Rabu, 23 Jun 2010

Zulkifli Noordin

Zulkifli Noordin


FATWA DR. HARUN DIN

Posted: 23 Jun 2010 07:48 AM PDT


(Dato' Dr. Harun Din menunjukkan isyarat salib dalam ceramahnya bertajuk "15 Pembohongan Kristian")

Salam 2 all.

Saya perturunkan disini intipati fatwa yang dikeluarkan oleh Sahibul Fadhilah Professor Dato' Dr. Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS pada 04 Jan 2010 lepas di Bangi, Selangor Darul Ehsan sebagai suatu peringatan dan tazkir bagi mereka yang masih terus menerus menghalalkan kalimah ALLAH Yang Maha Esa disalahgunakan oleh puak Kristian. Moga ALLAH memberikan kita hidayah dan memelihara iman dan aqidah kita.

"Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik. Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka. Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama.

Saya kesal terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik tertentu yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.
Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.
Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran".*

Tepuk dada tanyalah iman. Ingatlah pesanan Rasulullah saw, "akan datang suatu dizaman dimana kamu akan menjual agama kamu dengan nilai dunia yang terlalu sedikit". Namun malang terdapat segelintir dikalangan kita yang begitu gigih berjuang untuk mendapatkan "ayat-ayat kerusi", sehingga mereka terlupa dengan peringatan ALLAH didalam "Aayatul Kursi"!!

Saya menyeru diri saya dan para pejuang dan aktivis Islam yang ikhlas dan masih punya sedikit iman, marilah kita kembali kepada perjuangan Islam yang sebenar, berdasarkan Al Quran & Sunnah. Kembalilah kita memperjuangkan impian dan cita-cita untuk menegakkan pemerintahan Islam, dan melaksanakan syariat Islam serta membuktikan keadilan Islam adalah untuk semua makhluk dimuka bumi ini. Ketepikanlah fahaman siasayah yang sempit, dan kembalilah kepada aqidah yang haq.

Yang baik itu dari ALLAH semata-mata, yang tidak itu adalah kelemahan saya sendiri. Moga ALLAH mengampuni segala kelemahan dan kesilapan saya.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
09 Rejab 1431
23 Jun 2010

PENYELARASAN PERUNDANGAN MURTAD

Posted: 22 Jun 2010 08:58 PM PDT

Salam 2 all.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Professor Dr. Mohamed Azam yang mencadangkan penyelarasan undang-undang murtad didalam negara ini. Masalah yang timbul ialah kegagalan negeri-negeri mengikut format penggubalan undang-undang yang sama dalam melaksanakan undang-undang murtad ini. Malahan yang paling mengecewakan masih ada negeri yang belum menggubal undang-undang pencegahan dan pengawalan gejala murtad saperti Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

Saya telah membangkitkan isu ini berkali-kali sejak permulaan sesi Parlimen ke 12 ini, malahan saya telah mengemukakan soalan dan pelbagai usul mengenainya. Tetapi jawapan yang diterima sangatlah mengecewakan, iaitu masalah perlaksanaan undang-undang ini adalah hal ehwal negeri dan pihak Kerajaan Persekutuan tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memberi garis panduan dan menasihatkan pihak berkuasa negeri.

Oleh itu, saya berharap supaya pihak JAKIM dan badan-badan persekutuan boleh duduk semeja dengan pihak berkuasa negeri untuk membincangkan dan mencari penyelesaian kepada masalah ini.

Takkanlah hal saperti ini pun kita tidak boleh mencari kata sepakat. Yang menyedihkan, dalam keadaan kita masih terkial-kial nak mencari kata penyelesaian, gejala murtad makin berleluasa. Dakyah asing makin agresif. Orang Melayu, jangankan agama, nama tuhan dia pun dia nak politikkan.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Rabu

09 Rejab 1431

23 Jun 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

KUALA LUMPUR, 23 Jun — Undang-undang berkaitan dengan isu murtad di Malaysia perlu diseragamkan memandangkan ia berbeza antara negeri, malah terdapat negeri yang tidak mengenakan hukuman ke atas mereka terlibat dalam murtad.

Koordinator Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, walaupun bidang kuasa terletak di bawah setiap negeri, usaha perlu dibuat di peringkat persekutuan terutama melalui Mesyuarat Majlis Raja-raja supaya satu undang-undang murtad dapat diperkenalkan.

"Hari ini kita lihat setiap negeri mempunyai undang-undang murtad tersendiri dan ia berlainan antara negeri, malah ada yang tidak mengenakan hukuman kepada pesalah murtad.

"Sebagai contoh Pahang, Perak, Terengganu, Sabah dan Melaka mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau sebatan sehingga enam kali (Pahang)," katanya.

Bagi Sabah, Kelantan dan Melaka, pesalah murtad ditahan secara mandatori di Pusat Pemulihan Akidah.

Selain itu menurut beliau, di Sabah dan Kelantan seseorang Islam yang keluar atau berhasrat untuk keluar Islam boleh ditahan di Pusat Pemulihan Akidah untuk tempoh tidak lebih 36 bulan dan di Melaka hanya diperuntukkan selama enam bulan.

Di Negeri Sembilan pula, katanya, seseorang yang ingin keluar Islam atau yang telah murtad perlu terlebih dahulu memohon kepada Mahkamah Syariah dan permohonan itu disalurkan kepada mufti untuk mengendalikan kaunseling kepada pemohon.

"Justeru, adalah wajar sekiranya kerajaan menyeragamkan undang-undang murtad bagi semua negeri," kata beliau dalam kertas kerja bertajuk "Murtad dan Kebebasan Beragama" pada Seminar Hak Asasi Manusia: Ke Arah Pemurnian Kefahaman" di Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Beliau berkata institusi pentadbiran agama setiap negeri perlu memainkan peranan dalam mendidik muallaf.

"Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti setiap negeri juga mesti berperanan dalam mendidik muallaf terutama yang memeluk agama Islam.

"Ini kerana mereka (muallaf) tidak boleh dibiarkan sahaja apabila memeluk agama Islam. Kita tidak mahu kes-kes permohonan keluar Islam bertambah di Mahkamah Syariah.

"Justeru, dalam mengendalikan permohonan murtad, jabatan-jabatan mufti disaran supaya menekankan proses rundingcara akidah dengan bijaksana," katanya.

Tiada ulasan: