, polis dan pejabat Peguam Negara bagi menumbangkan kerajaan Pakatan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PRBBC pagi ini.

Semasa pertemuan itu, dua ADUN yang disoal oleh SPRM semalam - Amirudin Shari (Batu Caves) dan Shuhaimie Shafie (Sri Muda) - menceritakan kepada rakan-rakan bagaimana suruhanjaya itu menyoal mereka berhubung isu pasir kerajaan Selangor.

Azmin, yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan kononnya berlaku pergeseran antaranya dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai propaganda jentera Umno.

Katanya, mesyuarat juga membincangkan situasi semasa Pakatan di Selangor tetapi enggan mengulas lanjut. -mk

Kenyataan Akhbar PKR Mengenai Isu Zionis

Posted: 02 Jul 2010 11:41 AM PDT

2 Julai 2010

Pendirian Anwar dan KEADILAN tentang sikap agresif 'Zionis' jelas

Nasib rakyat Palestin dan peranan kerajaan zionis Israel menjadi masalah antarabangsa dan kemanusiaan, dan bukan untuk ahli-ahli politik Malaysia mengambil peluang menawan hati para pengundi Melayu beragama Islam. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan sentiasa bersikap adil dan melayan semua rakyat dengan saksama serta rakyat di negara lain yang tertindas.

Empat pemimpin Umno telah menyuarakan pandangan mereka tentang pendirian Anwar Ibrahim berhubung sikap agresif Zionis, terutamanya mengenai artikel dalam The Washington Post yang disiarkan baru-baru ini. Pemimpin-pemimpin Umno ini — Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin — lekas mengambil kesempatan ini untuk memutar belit kenyataan penulis, yang menulis:

Beliau (Anwar) berkata beliau kesal menggunakan istilah "tindakan agresif Zionis", yang biasa digunakan oleh pemimpin bersuara lantang seperti Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. "Kenapa saya perlu menggunakannya jika sekiranya ia boleh mencetuskan banyak salah faham?" Beliau berkata, "saya perlu lebih berhati-hati."
Sekiranya pemimpin-pemimpin Umno ini tidak dapat memahami Bahasa Inggeris yang mudah ini, maksudnya ialah Anwar kesal menggunakan istilah seperti yang digunakan oleh Presiden Iran kontroversial, iaitu Mahmoud Ahmadinejad, yang boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat antarabangsa. Anwar kemudian secara merendah diri mengakui beliau perlu lebih berhati-hati cara beliau mengkritik kerajaan Zionis Israel, khususnya dalam situasi di mana tuduhan anti-semitik sangat berleluasa.

Bagaimanapun, pendirian Anwar dan KEADILAN tentang tindakan agresif 'Zionis' terhadap rakyat Palestin sangat jelas. Kami mengutuk serangan ganas terhadap kapal flotila Gaza baru-baru ini, diskriminasi, penindasan dan keganasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin oleh kerajaan Israel, termasuk menyoal peranan Amerika Syarikat menyokong rejim 'Zionis'. Pada masa yang sama, kami menghormati semua hak orang Yahudi terhadap tanah air sendiri dan juga hidup secara aman bersama orang-orang Islam dan rakyat Palestin beragama Kristian. Malahan kami menolak diskriminasi, penindasan dan keganasan di Malaysia dan di luar negara.

Mengenai sindiran bahawa Anwar rapat dengan orang-orang Yahudi Amerika, beliau secara terbuka menjelaskan bahawa mereka adalah kenalan beliau ketika beliau menjadi Menteri Kewangan Malaysia. Anwar memang menggunakan setiap peluang yang beliau perolehi untuk membangkitkan isu Palestin dan mendesak supaya pertikaian di Timur Tengah ditamatkan segera.

Apa yang kerajaan pimpinan Umno telah lakukan? Menteri Pertahanan Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan sulit dengan rakan sejawatnya dari Israel. Muhyiddin dan Khairy menyokong keputusan Perdana Menteri Najib Tun Razak melantik Apco (yang disyaki mempunyai hubungan dengan Zionis) pada kadar bayaran RM77 juta setahun. Dan lebih mengecewakan ialah tindakan Rais menggunakan kuasanya untuk memastikan media arus perdana mengikut rentak Umno-Barisan Nasional, yang kini menerima nasihat daripada Apco.

Jika kerajaan Umno-BN mahu menyampaikan maklumat terkini tentang nasib rakyat Palestin dan menunjukkan pendirian mereka tentang tindakan agresif 'Zionis', sila arahkan media arus perdana menterjemah dan menyiarkan artikel sepenuhnya dari The Washington Post dan mengatur satu majlis debat melalui siaran terus menerus di antara Anwar dan Najib. Biar semua rakyat Malaysia melihat dan mendengar sendiri apa yang dibuat oleh Apco di Malaysia.

JONSON CHONG
Pengarah Komunikasi

KDN gantung permit Suara Keadilan

Posted: 02 Jul 2010 11:37 AM PDT

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggantung akhbar PKR - Suara Keadilan berkuatkuasa semalam kerana didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam kenyataanya, KDN dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh tabloid itu dan permit penerbitan tahunannya yang tamat tempoh semalam, tidak akan diperbaharui.

Sehubungan itu, kata setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN, Datuk Zaitun Ab Samad, mulai semalam permit penerbitan akhbar PKR itu tidak lagi sah dan ia tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan.

"Panel penilaian permohonan permit penerbitan dan lesen mesin cetak, KDN telah bersidang pada 1.7.2010 dan membuat keputusan - tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh pihak Suara Keadilan bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada jam 4.45 petang hari yang sama berkaitan dengan surat teguran Kementerian ini.

"Tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh Editor Suara Keadilan, Encik Dzulkarnain Taib melalui suratnya bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada 30.6.2010 jam 12.00 tengahari berkaitan artikel bertajuk "Felda Bankrap," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zaitun, permohonan pembaharuan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu akan hanya dipertimbangkan apabila penjelasan yang memuaskan diterima daripada pihak berkenaan.

"Satu surat akan dikeluarkan kepada pencetak berkenaan untuk memaklumkan agar tidak mencetak penerbitan ini sehingga satu keputusan mengenai permohonan pembaharuan permit tersebut dikeluarkan oleh Kementerian ini," katanya. -mk

Tiada ulasan: