Isnin, 5 Julai 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


PKR: Suara Keadilan terus diterbitkan

Posted: 05 Jul 2010 04:16 AM PDT

PKR akan terus menerbitkan Suara Keadilan walaupun ketidak-tentuan terus menyelubungi pembaharuan permit penerbitannya.

"Kami tidak pasti apa yang diperkatakan oleh kerajaan apabila diberitahu bahawa permit kami tidak diperbaharui tetapi tidak digantung. Apakah kami boleh menerbitkan Suara Keadilan sementara keputusan dibuat," soal pengarah strategi PKR, Tian Chua.

Menurut ahli parlimen Batu itu, ini satu lagi keputusan 'flip flop' kerajaan BN.

Permit akhbar tabloid itu yang dikeluarkan pada Julai 2009 tamat tempohnya pada 30 Jun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen penerbitan tidak berpuas hati dengan penjelasan ketua editor, Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berhubung penjelasannya mengenai sebuah artikel yang mendakwa Felda bankrap.

"Setakat 1 Julai, penernitan itu tidak lagi sah dan dengan demikian tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan...menurut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan," kata setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad.

Semalam dalam satu kenyataan media beliau menjelaskan bahawa KDN sedang meneliti dan mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan itu.

"Kementerian masih belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan tersebut," katanya.

Katanya kenyataan yang mengatakan kementerian telah menggantung permit penerbitan Suara Keadilan adalah tidak benar dan tidak berbangkit sama sekali.

Mengulas perkara itu, Chua berkata: "Pada asasnya, tiada perkembangan. Kerajaan masih tidak memberikan kedudukan sebenar. Justeru, kita akan meneruskan penerbitan dan tidak akan memberhentikannya."

"Maksud saya, tiada sebab untuk berhenti, seperti yang diperkatakan sebelum ini, kita adalah akhbar yang dimiliki oleh pembangkang. Tiada sebab untuk memuja ataupun memuji kerajaan tetapi sebaliknya memberi pandangan yang kritikal - itu kerja kita.

"Jadi, kerajaan tidak boleh menggunakan alasan yang kita mencemarkan imej atau nama baik kerajaan sebagai sebab untuk menamatkan penerbitan kami," katanya.

Katanya, kelewatan pembaharuan permit adalah 'kes lazim' dan ia berlaku kepada kebanyakan syarikat lain dan PKR akan menerbitkan edisi Suara Keadilan minggu ini.

"Biasanya, apabila lesen tamat, penerbitan belum memperbaharuinya. Tetapi ia tidak bermakna mereka (KDN) telah mengahramkannya," kata Chua.

Naib presiden PKR, Lee Boon Chye sebelum ini pernah berkata dengan atau tanpa permit, mereka kan terus mencetak akhbar berkenaan.

Sumber: Malaysiakini

Nik Aziz: Media ada agenda tersembunyi

Posted: 05 Jul 2010 04:14 AM PDT

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan supaya semua pihak tidak terpengaruh dengan laporan Benama bertajuk "Nik Aziz Akui Wujud Perpecahan Parti Untuk Berebut Jawatan Pada Muktamar PAS Tahun Depan" yang disiarkan kelmarin.

"Jangan mudah terpengaruh dengan semua laporan berkenaan, terutama Bernama dan akhbar yang nampaknya ada agenda tersembunyi di sebalik apa yang mereka laporkan.

"Hanya Allah jua yang maha mengetahui. Kepada pihak akhbar cermatlah dan jauhilah daripada memfitnah," tegasnya dalam satu kenyataan.

Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan turut menegaskan bahawa laporan agensi berita itu adalah "tidak benar dan di luar konteks" daripada apa yang dimaksudkannya.

"Saya dapati keseluruhan laporan itu merupakan tanggapan pihak Bernama sendiri dan bukannya dari maksud sebenar kenyataan saya," katanya.

Menurutnya, menjadi lebih malang apabila berita itu dijadikan rujukan oleh beberapa media online dan media cetak seperti Malaysian Insider, Berita Minggu, Sinar Harian dan Sunday Star.

"Namun, akhbar online Malaysiakini turut menyiar kandungan laporan Bernama, tetapi diharmonikan dengan tajuknya sendiri, iaitu "Nik Aziz cadang tiada pemilihan dalam muktamar."

"Itupun masih tidak tepat, kerana pemilihan dibenarkan di dalam perlembagaan PAS. Sedangkan, pada sidang media tersebut, saya telah merujuk kepada asas perlembagaan PAS yang perlu dipatuhi demi mengelak apa-apa perbalahan, mahupun perpecahan," kata Nik Aziz.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih atas laporan media yang berimbang seperti New Sunday Times dan Mingguan Malaysia yang tidak memetik laporan agensi berita itu.

"Sebaliknya ia telah menyiarkan berita yang ditulis wartawannya sendiri. Begitu pula, Sinar Harian didapati memetik laporan Bernama, tetapi turut menyiarkan di ruang Kelantan kenyataan yang dianggap tepat mengenai cadangan saya agar berlaku syura bagi pemilihan dalam PAS.

"Sementara Mingguan Malaysia tidak memetik laporan Bernama, sebaliknya menyiarkan kenyataan yang agak tepat dengan maksud sebenar saya," katanya.

Sehubungan itu dalam kenyataan itu juga, beliau turut menyertakan jawapan penuh beliau selepas ditanya oleh wartawan berhubung kemungkinan berlaku pertandingan dalam pemilihan parti tahun depan.

"Kalau boleh tidak perlu bertanding, kerana memang tak molek bertanding, tetapi kalau mahu bertanding juga biarlah buat betul-betul, bertandinglah, jangan sampai peringkat perpecahan. Ini luahan hati orang tua, tak mahu tengok perpecahan berlaku.

"Pe
ngalaman saya sendiri yang pernah bertanding dalam dewan ulama' satu ketika dulu, amat tidak comel. Baik kita cari cara yang lebih comel elak daripada perpecahan.

"Moleknya, kita buat keputusan secara syura dan lantik ketua kita beramai-ramai. Ini cadangan saya. Tetapi saya tidak tahu sejauh mana syura dibenarkan oleh perlembagaan parti.

Nik Aziz berkata penjelaskan ini dibuat bagi mengelakkan salah faham semua pihak, khususnya rakan-rakan pimpinan dalam PAS.

Sumber: Malaysiakini

Saya belanja Petra dan Bala makan ais kacang - Zaid

Posted: 05 Jul 2010 04:12 AM PDT

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan beliau akan bertemu dengan bekas pengawal pribadi rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda iaitu P Bala Subramaniam untuk makan dan minum bersama beliau selepas polis dan SPRM enggan bertemu beliau.

Dalam tulisan terbarunya dari Kota London, Zaid berkata, oleh kerana polis dan SPRM enggan dan takut bertemu Raja Petra dan Bala, beliau dan rakannya akan bertemu mereka berdua dan belanja mereka makan ais kacang.

Zaid dipercayai mengulas pelbagai tuduhan termasuk membiayai kedua-duanya (Petra dan Bala) yang kini dikatakan pelarian ekoran diburu polis.

Dalam hal ini, Zaid mendakwa, polis bukan memburu kedua-duanya.

"Mula-mula, kita dengar PM Najib kata beliau penuh yakin polis akan menangkap Raja Petra; tapi dah 12 bulan polis tak buat apa-apa. Dan betul lah saperti kata Khairy, Raja Petra selalu ada di khalayak ramai, di London dan Manchester. Kalau saya dan ratusan rakyat Malaysia tahu dan dah pun bertemu dengan Raja Petra, takkan Polis tak tahu. Mustahil," tulis Zaid dalam blognya.

Menurut Zaid, Bala ada di London. Minggu depan, dia akan ka Paris untuk bertemu dengan pihak penyiasatan Perancis.

"Tapi Polis Malaysia tak berminat bertemu dengn kedua-dua manusia ini. Persoalannya mengapa?" tanya Zaid dalam tulisannya.

Menurut Zaid, yang dihebohkan oleh Menteri Hishammuddin, MP Zahrain dan Utusan Malaysia ialah apa hubungan beliau dengan Raja Petra.

"Soalan yang patut ditanya: mengapa tidak ada tindakan terhadap Raja Petra kalau dia ada membuat kesilapan? Beritahulah kepada rakyat apa dia kesalahan itu. Ada waran yang dikeluarkan untuk menangkapnya? Setahu saya, tidak ada. Jadi kalau Raja Petra tidak membuat apa-apa kesalahan, mengapa pula saya tak boleh tengok bolasepak dengannya?" katanya.

Sebenarnya, bagi Zaid, PM Najib takut kapada kedua-dua manusia ini. Lalu berlakonlah mereka, kononnya Raja Petra dilaporkan berada di Brisbane, Australia dan di mana saja.

"Mereka sebenarnya tahu dimana Raja Petra dan di mana Bala. Malah Polis telah pun bertemu Bala di Bangkok, tetapi setakat ini, membisu sahaja. Inilah yang rakyat mahu tahu, mengapa tidak ada siasatan terbuka terhadap kedua-dua mereka ini," katanya.

Tulis Zaid, "PM Najib berkata kita tidak boleh percaya kepada Raja Petra; tetapi kita juga tak boleh percaya buta tuli kepada PM Najib.

"Jadi buatlah satu penyiasatan yang bebas dan terbuka, dan beri jaminan kepada kedua-dua mereka tentang keselamatan diri dan keluarga mereka, dan jaminan mereka tidak akan ditahan dibawah ISA.

"Saya percaya mereka akan pulang ke Malaysia untuk mempertahankan kenyataan mereka yang dibuat tempoh hari," tulisnya lagi.

Menurutnya, jika mereka berdua benar-benar kaki penipu dan memalukan pemimpin negara, maka hukumlah mereka.

"Itu cara pemimpin yang reformis dan baik, bukan berlakon menggunakan Polis dan akhbar menimbulkan buruk sangka setiap hari terhadap orang lain," katanya.

"Saya terpaksa berhenti disini. Nak ke Holiday Villa London dalam masa sejam lagi nak bertemu Bala. Bukan apa. Kerana Polis dan MACC tak mahu dan takut bertemu Bala dan Petra, saya dan kawan kawan akan belanja mereka ais kacang," kata Zaid mengakhiri tulisannya.

Sumber: Harakah Daily

Malaysia jual gula bersubsidi pada Singapura?

Posted: 05 Jul 2010 04:08 AM PDT


KUALA LUMPUR, 5 Julai: Kerajaan wajar memberikan penjelasan yang jujur dan bertanggungjawab berhubung isu kekurangan gula yang dihadapi oleh pengguna kebelakangan ini, kata Datuk Mahfuz Omar.

Penegasan yang dibuat Naib Presiden PAS itu ekoran insiden enam daripada 30 kargo yang memuatkan gula nasional tergelincir dari Butterworth ke Singapura, milik KTMB tergelincir di Chamek, dekat Kluang Johor, 23 Jun lalu.

"Macam mana gula yang kerajaan subsidikan pada Syarikat Gula Prai dan sebagainya, gula itu yang nak dibawa jual ke Singapura," soal beliau pagi tadi di Dewan Rakyat, memetik laporan akhbar New Strait Times Press (NSTP).

Beliau berkata, insiden tersebut sudah tentu mempunyai kaitan dengan kesukaran rakyat mendapatkan bekalan gula nasional sebelum ini.

"Saya percaya gula yang kurang dalam pasaran sebelum ini disebabkan kes-kes eksport gula sebegini bukanlah untuk orang Johor walaupun gerabak KTMB ini tergelincir di Kluang.

"Tanah KTMB di Tanjong Pagar pun kita (kerajaan Umno BN) gadai pada Singapura, gula negara pun nak beri juga," sindir beliau ketika membahaskan rang undang-undang perlindungan pengguna.

Membahaskan rang undang-undang yang sama, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar pula mendakwa kerajaan seperti merahsiakan sesuatu daripada pengetahuan pengguna dengan menisbahkan musibah kekurangan gula kepada kaum peruncit.

Sedangkan, katanya aktiviti pengeluar dan pembekal gula langsung tidak dipantau sehingga gula yang telahpun disubsidi sanggup diperdagangkan pada Singapura.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pihak berwajib memberikan pendidikan konsumerisme kepada rakyat supaya rakyat mendapat maklumat yang menyeluruh di sebalik kekurangan gula dalam pasaran.

Beliau di luar Dewan Rakyat berkata, harga gula tempatan RM1.65 sekilo berbanding RM3.05 sekiranya dijual di Singapura sudah tentu mendorong minat pihak yang tidak bertanggungjawab memperdagangkan gula nasional di negara jiran itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub menggesa kerajaan memperkenalkan mata pelajaran kepenggunaan di peringkat sekolah rendah lagi bagi memberi pendedahan hak-hak pengguna kepada rakyat di awal usia.

Beliau berkata, beberapa negara barat yang mengamalkan perkara tersebut telah bukti mampu menanam kefahaman kepenggunaan yang baik kepada generasi awal negara mereka.

"Adakah Yang Berhormat bersedia sebagai menteri hari ini mencadangkan kepada kabinet agar mata pelajaran kepenggunaan ini diajar di peringkat sekolah rendah lagi sebagai satu mata pelajaran, bukan ditempel pada mata pelajaran sivik dan sebagainya?" soalnya kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata kesedaran peringkat awal sangat penting bagi memastikan rakyat negara ini tidak mudah diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.

Menteri sebelum itu menjawab soalan berkaitan rang undang-undang perlindungan pengguna di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau kemudian memaklumkan bersedia memanjangkan perkara itu kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan susulan.

Sumber: Harakah Daily

Hishammuddin didesak jelaskan jumlah tahanan ISA

Posted: 05 Jul 2010 04:06 AM PDT


KUALA LUMPUR, 5 Julai: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein didesak menjelaskan jumlah sebenar tahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, ini kerana akhbar antarabangsa BBC melaporkan, Kumpulan Sukarelawan Berkaitan Tahanan Tanpa Bicara, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Jun lalu mendedahkan seramai 1,500 orang ditahan di bawah akta zalim itu antara 2003 hingga 2007 lalu.

Sedangkan, katanya lagi, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop enggan mengesahkan laporan PBB yang dibangkitkannya di Dewan Rakyat, 23 Jun lalu.

"Menteri (Hishammuddin) ini kena datang jawab di Dewan Rakyat, jangan hantar timbalan menterinya saja.

"Bagaimana menteri (Abu Seman) ini boleh berkata: 'tak ada laporan polis, maka kita (kerajaan) tidak boleh buat apa-apa,' sedangkan saya baca laporan BBC ini di Dewan Rakyat," tegas beliau sambil menunjukkan salinan cetak laporan BBC tersebut di Lobi Parlimen, hari ini.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, kredibiliti Abu Seman wajar terus dipertikai apabila Bernama pada 18 Jun lalu turut melaporkan, Datuk Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri) mengaku bahawa pihaknya ada menerima laporan awal tersebut dari PBB.

"Salah satu (BBC atau Bernama) mungkin betul, saya tidak cuba mengelirukan sesiapa pun di sini," ujar beliau sambil menayangkan salinan cetak laporan Bernama itu pula.

Tegasnya, kerajaan seharusnya bersikap telus menjelaskan kepada rakyat berhubung bilangan sebenar tahanan tanpa bicara yang dizalimi oleh ISA tersebut.

Sumber: Harakah Daily

Pengguna ditipu syarikat komunikasi, kewangan

Posted: 05 Jul 2010 04:03 AM PDT

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman (gambar) meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan memberikan perhatian serius terhadap kes-kes penipuan melibatkan syarikat telekomunikasi dan institusi kewangan di negara ini.

Beliau sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan 2010) di Dewan Rakyat hari ini membawa beberapa bukti yang menunjukkan berlakunya kes-kes penipuan terhadap pengguna.

Bukti ini, jelasnya berhubung syarikat telekomunikasi yang menawarkan pertandingan-pertandingan tertentu dan mengenakan cas yang berlipat kali ganda apabila pengguna menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada syarikat berkenaan.

"Berhubung SMS yang sering kita terima terutama pada musim sesuatu pertandingan ataupun apa-apa yang diadakan, terdapat bukti satu syarikat telco, apabila kita menghantar SMS dicas kita dengan 15 sen tapi apabila kita menerima pesanan daripada syarikat yang mengadakan pertandingan tersebut, sekali kita terima SMS dicas RM8. Ini merupakan satu penipuan yang terang-terang dilakukan oleh syarikat-syarikat berkenaan," katanya.

Beliau turut mendedahkan satu penipuan yang juga melibatkan sebuah syarikat telekomunikasi yang secara tiba-tiba mengeluarkan bil penggunaan untuk dibayar oleh pengguna meskipun pengguna berkenaan tidak pernah mendaftar dengan syarikat berkenaan.

"Juga berhubung penipuan syarikat telco yang berleluasa sedang berlaku. Sebuah syarikat telco, kita tak berdaftar pun dengan syarikat tersebut tapi tiba-tiba kita terima bil sebanyak sebanyak RM2,307 dan menggunakan khidmat seorang peguam untuk membayar bil tersebut.

"Saya harap pihak kementerian dapat memberi perhatian terhadap perkara ini kerana ramai pengguna yang tertipu dengan syarikat tersebut," katanya.

Beliau turut mempersoal sebuah syarikat kewangan yang mengeluarkan kad debit kepada pengguna yang menyimpan kredit pengguna selama tiga hari sebelum memasukkan semula ke akaun kad debit mereka.

"Saya juga menerima aduan daripada pengguna mengenai tindakan penipuan oleh satu syarikat yang mengeluarkan kad debit. Apabila kita mengisi minyak misalnya RM50t menggunakan kad debit tersebut, dia akan potong sehingga RM200 dan tiga hari kemudian baru pulangkan balik RM150.

"Maksudnya syarikat itu ambil RM150 dan simpan tiga hari kemudian baru beri balik. Perkara ini banyak kali berlaku dan ramai rakan kita mengalami masalah ini," katanya.

Selain itu, turut diminta diberikan perhatian oleh pihak kementerian berkenaan syarikat minyak yang mengaut keuntungan apabila pengguna menambah nilai kad touch n go.

"Berkenaan kad touch n go kalau kita top up di kedai minyak, kalau top up RM30 hingga RM40, kita dikenakan cas satu ringgit servis cas kepada syarikat minyak tersebut. Tapi kalau kita top up RM50 ke atas mereka hanya kenakan hanya 50 sen. Jadi kenapakah sikit kita top up banyak cas yang diambil tapi apabila RM50 ke atas hanya 50 sen dikenakan. Jadi saya harap pihak kementerian beri perhatian terhadap perkara sebegini," katanya.

Sumber: Harakah Daily

Tan Cabar Najib Dedah Laporan Kewangan Petronas

Posted: 05 Jul 2010 04:00 AM PDT


SHAH ALAM 5 Julai - Mantan Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mendedahkan segala akaun dan kewangan dengan telus syarikat Petroliam Nasional (Petronas) untuk tatapan rakyat Malaysia.

Dr Tan yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat berkata walaupun Petronas adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang diurus secara baik dan profesional serta menyumbang kira-kira 40 peratus kepada perbelanjaan tahunan kerajaan namun akaun serta laporan kewangan badan itu tidak pernah dibentangkan di dalam Parlimen.

"Malah saya sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Malaysia (PAC) pernah mendesak Menteri Kewangan II ketika itu untuk meneliti laporan kewangan Petronas tetapi jawapan lesu yang diberi beliau hanya menjaga Kementerian Kewangan manakala Petronas di bawah jagaan Jabatan Perdana Menteri.

"Saya mahu bertanya kepada Perdana Menteri, Umno dan seluruh Kabinet, mengapa rakyat tidak boleh mengkaji dan meneliti laporan kewangan dan akuan Petronas?

"Mengapa, mengapa, mengapa? Sebagai 'doktor cucuk' hanya satu kesimpulan yang boleh dibuat sekiranya kerajaan tidak berani bentangkan laporan kewangan dan skrutini rakyat Petronas iaitu kerajaan mempunyai banyak rahsia besar mengenai akaun Petronas yang mahu disembunyikan," kata Dr Tan dalam komentarnya mengenai badan itu kepada Suara Keadilan.

Tambah beliau keadaan ini tidak boleh diterima langsung.

Beliau juga memceritakan bagaimana seorang bekas pengurus yang mempunyai pengalaman bekerja selama 30 tahun dengan Petronas berkata sekiranya beliau mendedahkan betapa dahsyatnya penyelewengan yang dilakukan oleh ahli politik Umno-Barisan Nasional ia akan memberikan sesiapa juga yang mendengarnya serangan jantung!

Dr Tan juga mempersoalkan amalan sekian lama Petronas yang menggunakan pemegang opsyen atau orang tengah untuk menjual minyak mentah yang dikeluarannya sama di dalam atau luar negara dan tidak secara terus kepada pasaran terbuka.

"Sekira ini benar saya ingin bertanya kepada Petronas mengapa tidak jual secara terus kepada pasaran terbuka?

"Saya difahamkan Petronas dipaksa menjual kepada pemegang opsyen ini pada harga yang amat rendah melalui ikatan kontrak untuk tempoh yang panjang.

"Umpamanya kontrak menyatakan Petronas perlu menjual minyak mentah pada harga US$40 satu tong sementara harga pasaran dunia kini ialah US$75 satu tong. Jadi pemegang opseyen membuat untung sebanyak US$35 satu tong dan Petronas akhirnya mendapat keuntungan yang kecil. Bayangkan sekiranya harga minyak mentah dunia melambung kepada US$100 satu tong. Pada harga ini kadar komisyennya sudah tentu meningkat dan lebih baik daripada apa yang dibayar kerajaan untuk membeli dua kapal selam Perancis. Inilah cara bagaimana negara kehilangan wang setiap hari!," tegas beliau lagi.

Dr Tan juga mahu Pengerusi Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas menjawab beberapa soalan beliau:

1. Adakah benar Petronas mengamalkan sistem menggunakan pemegang opsyen untuk menjual minyak mentah?

2. Sekiranya benar, mengapa perlu menggunakan pemegang opsyen bila mana Petronas sendiri boleh menjualnya?

3. Senaraikan pemegang opsyen sedia ada dan beri butiran mengenai jumlah minyak mentah yang telah dijual dan berapa lamakah sistem ini telah berjalan?

Sumber: Suara Keadilan

Pakatan Rakyat Tetap Tentang Kenaikan Tol Jambatan Pulau Pinang

Posted: 05 Jul 2010 03:59 AM PDT


PULAU PINANG 5 Julai - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mempertahankan pendirian yang telah dibuat oleh kerajaan negeri menentang kenaikan tol Jambatan Pulau Pinang seperti mana yang dilaporkan sebelum ini daripada RM7 kepada RM9.40 iaitu kenaikan 34 peratus mulai 2013.

Menurut Guan Eng sebagai sebuah kerajaan negeri yang berjiwa rakyat dan prihatin terhadap beban yang bakal ditanggung, kenaikan harga tol jambatan tersebut harus ditentang dan dibantah kerana ia menyusahkan kehidupan lebih 1.5 juta rakyat Pulau Pinang.

"Namun begitu kita kesal dengan penangguhan mesyuarat yang sepatutnya diadakan setelah tidak ada seorang pun daripada pemimpin Barisan Nasional yang diundang untuk menghadiri mesyuarat bagi membincangkan isu tol Jambatan Pulau Pinang ini hadir.

"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Umno Pulau Pinang dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen tidak dapat hadir kerana mempunyai program lain manakala Presiden Gerakan yang juga merupakan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak hadir seperti mana yang dinyatakan oleh media.

"Apabila mereka sendiri tidak hadir setelah jemputan diberikan secara rasmi, maka ini membuktikan pemimpin BN tidak mempedulikan kesukaran dan beban yang ditanggung oleh rakyat negera ini. Mereka sepatutnya memberi keutamaan dalam isu yang melibatkan rakyat negeri ini.

"Kerajaan Negeri akan tetap menentang kenaikan tol Jambatan Pulau Pinang. Wakil BN negeri hanya berani bersuara di hadapan media sahaja dalam isu membantah kenaikan harga tol Jambatan Pulau Pinang ini. Mereka tidak berani untuk mengatakan perkara yang sama kepada Kerajaan Pusat. Ini membuktikan mereka mengamalkan sikap talam dua muka," kata Guan Eng setelah menanti selama setengah jam kehadiran wakil dan pemimpin BN sebelum membatalkan mesyuarat yang sepatutnya diadakan di pejabat beliau di Komtar semalam.

Sumber: Suara Keadilan

23 Dalam Setiap 100 Rakyat Sabah Miskin Di Bawah Umno-BN

Posted: 05 Jul 2010 03:52 AM PDT


PETALING JAYA 5 Julai - Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu membidas kerajaan Umno-Barisan Nasional atas kegagalan menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat sabah semasa pilihan raya dan juga mengotakan perjanjian yang dibuat semasa penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Berucap pada forum 'Kemelaratan Rakyat Sabah di Lembah Klang'di Dewan Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya semalam, Dr Hiew berkata rakyat Sabah terutamanya kaum belia terpaksa berhijrah keluar dari Sabah untuk mencari pekerjaan ke Semenanjung, Singapura dan negara lain kerana faktor kemiskinan yang amat tinggi dan kemasukan warga asing yang menawarkan tenaga kerja murah.

"Sabah satu masa dahulu amat kaya dan rakyat tidak pernah risau berkenaan kerja dan sebagainya tetapi kini sejak kerajaan Umno-BN mentadbir, Sabah telah menjadi negeri termiskin di Malaysia dengan kadar kemiskinan 23.4 peratus. Itu maksudnya dalam setiap 100 warga Sabah, 23 daripadanya berada di bawah garis kemiskinan.

"Dalam satu lawatan baru-baru ini ke perkampungan di Tambunan, Keningau, Ranau, Kudat, dan Pitas, kebanyakan masyarakat tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna. Hanya sebuah pondok setiap keluarga dengan aktiviti utama ialah menanam padi, sayuran untuk kegunaan sendiri dan menangkap ikan-ikan kecil di sungai," kata beliau.

Tambah Dr Hiew lagi, sebagai warga Sabah dan rakyat Malaysia yang prihatin, tindakan dalam bentuk apa sekalipun perlu diambil bagi membantu masyarakat Sabah dan meningkatkan sosio-ekonomi Sabah.

"Kita sudah beri peluang kepada BN tetapi dia tidak membuat apa-apa, Pakatan Rakyat membantu sedaya secara ikhlas. Pakatan Rakyat mahu membantu, kita patut berikan sokongan kita demi Sabah. Kita perlukan satu perubahan, kita perlu selamatkan Sabah dan seterusnya Malaysia," tegas beliau lagi kepada lebih 300 hadirin pada forum itu.

Sumber: Suara Keadilan

Minta SPRM Jangan Pilih Bulu

Posted: 04 Jul 2010 08:23 PM PDT


SRI MUDA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimita tidak bersikap berat sebelah dalam menyiasat sesuatu aduan atau kes membabitkan mana-mana pemimpin politik.

Ketua Ranting Parti Keadilan Rakyat (PKR), Taman Sri Muda, K Sekar kelmarin menyatakan kesalnya dengan mendakwa suruhanjaya itu hanya mengambil tindakan segera terhadap aduan yang dibuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi mengambil pendekatan perlahan jika aduan tersebut dilakukan oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR)>

Katanya, ia terbukti apabila SPRM mengambil tindakan pantas menyoal siasat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafie dan ADUN Batu Caves, Amirudin Shari walaupun dakwan mereka terlibat dalam rasuah hanya tersebar melalui khabar angina.

"Kita menyelar sikap SPRM yang dilihat memilih bulu menjalankan siasatan. Apabila pihak PR mendesak SPRM menyiasat pemimpin UMNO dan BN, alasn yang diberikan ialah aduan masih dalam siasatan," katanya dalam nada kesal.

Beliau berkata demikian pada siding media di Pusat khidmat Rakyat, Taman Sri Muda, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Ranting Taman Sri Muda Utara, P Sabastine, Ketua Ranting PKR Taman Sri Muda Selatan, N Mega dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kota Raja, Azmizam Zaman Huri.

"Kita yakin dan percaya Shuhaimi dan Amirudin tidak terlibat amalan rasuah kerana mereka komited terhadap tugas yang diamanahkan selepas memenangi pilihanraya umum PRU ke-12 lalu.

"Tindakan SPRM menjatuhkan reputasi adun berkenaaan," katanya.


Sumber: Sinar Harian, S5, Ahad, 4 Julai 2010

Tiada ulasan: