Selasa, 22 Jun 2010

Zulkifli Noordin

Zulkifli Noordin


ARAK HALAL?

Posted: 21 Jun 2010 03:55 AM PDT


(Gambar hiasan semata-mata menunjukkan pesta arak di Piala Dunia 2010)

Salam 2 all.

Dewan Rakyat hari ini dikejutkan dengan kenyataan mengenai "fatwa" (sebenarnya kenyataan) yang dikeluarkan oleh YAB Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada 19.11.1992 mengenai lesen arak di Kelantan. Menurut YB Wee Choo Keong, YAB Menteri Besar Kelantan membuat kenyataan saperti berikut:

"Bagi penjualan arak, ia hanya dibenar jual oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja, kerana jika ia diharamkan sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya".

Dua tahun selepas itu, iaitu pada 26.11.1994, semasa timbul isu mereka yang mengkritik pengeluaran lesen arak di Kelantan dan pengambilan hasil cukai arak oleh Kerajaan Kelantan, YAB menjawab,

"Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembangunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, jadi bila diminum oleh mereka, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit dari mana?".

Mengikut statistik, sebanyak 40 lesen arak telah dikeluarkan di Kelantan setakat ini.

Dan kita semua tahu, arak itu adalah "ummul qoba-is"-ibu segala maksiat!!

Persoalan yang ditimbulkan dalam Dewan Rakyat ialah, kalau hasil arak boleh diambil dan digunakan oleh Kerajaan Kelantan untuk pembangunan, mengapa hasil cukai judi tidak boleh diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk tujuan yang sama?

Dan persoalan kedua yang dibangkitkan, mengapa Pakatan Rakyat membantah pelesenan judi bola dan pengambilan hasilnya oleh Kerajaan Pusat sedangkan lesen arak dibenarkan dan hasil cukainya diambil dan digunakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat?

Persoalan-persoalan diatas menimbulkan persepsi bahawa Pakatan Rakyat mengamalkan sikap double standard. Untuk Pakatan Rakyat boleh, tapi orang lain tak boleh! Untuk mereka halal, untuk orang lain haram!

Apa yang mengejutkan saya, semasa isu dibangkitkan oleh YB Wee Choo Keong (Wangsa Maju), ada dikalangan badut-badut ingusan berkata "arak lain, judi lain"!? Ada yang lagi teruk mengatakan "arak dihalalkan oleh agama lain, tapi judi diharamkan!?".

Pada saya, arak dan judi sama sahaja hukumnya haram. Malahan arak lebih serius kerana ianya "ummul qoba-is"-ibu segala maksiat. Samada judi atau arak, kerajaan pusat atau negeri sepatutnya mengambil langkah menghapuskannya samasekal, bukan memperlesenkannya. Mencegah lebih baik daripada mengubat.

Saya telah mengambil pendirian jelas dan tegas dalam isu lesen pertaruhan bola ini. Bagi saya, memperlesenkan pertaruhan bola ini tidak sepatutnya dibenarkan.

Sukan tidak sepatutnya menjadi bahan pertaruhan. Sukan adalah sukan.

Tanggungjawab Kerajaan, pusat atau negeri, bukan memperlesenkan judi atau arak, tetapi hendaklah ianya dibenteras. Memperlesenkan judibola atau arak samalah dengan menggalakkan aktiviti judi dan arak.

Kelak nanti satu hari sukan bola akan dikaitkan dengan judi, sama saperti sukan lumba kuda. Sedangkan riadhah berkuda adalah sunnah Rasulullah!

Begitu jugalah arak. Arak ini ibu segala maksiat. Memperlesenkan arak samalah dengan menggalakkan peminuman arak. Kalau peminum arak dikalangan bukan Islam nak minum, biarkan mereka minum dirumah mereka,atau ditempat persendirian mereka. Kita (maksudnya orang Islam) tidak boleh menghalang bukan Islam minum arak, dan kita tidak sepatutnya mengambil keuntungan atau hasil kewangan daripadanya. 

Disinilah maksud saya apa juga pendirian atau wadah politik kita, Islam mesti didahulukan. Kalau sesuatu itu bercanggah dengan Islam, ia tetap bercanggah tidak kira di wadah mana kita berada. Kita mesti berani menyatakan yang haram itu haram, yang halal itu halal. Satu aqidah pelbagai wadah. Inilah namanya istiqomah. Sebab itu kita berdoa "aamantu billah, summastaqim". Aku beriman dengan ALLAH, dan aku beristiqomah.

Yang paling saya kesal sudah muncul segelintir suara-suara sumbang yang mencari alasan dan justifikasi untuk menyatakan hasil arak itu halal, tapi hasil judi itu haram. Siap dengan beralaskan ayat quran dan sunnah. Astaghfirullah, ramai yang mengurut dada mendengar pak-pak janggoat ini mempermain-mainkan agamanya.

Sebab itu saya menyeru kepada diri saya dan semua pejuang dan aktivitis Islam marilah kita kembali kepada perjuangan Islam yang sebenar, berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Kita boleh berada dipelbagai wadah, tetapi biarlah satu aqidah.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
08 Rejab 1431
21 Jun 2010

Tiada ulasan: