Jumaat, 18 Jun 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Kenapa Syarikat Felda Ditutup Selepas Najib Ambil Alih

Posted: 18 Jun 2010 01:27 AM PDT

Dari Harakah Daily

Datuk Zaid Ibrahim meminta kerajaan menjelaskan berhubung beberapa syarikat berkaitan Felda yang telah ditutup dalam tempoh lima tahun terakhir semenjak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Felda.

“Syarikat-syarikat berikut telah ditutup: Felda Karet, Sutera Jaya dan Felda Herbal. Harus ada penjelasan terperinci kenapa ianya ditutup dan apakah hal ini disebabkan kelemahan pengurusan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR mendakwa penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung kejatuhan sumber kewangan Felda tidak jelas dan boleh dipertikai.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Datuk Ahmad Maslan Ahmad di Dewan Rakyat Rabu lalu juga tidak menyentuh keuntungan pelaburan yang diperolehi Felda.

“Dia gagal untuk menjelaskan nilai keuntungan Felda melalui pelaburan selain menggunakan wang tersebut untuk ‘tujuan kesejahteraan’, seperti yang dinyatakan,” katanya.

Felda mengalami kejatuhan sumber kewangan sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Rabu lalu, Ahmad ketika menjawab soalan di parlimen memberitahu, kejatuhan nilai kewangan Felda dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009 adalah kerana digunakan untuk tujuan kebajikan.

RM2 bilion, jelasnya untuk penanaman semula tanaman, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta diperuntukkan untuk pembangunan ibupejabat baru Felda.

Menurut Zaid, jumlah RM2 bilion untuk penanaman semula adalah besar dan Ahmad sewajarnya memberi penjelasan lebih terperinci.

“Timbalan Menteri harus memperincikan bagaimana RM2 bilion diperuntukkan termasuk jumlah peneroka yang terlibat, luas kawasan dan adakah ianya termasuk wang pendapatan penduhuluan untuk para penduduk dalam program ini dan apakah ianya menggunakan kaedah penanaman yang standard.

Beliau juga turut mempersoal bagaimana RM253 juta yang dinyatakan oleh timbalan menteri untuk dana pemberantasan kemiskinan Sabah.

“Adakah wang tersebut disalurkan terus kepada penduduk miskin, atau apakah itu disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah yang kekurangan wang?

“Jika ini dianggap ‘kesejahteraan masyarakat’, kita harus bertanya apakah tugas wajib Felda dan adakah termasuk membantu kerajaan BN yang kekurangan wang,” katanya lagi.

Berhubung ibu pejabat baru Felda di Taman Platinum pula, Zaid mempertikai mengapa Felda perlu membayar 40% deposit (berbanding asal 10%) kepada Naza TTDI untuk bangunan baru itu yang bernilai RM662 juta.

Turut dituntut penjelasan berhubung jumlah sejumlah RM4 juta ke RM5 juta dihabiskan untuk kemudahan Felda Football Club.

“Saya menyeru Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak untuk melepaskan Felda dan membiarkan organisasi profesional ini dikendalikan secara telus,” katanya.

RMK10: Untungkan Pemodal Konglomerat Swasta, Sisihkan Ekonomi Rakyat- DSAI

Posted: 18 Jun 2010 01:10 AM PDT

Dari TV Selangor

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan taklimat mengenai RMK 10 kepada pemimpin dan pegawai tertinggi kerajaan negeri serta wartawan.

Penasihat Ekonomi Selangor itu melahirkan dukacita kerana Rancangan Malaysia ke-10 mengutamakan kepentingan pemodal dan konglomerat swasta dan meminggirkan keperluan rakyat.

Anwar berkata RMK-10 berpaksikan gelombang penswastaan besar-besaran, tetapi mengenepikan matlamat untuk mengangkat kemampuan ekonomi rakyat jelata.

Datuk Seri Anwar berkata rumusan ekonomi negara tidak boleh menafikan sebahagian besar rakyat Malaysia masih dihimpit kemiskinan dan beban kos yang tinggi.

RMK-10 disifatkan sebagai gagal kerana Perdana Menteri Najib Abdul Razak enggan memperkenalkan dasar basmi kemiskinan merentasi garis perkauman.

Keikhlasan pemerintah mengatasi isu kemiskinan turut teruji dengan keengganan Kabinet menyelaras garis paras kemiskinan mengikut situasi semasa.

Bahkan, Anwar turut membidas sikap kerajaan yang berdedikasi menghapuskan bantuan kepada rakyat termiskin tetapi mempertahankan subsidi kepada syarikat-syarikat besar.

Anwar dalam ucapannya berkata RMK-10 sepatutnya melihat semula prestasi lemah di projek-projek koridor serata negara.
Penasihat Ekonomi Selangor ini menyarankan Kabinet menghentikan segera amalan pemberian tender secara runding terus bagi mengalakkan persaingan dan menarik pelaburan asing ke koridor-koridor berkenaan.

Negeri-Negeri Pakatan Rakyat disebut sebagai antara negeri yang paling berprestasi dan berpotensi di Malaysia, dengan Selangor dan Pulau Pinang terutamanya menjadi nadi industri negara.

Anwar mencadangkan supaya keseluruhan pendekatan perancangan ekonomi disemak semula, kerana rumusan RMK-10 masih lagi terperangkap dalam kerangka politik sempit.

Kebebasan Media: Rais Terus Berkhayal

Posted: 18 Jun 2010 01:07 AM PDT

Dari Malaysiakini
Oleh Susan Loone

Freedom House yang berpangkalan di Amerika Syarikat kurang senang dengan kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim bahawa senarai kebebasan media negara-negara yang dikumpulkannya itu hanyalah satu “laporan kerusi selesa”.

Pengarah urusannya, Karin Karlekar meminta Rais untuk menjelaskan secara khusus berhubung perkara yang tidak disenangi atau yang tidak dipersetujui mengenai kajian berkenaan.

Karlekar menjelaskan bahawa persekitaran undang-undang Malaysia dilihat sebagai mengongkong media menurut kaca mata antarabangsa.

“Malaysia juga menghadkan keupayaan blogger dan media online daripada beroperasi," katanya kepada Malaysiakini, malam semalam.

Beliau mengulas kenyataan Rais di parlimen semalam bahawa Malaysia yang menduduki tangga 141 senarai kebebasan media di dunia ini yang dilakukan oleh Freedom House sebagai "tidak tepat".

Rais berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang ingin tahu sama ada kebebasan media massa di negara ini masih terhad seperti yang dilaporkan oleh kajian Freedom House.

Rais menafikan perkara berkenaan dan sebaliknya berkata kebebasan media di Malaysia semakin bercambah.

Katanya, kewujudan dua juta blogger di negara ini membuktikan media massa di Malaysia bebas menyiarkan pendapat dan kritikan masing-masing dan piawaian yang digunakan tidak mengikut budaya rakyat negara ini.

Karlekar sebaliknya, menjelaskan bahawa metodologi atau kaedah yang dijalankan oleh Freedom House adalah berdasarkan piawaian yang diterima-pakai oleh negara-negara di seluruh dunia mengenai apa yang ditakrifkan sebagai kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Katanya, piawaian itu dijamin oleh beberapa perjanjian antarabangsa yang Malaysia juga adalah antara negara yang memeterainya.

Liew: Kos Jambatan Kedua, Jawapan PM Tak Benar

Posted: 18 Jun 2010 12:59 AM PDT

Dari Malaysiakini

Ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Ching Tong mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan jawapan yang tidak benar berhubung soalannya berkenaan kos pembinaan projek jambatan kedua Pulau Pinang.

"Saya telah meminta Perdana Menteri menyatakan sebab jumlah kos pembinaan telah dinaikkan kepada RM 4.5 bilion dan adakah jumlah ini termasuk kos membina "casting yard".

"Perdana Menteri menjawab bahawa kos pembinaan projek adalah tidak berubah dan kekal sebanyak RM4,500 juta, termasuk kos membina 'casting yard' oleh kedua-dua kontraktor iaitu CHEC Construction (M) Sdn Bhd dan UEM Builders Berhad," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Liew, maklumat berkenaan tidak benar kerana kos yang disebutkan selama ini dalam media massa dan juga di kalangan kerajaan adalah RM4.3 billion dan kos pembinaan 'casting yard' tidak patut dimasuk ke dalam kos keseluruhan.

"Isu kos pembinaan amat penting memandangkan pengguna jalan raya Pulau Pinang pada masa akan datang terpaksa menanggung kos ini dengan kadar tol yang tinggi.

"Contohnya, menurut perdana menteri, kadar tol untuk kereta peribadi yang menggunakan Jambatan Pertama dan Kedua akan diselaraskan kepada RM9.40 dalam masa tiga tahun lagi berbanding kadar selarang iaitu RM7, selepas pembinaan Jambatan Kedua," katanya.

Menurut Liew, beliau merujuk kepada satu laporan bertajuk "Proposed Penang Second Bridge Crossing Independent Review: Costing Review" oleh firma perunding Zaidun-Leeng yang mencadangkan bahawa harga yang wajar atau 'fair price' untuk jambatan kedua adalah RM 4.3 bilion.

"Laporan tersebut disediakan pada bulan Julai 2008 semasa harga minyak dan harga bahan bina sedunia memuncak ke tahap yang tidak pernah dialami sebelum ini. Kos pembinaan sekarang seharusnya berkurangan," katanya.

Liew berkata laporan firma perunding Zidun-Leeng juga menyoal kos UEM yang didakwa terlalu tinggi.

Katanya, kos UEM yang tinggi itu disebabkan oleh amalan korporat yang tidak jimat cermat.

"Contohnya, UEM mencadangkan untuk membiayai RM20 juta untuk majlis keraian. Apa yang diraikan sebelum jambatan itu dibina dan kenapa diperlukanRM 20 juta?" soal Liew.

Kata MP Bukit Bendera dari DAP itu lagi, UEM juga meminta ‘HQ overhead and support’ sebanyak RM63.51 juta yang didakwanya agak terlampau.

"Saya tidak faham kenapa pembinaan jambatan memerlukan kos penyeliaan ibu pejabat yang begitu tinggi."

Justeru, Liew berkata kerajaan pusat perlu mengkaji semula syarat-syarat yang tidak munasabah supaya rakyat Pulau Pinang tidak dibebankan.

Tiada ulasan: