Jumaat, 2 Julai 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Lalat menyerang Kampus UiTM Kuala Pilah ?

Posted: 02 Jul 2010 02:16 AM PDT


Pernah dengar Kampus Lalat ? Kedai Lalat pernah dengarlah, di Kota Bharu. Dikhabarkan UiTM kampus Kuala Pilah dipenuhi dengan lalat-lalat. Malahan penduduk Kampung Beting pun mengalami nasib malang yang serupa dengan warga kampus UiTM. Menurut cerita besar kemungkinan lalat ini berpunca dari ladang ternakan ayam berhampiran. Kesian, kesian. Macamana anak-anak kita nak belajar di kampus tersebut ? Macamana nasib penduduk kampung sekitar ?

Siapalah yang akan membela nasib mereka semua ?

Macamanalah perasan ibu bapa yang anak mereka di UiTM ni ? Makan lalat, tidur lalat, sembahyang lalat , belajar lalat.

Sedih baca cerita lalat-lalat ni pada Blog berikut :

http://singalautmetro.blogspot.com/2010/07/lalat-di-kantin-kampus-uitm-kuala-pilah.html

http://thepotpetking.blogspot.com/2010/06/oh-tidak-pilah-diserang-lalat.html

Nelayan Melayu dikhianati Wakil Rakyat sendiri ?

Posted: 01 Jul 2010 08:58 PM PDT



Beliau juga amat terkilan dengan Wakil Rakyat dari kawasan berkenaan iaitu ADUN Senallang sendiri Datuk Nasir Tun Sakaran yang melawat Jeti ini beberapa minggu yang lalu serta menasihatkan para Nelayan supaya menjaga kebersihan di kawasan berkenaan. "Ketika itu, para nelayan menganggap lawatan Nasir sebagai satu rahmat kerana mereka tidak pernah dikunjungi oleh wakil rakyat mereka sejak 17 tahun lalu, tetapi malangnya Nasir meninggalkan malapetaka kepada kami

*******************************
JETI PENDARATAN NELAYAN SEMPORNA BAKAL DIROBOHKAN
May 27, 2010

PERSATUAN Nelayan Semporna (PNK) yang ditubuhkan yang pada 1992 dan menjadi PNK terulung dan Pertama ditubuhkan di Negeri Sabah melalui agensi LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) yang dipimpin oleh Pengerusinya, Salleh Hj. Abdul Salleh sejak 17 tahun dulu kini di ambang dilema apabila Jeti Pusat Pemunggahan Ikannya akan diroboh.

Beberapa minggu yang lalu, PNK Semporna menghadapi masalah pemunggahan ikan mereka apabila sebuah syarikat swasta yang mendakwa bahawa mereka adalah pemilik kawasan berkenaan telah mengarahkan PNK Semporna untuk merobohkan Pusat Pemunggahan Ikan yang berada di Jalan Kastam, Semporna.

Salleh Hj. Abdul Salleh yang telah mempertahankan jawatannya bagi kali ke 17 dalam satu pemilihan Mesyuarat Agung tahunan PNK Semporna 2010, memaklumkan terdapat 80 hingga 100 buah kapal Nelayan yang berlabuh di jeti berkenaan terjejas masa depan mereka di masa akan datang.

PNK Semporna yang mempunyai keahlian melebihi 1,500 orang Ahli menghadapi masalah jeti yang bakal dirobohkan.

Dalam satu perjumpaan dengan seorang aktivis politik di daerah ini, beliau memaklumkan bahawa pihaknya amat terkilan dan tertanya-tanya mengenai kedudukan Jeti Nelayan yang mereka sewa daripada sebuah Agensi Kerajaan iaitu SAFMA.

Menurut Salleh, pada 2006, PNK dan SAFMA telah bersetuju mematerai perjanjian sewa pajak secara rasmi dan masih berkuat kuasa hingga hari ini, namun diarahkan untuk menghentikan aktiviti pemunggahan ikan mereka dengan serta-merta dan merobohkan semua bangunan persatuan yang terdapat di sana melalui notis yang diserahkan kepada mereka oleh peguam syarikat berkenaan yang mereka panggil sebagai 'Notis 1 Minit' untuk Nelayan.

"Kami amat terkilan dengan tindakan ini, seolah-olah ada konspirasi untuk mengambil alih kawasan jeti Nelayan PNK Semporna yang telah disewa dari pihak kerajaan telah menjadi milik orang tertentu yang mungkin diperolehi melalui jalan songsang," ujar Salleh dengan nada kesal sambil menggesa siasatan rapi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana meyakini berlaku salahguna kuasa dan rasuah.

Beliau juga amat terkilan dengan Wakil Rakyat dari kawasan berkenaan iaitu ADUN Senallang sendiri Datuk Nasir Tun Sakaran yang melawat Jeti ini beberapa minggu yang lalu serta menasihatkan para Nelayan supaya menjaga kebersihan di kawasan berkenaan.

"Ketika itu, para nelayan menganggap lawatan Nasir sebagai satu rahmat kerana mereka tidak pernah dikunjungi oleh wakil rakyat mereka sejak 17 tahun lalu, tetapi malangnya Nasir meninggalkan malapetaka kepada kami," tegas Salleh yang mendakwa tindakan merampas kawasan tersebut dilakukan oleh proksi Nasir sendiri iaitu pemilik Hotel Seafest yang berhadapan dengan jeti Nelayan berkenaan.

Jesteru itu Salleh meminta supaya kerajaan Negeri mempertimbangkan masalah Nelayan di daerah ini dapat diselesaikan secara adil dan saksama tanpa perlu pihaknya mengheret Nasir dan 'penceroboh' berkenaan ke Mahkamah.

"Walaupun tanpa perjanjian dengan SAFMA kehadiran kami adalah sah kerana ianya menjadi 'Hak Adat' yang wujud sejak ratusan tahun lalu kerana kawasan ini menjadi jeti pendaratan nelayan sejak zaman berzaman dan tidak ada pihak yang mempunyai kuasa mutlak terhadap tempat ini melainkan para nelayan yang bernaung di bawah PNK Semporna," tegas Salleh yang agak kesal kerana kesemua Wakil Rakyat Semporna layak digelar 'Lanun Darat' disebabkan sikap mereka yang merampas 'tanah adat' (customary right) para nelayan tempatan.

Walaupun sudah hampir 47 tahun merdeka, nelayan di Semporna tidak mempunyai Jeti mereka sendiri sedangkan di Zaman British, para nelayan telah diberi begitu banyak keistimewaan yang kini dirampas oleh pemimpin BN Sabah menyebabkan fungsi apa juga agensi yang kononnya ditubuhkan untuk menjaga kepentingan nelayan menjadi 'lanun' yang merompak hak dan hasil para nelayan.

Sehubungan itu, Salleh meminta Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman supaya dapat mengatasi masalah ini secara saksama bagi mengatasi masalah nelayan dan PNK Semporna yang menghadapi masalah jeti pemunggahan Ikan sejak sekian lama.

"Saya yakin dan percaya selaku Ketua Menteri Sabah yang berwawasan jauh dan mempunyai kewibawaan dalam kepimipinan Negeri, Datuk Musa boleh menyelesaikan masalah rakyat khasnya, masalah Nelayan di kawasan Parlimen Semporna secara bijak, adil dan saksama," kata Salleh yang kesal kerana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak melakukan untuk mengubah nasib para nelayan yang tidak ubah seperti 'belut kehilangan lubuk.'

Salleh merayu ehsan Musa supaya para Nelayan tempatan dapat diberikan kawasan jeti yang kekal pada masa akan datang oleh pihak kerajaan Negeri Sabah bagi menjamin masa hadapan para nelayan negeri ini akan terus terjamin dan diselamatkan daripada menjadi mangsa kerakusan pemimpin tempatan yang gemar melupuskan hak para nelayan kepada proksi dan kroni mereka.

Bagi kawasan PNK Semporna yang menghadapi perobohan Jeti, Salleh memohon supaya kerajaan Negeri dapat meluluskan satu kawasan sesuai untuk mereka, jika perlu di kawasan tanah rizab negeri, tanah Negeri atau tanah-tanah yang telah dimiliki oleh Agensi Kerajaan Negeri boleh diberikan kepada mereka secara sewa pajak kekal atau penganugerahan tanah secara jangka panjang.

"Saya bercadang untuk mengemukakan usul ini pada mesyuarat PNK Negeri yang akan datang kerana sebanyak 14 buah Persatuan Nelayan PNK Sabah yang telah wujud setakat ini di Negeri Sabah dan kami menerima nasib yang amat malang" kata Salleh yang menyifatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan SAFMA gagal membantu disebabkan kekangan birokrasi; apatah lagi tersepit di celah kepentingan dan survival politik Shafie dan Nasir.

http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=4142:notis-1-minit-buktikan-wujud-lanun-darat&catid=69:tanah-adat&Itemid=75

Sampah dibiar bertimbun di Melaka

Posted: 01 Jul 2010 08:57 PM PDT



Berita Harian 2 Julai 2010

Penghuni Taman Mewah Kelemak hidu busuk setiap hari

ALOR GAJAH: Lebih 100 keluarga di kawasan rumah pangsa Taman Mewah Kelemak, dekat sini, mendakwa hidup dalam keadaan tertekan kerana terpaksa menghidu bau busuk dan meloyakan, selepas sampah bertimbun di situ tidak dikutip pihak berwajib sejak beberapa minggu lalu.

Mereka mendakwa, keadaan sampah yang tidak diselenggarakan dengan sempurna itu juga menyebabkan penghuni hidup dalam keadaan tidak selesa. Selain itu, mereka turut mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa terbabit, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian, malah sampah tetap terus berlonggok di situ.

Seorang penduduk, Khairul Izwan Salim, 30, berkata pihak berkuasa terbabit seharusnya peka dengan situasi di situ dan sepatutnya sudah lama mengambil tindakan mengatasi masalah itu tanpa perlu menunggu aduan penduduk.

"Kerja mengutip sampah juga saya dapati tidak dilakukan secara menyeluruh hingga menyebabkan sampah tidak semuanya dipungut dan baki yang ada sudah berminggu tidak dibersihkan.

"Kesannya, selain bau busuk dan meloyakan, ada kalanya pakaian yang dijemur penduduk dihinggap lalat.
"Kami tidak tahu lagi apa nak buat kerana apa yang saya lihat, kadang-kadang sampai terbiar berlonggok ini dalam keadaan berulat dan amat menjijikkan," katanya ketika ditemui di sini.

Berita Harian berkejar ke kawasan taman ini selepas menerima beberapa aduan penduduk, baru-baru ini yang kesal dan tidak berpuas hati dengan kegagalan pihak terbabit membersihkan sampah di situ.

Mereka mendakwa masalah itu sudah lama berlaku dan banyak aduan dibuat mengenainya namun tidak ada perubahan.

Tinjauan Berita Harian mendapati, selain sampah buangan, tilam dan perabot lama turut dibuang di luar tong sampah sehingga menjejaskan pemandangan kediaman yang terletak berhampiran laluan orang ramai dan gerai makan.

Selain itu, sistem perparitan dan longkang di taman perumahan itu, turut dijadikan tempat membuang sampah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sekali gus membuatkan persekitaran kotor dan berbau busuk.

Situasi sebegini secara tidak langsung pasti akan mengundang penyakit.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim, 40, berkata keadaan sampah yang berlonggok itu juga menyebabkan kawasan kediaman mereka menjadi terlalu kotor dan sekali gus tidak menyelerakan untuk makan.

"Walaupun kerja mengutip sampah dilakukan tetapi masing-masing dikatakan mengambil mudah kerja berkenaan dan hanya mengutipnya separuh, manakala selebihnya dibiarkan begitu saja.

"Kerja yang tidak menyeluruh ini adalah punca longgokan sampah semakin banyak dan menjadi tumpuan anjing liar mencari makanan," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_Sampahdibiarbertimbun/Article

Nelayan Melayu terus tertindas tanpa pembelaan

Posted: 30 Jun 2010 09:14 PM PDT


Melayu, Menang Sorak, Kampung Tergadai. Dia yang menjadi nelayan sungai sejak setengah abad lalu turut terkilan dengan tindakan pihak berkenaan kerana tidak mengambil berat masalah nelayan sungai di sini. Pihak perikanan pernah memberi kenyataan kepada kami mengatakan nelayan di sini adalah generasi nelayan terakhir sebab itu banyak anak sungai ditutup dan semua hasil sungai turut terjejas sama.

************************
NELAYAN BANTAH TEROKA SUNGAI
Sinar Harian 1 Julai 2010

RAMUAN CINA BESAR , MELAKA – Beberapa nelayan membuat bantahan berhubung penerokaan tanah tebing sungai yang dilakukan pihak berkenaan.

Beberapa penduduk yang bekerja sebagai nelayan sungai di Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar, mendakwa, pendapatan harian mereka mulai terjejas sejak berlaku penerokaan di sepanjang tebing sungai terbabit.

Nelayan sungai dan pengusaha lokan, Zainal Md Ali, 59, berkata, dia bercadang menambah ternakan lokan yang diusahakan selama ini namun, terhalang disebabkan tindakan pihak berkenaan meneroka tebing sungai untuk tujuan pembangunan.

"Saya maklumkan kepada mereka saya cuma hendak gunakan tanah kosong yang ada untuk mengembangkan perusahaan lokan tetapi mereka menafikannya dengan mengatakan ia tidak logik dan mereka meminta saya memajukan permohonan itu terus ke jabatan perikanan," katanya.

Dia kemudiannya menghantar permohonan tersebut pada awal Mac lalu namun, sehingga kini masih belum menerima jawapan pihak berkenaan.

Nelayan sungai, Derani Silong, 79, mendakwa, pendapatannya kini terjejas teruk kerana banyak anak sungai dikambus pihak berkenaan untuk tujuan pembangunan.

Dia yang menjadi nelayan sungai sejak setengah abad lalu turut terkilan dengan tindakan pihak berkenaan kerana tidak mengambil berat masalah nelayan sungai di sini.

"Pihak perikanan pernah memberi kenyataan kepada kami mengatakan nelayan di sini adalah generasi nelayan terakhir sebab itu banyak anak sungai ditutup dan semua hasil sungai turut terjejas sama.

"Kami memang orang kampung di sini dan memang kerja kami nelayan sungai sejak turun temurun," katanya.

Menurutnya, jika dulu boleh dapat 10 kilo udang galah namun kini ia agak sukar.

Sementara itu, Zainal berkata, perusahaan lokan diusahakan itu bakal menjadi gedung pemakanan negara.

Sehubungan itu, dia menggesa pihak berkaitan supaya memandang serius masalah dihadapi mereka dengan adil dan telus dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7889817.asp

SUMBER DITARAH, NELAYAN TERJEJAS
Sinar Harian 1 Feb 2010

LUBOK CHINA , REMBAU - Kewujudan sempadan Sungai Linggi dan Timun sempadan Melaka-Negeri Sembilan membantu kira-kira 300 nelayan meneruskan pencarian sumber rezeki setiap hari.

Walaupun pembangunan baru bakal diwujudkan di sungai tersebut, namun nelayan bimbang ia akan menjejaskan ekosistem sumber rezeki berteraskan udang galah, udang kertas dan pelbagai spesies ikan di situ.

Tinjauan Sinar Harian kedua sungai tersebut mendapati, rata-rata nelayan, terutama di Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar dan Rembau, Negeri Sembilan kecewa dengan penebangan hutan bakau di sekitar Sungai Linggi - Sungai Timun.

Mereka mendakwa, hutan bakau mula diterokai sebuah syarikat swasta dilantik Kerajaan Negeri Sembilan bagi memajukan kawasan tersebut sebagai pembangunan pelancongan baru.

Walaupun projek tersebut dikatakan dirancang antara kerajaan dan pemaju (syarikat), tetapi mereka mengharapkan pihak berkaitan dapat memikirkan nasib kebanyakan nelayan yang meraih rezeki di kawasan tersebut.

Abdul Rahman Ahmad atau dikenali Man Belon berkata, tidak dinafikan hutan bakau diterokai lebih tiga bulan lalu 'menyentap hati' nelayan yang rata-ratanya berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Dia mendakwa, kerja-kerja menebang pokok hutan bakau menutup lubuk tempat di mana dipenuhi udang galah, ketam dan pelbagai spesies lain.

"Saya memang kesal dan tidak menyangka lubuk rezeki kami ditutup. Malah langsung tiada sebarang surat hitam putih mahupun maklumat berhubung penebangan ke atas pokok hutan bakau yang sememangnya lokasi utama tumpuan nelayan mencari sumber rezeki.

"Kami tahu ia hak kerajaan, namun kami berharap usah melakukan pembangunan secara drastik tanpa memikirkan keadaan nelayan di Melaka - Negeri Sembilan ini," katanya ketika ditemui di pangkalan jeti Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar, di sini.

Menurut Man Belon, keluasan kawasan yang hendak dimajukan kira-kira 14.4 hektar itu dikhuatiri menjejaskan hasil pencarian nelayan.

Dia berharap, kerajaan khususnya Negeri Sembilan dapat bertemu nelayan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Bukan minta sedekah

Pendapat Abdul Rahman itu disokong rakan, Zainal Md Ali yang berkata, sumber pendapatan bagi kedua-dua sungai itu sudah sinonim kepada nelayan.

Menurutnya, nelayan kedua negeri juga saling membantu menjualkan hasil tangkapan seharian pelbagai spesies hidupan laut atau sungai.

"Kami bukan minta sedekah kepada pihak terlibat, tetapi berharap pertemuan secara baik menerangkan keadaan terperinci tentang lubuk rezeki yang sudah dikorek dan hutan bakau ditebang diadakan.

"Apa (kami) nak makan? Saban hari (kami) melihat kerja-kerja tebang hutan bakau dan ia cukup 'mencengkam hati' kami sehinggakan lubuk rezeki utama mencari udang galah, lokan, ketam dan sebagainya habis ditutup hingga dibina benteng," dakwanya.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya melaksanakan slogan rakyat didahulukan seperti diuar-uarkan.

Zainal berkata, nelayan kedua negeri sangat berharap ada maklum balas pihak kerajaan, terutama selepas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Negeri Sembilan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail yang tidak menghalang nelayan mencari rezeki ketika melawat kawasan berkenaan.

"Pakcik ingat lagi kata-kata Exco tersebut (Mohammad Razi) tahun lalu dan sudah sememangnya kami (nelayan) berharap beliau dapat membantu menyelesaikan kemelut ini.

"Kami jelaskan, nelayan tidak marah dengan pembangunan pelancongan hendak dibuat, tetapi berharap lubuk pencarian rezeki utama kami tidak ditutup," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6523743.asp
http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2010/02/nelayan-melayu-rembau-tertindas-hutan.html

435 NELAYAN RAYU TIMBANG SEMULA PAMPASAN

ALOR GAJAH 18 Mei 2008 - Seramai 435 nelayan Melaka Barat di sini merayu kepada kerajaan negeri agar menimbang semula jumlah bayaran pampasan yang disalurkan kepada mereka. Ini kerana jumlah yang dicadangkan itu tidak setimpal berbanding dengan kerugian yang ditanggung oleh nelayan terbabit akibat kerja-kerja mengorek bijih timah di Selat Melaka di sini sejak beberapa bulan lalu.

Menurut mereka, tawaran pampasan sebanyak RM1,800 setahun yang dicadangkan tidak memadai dengan kerugian mereka sejak kerja-kerja mengorek bijih timah dilakukan. Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat, Ab. Samad Ab. Malek berkata, rata-rata nelayan kawasan itu memperoleh pendapatan agak lumayan sebelum operasi mengorek bijih timah mula beroperasi di kawasan berkenaan kira-kira empat bulan lalu.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, nelayan di situ meliputi nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, Telok Gong, Kampung Baru, Tanjung Dahan, Kampung Tengah dan Ramuan China mendakwa hasil tangkapan berkurangan, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka sehingga 30 peratus. ''Saya sendiri setelah hampir lapan tahun bergelumang dengan laut hanya berpuas hati dengan pendapatan hari ini yang saya peroleh sekitar RM1,500 sebulan kerana hasil tangkapan semakin berkurangan.

''Bayaran pampasan yang diberikan oleh syarikat bijih timah terbabit terlalu sedikit iaitu RM1,800 setahun, sedangkan permintaan nelayan RM1,800 selama sebulan, ini bermakna bayaran pampasan mereka kepada kami kira-kira hanya RM4.50 sehari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau antara 435 nelayan Melaka Barat yang terlibat mengadakan demonstrasi aman membantah bayaran pampasan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini di perkarangan bangunan Persatuan Nelayan Melaka Barat di sini kelmarin.

Selain itu, kata Ab. Samad, sebelum ini sudah diadakan empat pertemuan antara nelayan, wakil kerajaan negeri dan pihak syarikat bijih timah berkenaan namun sebahagian besar hasil pertemuan tersebut menemui jalan buntu.

Ujarnya, pihak nelayan tidak dimaklumkan mengenai status permohonan pampasan yang dikemukakan dan hanya diberitahu mereka akan dibayar pampasan tanpa diberitahu jumlah yang sebenarnya.

Katanya, permintaan nelayan di situ agar kerajaan negeri dapat menerima jumlah pampasan yang dikemukakan memandangkan sebahagian besar nelayan di situ bergantung sepenuhnya kepada hasil sebagai sebagai nelayan untuk menyara keluarga masing-masing. ''Saya mempunyai empat anak yang masih kecil dan bersekolah, bagaimana saya ingin menyara mereka dengan jumlah pampasan yang diberi sedangkan jumlah tersebut RM1,800 setahun perlu diagihkan kepada tiga lagi pekerja," katanya.

Seorang lagi nelayan, Samsudin Abu Bakar, 55, berkata, menyatakan kebimbangan tentang kemusnahan yang akan berlaku ke atas batu karang yang terdapat di kawasan yang terlibat dengan operasi mengorek bijih timah tersebut. ''Kawasan tangkapan nelayan tercemar kerana air laut menjadi keruh dan demi mengatasi masalah itu, ada nelayan terpaksa pergi ke kawasan lain yang agak jauh untuk menangkap ikan. ''Ini telah memberi tekanan dan menambah kesusahan kepada nelayan kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk bahan diesel dan petrol," katanya.

Samsudin merayu kepada kerajaan negeri dan syarikat bijih timah terbabit agar menimbang semula rayuan mereka dengan membayar pampasan yang sewajarnya iaitu antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan. Katanya, kerajaan negeri juga diharap menubuhkan pasukan pemantau bagi memeriksa operasi harian syarikat mengorek bijih timah di kawasan itu demi memastikan pihak tersebut mematuhi syarat peraturan yang ditetapkan.

http://empangan-jernih.blogspot.com/2008/05/435-nelayan-rayu-timbang-semula.html

Tiada ulasan: