Isnin, 21 Jun 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Puteri Umno Bawa Imej Elitis, Srikandi PKR 'Tawan' Universiti

Posted: 21 Jun 2010 07:44 PM PDT


Srikandi Parti Keadilan Rakyat semakin melebar sayap dalam meraih sokongan pengundi muda khususnya golongan mahasiswa institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat, Siti Aishah Shaik Ismail berkata kerancakan kempen Srikandi mendorong mereka menembusi 40 peratus IPT termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).

Lebih manis lagi, kejayaan ini datang ketika Pergerakan Puteri Umno dilanda bibit-bibit perpecahan walaupun ia cuba diselindung Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Rosnah dipercayai terpaksa membuat kenyataan media kononnya tiada masalah kepimpinan melanda Puteri Umno berikutan desas desus mengenai kegagalan pergerakan itu menggamit sokongan pengundi muda, bukan rahsia lagi.


"Sebenarnya Puteri Umno sedang mengalami permasalahan yang ketara. Kita lihat di peringkat negeri pun, pengaruh mereka semakin menurun akibat sikap pemimpin mereka yang mengamalkan standard tertentu." katanya.

Siti Aishah menyifatkan kebanyakan pemimpin dan ahli Puteri Umno yang mengejar populariti dan menonjolkan imej elitis di kalangan rakyat marhaen.

Ini menyebabkan Puteri Umno tidak popular di kalangan rakyat dan kini, tidak lagi kedengaran program melibatkan mereka.

"Punca utama kelemahan mereka ialah kerana mereka dilihat sebagai satu golongan elit yang hanya mengejar populariti - itu yang menyebabkan mereka gagal mendampingi pengundi muda.

"Kita melihat Puteri Umno hampir 100 peratus mendiamkan diri dan tidak pun memberikan pandangan atau idea-idea yang bernas bagi membantu golongan generasi muda," katanya.

Sebaliknya, Srikandi PKR bersungguh-sungguh menawan hati rakyat hingga mampu menambat keyakinan pengundi muda, lebih-lebih lagi golongan terpelajar.

"Kita berjaya menembusi hampir 40 peratus universiti di Malaysia termasyk UiTM dan UIA. Bukan bergantung kepada mahasiswa mencari kita di luar tetapi kita sudah mampu masuk sendiri melalui gerakan yang kita bina.

Sumber: TVSelangor

ADUN Seri Serdang kosongkan kerusi?

Posted: 21 Jun 2010 07:27 PM PDT

Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan badan Perhubungan Umno Selangor malam ini.

Sebaik mesyuarat tamat pada pukul 12.30 malam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed Satim (kanan) ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat malam semalam kerana ada urusan.

Beliau berkata selain Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir pada mesyuarat malam semalam kerana mereka ada urusan di luar negara.

Sabtu lalu, Noh dilaporkan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada ohamed Satim berhubung khabar angin yang mengatakan Mohamed Satim akan elepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) Seri Serdang, pada mesyuarat malam semalam.

Noh berkata mesyuarat malam semalam membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.

Sementara itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat ADUN Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Sumber: Suara Keadilan

Perbicaraan Bekas Pegawai Khas Menteri Besar Selangor Bermula

Posted: 21 Jun 2010 06:57 PM PDT


SHAH ALAM 22 Jun - Perbicaraan terhadap bekas Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Shaari, 43, bermula semalam di Mahkamah Seksyen Shah Alam atas dua pertuduhan iaitu menipu dan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan sumbangan.

Beliau yang merupakan ahli politik bagaimanapun mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan terhadap dua tuduhan tersebut membabitkan peruntukan bernilai RM50,000 dua tahun lalu.

Bagi tuduhan pertama, beliau yang merupakan Pengarah Program Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat didakwa menipu Pengerusi Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Datuk Karim Munisar, 59, dengan memperdayakannya bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi program itu sehingga mangsa menyerahkan RM50,000 kepadanya.

Beliau yang mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan didakwa melakukan kesalahan itu di Gardenia Coffee House, Hotel Quality di sini, antara 1.00 dan 3.00 petang pada 4 Jun 2008.

Jika disabit dengan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Mohd Yahya didakwa menggunakan dokumen iaitu 'Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat Selangor' yang didakwa sebagai tulen.

Mohd Yahya didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Yahya yang juga bekas Setiausaha Perhubungan KEADILAN Selangor mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Beliau sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM10,000 oleh seorang penjamin.

Pertuduhan ke atas beliau dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya Roziza Sidek, manakala penghakiman dijalankan di hadapan Majistret Tuan Ahzariz Teh Azman Teh.

Mohd Yahya Shaari diwakili oleh peguam Ahmad Nizam Hamid dan R Tirukumaran.

Turut hadir bagi memberi sokongan moral kepada beliau dalam perbicaraan tersebut termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak, Mustaffa Kamil Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Suhaimi Shafiei.

Prosiding bermula pada jam 10 pagi apabila pihak pendakwaan mengemukakan dua orang saksi yang terdiri daripada kakitangan bank yang didakwa berurusan dengan Mohd Yahya iaitu Norkiah Ibrahim dan Nofeta Fareal bagi tujuan pengecaman dan sesi awal soalan dari pasukan pendakwaan.

Soalan berkisar mengenai latar belakang saksi, pengalaman kerja dan urusan formal yang dilakukan oleh kakitangan bank.

Mohd Yahya yang berkot hitam duduk di kandang tertuduh dilihat tenang dalam proses perbicaraan tersebut.

Majistret Tuan Ahzariz Teh menangguhkan prosiding pada jam 12.00 tengahari selepas Timbalan Pendakwaraya Roziza Sidek memohon kepada Majistret untuk memanggil saksi bagi tujuan pengecaman dan membawa bukti berkaitan kes tersebut ke mahkamah.

Mahkamah menyambung prosiding pada jam 8.30 pagi hari ini.

Sumber: Suara Keadilan

RMK-10 Tempang Kerana Gagal Iktiraf Wanita

Posted: 21 Jun 2010 06:53 PM PDT


KUALA LUMPUR 22 Jun - Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebagai gagal kerana tidak mengiktiraf golongan wanita yang merupakan nadi dan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenepikan perancangan untuk golongan wanita dalam RMK-10 itu membuktikan dasar yang dibentangkan itu bersifat tempang dan pincang.

"Jika ia gagal memanfaatkan kebajikan wanita dan mengiktiraf kaum wanita, maka hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju menjadi tempang dan pincang kerana sekarang lebih 50 peratus penduduk Malaysia adalah wanita.

"Wanita juga pembuat keputusan dalam urusan kewangan keluarga," katanya kepada Suara Keadilan ketika mengulas berhubung perbahasan beliau mengenai RMK-10 di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Wanita KEADILAN itu turut mengkritik kelemahan Perdana Menteri kerana meminggirkan keistimewaan dan peranan wanita dalam RMK-10.

"PM Najib bila bentang RMK-10 langsung tidak menyentuh dan gagal untuk mengangkat teras ekonomi hawa ini dalam perancangan meningkatkan ekonomi Malaysia.

"Betapa pentingnya pengiktirafan itu diberikan kepada kaum hawa dalam pertumbuhan ekonomi negara yang perlu diambil kira sekarang.

"Sebagai kerajaan yang prihatin juga, tidak sepatutnya wanita digugurkan dalam perancangan dasar kerajaan ini," tegas Zuraida.

Sambil merujuk kepada laporan antarabangsa, Zuraida menyarankan Najib memandang jauh dan memberi perhatian serius terhadap potensi wanita sebagai pemacu ekonomi negara.

"Sama ada dia cetek, dia tidak bijak atau dia tak tahu saya pun tak tahu tetapi memandangkan dalam Havard Economy Review telah melaporkan potensi ekonomi wanita akan melebihi semua penduduk Cina dan India dan itu satu angka yang besar," jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan membuat penetapan strategik bagi mengiktiraf keistimewaan wanita.

"Perlu diambil perhatian bahawa ramai graduan kita adalah kaum wanita, maka satu pendekatan yang agresif perlu difikirkan secara kreatif untuk memanfaatkan kelompok graduan wanita ini yang berperanan dalam ekonomi negara dan dalam masa yang sama tidak menjejaskan kehidupan kekeluargaan mereka," katanya.

Ketika ditanya mengenai isu pelepasan cukai rakyat yang diberikan kepada wanita yang menanggung suami yang tidak bekerja, Zuraida berkata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husin hanya menjawab secara menyeluruh ketika ditanya oleh Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Sadique dalam pertanyaan bagi jawab lisan pagi tadi.

"Menteri tadi menjawab mengenai isu ini secara menyeluruh dan tidak mengkhususkan dan memberi satu bebanan kepada golongan perempuan.

"Bagi seorang perempuan, mereka perlu membantu keluarga dan menyumbang banyak tenaga untuk keluarga. Sebab itulah ianya perlu diberikan pengkhuussan kepada wanita kerana mereka perlu diberikan pelepasan istimewa sebagai mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara dengan kerja tanpa gaji berhubung kerja reproduktif iaitu mengandung, melahirkan dan menyusukan anak dan sebagainya.

"Di Malaysia ini belum lagi mencapai tahap pemikiran yang mana kedudukan wanita itu perlu diberikan pengiktirafan dan diukur atas kerja yang dilakukan tetapi tidak ada data atau angka yang mengukur pengiktirafan mereka," katanya.

Sehubungan itu, adalah wajar Kementerian Kewangan meningkatkan pelepasan cukai kepada isteri atau isteri yang menanggung suami sebanyak RM3,500, katanya.

Sumber: Suara Keadilan

Pemikiran MP Umno Anggap Judi Halal Tidak Bertamadun

Posted: 21 Jun 2010 06:36 PM PDT


KUALA LUMPUR 22 Jun - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyanggah kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mempertahankan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional meluluskan lesen judi sukan bola sepak atas alasan memenuhi keinginan masyarakat Cina untuk berjudi.

"Kerajaan Umno-Barisan Nasional menggunakan idea falsafah Machiavelli di mana maltamat menghalalkan cara berhubung isu lesen judi ini .

"Beliau sebenarnya telah menghina agama dan kaum lain di dalam dunia ini, beliau seharusnya sedar bahawa ungkapan dan ucapan beliau menunjukkan bagaimana sekularnya mereka .

"Kita tidak boleh menerima cara tersebut dan kita hendaklah menggunakan pendekatan Islam dan juga dalam bab judi ini, semua agama mengharamkan judi kerana merosakkan masyarakat.

"Pemikiran ahli parlimen Kota Belud ini adalah pandangan yang amat tidak bertamadun dan menyimpangkan daripada bukan sekadar Islam malahan agama-agama yang lain juga," tegas Salahuddin di parlimen semalam.

Tambahnya, tidak ada kenyataan rasmi daripada pemimpin agama atau pemimpin kaum yang lain yang mengatakan itu ajaran mereka.

Dalam pada itu, Salahuddin juga mencabar kerajaan Umno-BN mengeluarkan kenyataan terbuka yang mengatakan bahawa itu adalah kehendak orang Cina.

Sebelum itu, Abdul Rahman dalam ucapan perbahasan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 minggu lalu berkata tidak salahnya kerajaan meluluskan lesen judi sukan kerana sebelum ini judi lain sudah pun dibenarkan seperti Sports Toto dan Magnum.

Menurut beliau atas dasar ini kerajaan menghalalkan perjudian sukan bola sepak kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Sumber: Suara Keadilan

Wee Dinasihat Jangan Jadi Bodoh Dalam Isu Arak

Posted: 21 Jun 2010 06:34 PM PDT


KUALA LUMPUR 22 Jun - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membidas tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang mempertikaikan pentadbiran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan yang memberikan lesen menjual arak semata-mata untuk menghalalkan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional berhubung lesen judi sukan yang diluluskan Kementerian Kewangan baru-baru ini.

"Bila orang yang tidak faham bercakap mengenai isu yang beliau sendiri tidak faham, ini menyebabkan beliau mengelirukan Dewan.

"Di negeri Kelantan, memang hasil jual arak digunakan untuk tujuan pembangunan dan pembinaan jalan raya.

"Jika agama lain membenarkan, kita kena hormat dengan syarat pengawalan ketat tapi dalam soal judi adakah agama lain menghalalkannya kerana setakat yang kita tahu, semua agama mengharamkannya.

"Yang paling relevan sekali di sini, orang yang bukan Islam juga bersetuju supaya judi diharamkan tetapi mengapa Umno mahu menjadi juara untuk menghalalkannya,? tanya Khalid ketika ditemui Suara Keadilan di lobi parlimen semalam.

Menurut Khalid sama judi dihalalkan atau tidak, akan ada segolongan rakyat yang tetap mengamalkan aktiviti yang ditegah agama itu.

Menurutnya lagi, jika intepretasinya begitu maka dadah juga patut dihalalkan kerana sama ada dadah ada lesen atau tidak, penagih tetap akan menggunakan dadah dan begitu juga dengan pelacuran.

"Saya menganggap Wee tidak faham dengan hujah yang disampaikannya sedangkan orang bukan Islam membantah isu pemberian lesen judi sukan ini," tambah beliau.

Wee ketika berucap dalam Dewan dengan membaca teks berkata kebenaran menjual arak yang diberi kerajaan negeri Kelantan bercanggah dengan pendirian PAS berhubung isu kelulusan lesen judi sukan bola sepak.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula menganggap Choo Keong yang kini menjadi anggota Bebas mempunyai pandangan yang cetek.

"Apa yang kita katakan adalah supaya kerajaan Umno-BN menghadkan judi. Adakah beliau menganggap rakyat tidak ada kerja lain selain daripada bermain judi?

"Kita minta beliau jangan jadi bodoh sampai macam itu sekali," tegas Johari.

Ketika Wee keluar Dewan, wartawan cuba mendapatkan komen mengenai isu arak yang beliau tetapi beliau sebaliknya bergegas masuk ke tandas atas alasan sakit perut.

Sumber: Suara Keadilan

Rosmah Didakwa Kekang Kebebasan Media

Posted: 21 Jun 2010 06:28 PM PDT


KUALA LUMPUR 22 Jun - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mahu penjelasan samada Menteri atau isteri Perdana Menteri memainkan peranan memberi arahan kepada penerbit stesen televisyen kerajaan atau swasta dengan tujuan mengekang kebebasan media.

Tian Chua ketika membahaskan usul penangguhan mesyuarat Dewan Rakyat petang semalam berkatasejak kebelakangan ini aduan anggota media berhubung usaha menyekat kebebasan media melalui campur tangan tokoh politik amat membimbangkan.

Insiden pertama membabitkan Joshua Wong, penerbit rancangan 'Buletin' dan 'Isu Semasa' yang disiarkan dalam ntv7, yang terpaksa meletak jawatan sebagai protes campur tangan Jabatan Perdana Menteri dan juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tian Chua memberitahu Joshua juga dilarang membincangkan isu politik termasuk dilarang mengundang anli panel daripada pembangkang serta semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Saya meminta Kementerian Penerangan memberi penjelasan samada arahan Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri selain larangan yang telah dikenakan ke atas Joshua adalah munasabah bagi seorang penerbit yang profesional.

"Kemelut ini tidak hanya melanda ntv7 sahaja, malah insiden kedua menimpa penerbit TV2, Chou Z Lam berkaitan dengan dokumentasi 'Galeri Manderin Nasional' yang dibatalkan kerana mendatangkan kesan politik kepada kerajaan Barisan Nasional Sarawak ketika kempen pilihan raya kecil Sibu sedang berjalan.

"Rancangan dokumentasi ini merakamkan secara fakta dan objektif pengalaman penduduk pribumi Sarawak yang menghadapi kesulitan dan kesengsaraan hidup berhubung dengan pembinaan Empangan Bakun.

"Chou Z Lam menerima penjelasan daripada Ketua Pengarah Bilik Berita, Jumat Engson bahawa kandungan rancangan itu terlalu sensitif dan tidak sesuai di siarkan," jelasnya.

Tian Chua memberitahu, beliau memohon Kementerian Penerangan menyatakan pendirian dalam persoalan hak bersuara dan hak menerima maklumat.

Dalam kes ini suara kaum pribumi yang menghadapi ancaman kehidupan telah ditindas termasuk hak rakyat disekat menerima maklumat atau pengetahuan.

"Ekoran dua insiden di tersebut, kejadian ketiga pula berulang sekali lagi apabila pembatalan siaran isu pembinaan menara elektrik di Rawang tanpa sebab. Pada 13 Mei yang lepas, Chou Z Lam menerima surat penamatan perkhidmatan daripada Bahagian Khidmat Pengurusan dengan alasan mengurangkan kos.

"Alasan sedemikian tidak boleh diterima bagi seorang penjawat awam, ini perlu dikembalikan hak beliau bukannya dicabuli oleh kerajaan sendiri.

"Di samping itu, saya pohon Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menjalankan penstrukturan semula dalam pentadbiran RTM supaya memberi ruang kebebasan untuk membincangkan isu kepentingan awam. Berikutan insiden-insiden ini, Menteri telah melantik Yap Shy Cuan dengan tugas memantau rancangan Mandrin yang mana jawatan ini tidak pernah wujud dan hanya dikenali sebagai pegawai khas dalam RTM," katanya lagi.

Beliau juga meminta Menteri memberi penjelasan tentang tugas dan tujuan jawatan Yap Shy Cuan dalam bahagian tersebut.

"Penjelasan perlu diberikan oleh Menteri apa tugas sebenar Yap Shy Cuan, saya mendapati Yap Chy Cuan merupakan ahli MCA dan merupakan perwakilan Pemuda MCA Bahagian Bera, Pahang. Apa yang saya ketahui rupa-rupanya beliau menjalankan kawalan terhadap kakitangan profesional dalam RTM dan memastikan perspektif selain kepentingan parti pemerintah dipertahankan," tegas beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Serangan pengganas: Pakatan politik jahat Umno

Posted: 20 Jun 2010 11:25 PM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, kenyataan mengenai serangan pengganas menunjukkan satu pakatan politik jahat antara Umno Barisan Nasional (BN) dan polis untuk menimbulkan ketakutan dan kemarahan masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan kumpulan kumpulan Islam.

Justeru, katanya PAS sangat kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kononnya akan ada serangan kumpulan pengganas ke atas rumah kuil Batu Caves dan kuil Kuan Yin Air Itam.

Ini, katanya sekaligus secara halus untuk menjauhkan masyarakat bukan Islam daripada PAS yang merupa parti politik Islam yang mendapat tempat di kalangan masyarakat bukan Islam.

"Inilah kebimbangan yang menghantui Umno bila PAS secara terbuka menyatakan pada rakyat tentang gerakan persediaan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, Umno mengharapkan bantuan Musa Hassan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melindungi kepentingan kuasa politik mereka daripada gerakan PAS untuk ke Putrajaya bersama PR bagi membawa perubahan ke arah Malaysia baru yang lebih maju.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, bagi Umno isu serangan pengganas adalah antara talian hayat terakhir parti itu.

Katanya, kenyataan Musa juga sudah pasti akan disusuli dengan penahanan di bawah ISA ke atas induvidu yang tidak akan dapat dibuktikan sebarang bentuk pengakuan yang bakal diskrip dramakan untuk tujuan politik murahan Umno.

"Tindakan ini sama seperti isu provokasi kalimah Allah bila mana Umno cuba menampil diri sebagai juara mempertahan Islam dalam usaha terdesak untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu Islam pada Umno," ujarnya lagi.

Isu tersebut berakhir, katanya dengan pembakaran gereja dan surau untuk menimbulkan ketegangan dan menakutkan rakyat.

Menurutnya, semua itu berlaku hasil dari provokasi jahat Umno, tetapi ternyata rakyat mengambil tindakan bijaksana dalam isu kalimah Allah dengan menolak provokasi jahat Umno.

"Kini sekali lagi Umno BN cuba membawa pendekatan lapuk yang dirangka oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) puluhan tahun lalu untuk menakutkan rakyat dengan isu-isu keselamatan dan pembanggunan (Kesban)," katanya.

Beliau menambah, ternyata Umno masih tidak berubah dalam usaha mempertahankan kuasa sedangkan pemikiran rakyat sudah berganjak jauh meninggalkan Umno.

Katanya, rakyat meminta integriti, demokrasi dan reformasi dalam urustadbir negara tetapi Umno BN membawa pendekatan autokrasi dan kuku besi.

Justeru, ujarnya rakyat perlu menghentikan perbuatan Umno mengadu dombakan rakyat pelbagai kaum dan agama sebaliknya mesti menunjuk jalan keluar kepada Umno untuk meninggalkan politik negara untuk diurus tadbir oleh PR bagi membawa pembaharuan untuk negara dan rakyat yang lebih sejahtera.

Sumber: Harakah Daily

Larangan Chin Peng pulang keputusan politik: bekas anggota PKM

Posted: 20 Jun 2010 11:20 PM PDT

Bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah dibubarkan, mengecam larangan kerajaan Malaysia terhadap rayuan Chin Peng untuk pulang ke tahanairnya sebagai satu "keputusan politik".

Anas Indrajaya Abdullah (kiri dalam foto), bekas anggota Rejimen ke-10 KPM, berkata perjuangan bekas setiausaha agung KPM selama 20 tahun untuk pulang ke Malaysia, termasuk di mahkamah tempatan, adalah wajar.

"Chin Peng menggunakan haknya yang sah yang terkandung dalam perjanjian damai pada 1989 yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand Selatan.

"Ini dinyatakan dalam perjanjian tersebut bahawa kami semua boleh pulang. Sebahagian besar dibenarkan pulang tetapi tidak pula Chin Peng (kiri)," kata Anas, 53, kepada kira-kira 50 peserta satu pertemuan yang anjurkan oleh Gerakbudaya SIRD di Petaling Jaya malam tadi.

Beliau bercakap di pertemuan selama dua jam itu yang bertema 'Apa khabar Orang Kampung'.

Anas, yang kini tinggal di Ban, Chulaborn 12, Narathiwat, sebuah desa persahabatan yang dianugerahkan oleh kerajaan Thailand untuk bekas anggota PKM, juga mempersoalkan mengapa isu kerakyatan Chin Peng menjadi faktor untuk menyokong larangan terhadapnya daripada pulang ke tanahair.

"Sewaktu rundingan Baling pada 1955, Tunku Abdul Rahman sudah membereskan isu kerakyatannya, bahawa tidak ada sebarang masalah mengenainya. Ia tidak harus ditimbulkan lagi," tambah Anas, yang merupakan menantu bekas pengerusk PKM, Abdullah CD dan isterinya, Suriani Abdullah.

Sumber: Suara Keadilan

Komisyen 100 Juta Euro Diselindungi Sebagai Latihan Kapal Selam Scorpene?

Posted: 20 Jun 2010 11:10 PM PDT


KUALA LUMPUR 21 Jun - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan membelanjakan 100 juta euro yang didakwa kos latihan kepada 500 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Saya ingin tahu 500 anggota ini dilatih untuk apa? Adakah untuk menyelenggara atau mengendalikan kapal selam Scorpene sedangkan menurut spesifikasinya ianya hanya memerlukan 20 orang untuk mengendalikannya.

"Jumlah tersebut tidak munasabah dan kita juga ingin tahu di mana dan mengapa dan yang begitu besar perlu untuk tujuan latihan itu?," soal Tian Chua.

Kata Tian Chua lagi, pada pandangannya 100 juta euro itu sebenarnya kemungkinan besar adalahkomisen yang telah dibayar kepada pihak terbabit termasuk bayaran kepada ahli politik di Perancis yang terlibat dalam proses jual beli kapal selam tersebut.

"Kes kapal selam ini sekarang di bawah siasatan pendakwaraya Perancis dan kita juga dimaklumkan oleh pihak Perancis tiga minggu yang lalu, satu tindakan tergempar merampas dokumen mengenai kapal selam Scorpene ini daripada pengilangnya, DCN di Paris," tegas beliau.

Tambah Tian Chua lagi, kertas siasatan tersebut telah dibuka dan dimulakan dan beliau berharap kerajaan Umno-Barisan Nasional telus untuk menjawab isu ini dan bagaimana wang itu diagihkan sebagai komisyen.

Sumber: Suara Keadilan

Tidak Ada Pilihan Raya Kecil Batu

Posted: 20 Jun 2010 11:05 PM PDT


KUALA LUMPUR 21 Jun - Pendirian Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha jelas bahawa kerusi Parlimen Batu kekal milik Pengarah Strategik KEADILAN, Tian Chua seperti mana yang diputuskan mahkamah Khamis lepas.

Tian yang ditemui pagi tadi di lobi parlimen berkata keputusan hakim betul dan niat beliau adalah untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil.

"Bagi hakim, jika sesiapa yang tidak bersetuju, maka pihak tersebut harus mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.

"Kita mengambil contoh kes Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin di mana Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar yang sah yang kemudiannya dicabar di Mahkamah Rayuan yang mana akhirnya Mahkamah Rayuan menetapkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar," jelas Tian Chua.

Menurutnya, tafsiran hakim bahawa denda RM2,000 tidak akan menghilangkan jawatan sebagai ahli parlimen dan pihak terbabit yang tidak bersetuju boleh mencabar keputusan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pula ketika ditemui media berkata beliau berpegang kepada keputusan hakim yang mengatakan Tian Chua tidak hilang kerusi tersebut.

"Mahkamah sudah putuskan maka tidak lagi timbul lagi persoalan kerusi tersebut.

"Apa yang telah diputuskan hakim sudah jelas di mana beliau tidak mahu pilihan raya kecil diadakan kerana membuang masa dan wang rakyat.

"Sebab itulah hakim mengurangkan denda tersebut daripada RM3,000 kepada RM2,000, dalam kes Fan Yew Teng yang dibatal kelayakannya sebagai ahli parlimen Menglembu pada 1975 hakim tidak menyebut bahawa beliau tidak mahukan pilihan raya kecil dan di dalam kes Tian, hakim telah menyebut dengan jelas dan nyata," kata Nazri.

Dalam pada itu Nazri juga berpendapat Ahli Parlimen Batu itu tidak perlu merayu berhubung keputusan tersebut.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata pejabat Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sedang menunggu keputusan rasmi Mahkamah Tinggi berhubung kes Ahli Parlimen Batu itu.

Katanya lagi, Speaker tidak boleh bergantung kepada laporan media semata-mata.

Speaker akan mengkaji penghakiman Ghazali sebelum memutuskan sama ada untuk membawa kes Tian Chua itu untuk dibahas di Dewan Rakyat.

Sumber: Suara Keadilan

MB Pahang Didakwa Dalang Projek Perumahan Tergendala

Posted: 20 Jun 2010 11:00 PM PDT


KUALA LUMPUR 21 Jun - Kerajaan Umno-Barisan Nasional sekali lagi mengabaikan kepentingan rakyat dengan tidak mempedulikan masalah yang dihadapi 150 pembeli rumah pangsa di Karak, Pahang yang sehingga kini tidak dapat menduduki kediaman impian mereka meskipun rumah tersebut siap dibina pada 2006.

Permasalahan yang dihadapi pembeli Pangsapuri Anggerik itu telahpun dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan serta pihak berwajib tetapi malangnya rintihan mereka tidak pernah dipedulikan dan mendapat perhatian daripada mana-mana pihak.

Perkara ini didedahkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail pada sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi bersama Timbalan Pengerusi Perhubungan KEADILAN Pahang, Ram Ponusamy bersama beberapa wakil pembeli rumah tersebut.

Azan berkata, masalah berkenaan bercanggah dengan pengumuman yang dibuat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada penggal Parlimen lalu.

"Mereka menjadi mangsa penganiayaan sehingga habis ikhtiar dan usaha dilakukan bagi mencari penyelesaian atas isu pembelian rumah yang satu masa dahulu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan bahawa satu-satunya negeri yang mempunyai dasar mengenai pemilikan rumah adalah negeri Pahang sebagaimana yang dinyatakan kepada saya pada sesi Parlimen yang lepas.

"Seperti mana aduan penduduk, mereka telah membayar sejumlah wang selama tiga tahun dan telah dipaksa membuat pembayaran untuk pemilikan rumah masing-masing tetapi apa yang mereka dapat sekarang, rumah yang telah dibayar itu tidak dapat diduduki malah menjadi mimpi buruk kepada mereka kerana justifikasi rumah tersebut yang tidak selamat.

"Sehubungan itu, mereka juga telah cuba menghubungi aduan rakyat dan sebagainya serta beberapa laporan polis telah dibuat, juga beberapa siri perjumpaan dengan pihak berkuasa sama ada kerajaan negeri, pihak kementerian malah surat aduan telah disampaikan kepada kementerian kewangan dan sebagainya sehingga mereka hilang ikhtiar dan bertindak datang ke Parlimen untuk mengadu berkenaan perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, Azan menggesa kerajaan untuk mengambil serius permasalahan ini dengan tindakan sewajarnya.

Tambah, beliau isu berkenaan turut akan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

"Ini merupakan insiden pertama yang dibawa ke Dewan Rakyat dan ini bukan satu perkara yang baik malah mungkin banyak lagi perkara seumpama ini berlaku. Saya harap secara baik kita (Pakatan Rakyat) akan berjaya menyelesaikan masalah ini," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ram menegaskan KEADILAN Pahang sedang membantu dan berusaha untuk menyelesaikan masalah penduduk terbabit.

"Kita akan buat satu tindakan tegas untuk membawa isu ini ke Parlimen kerana sampai sekarang tiada satu tindakan pun yang dibuat dan lebih teruk lagi, rumah tersebut memang tak boleh diduduki.

"Saya juga tahu Menteri Besar Pahang ada terlibat dengan projek ini sebab bangunan ini didirikan atas tanah kerajaan sebab itulah tidak ada apa-apa tindakan dibuat walaupun aduan telah diajukan kepada Barisan Nasional.

"Dan setakat ini tak ada jawapan dan tidak balas daripada Adnan," katanya.

Dalam pada itu, wakil penduduk terbabit yang hadir dalam sidang media itu, Krishnan Maruthaya menyuarakan rintihannya berkenaan apa yang telah dialami beliau bersama lain-lain pembeli.

"Projek ini dimulakan pada 2002 di mana pembayaran deposit telah dibuat dan pada 2003 selepas selesai buat perjanjian, pihak berkaitan tunjuk pelan perumahan, kemudian pada 2006, kita tengok rumah yang dibina menyerupai sekolah dan hanya tiga tingkat sahaja sedangkan dalam perjanjian bangunan tersebut dinyatakan adalah bangunan empat tingkat.

"Kita telah buat aduan kepada Ahli Parlimen BN, ADUN malah aduan telah sampai ke pejabat Perdana Menteri namun tidak ada tindakan sampai kita jumpa Perdana Menteri di Pekan namun masih sama.

"Rumah tersebut juga tidak dapat CF (sijil layak memduduki) tetapi rumah itu juga tidak selamat untuk kita duduki dan sekarang rumah tersebut telahpun retak.

"Kita pun hairan ada pihak mana yang menjadi dalang di sebalik isu ini. Sampai sekarang masalah ini tak selesai. Sebab itu kita datang sini," jelas beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: