Khamis, 30 Januari 2014

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Selamat Tahun Baru Cina 2014

Posted: 29 Jan 2014 11:54 PM PST

Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan mengucapkan Gong Xi Fat Chai buat semua warga Cina Negeri Sembilan.

Semoga kemeriahan sambutan ini akan memberi inspirasi kemakmuran kehidupan semua.

Buat yang pulang bercuti, didoakan selamat sepanjang perjalanan dan berhati-hati ketika memandu.

Kebakaran di Taman Permai, Seremban

Posted: 29 Jan 2014 11:12 PM PST

dipetik daripada FB YB Cha Kee Chin

Lokasi kebakaran: Taman Permai, Seremban.
Kejadian: Kebakaran sebuah kedai 'hardware' bersebelahan 'food-court' di hadapan persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Permai-Lingkaran Tengah Seremban yang berlaku sekitar jam 1.30 tengahari tadi.




Pas tak boikot PRK Kajang, malah turun bantu kempen

Posted: 29 Jan 2014 09:35 PM PST


Mat_sabu
PETALING JAYA 29 JAN: Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata parti itu tidak memboikot pilihan raya kecil DUN N25 Kajang yang bakal ditandingi Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad mengulas kenyataan ahli parlimen Temerloh, Hasan Nasarudin dan sayap Pemuda PAS Selangor sebelum ini yang dikatakan akan memboikot PRK Kajang jika tiada penjelasan munasabah dari KEADILAN.
"Peribadi boleh memberikan pandangan. tetapi keputusan parti itu yang perlu diambil kira.
"Pandangan peribadi biasalah. Siapa pun boleh beri pandangan peribadi," kata Mohamad kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Malah Mohamad yang lebih mesra dipanggil Mat Sabu berkata, beliau sendiri akan turun berkempen di Kajang dan hadir ke hari penamaan calon bagi memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
"Kita fokus kepada PRK Kajang. Mesyuarat bersama Pas negeri (Selangor) akan dibuat," katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58757

Serampang Kajang: Selangkah ke Putrajaya

Posted: 29 Jan 2014 09:33 PM PST

Oleh Rafizi Ramli
Saya sedar bahawa keputusan mengosongkan kerusi DUN Kajang perlu dijelaskan sebaiknya kepada rakyat. Saya juga mengingati pesan Datuk Ambiga kepada saya supaya berterus terang dengan rakyat.
Mohon maaf
Maka sebaiknya saya perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia amnya dan pengundi Kajang khususnya atas perkara ini. Pilihanraya Kecil (PRK) ini sudah tentu akan membazirkan wang dan masa rakyat tatkala kita bersusah payah dengan kemelut harga barang naik.
Tidak ada alasan yang baik apabila wang rakyat dibazirkan kecualilah dengan memohon maaf. Parti saya juga perlu bersedia dan pasrah sekiranya pengundi Kajang mengambil pendirian menghukum kami.
Rafizi
Sebagai salah seorang yang paling kuat menyokong serampang politik ini, sejujurnya saya memikul tanggungjawab yang paling besar di atas keputusan tersebut.

Dinamik dalaman Umno, permainan perkauman dan agama
Namun, atas kejujuran kepada diri sendiri dan rakyatlah kita harus mengakui bahawa ada beberapa masalah dan cabaran di Selangor yang memerlukan campur tangan segera.
Pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim yang cemerlang selama enam tahun yang lepas memang membuatkan rakyat senang dengan beliau. Pun begitu, masih banyak ruang yang boleh dibaiki terutamanya mengambil kira dinamik dalaman Umno yang sedang berlaku.
Gerakan dalam Umno untuk memecat Dato' Seri Najib Razak sudah bermula. Sebagai Pengarah Strategi parti, saya tidak menolak kemungkinan Dato' Seri Najib dipecat dan kepimpinan Umno jatuh ke tangan puak ultra yang berkiblatkan Tun Mahathir Mohamad.
Permainan jahat melalui serangan bertalu-talu yang berkisar kepada isu agama dan perkauman untuk mengambil alih Selangor akan bermula sebaik sahaja Dato' Seri Najib yang lemah itu dipecat oleh Umno. Setakat ini pun, jelas bahawa tangan-tangan Umno menjadi dalang kepada pelbagai kontroversi agama dan perkauman di Selangor sejak beberapa bulan lepas.
Sekiranya Dato' Seri Najib tumbang, wajarlah kita bersedia untuk berdepan dengan manipulasi perkauman dan agama secara besar-besaran untuk mewujudkan kebencian dan rasa tidak percaya kepada kerajaan Selangor.
Negeri contoh model ke Putrajaya
Pada masa yang sama, walaupun pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim telah menjadi contoh dari segi amanahnya dan berjimatnya dalam menggunakan wang rakyat, kita juga perlu menerima hakikat bahawa ada perkara-perkara yang boleh ditambahbaik.
Kita perlukan penyelesaian radikal untuk menangani masalah trafik yang meruncing; lebih banyak rumah mampu milik perlu dibina segera. Perancangan depan yang lebih menyeluruh diperlukan untuk memastikan kelangsungan khidmat bekalan air yang lebih baik di Selangor. Kita perlu lebih tegas mempertahankan hak kumpulan minoriti yang menjadi sasaran permainan politik Umno.
Sebagai Ahli Parlimen, saya yakin kita boleh tawarkan khidmat yang lebih baik kepada rakyat terutamanya bersabit kebersihan dan persekitaran hidup rakyat. Kita mempunyai potensi menjadi negeri contoh yang mempunyai jalanraya yang terbaik di seluruh negara.
Maknanya, Selangor perlu tawarkan khidmat yang dua kali ganda lebih baik dari sekarang jika kita mahu menjadikannya negeri contoh dan model ke Putrajaya. Seperti mana Istanbul adalah loncatan Erdogan dan Jakarta bakal menjadi loncatan Jokowi, Selangor boleh menjadi loncatan Pakatan untuk mengambilalih Putrajaya.
Menguatkan kubu Pakatan di Selangor
Tugas membela rakyat dan melangkah ke Putrajaya belum selesai dan kini kita berdepan dengan satu lagi siri serangan adu domba dan permainan kotor Umno untuk merampas Selangor.
Justeru, walaupun tindakan membazirkan wang rakyat dengan memaksa satu PRK menimbulkan kemarahan rakyat, duduk menunggu serangan Umno tanpa berbuat apa-apa adalah satu pengabaian amanah rakyat yang dosanya lebih besar.
KEADILAN dan Pakatan perlu menguatkan kubu kita di Selangor supaya kita boleh mempercepatkan pelaksanaan reformasi pro-rakyat dan pada masa yang sama mematahkan serangan politik dan adu domba Umno. Kita perlukan seberapa ramai pimpinan utama Pakatan di sekitar Selangor untuk mempertahankan negeri mahkota ini.
Atas dasar itulah keputusan untuk mencalonkan Dato' Seri Anwar bertanding di kerusi Kajang dibuat bertujuan mewujudkan satu pilihan politik yang boleh dilaksanakan segera sekiranya ada keperluan.
Adakah ini bermakna kerajaan Selangor akan mendapat Menteri Besar baru? Mungkin ya, mungkin tidak. Persoalan itu tidak timbul sekarang. Tetapi jika keperluan itu timbul, Pakatan mempunyai pilihan segera untuk menggunakan keseluruhan tenaga pimpinan kita untuk melawan Umno.
Yang penting adalah mewujudkan pilihan itu terlebih dahulu. Adanya pilihan bermakna kita ada ruang untuk mengambil langkah politik yang menyekat permainan politik Umno, terutamanya yang bersabit isu perkauman dan agama.
Elakkan pengalaman Kedah
Saya tahu bahawa penerangan ini tidak akan berjaya memadamkan kemarahan rakyat pada ketika ini. Saya hanya memohon supaya kami diberikan masa untuk menerangkan rasional dan ruang untuk melakukan yang perlu demi kepentingan Pakatan di Selangor.
Saya juga perlu memohon maaf bagi pihak parti saya kerana perbezaan pendapat di kalangan kami sering merunsingkan rakyat. Kami sedang berusaha sebaiknya untuk menyelesaikan perbezaan itu kerana melengahkan penyelesaian perbezaan dalaman akan mengheret kita mengulangi perkara sama di Kedah yang berakhir dengan kekalahan. Kami faham bahawa sebarang perbezaan dalaman perlulah diselesaikan segera kerana parti perlu utuh menghadapi Umno.
Serampang Kajang selangkah ke Putrajaya
Pemimpin yang baik tidak selalunya popular. Saya sayu melihat bagaimana nama baik Dato' Seri Anwar Ibrahim terheret di dalam perkiraan ini dan menjadi sasaran kemarahan rakyat. Namun, kesanggupan beliau mengambil amanah ini walaupun pahit terus meyakinkan saya akan nilai pengorbanan beliau sebagai seorang pemimpin.
Sejak beberapa hari yang lalu, saya meyakinkan diri saya bahawa Winston Churchill (Perdana Menteri Britain) juga terpaksa mengharungi kemarahan rakyat Britain apabila terus menggesa bermusuh dengan Nazi pada ketika sentimen popular adalah untuk berbaik dengan Nazi. Di kemuncak kuasa Nazi, Churchill berdiri keseorangan menentang Nazi pada ketika keseluruhan Eropah tunduk kepada Nazi.
Keyakinan untuk terus mempertahankan tindakan yang betul, walaupun dikritik hebat dan berdepan kemarahan umum, adalah ciri-ciri seorang pemimpin yang jujur.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan utama Pakatan yang memahami keputusan ini. Saya berterima kasih kepada rakan saya dalam kepimpinan pelapis Pakatan yang terus memberi sokongan moral dan politik untuk melaksanakan tindakan ini.
Saya harap satu hari kelak apabila kita di Putrajaya, kita boleh mengingati hari-hari sukar ini yang saya anggap "Serampang Kajang" sebagai loncatan terbaik melangkah ke Putrajaya.
Saya mungkin budak mentah dan ditertawakan atas kurangnya pengalaman bersilat politik, tetapi sekurang-kurangnya saya berlaku jujur dengan menerangkan perkara sebenarnya kepada rakyat.
Sama-sama kita melihat ke hadapan ke arah Putrajaya dengan semakin ukuhnya Pakatan Rakyat selepas PRK Kajang ini.
* Rafizi merupakan Pengarah Strategi KEADILAN merangkap Ahli Parlimen Pandan
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58770

Pendek akal jika kata PRK bazir wang rakyat – Dr Aziz Bari

Posted: 29 Jan 2014 09:32 PM PST

KUALA LUMPUR 30 JAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang tidak membazirkan wang rakyat bahkan ia dibenarkan perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen, kata pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari.
Aziz berkata, perletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh juga tidak salah dari sudut undang-undang, mahupun prinsip moral.
interview aziz bari isu perlembagaan perakpix : fahmirep : tiada wartawan
"Bagi saya perletakan jawatan itu tidak salah; baik undang-undang atau moral. Perlembagaan mengizinkan dan terpulang kepada pengundi di DUN Kajang untuk memutuskan apa mereka hendak buat kepada parti yang diwakili oleh bekas Adun itu.

"Secara prinsipnya PRK tidak membazirkan duit rakyat. Orang pendek akal dan tidak faham demokrasi perwakilan sahaja yang kata begitu," kata Aziz dalam satu kiriman email kepada keadilan daily.
Menurut Aziz, dalam keadaan apa pun, rakyat mesti mempunyai wakil, samada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun parlimen.
"Sebab itu PRK atau Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas berlaku kekosongan; baik kerana perletakan jawatan, kematian, hilang kelayakan atau kerana dewan terbubar atau dibubarkan,"
"Anehnya ada peguam yang marah-marah sampai terlupa kepada perlembagaan," ujarnya yang juga bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).
Ditanya mengenai pendapat mengatakan perletakan jawatan Lee Chin Cheh mengkhianati kepercayaan pengundi, Aziz berkata beliau tidak melihat tindakan itu sebagai suatu pengkhianatan.
"Saya rasa khianat itu hanya boleh dikatakan kepada wakil yang malas, tak peduli kebajikan penduduk atau tidur dalam dewan!
"Letak jawatan tidak khianat. Bahkan kalau bekas wakil rakyat itu berasa perletakan jawatan itu untuk memberi peluang kepada pengundi di Kajang mendapat ADUN yang lebih baik, yang lebih hebat, kita patut puji bekas ADUN tadi," ujarnya.
Aziz berkata, kedudukan Anwar dalam DUN Selangor dijangka dapat membantu melonjakkan ekonomi di Selangor, berdasarkan rekodnya sebagai menteri kewangan dan hubungan rapat dengan pemimpin antarabangsa.
"Saya fikir khidmat beliau sebagai penasihat ekonomi dalam penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor adalah bukti komitmen beliau. Kedudukan Selangor sebagai negeri terkaya di Malaysia boleh mendapat lonjakan dengan adanya beliau dalam DUN Selangor.
"Mengenai hubungan luar itu sudah jelas; beliau boleh gunakan kedudukan dalam DUN untuk memastikan Selangor menjadi nadi penggerak enjin ke Putrajaya. Saya fikir ini yang menyebabkan para pemimpin Umno resah," ujarnya.
Perhatian di kawasan luar bandar
Selain itu, menurut Aziz, tumpuan akan dapat diberikan kepada penduduk luar bandar yang disifatkannya terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya, sekiranya Anwar berjaya menduduki kerusi di DUN Selangor.
"Ini penting kerana dalam PRU13 kerusi, parlimen Selangor tidak bertambah dan ini bertumpu di kawasan-kawasan miskin luar bandar yang ramai penduduk Melayu seperti Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang dan Kuala Selangor yang kesemuanya dimenangi oleh BN.
"Dalam pada itu kawasan-kawasan bandar jelas terbiar, tidak banyak beza dengan pentadbiran BN. Ini mungkin kerana kerajaan negeri terlalu asyik melihat baki dalam bank tanpa mempedulikan penderitaan rakyat miskin, baik di dalam apalagi di luar bandar," kata Aziz merujuk rizab simpanan tunai Selangor.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim punya rekod cemerlang dalam memberi perhatian kepada kawasan luar bandar," ujarnya lagi.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58766

DUN Kajang: Azmin cabar Najib berdepan Anwar

Posted: 29 Jan 2014 09:30 PM PST

KUALA LUMPUR 29 JAN: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali mencabar Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon di Kajang ini bagi menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Azmin-Ali
Menurutnya, presiden Umno itu adalah calon paling sesuai untuk mencabar Anwar kerana kedua-duanya mempunyai kredibiliti, selain tokoh tertinggi negara.

"Umno-BN kalau berani turun Kajang.
"Jangan letak calon daripada MCA, MIC, Gerakan tetapi letaklah perdana menteri iaitu daripada Umno.
"Kita makan satay Kajang, lepas itu lawan habis-habisan," katanya dalam majlis taklimat PKR sempena PRK Dun Kajang, di Dewan Orang Ramai Sungai Sekamat, di sini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Majlis tertinggi PR, lapor portal Sinar Harian.
Kelmarin, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan Lee Chin Cheh.
Berikutan kekosongan kerusi itu, mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk meletakkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili gabungan parti itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58745

Anwar boleh jana ekonomi, bantu tarik FDI ke Selangor

Posted: 29 Jan 2014 09:26 PM PST

SERI KEMBANGAN 29 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki kekuatan untuk menjana ekonomi dan pelaburan ke Selangor sekiranya memenangi kerusi DUN Kajang, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Ean Yong Hian Wah.
Menurutnya, Anwar mempunyai keupayaan berbuat demikian berdasarkan pengalamannya sebagai timbalan Perdana menteri dan menteri kewangan, selain hubungan rapat dengan pemimpin antarabangsa.
"Beliau boleh membantu memainkan peranan penting untuk menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara ke negeri Selangor. Ini akan menyumbang banyak kebaikan dan kemajuan kepada ekonomi negeri.
"Dengan pengalaman dan hubungan rapat dengan pemimpin antarabangsa, beliau boleh menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) dan pada masa sama menambah pelaburan domestik  di Selangor," kata Adun Seri Kembangan ini.
Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 49.75 bilion sepanjang 2008 hingga 2012 dan berjaya mengekalkan prestasi negeri itu sebagai destinasi pelaburan utama negara ini.
Jumlah itu adalah 28.5 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai pelaburan negara dan 31 peratus daripada keseluruhan projek yang diluluskan di Malaysia.
Bagi tahun 2013, Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka mencatatkan pelaburan sekitar RM 6 bilion.
Hian Wah berkata, DAP Selangor memberi sokongan penuh kepada Anwar dan akan memastikan kemenangan ketua pembangkang itu pada pilihan raya kecil DUN Kajang.
"Kami juga menyeru supaya pengundi DUN Kajang menyokong beliau agar dapat memainkan peranan demi kebaikan ekonomi dan kemajuan Selangor," ujarnya yang juga Setiausaha DAP Selangor.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58750

Imbasan Sejarah PRK di Selangor pada tahun 1997

Posted: 29 Jan 2014 09:18 PM PST

Imbasan kembali sejarah Pilihanraya Kecil pada 29 Mei 1997 di Dun Permatang dan Parlimen Kuala Selangor.

PRK di kedua-dua tempat ini dijalankan serentak. Ia diadakan berikutan;

1. Perletakan jawatan Ahli Parlimen Kuala Selangor-Dato Abu Hassan Omar 
2. Perletakan jawatan ADUN Permatang-Dato Jamaluddin Adnan 

Ini strategi BN untuk menggantikan MB Selangor yg telah meletak jawatan ketika itu, Tan Sri Muhammad Taib. Maka Dato Abu Hassan Omar menjadi calon terbaik untuk jawatan MB Selangor.

ADUN Permatang ketika itu, Dato Jamaluddin Adnan telah meletak jawatan sebagai wakil rakyat dan sebagai pertukaran beliau diangkat menjadi calon BN bagi Parlimen Kuala Selangor. 

Manakala Dato Abu Hassan Omar pula mengosongkan jawatan Ahli Parlimen Kuala Selangor dan menjadi calon BN untuk Dun Permatang.

Keputusan PRK tersebut;

29/5/1997
N010 Permatang
Dato Abu Hassan Omar (BN): 9,590
Hj Mohd Maskuri (Pas): 1,810
Majoriti: 7,780

29/5/1997
P089 Kuala Selangor 
Dato Jamaluddin Adnan (BN): 24,034
Ustaz Ahmad Bin Alang (Pas): 5,616 
Majoriti: 18,418

Benteng Pakatan Rakyat Selangor, ‘Langkah Kajang’ ke Putrajaya

Posted: 29 Jan 2014 08:55 PM PST

KUALA LUMPUR 29 JAN: Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang menjadi pemangkin kepada Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya mengambilalih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional.
Pengarah Strategi kEADILAN, Rafizi Ramli berkata, KEADILAN dan Pakatan Selangor memerlukan benteng kukuh bagi mempercepat pembaharuan dan pada masa yang sama menangkis serangan politik dan pergerakan oleh Umno.
"Kuncinya adalah pilihan. Mempunyai pilihan bermakna mempunyai fleksibiliti pergerakan yang dapat melepasi permainan Umno di Selangor terutama berhubung kontroversi kaum dan agama," kata Rafizi dipetik dari blognya, hari ini.
Katanya, Pakatan Rakyat memerlukan pemimpin tertinggi yang berkemampuan mempertahankan Selangor dari dirampas BN kerana negeri tersebut seperti mutiara kepada mana-mana parti politik di Malaysia..
"Oleh itu keputusan Anwar Ibrahim bertanding memberi pilihan kepada kita (Pakatan Rakyat) melaksana keperluan semasa dengan tersusun.
"Kerja itu belum selesai dan kita bersedia untuk menghadapi satu lagi pusingan serangan dari Umno," kata Rafizi.
Merujuk pengalaman Britain dalam perang dunia kedua, kata Rafizi, Perdana Menteri Kabinet Perang Winston Churchill mengambil keputusan tidak popular dan kekal sebagai suara minoriti berbanding pihak lain di Eropah yang mengambil pendirian menyenangkan pihak Nazi.
"Churchill berdiri sendiri ketika setiap yang lain di Eropah tunduk kepada Hitler," kata Rafizi.
Justeru katanya, Selangor menjadi dua kali lebih baik daripada yang ada hari ini jika ia menjadi satu contoh bagi Pakatan Rakyat dalam usaha untuk ke Putrajaya.
"Sama seperti Istanbul adalah pemangkin untuk Erdogan dan Jakarta adalah pemangkin untuk Jokowi.
"Selangor boleh menjadi pemangkin yang baik untuk Pakatan Rakyat mengambilalih Putrajaya.
"Saya berharap satu hari nanti apabila kita di Putrajaya, kita boleh melihat kembali kepada hari-hari sukar dalam apa yang akan dikenali sebagai 'Langkah Kajang' sebagai perubahan perjuangan dalam usaha menawan Putrajaya," kata Rafizi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58726

Tiada ulasan: