Isnin, 28 November 2016

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


PENDIDIKAN KEINSANAN: MENYOROT WAWASAN KEPENDIDIKAN ANWAR IBRAHIM

Posted: 28 Nov 2016 05:58 PM PST

oleh Dr Siddiq Fadzil

Mukadimah

Dalam era kekuasaan media, kita selalu tertipu dengan propaganda. Media sebagai image maker banyak melakukan pemalsuan citra, yang kecil diperbesar dan yang besar diperkecil. Antara yang cuba dimangsakan adalah Anwar Ibrahim, tokoh yang sumbangannya selalu dinafikan, dan kebesarannya selalu diperkecilkan. Mudah-mudahan kita masih memiliki kejujuran nurani, daya fikir kritis dan keberanian bersikap objektif dalam menilai seseorang. Anwar Ibrahim adalah tokoh multi-dimensi dalam pengertian memiliki kemampuan yang pelbagai. Umum mengenalinya sebagai pemimpin karismatik, ahli politik berkaliber dan strategis yang cemerlang. Tetapi selain itu beliau juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan luas. Banyak wawasan dan gagasannya yang segar dan menginspirasikan: wawasan kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan Asia, wawasan ekonomi kemanusian, wawasan pendidikan keinsanan, wawasan masyarakat madani, dan yang terkini gagasan World Forum for Muslim Democrats.

Wawasan Kependidikan

Anwar Ibrahim adalah pemimpin-pendidik yang gigih memperjuangkan pendidikan sebagai birth right, hak yang lahir bersama kelahiran setiap anak manusia. Sejak muda beliau sangat memprihatinkan nasib anak-anak yang tidak mendapat peluang dan kemudahan belajar, terutama kanak-kanak di luar bandar. Mereka adalah antara korban kepincangan dasar urban biased development, dasar pembangunan yang lebih memusat di kawasan bandar. Sementara itu mereka yang berpeluang mendapat pendidikan pula, banyak dirosakkan oleh sistem pendidikan yang terlalu bersifat pragmatik dan utilitariansehingga mengabaikan objektif utama islah al-insan (pembaikan insan). Akibatnya berleluasalah gejala moral decadence,  kebejatan moral dalam pelbagai bentuknya. Yang paling menyolok adalah hypocrisy elit kepimpinan sebagaimana yang dirumuskan oleh Anwar sendiri ketika diwawancarai oleh Zainah Anwar,

The leaders were condemning corruption, but they were enriching themselves. They talked about Malay nationalism but they were alienated from the Malay masses.
They were obsessed with the west. They were too accommodating to non-Malay sentiments. They were extremely slow in implementing national policies in education and language. We wereimpatient and angry about the plight of the Malays, their education, rural development, rural health. There was this huge University Hospital, but no clinics in the rural areas. There were schools with no laboratories, no libraries and no qualified teachers. We were very angry, disgusted and critical of the government. There seemed to be no moral foundation and no spiritual guidance. We turned to Islam to fill this vacuum and to look for solutions. (Zainah Anwar, 1987:12-13)

Ketempangan sedemikian itulah yang membibitkan kesedaran reformatif-islahi yang kemudiannya mengorientasikan gerakan kesiswaan PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) yang dipimpinnya. Dalam wawasan reformasi-islahinya, agenda pendidikan menempati posisi teras sebagaimana terserlah dalam orientasi gerakan kepemudaan yang muncul menyusul pada tahun 1971 iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya, Anwar Ibrahim terus terjun ke dunia pendidikan kerakyatan dengan menubuhkan Yayasan Anda, sebuah sekolah menengah kerakyatan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang menampung pelajar-pelajar yang tidak mendapat tempat di sekolah-sekolah kerajaan. Mengenai sekolah ini Nagata menyebutnya sebagai gabungan pola pendidikan agama dan sekular:

Religious and secular education patterns in such a way that pupils can both sit for the national promotional examinations which open the doors of occupational opportunity to government and private sector and receive a solid religious and moral foundation for life as good Muslims. (Nagata, J., 1984:92).

Persekolahan model Yayasan Anda segera berkembang dengan memakai nama yang berbeza-beza di Ipoh, Taiping, Sungai Petani, Alor Star dan Kota Kinabalu. Yang menjadi ciri khas persekolahan model ini ialah pengajaran subjek Prinsip Islam yang memperkenalkan shumuliyyat al-Islam, iaitu Islam sebagai cara hidup yang utuh dan menyeluruh. Selain itu ialah orientasi keislamannya yang kental sebagai jelmaan semangat kebangkitan Islam yang menggelora ketika itu. Sekolah-sekolah tersebut rata-rata dikendalikan oleh aktivis-aktivis gerakan Islam ABIM. Majoriti besar aktivis ABIM ketika itu adalah guru-guru, dan mereka memang sangat instrumental dalam gerakan pemerataan kesedaran Islamiah yang berteraskan pendidikan.

Gerakan kependidikan ini juga didukung kekuatan idea demokratisasi pendidikan, bahawa pendidikan tidak seharusnya menjadi hak eksklusif golongan istimewa, sebaliknya harus dapat dinikmati secara kolektif oleh seluruh rakyat, tanpa mengira kaum dan agama atau status sosialnya. Komitmen terhadap semangat democratization of education yang dikobarkan oleh Anwar Ibrahim telah membangkitkan kesedaran pemerataan pendidikan, di samping pemerataan kesedaran tentang hak mendapat pendidikan berkualiti.

Pendidikan Keinsanan

Komitmen kependidikan Anwar Ibrahim juga terbina hasil penjelajahannya yang luas dalam dunia keintelektualan. Pelbagai aliran pemikiran, Timur dan Barat dipelajari dengan tekun, untuk kemudiannya diadun menjadi suatu gagasan yang segar. Demikianlah beliau mengadun pemikiran Paolo Freire dari Brazil dengan pemikiran 'Abd al-Rahman al-Kawakibiy dari Syria untuk menggagaskan pendidikan pembebasan dan pemberdayaan. Paolo Freire (1921-1997) adalah tokoh pemikir yang menggagaskan pendidikan untuk kaum tertindas. Antara bukunya yang banyak dibicarakan dalam kalangan masyarakat pendidik ialah Pedagogy of the Oppressed dan Education as the Practice of Freedom. Paolo Freire menggunakan pendidikan sebagai wahana membangkitkan kaum tertindas yang buta huruf dan terbenam dalam budaya bisu. Freire berkeyakinan bahawa manusia betapa pun jahilnya, dan berapa pun lamanya terbenam dalam budaya bisu (submerged in the culture of silence), ia tetap berpotensi untuk mampu melihat dunianya secara kritis. Pendidikan yang tepat akan membangkitkan kesedaran tentang hakikat dirinya sebagai manusia yang bermartabat. Pendidikan yang tepat juga akan membebaskannya dari budaya bisu, dan seterusnya memberinya keberanian tampil di pentas dialog kritis. Dengan kata lain, pendidikan liberatif mampu menciptakan transformasi radikal, merubah manusia buta huruf yang pasif dan bisu, menjadi manusia baru yang berani bangkit menggugat budaya dan order masyarakat yang menindasnya selama ini.

`Abd al-Rahman al-Kawakibiy (1854-1902) adalah ilmuwan-pejuang yang termasuk dalam rangkaian tokoh-tokoh gerakan islahakhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang dipelopori oleh Jamal al-din al-Afghaniy, Muhammad `Abduh dan Rashid Rida. Kekuatan al-Kawakibiy adalah analisisnya tentang gejala penindasan sebagaimana yang tertuang dalam bukunya Taba'i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad. Bagi al-Kawakibiy, ibu segala bentuk penindasan adalah penindasan politik. Rakyat diindoktrinasi untuk menerima hakikat bahawa golongan penguasa memang diciptakan untuk memerintah semahu mereka, sementara rakyat pula memang dicipta untuk mengabdi kepada penguasa, adil atau zalim. Al-Kawakibiy mengatakan bahawa rakyat yang tertindas dalam pemerintahan despotik dilayani bagaikan anjing yang dihina tetapi tetap setia, rela mengabdi walaupun hanya diberi tulang. Rakyat Muslimin di pelbagai rantau dunia terbelenggu dalam kezaliman para penguasa yang dibantu oleh fuqaha' al-istibdad (ulama penindasan). Umat diindoktrinasi dengan fiqh al-istibdad (fiqh penindasan) yang berintikan ajaran syukur kalau penguasa adil, sabar kalau mereka zalim. Satu-satunya cara melawan penindasan bagi Al-Kawakibiy adalah pendidikan pembebasan, ilmu yang dapat menyedarkan umat tentang betapa buruknya kehidupan yang sedang mereka alami, dan sekali gus memberikan harapan bahawa mereka boleh memperbaikinya. Dengan kesedaran sedemikian, mereka akan mulai merasakan sakitnya ditindas dan diperas.

Wacana penindasan dan pentingnya pendidikan pembebasan memang sangat relevan dalam konteks masyarakat pasca-kolonial yang masih terbelenggu dalam sikap jiwa hamba warisan penjajahan, dan dilanjutkan oleh penguasa pasca-kemerdekaan. Anwar dan rakan-rakannya menyedari bahawa kemerdekaan telah tidak diisi dengan pembinaan jiwa merdeka, malah telah berlaku proses dehumanisasi (penghakisan ciri dan nilai keinsanan). Manusia yang kehilangan hak dan martabatnya adalah manusia yang telah kehilangan kemanusiaannya. Kerana itu isu insaniyyat al-insan menjadi keprihatinan utama, dan seterusnya membangkitkan kesedaran tentang pendidikan keinsanan.

Pendidikan yang berorientasi keinsanan inilah yang menjadi tumpuan utama ketika Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan. Antara sumbangan besar beliau sebagai Menteri Pendidikan ialah perumusan Falsafah Pendidikan Negara yang berintikan idea keinsanan, "…memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan." Bagi Anwar human development adalah paksi pembangunan di segala sektor dan bidang, termasuk pembangunan ekonomi yang harus menjadi bahagian integral daripada keseluruhan falsafah pembangunan insan. Beliau mengingatkan bahawa manusia yang dimaksudkan dalam konteks pembangunan ekonomi yang digagaskannya, bukan manusia menurut definisi humanisme sekular yang sentiasa haus dan rakus, tetapi manusia unggul seperti yang dikonsepsikan dalam tamadun-tamadun besar dunia, iaitu seperti chun tzu(manusia sempurna) dalam Konfusianisme, dan insan salih (manusia baik) dalam Islam. Pembangunan ekonomi tidak dilihat dari perspektif homo economicus yang materialistik, tetapi dari perspektif homo islamicus yang mampu menciptakan keseimbangan material-spiritual.

Universiti dan Kualiti Keintelektualan

Berbicara tentang kebangkitan Asia, Anwar Ibrahim mengingatkan peri pentingnya kecemerlangan intelektual dan pengayaan budaya (intellectual excellence and cultural enrichment). Mediokriti harus segera digantikan dengan kecemerlangan (intelektual). Justeru, kemajuan dan kebangkitan tidak mungkin berlaku di tengah kebekuan dan kegersangan intelektual. Mengenai kepentingan iklim keintelektualan yang segar sebagai prasyarat perubahan, beliau mengatakan, "The reengineering of society, to make it more open, transparent and tolerant, is also contingent upon a vibrant intellectual climate." (Anwar Ibrahim, 1997:30).

Ternyata Anwar Ibrahim sangat memprihatinkan kualiti keintelektualan di negara ini, dan seterusnya kepiawaian para graduan yang ditampilkan oleh universiti-universiti tempatan. Dilatari keprihatinan tersebut, ketika menjadi Menteri Pendidikan, beliau telah mengarahkan semua Naib Canselor membaca sebuah laporan tentang kemerosotan pengajian tinggi di Amerika Syarikat. Laporan berjudul A Nation at Risk (1983) itu mengungkapkan keprihatinan terhadap tahap kekuatan intelektual, moral dan spiritual bangsa Amerika, "Our concern, however, goes well beyond matters such as industry and commerce. It also includes the intellectual, moral and spiritual strength of our people which knit together the very fabric of our society."

Perhatiannya terhadap mutu pengajian tinggi tidak terbatas hanya ketika menjadi Menteri Pendidikan, tetapi berterusan hingga sekarang. Dalam pesanan khasnya kepada penulis, beliau menyarankan agar diteliti juga laporan selepas A Nation at Riskdi atas, iaitu A Test of Leadership (2006) yang memprihatinkan pelbagai gejala kemorosotan dalam pendidikan tinggi Amerika Syarikat. Kesimpulan laporan tersebut menyatakan:

The future of our country's colleges and universities is threatened by global competitive pressures, powerful technological development, restraints on public finance, and serious structural limitations that cry out for reform.
Our report has recommended strategic actions designed to make higher education more accessible, more affordable, and more accountable, while maintaining world-class quality. Our Colleges and universities must become more transparent, faster to respond to rapidly changing circumstances and increasingly productive in order to deal effectively with the powerful forces of change they now face.

Laporan-laporan sedemikian menarik perhatian Anwar, kerana beliau sendiri memang mengaspirasikan universiti berkualiti tinggi yang dapat menjadi pusat pengembangan minda kreatif dan adventurous. Beliau menerima pentingnya pengkhususan, tetapi tidak harus terkurung dalam kepompong pengkhususan. Sebaliknya harus ada pendedahan secukupnya kepada idea-idea penting dari disiplin lain dan perkembangan pemikiran umum semasa. Di samping cemerlang dalam bidang masing-masing, para graduan juga harus memiliki cita rasa seni, sastera, musik dan karya-karya yang tinggi nilai estetikanya. Para graduan universiti yang menguasai bidang yang pelbagai itulah yang beliau sebut sebagai multidimensional men.

Beliau juga menginginkan agar institusi-institusi pengajian tinggi memiliki kesanggupan dan keberanian melakukan penerokaan baru dalam pelbagai bidang falsafah, agama, perundangan, ekonomi, seni dan sains. Pelajar-pelajar universiti pula tidak harus hanya terpaku pada buku-buku teks semata-mata, tetapi harus dibimbing untuk meneroka idea-idea dari karya sarjana-sarjana besar, dan mengikuti polemik intelektual dari pelbagai aliran. Di samping membangkitkan ghairah keintelektualan, beliau juga mengingatkan pentingnya nilai-nilai murni kerohanian seperti keihlasan, kerendahan dan kemurahan hati, serta kecintaan pada kebenaran dan keadilan. Tanpa didasari nilai-nilai tersebut, ilmu setinggi mana pun tidak akan membawa kebaikan. (Anwar Ibrahim, 1997: 106-107).

Anwar Ibrahim memang sangat komited dengan epistemologi Islam. Peranan kuncinya dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuktikan kesungguhannya dalam usaha membangun semula tamadun keilmuan Islam berteraskan epistemologi tawhidik dalam pengertian Islamisasi ilmu. Sebagai ilmuwan Islamis, beliau cukup menyedari masalah-masalah yang membelit tradisi keilmuan sekular Barat dengan segala akibatnya. Kritiknya yang konsisten terhadap sekularisme, mengimplikasikan komitmen terhadap de-sekularisasi ilmu, untuk seterusnya dikembalikan kepada tawhid sebagai prinsip dan kaedah integratif menuju kesepaduan ilmu dalam suluhan wahyu Ilahi.

Khatimah

Anwar Ibrahim adalah contoh manusia pencinta ilmu yang setulennya. Beliau benar-benar telah mengecapi ladhdhat al-ma`rifah (kelazatan ilmu). Kerana itu beliau selamanya sangat akrab dengan ilmu dan ilmuwan. Apabila berbicara tentang sesuatu, dapat dipastikan beliau memang tahu apa yang dibicarakannya, bukan pura-pura tahu seperti sesetengah orang. Pidato-pidatonya yang memukau, bukan hanya kerana gaya retorikanya yang istimewa, tetapi lebih daripada itu adalah kekentalan ideanya yang terhasil dari penjelajahannya dalam dunia keilmuan yang memang cukup luas. Kemanusiaan seorang manusia, bukan pada raga jasmaninya, tetapi pada akal budinya. Demikianlah keyakinan dan pegangan hidup Anwar Ibrahim yang ternyata sangat teruja dengan bait-bait puisi Abu al-Fath al-Busti:

Ya khadima 'l-jismi, kam tashqa li khidmatihi,

Litatluba 'r-ribha mimma fihi khusranu,

Aqbil `ala 'n-nafsi wa 'stakmil fada'ilaha,

Fa anta bi 'n-nafsi, la bi 'l-jismi insanu.

Wahai pengabdi jasmani, betapa penat kau merawatnya,

Bak mencari laba, di pasar ruginya segala niaga

Hadap sajalah jiwa dan minda, bina hingga sempurna

Dengan akal budi, bukan raga jasmani, kau jadi manusia.

Rujukan:

Allers, Charles. 2013. Anwar Ibrahim: Evolution of a Muslim Democrat. Singapore:
Monsoon.

Al-Kawakibiy, `Abd al-Rahman. 2009. Taba'i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad. Kaherah: Dar al-Shuruq.

Anwar Ibrahim. 1997. The Asian Renaissance. Singapore: Times Book International.

Freire, Paolo. 1968. Pedagogy of the Oppressed. New York: The Seabury Press.

Nagata, Judith. 1984. The Reflowering of Malaysian Islam: Modern Religious Radicals and Their Roots. Vancouver: University of British Columbia Press.

Siddiq Fadzil. 2014. Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan.

—————– 2015. Misi Kecendekiawanan dalam Gerakan Reformasi Islahi. Bangi:

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Zainah Anwar. 1987. Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among the Students. Petaling Jaya: Pelanduk Publication.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan