Khamis, 3 Oktober 2013

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Penduduk Kampung Hakka minta MB campurtangan

Posted: 03 Oct 2013 12:03 AM PDT

dipetik daripada FMT.com

SEREMBAN: Seramai 50 penduduk Kampung Hakka, Mantin berkumpul di hadapan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyerahkan sebuah memorandum yang meminta Mohamad agar campurtangan dalam isu Kampung Hakka yang akan dirobohkan oleh pemaju untuk projek pembangunan.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kampung Hakka, Chong Tza Yaw, berkata penduduk Kampung Hakka datang dengan harapan bahawa Menteri Besar akan mengambil tindakan sewajarnya untuk campurtangan dan menggunakan kewibawaan politik (political will) dalam isu ini.
"Kami meletakkan harapan yang tinggi agar Menteri Besar menggunakan kuasa beliau untuk campurtangan dalam isu ini dan menyelesaikan masalah yang kami hadapi.
"Kami sedar kes kami ini berada di mahkamah. Walaubagaimanapun kami mendapati kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk campurtangan serta boleh menyelesaikan masalah yang kami hadapi.
"Menteri Besar boleh memberi tekanan atau berunding dengan pemaju untuk menyediakan tanah pampasan kepada kami untuk kami mendirikan kediaman yang baru.

"Saya mewakili penduduk kampung amat berharap Menteri Besar mempertimbangkan tuntutan yang kami utarakan demi masa depan penduduk kampung Tradisi Hakka," kata Chong.
Walaubagaimanapun memorandum itu diterima oleh Setiausaha Sulit Menteri Besar Negeri Sembilan, Shahrulfaizal Tahar. Mohamad tidak dapat menerima memorandum kerana sedang menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan pada waktu yang sama.
Chong turut menyerahkan satu lagi memorandum yang serupa kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Loke Siew Fook (ADUN Chennah – DAP).
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang menemani penduduk untuk menyerahkan memorandum itu berkata, isu Kampung Hakka, Mantin mirip kepada kes Kampung Buah Pala di Pulau Pinang.
"Untuk makluman, isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, kesnya mirip dengan kes Kampung Hakka, Mantin.
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjual tanah perkampungan itu kepada pihak pemaju. Walaubagaimanapun kerajaan Pulau Pinang berunding dengan pihak pemaju dan menuntut pampasan untuk penduduk kampung dengan meminta pemaju menyediakan rumah kepada penduduk kampung.
"Maka Kerajaan Negeri Sembilan juga boleh menggunakan kaedah yang sama untuk mendapatkan pampasan kepada penduduk kampung dalam bentuk tanah lot kosong atau kediaman baru," jelas Arutchelvan.
Sementara itu Loke berkata beliau telah membawa isu Kampung Hakka, Mantin di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan sebentar tadi.

"Saya berharap esok Menteri Besar akan memberi penjelasan atau respon terhadap isu tersebut.
"Sementara peguam yang DAP sediakan untuk penduduk kampung berjaya mendapatkan arahan interim (interim order) untuk menangguhkan tindakan merobohkan rumah penduduk sehingga pendengaran kes tunggu perintah pengantungan pelaksanaan (stay of execution) didengar pada 17 Oktober di Mahkamah Tinggi Seremban," ujar Loke.
Sementara itu FMT difahamkan ke semua individu yang ditahan polis semalam telah dibebaskan semalam juga.
Turut hadir ADUN Nilai, J Arulkumar (DAP).

Polis hilang aset RM1.33 juta termasuk senjata api, gari

Posted: 03 Oct 2013 12:00 AM PDT

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan 309 unit aset meliputi gari, senjata api dan kenderaan sekaligus kerugian RM1.33 juta, menurut Laporan Ketua Audit Negara.
Kehilangan aset tersebut direkodkan dalam tempoh 2010 hingga 2012.
Statistik yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik PDRM itu mendapati, aset paling banyak hilang adalah gari iaitu 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan, masing-masing 44 dan 29 unit.
"Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pengurusan aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang memuaskan.
"Pengurusan aset yang tidak teratur dan bersistematik boleh menyebabkan berlakunya kehilangan aset terutama senjata api dan gari yang boleh mengancam keselamatan awam," kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dipetik daripada laporan itu.
POLIS
Antara kelemahan yang ditemui audit berkenaan adalah kehilangan aset lewat dikesan, kelewatan melapor kehilangan kepada Ketua Jabatan dan Polis, Ketua Jabatan lewat menyediakan Laporan Awal Kehilangan Aset, Jawatankuasa Penyiasat Kes Kehilangan Aset lewat ditubuhkan, dan Jawatankuasa Kehilangan Aset lewat menyediakan laporan akhir.

Ekoran itu, Ambrin menegur dan mengesyorkan pasukan PDRM memastikan pemeriksaan berkala dilaksanakan mengikut ketetapan supaya kes kehilangan aset berkenaan dapat dikesan.
"Memastikan kehilangan aset yang berpunca daripada kecurian, penipuan, atau kecuaian pegawai/anggota dikenakan tindakan surcaj atau tatatertib supaya menjadi satu usaha pencegahan bagi mengawal kes kehilangan," tegur Ketua Audit.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=55897

Kerajaan bayar RM1.6j untuk K-Pop hari belia

Posted: 02 Oct 2013 10:22 PM PDT

Kerajaan pada tahun lalu bersungguh-sungguh menafikan bahawa usaha untuk membawa masuk kumpulan hiburan K-Pop bagi acara Hari Belia Negara 2012 ditanggung dengan wang rakyat.

NONE
Laporan Audit Negara 2012 bagaimanapun mendapati sebaliknya – tiga kumpulan itu didapati dibawa masuk dengan kos RM1.6 juta yang ditanggung kerajaan.

Kementerian itu juga ditegur atas "perbelanjaan tinggi" dan "tidak "selaras dengan peraturan perbelanjaan berhemat" bagi belanja lain untuk sambutan tersebut – berjumlah hampir RM3 juta.

Tiga kumpulan K-Pop – U-Kiss, Teen-Top dan Dal shabet – ditampilkan untuk persembahan ke acara tersebut oleh syarikat Stadium First Sdn Bhd.

Ketua setiausa kementerian Mohd Mohamad dalam laporan Bernama tahun lalu menyatakan bahawa kos untuk membawa masuk persembahan tersebut ditanggung oleh penaja.

Laporan Audit dedah kecurangan kerajaan, salah urus tadbir

Posted: 02 Oct 2013 10:20 PM PDT

Kecurangan penggunaan wang rakyat seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara akibat daripada kegagalan urustadbir kerajaan, kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.
Beliau berkata, kerajaan gagal mengamalkan beberapa prinsip yang terkandung dalam tatakelola pentadbiran yang baik seperti akauntabiliti, integriti dan ketelusan.
Fuziah Salleh"Pendedahan laporan itu menunjukkan wang rakyat gagal diurus dengan baik. Begitu banyak pembaziran dan peruntukan yang diberikan hangus begitu sahaja," ujarnya kepadaKeadilan Daily.
Ahli Parlimen Kuantan itu turut bimbang soal keselamatan negara apabila Audit mendapati sebanyak RM1.33 juta aset polis termasuk senjata api dan gari hilang di bawah jagaan pasukan itu.
"Bayangkan aset penting seperti itupun gagal dikendali dengan baik. Adakah keselamatan rakyat terjamin di bawah kawalan polis yang jelas mempunyai kelemahan.
"Itu belum termasuk Jabatan Kastam yang menempah kasut tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, kemudian membakarnya. Tindakan ini seolah-olah membakar duit rakyat," katanya.
Beliau mempersoal kegagalan kerajaan mengambil tindakan konkrit untuk memastikan ketirisan wang rakyat tidak berulang.
"Harus difahami bahawa Laporan Audit itu membabitkan banyak aspek termasuk pemerolehan, tender yang tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya sehingga membolehkan pemberian projek dan tender kepada kroni.
"Siasatan perlu untuk membasmi aktiviti yang merugikan aset rakyat seperti ini," tegas Fuziah.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=55945

SPR: Pilihanraya kecil DUN Sg Limau 4 Nov 2013

Posted: 02 Oct 2013 10:17 PM PDT

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Sungai Limau, Kedah akan diadakan pada 4 November.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober - yang memberi peluang kepada calon untuk berkempen selama 12 hari termasuk pada hari penamaan.
azlanAbdul Aziz mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, SPR membuat pertimbangan agar pilihan raya itu diadakan sebelum peperiksaan SPM, pada 6 November, kerana banyak pusat pengundian dan dewan dimiliki sekolah.

"Kita tidak mahu ganggu susunan meja sekolah," katanya lagi yang menambah, anggota Umno memerlukan masa selepas mengadakan pemilihan parti pada 17 Oktober.

SPR juga mempertimbangkan keperluan penganut agama yang menyambut Deepavali pada 2 November dan Awal Muharram pada 5 November.

Keperluan PAS untuk mengadakan muktamar pada 17 November juga diambil kira, katanya lagi.

Ketika ditanya, Abdul Aziz menafikan bahawa SPR mengambil kira tarikh untuk perdana menteri membentangkan Belanjawan 2013 di parlimen.

Pilihan raya kecil kali ini tidak melibatkan pemilihan awal kerana tiada pengundi polis atau tentera didaftarkan di situ.

Pengundi pos bagi petugas media dan warga Malaysia di luar negara untuk kawasan tersebut boleh mula mendaftar hari ini.

Pegawai daerah Abdul Rashid Othman dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya, dan borang pencalonan akan mula dijual pada 10 Oktober.

Penyandang kerusi tersebut, bekas menteri besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu akibat masalah kesihatan.

Menurut Abdul Aziz, seramai 27,222 individu layak mengundi dalam pilihan ray akecil tersebut, yang terdiri dari 93 peratus Melayu, tujuh peratus Cina dan hanya 57 orang pengundi dari kaum minoriti lain.

SPR akan menggembleng kekuatan seramai 492 orang untuk mengadakan pilihan raya tersebut, yang dijangka melibatkan kos lebih RM1.3 juta. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Aziz berkata, bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh
 rasmi berkempen, beliau berkata SPR juga bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).
    
Sementara itu, beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi bahagian pilihan raya berkenaan akan mula dijual pada 10 Oktober.

Beliau berkata para pengundi dalam bahagian pilihan raya berkenaan boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman sesawang SPR, www.spr.gov .my dan melalui SMS dengan menaip SPR SEMAK No Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888 mulai 10 Okt ini.
    
"Para Pengundi boleh menelefon Ibupejabat SPR di Putrajaya 03-88856565 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah 04-700 1313," katanya.
    
Bagi maksud permohonan undi pos pada pilihan raya kecil ini, Abdul Aziz berkata warganegara Malaysia yang berada di luar 

negara, pegawai dan petugas pilihan raya serta petugas media boleh membuat  permohonan undi pos mulai 3 Oktober dengan memuat turun borang permohonan dari lamanweb SPR.   
"Tarikh tutup permohonan undi pos bagi warganegara Malaysia di luar negara ialah pada Hari Penamaan Calon.
    
"Bagi petugas pilihan raya dan petugas media, tarikh tutup permohonan undi pos ialah dua hari selepas Hari Penamaan Calon," katanya.
    
Mengenai penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz  berkata jenis dakwat dan cara penggunaan adalah sama seperti dalam pilihan raya kecil Kuala Besut.
    
"Pengalaman penggunaan dakwat kekal di sana begitu baik dan kita tidak menerima sebarang aduan. Jadi cara dan dakwat yang sama akan digunakan pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya.i.

Tiada ulasan: