Selasa, 29 Jun 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Pakatan Lantik Penasihat Undang-Undang Sendiri

Posted: 29 Jun 2010 03:15 AM PDT

Dari Malaysiakini

Negeri-negeri Pakatan Rakyat akan melantik penasihat undang-undang mereka sendiri dan memberhentikan amalan sekarang yang mana jawatan berkenaan diisi oleh perwakilan daripada Pejabat Peguam Negara.

Pada sidang media oleh pemimpin Pakatan di parlimen, hari ini, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu perlu berikutan 'kecuaian' oleh penasihat undang-undang yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.

“Kita akan mencadangkan negeri-negeri Pakatan supaya melantik sendiri peguam mereka sebagai penasihat undang-undang," kata Anwar.

“Ini kerana pejabat peguam negara tidak berkecuali. Mereka mewakili kepentingan kerajaan Umno-BN. Ini menyebabkan banyak masalah kepada pentadbiran negeri-negeri, sebagai contoh di Kelantan seperti yang dijelaskan oleh exconya hari ini," katanya.

Bagaimanapun Anwar tidak mengulas lanjut masalah yang dihadapi di Kelantan itu.

Penasihat undang-undang di negeri-negeri Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum 2008 seringkali bertindak dan membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan negeri. Paling ketara, ia berlaku di Perak sebelum kerajaan negeri Pakatan ditumbangkan.

Di Selangor pula, penasihat undang-undang negeri didakwa melenggahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan dokumen konsei perjanjian air sebagai dokumen awam.

Mengulas laporan Berita Harian semalam yang memetik kenyataan Pemuda Umno bahawa nisbah kaum Melayu yang mendaftar sebagai pengundi berbanding Cina adalah 40:1, Anwar berkata, Suruhanjaya pilihan Raya (SPR) seharusnya mengeluarkan angka tepat dan tidak menimbulkan rasa takut di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, dalam keghairahan SPR menyokong kenyataan Pemuda Umno, SPR seakan-akan lupa bahawa laporan sebegini hanya memperlihatkan kegagalan badan itu dalam menarik minat rakyat yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Ini memperlihatkan kegagalan SPR dalam menjalankan tugas mereka dengan berkesan,” kata Anwar.

Anwar sebulat suara menyokong pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesyorkan SPR supaya melaksanakan daftar pengundi secara automatik.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mencabar SPR untuk memberikan angka yang sebenar bagi membuktikan apa yang diperkatakan Umno adalah benar.

Semangat Musyawarah Teras Utama KEADILAN

Posted: 29 Jun 2010 03:09 AM PDT

KENYATAAN MEDIA

Semangat musyawarah menjadi teras utama dalam proses membuat keputusan di dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Program TemuRapat (retreat) KEADILAN yang telah berlangsung pada 26 – 27 Jun, di Hotel Quality, Shah Alam, Selangor, telah membuktikan bahawa KEADILAN sangat iltizam dengan prinsip musyawarah. Amalan tersebut bertepatan dengan perintah Allah (SWT) seperti yang termaktub di dalam al-Qur'an:

"..Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan keduniaan. Kemudian apabila kamu telah berazam (sesudah mesyuarat untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah (SWT), Sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya." (Surah Ali 'Imran: 159).

Junjungan Muhammad (SAW) sendiri suka mendapat pandangan dari para sahabat seperti yang dapat dilihat dalam hadis berikut

"Berikan pandangan kamu semua kapada Aku."

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang telah diadakan selepas program temurapat itu telah sebulat suara merumuskan untuk terus memperkukuhkan sistem penyampaian (delivery) kepada rakyat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) dan mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Perlantikan YB Azmin Ali, Naib Presiden KEADILAN sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor (MPN) akan memberi ruang kepada YAB Tan Sri Dato Seri Abd Khalid Ibrahim (TSKI) untuk menumpukan sepenuh perhatian beliau dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri Selangor.

Soal kedudukan TSKI sebagai Menteri Besar Selangor tidak pernah timbul sama sekali. Tidak ada sebab untuk TSKI digantikan dengan orang lain sebagai Menteri Besar Selangor. TSKI akan terus diamanahkan dengan tugas memimpin kerajaan negeri. Tempoh dua tahun yang lalu telah membuktikan kemampuan bekas tokoh korporat yang berwibawa ini mentadbir negeri Selangor dengan cekap, telus dan amanah. Kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan beliau terbukti cemerlang dan bebas dari gejala salahguna kuasa yang sangat sinonim dengan kerajaan terdahulu. Pemimpin dan anggota parti di segenap peringkat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap TSKI sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagi memperkukuhkan agenda parti dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang, KEADILAN telah memilih seorang Naib Presiden kanan parti yang sangat berpengalaman, YB Azmin Ali, sebagai Pengerusi MPN Selangor. Sdra Azmin Ali bertanggungjawab terhadap pengurusan jentera parti di peringkat negeri Selangor. Jentera parti akan diperkemaskan untuk menangkis fitnah dan serangan jahat Barisan Nasioanal yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Jentera parti juga akan diperkukuhkan sebagai langkah utama menuju ke Putrajaya.

Pengagihan tugas di antara memimpin kerajaan dan mengemudi jentera parti bukanlah sesuatu yang asing. Amalan ini berlaku di mana-mana, samada di dalam atau pun luar negara. Malah amalan ini turut dianuti oleh UMNO yang seringkali melakukannya bagi mengatasi keberantakan yang berlaku di kalangan ahli mereka.

Perhubungan UMNO Terengganu kini diketuai Dato Seri Hishamuddin walaupun kerajaan negeri sekarang ini dipimpin oleh Dato Ahmad Said. Tidak lama dahulu Tan Sri Muhammad Taib dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor walaupun Dato Seri Khir Toyo yang menjadi Menteri Besar. Di luar negara pula kita melihat kerjasama yang erat di antara parti dan kerajaan walaupun dipimpin oleh orang yang berbeza seperti yang berlaku di England, India, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Malah amalan demokrasi di negara-negara berkenaan berkembang dengan sangat baik dan matang.

KEADILAN sebenarnya sangat maklum dengan mainan jahat Barisan Nasional melalui media yang dikuasai oleh mereka. Pelbagai cerita karut marut dihidangkan kepada rakyat. Mereka sangat berharap fitnah jahat ini akan dapat mengganggu gugat keutuhan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat. Malang bagi BN, sehingga ke hari ini, sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terus meningkat. Semangat anggota parti komponen juga tidak sama sekali terkesan oleh segala pembohongan tersebut.

Tarikh : 29 Jun 2010
Prof Madya Dr Muhammad Nur Manuty
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)

Anwar Kemuka Rayuan di Mahkamah Persekutuan

Posted: 29 Jun 2010 12:10 AM PDT

Dari Malaysian Insider

Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan semua kenyataan termasuk saksi pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, selepas Mahkamah Rayuan menolak usahanya minggu lepas.

Rayuan kepada mahkamah tertinggi itu difailkan oleh peguamnya Karpal Singh tengah hari ini.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mei tahun ini yang menolak rayuan Anwar bagi mendapatkan dokumen-dokumen itu.

Anwar, 63, mahukan kenyataan-kenyataan yang mendakwa wujud percanggahan dalam testimoni Mohd Saiful semasa perbicaraan dan dakwaan liwat yang dibuat ke atasnya.

Katanya Mohd Saiful telah memberi keterangan bahawa dakwaan liwat terhadapnya berlaku tapa kerelaannya tetapi Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu mengadakan hubungan seksual secara rela.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Perbicaraan disambung 14 Julai. — Bernama

Klik disini perkembangan kes DSAI_28 Jun 2010

Scorpene Dan Pembelian Misil: SPRM Harus Siasat Segera

Posted: 28 Jun 2010 11:39 PM PDT

YB Tan Sri Datuk Seri Utama

Pandikar Amin Bin Hj. Mulia
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia
Jalan Parlimen
50680 Kuala Lumpur

Tan Sri Yang di-Pertua,

PERKARA: USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18 (1)

Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2), dengan ini saya ingin mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Saya, William Leong Jee Keen (Selayang) mohon mencadangkan:

"BAHAWA DEWAN INI MENDESAK SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) MENJALANKAN SIASATAN SEGERA KE ATAS KES PEMBELIAN DUA (2) BUAH KAPAL SELAM JENIS SCORPENE DAN MISIL OLEH MINDEF DAN BEKAS MENTERI PERTAHANAN YANG DISYAKI TERLIBAT DALAM PENERIMAAN KOMISYEN.

PADA BULAN JUN INI, POLIS PERANCIS TELAH MENYERBU PEJABAT DCNS DAN KUMPULAN INDUSTRI THALES BERHUBUNG SIASATAN TERHADAP PENJUALAN KAPAL SELAM KEPADA MALAYSIA.

SAYA MENEGASKAN BAHAWA SPRM HARUS MEMPUNYAI PENDIRIAN YANG TEGUH UNTUK BEKERJASAMA DENGAN PIHAK POLIS PERANCIS UNTUK MEMBANTU SIASATAN KE ATAS PENYELEWENGAN YANG BERLAKU DALAM KESELURUHAN SKANDAL KAPAL SELAM INI."

Tan Sri Yang di-Pertua,

Skandal kapal selam Malaysia telah menjadi tumpuan media masa antarabangsa kerana ia terlibat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib ketika itu sebagai Menteri Pertahanan dan didakwa memberikan keuntungan komisyen kepada Abdul Razak Baginda.

Bagi menjaga dan memulihkan imej Negara Malaysia dan Perdana Menteri sendiri, pihak SPRM harus menjalankan siasatan segera ke atas skandal ini dan bekerjasama dengan pihak polis Perancis dalam siasatan tersebut.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Skandal Perwaja merupakan contoh dan teladan yang terbaik bagi SPRM untuk menunjukan ketelusan dan semangat bekerjasama bersama pihak berkuasa luar negara. Pada masa itu, skandal Perwaja disiasat melalui Jabatan Siasatan Perdagangan Polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas pihak berkuasa Switzerland.

Malangnya, sehingga kini tiada sebarang pihak berkuasa negara kita mengambil tindakan untuk menyiasat skandal ini malah jurucakap dari Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa 'tiada kes' dalam skandal ini.

Demi membuktikan dan mengembalikan kepercayaan orang awam terhadap skandal ini yang melibarkan kepentingan rakyat umum yang perlu disegerakan, saya mohon usul ini dibincangkan.

Sekian, terima kasih.

YB William Leong Jee Keen,
Ahli Parlimen Selayang

Tiada ulasan: