Selasa, 15 Januari 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Penduduk Selayang Suarakan Kemarahan Kepada Syabas

Posted: 15 Jan 2013 02:00 AM PST

SELAYANG 15 JAN : Sebuah sesi dialog bagi menerangkan gangguan bekalan air di Selayang antara penduduk dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) gagal menenangkan kemarahan penduduk yang tidak dapat menerima alasan daripada syarikat itu.

Sesi yang berlangsung semalam memlihatkan penduduk di Selayang Jaya, Selayang Baru dan Selayang Height menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada wakil Syabas Eksekutif Kanan (Teknikal) cawangan Gombak, Rahmat Bidin.

Antara alasan yang diberikan Syabas berhubung masalah bekalan air yang telah berlangsung sejak enam bulan dahulu adalah pembekuan program Perbelanjaan Modal (Capex) oleh Kerajaan Negeri dan proses penukaran paip lama yang memakan masa.

Gangguan bekalan menjadi lebih teruk beberapa minggu lalu, apabila paip lama di kawasan tersebut pecah.

Seorang penduduk Fakaruddin Tahir yang mengadu tentang tekanan air di rumahnya yang terlalu tinggi, berkata wakil Syabas gagal memberi respons kepada aduannya.

"Apa yang saya tanya, encik tak jawab," Fakaruddin dipetik berkata kepada tiga pegawai Syabas.

Apabila ditemui selepas sesi itu, Fakaruddin mengulangi pendiriannya bahawa Syabas kurang prihatin terhadap masalah di kawasan Selayang.

"Puncanya Syabas lambat bertindak bagi mengatasi masalah. Sekarang ini bila masalah timbul macam paip pecah, bermacam alasan diberinya," kata Fakaruddin.

Bagi Loh Thiam Fook pula, Syabas gagal menggunakan dana yang telah diperuntukan kepada syarikat itu.

"Saya pun tidak tahu apa dibuat Syabas sedangkan peruntukan geran RM 250 juta diberikan untuk kerja proses Air Tidak Berhasil (NRW).

"Memang tidak patut Syabas tidak selesaikan masalah bekalan air ini," ujarnya.

Sebelum itu, MP Selayang, William Leong Jee Keen memberitahu peserta sesi itu bahawa Kerajaan Persekutuan telah memberi geran RM 24 billion untuk kerja-kerja pengurusan industri air.

"Syabas syarikat swasta yang membuat untung malah mereka diberikan peruntukan geran RM 24 billion oleh Kerajaan Persekutuan.

William juga menyangkal dakwaan Syabas bahawa Kerajaan Negeri telah membekukan capex kepada Syabas.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga membayar Syabas bagi setiap 20 meter padu air percuma bernilai RM 11.44 yang diberikan kepada rakyat.

"Alasan paip lama 40 tahun juga tidak boleh diterima kerana kenapa sebelum 2008 bila mengambilalih urusan bekalan air masalah ini tidak diatasi," kata William.

Ini sebagai respons kepada Rahmat yang berkata gangguan bekalan air berpunca daripada paip berusia hingga 40 tahun dan proses penukaran paip lama kepada baru yang memerlukan masa.

"Kita juga memberikan keutamaan bagi penyelesaian ini mengikut kawasan dengan yang kritikal didahulukan.

"Proses penukaran dan baikpulih ini sudah berjalan sejak 2007 bila Syabas mula mengambilalih operasi air pada 2005 bagaimanapun terpaksa dihentikan bila Kerajaan Negeri membekukan perbelanjaan modal pada 2008," katanya.

Sumber: Selangorku

Loji Semenyih Kembali Beroperasi: Gangguan Bekalan Air Dijangka Tidak Serius

Posted: 14 Jan 2013 11:55 PM PST

Operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang dihentikan sementara pada 14 Januari lalu selepas dikesan terdapat bau minyak melebihi parameter yang dibenarkan telah kembali beroperasi seperti biasa bermula 8 malam tadi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, loji rawatan berkenaan sudah mula membekalkan air terawat sebanyak 554.52 juta liter sehari (JLH) kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebaik saja beroperasi semula.

Hari ini, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang diurus operator air, Konsortium Abbas, mengeluarkan air bersih pada kadar 665 JLH hingga 670 JLH, walaupun mengikut reka bentuk hanya boleh mengeluarkan air sebanyak 545JLH.

Beliau berkata, penutupan sementara operasi loji itu selama enam jam akan menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Subang, Puchong dan Sri Kembangan  tetapi tidak seteruk seperti yang diramalkan oleh SYABAS.

"Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah beroperasi seperti biasa namun ia masih memerlukan masa untuk air terawat sampai kepada pengguna kerana sistem agihan air kepada pengguna adalah di bawah kawalan SYABAS sepenuhnya sebagai operator tunggal agihan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Justeru, SYABAS perlu memastikan mekanisma agihan air terawat kepada pengguna berjalan lancar untuk mengelak gangguan bekalan air yang serius," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Abdul Khalid berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAIS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melawat kawasan yang tercemar itu dan akan menghantar laporan untuk tindakan lanjut.

Menteri Besar berkata, Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor mempunyai data-data bekalan air dengan terperinci tanpa perlu bergantung kepada SYABAS untuk membekalkan maklumat-maklumat ini.

Beliau berkata, ini membuktikan kerajaan Selangor telah bersedia dan berkemampuan untuk mengambilalih operasi air daripada syarikat konsesi walaupun belum mendapat persetujuan kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar menegaskan gangguan bekalan air di Lembah Klang tiada kaitan langsung dengan pembinaan Loji Langat 2 sebaliknya ia berpunca kelemahan SYABAS yang dilanda krisis pengurusan.

Katanya, SYABAS sebuah syarikat yang diberi konsesi selama 30 tahun oleh Barisan Nasional untuk memonopoli agihan air terawat kepada pengguna di Lembah Klang tetapi syarikat ini tidak mempunyai kemampuan kewangan serta gagal mematuhi perjanjian konsesi.

Katanya, SYABAS gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) di bawah 30 peratus seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi. Justeru, masalah kekurangan air terawat tidak akan selesai walaupun Langat 2 dibina kerana ketidakmampuan SYABAS menurunkan kadar NRW.

"Masalah air di Lembah Klang hanya akan selesai sekiranya kerajaan Persekutuan memberi kerjasama dengan membenarkan kerajaan Selangor mengambilalih operasi air daripada konsesi.

"Namun, cadangan pengambilalihan ini tidak disokong kerajaan Persekutuan walaupun pengambilalihan operasi air oleh kerajaan-kerajaan negeri terkandung dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 yang diluluskan Barisan Nasional sendiri," katanya.

Menteri Besar juga mengulangi ingatan supaya pemimpin Barisan Nasional termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak berpolitik secara matang dengan tidak menggunakan isu air untuk mengugut rakyat Selangor supaya menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.


Dikeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Pelaburan KWSP & KWAP Dalam FGV Dipersoalkan

Posted: 14 Jan 2013 11:53 PM PST

KWSP dan KWAP adalah dana pencen negara kepunyaan penyumbang dan penjawat awam. Tujuan utama dana ini adalah untuk menyediakan simpanan persaraan yang cukup untuk mereka. Oleh itu, kerajaan dan pengurus-pengurus dana mempunyi satu tanggungjawab dan amanah yang tinggi menjaga pelaburan mereka.

Dalam kes pelaburan saham Felda Global Venture Holding Berhad ("FGV") saham oleh KWSP dan KWAP, KEADILAN berpendapat bahawa kedua-dua KWSP dan KWAP perlu membuat lebih banyak penjelasan. Seawal 9 Ogos 2012, pandangan majoriti besar penganalisis saham telah bertukar daripada positif kepada negatif terhadap saham FGV, dan rekomendasi membeli saham ini lesap hilang. Dari tarikh itu kepada 4 Januari 2013, walaupun pandangan terhadap FGV memang negatif dan harga saham itu jatuh mendadak, KWSP terus membeli saham dari pasaran. KWSP menambah lagi 46 juta saham kepada portfolionya. Bagi tempoh yang sama KWAP menambah lagi 10 juta saham. Tingkah laku pembelian  KWSP dan KWAP adalah amat bertentangan (contrarian). Tingkah laku sedemikian tidak patut diamalkan oleh sesebuah dana pencen.

Di samping itu, pada keseluruhannya pembelian mereka dalam pasaran terbuka dari 29 Jun 2012 hingga 4 Januari 2013, telah menelan anggaran belanja sebanyak RM455 juta (KWSP) dan RM305 juta (KWAP). Pembelian ini telah mengakibatkan kerugian kertas anggaran RM40m untuk KWSP dan RM35m untuk KWAP.

KEADILAN percaya bahawa penyumbang KWSP dan penjawat awam mempunyai hak untuk mengetahui sama ada pembelian saham FGV, (yang sebahagian besar bertentangan dengan pandangan penganalisis dan pasaran) bermotifkan politik.

Oleh itu KEADILAN menuntut KWSP dan KWAP menjawab soalan ini: pernahkah badan anda menerima apa-apa arahan yang tersurat atau tersirat daripada kerajaan atau mana-mana ahli-ahli politik untuk membeli dan menyokong harga saham FGV.

Berikut adalah repot kad semasa:
KWSP
•    Pada penyenaraian FGV, KWSP mempunyai 185 juta saham yang diperuntukkan.
•    Dari 29 Jun, 2012 hingga 4 Januari 2013, KWSP menambah 90 juta saham FGV, membelanjakan kira-kira RM455 juta.
•     Ini adalah satu peningkatan yang amat besar sebanyak 46% daripada saham peruntukkan.
•     90juta saham telah dibeli pada anggaran harga purata berwajaran RM5.05 se-saham.
•    Pada harga saham semasa RM4.60, aktiviti jual beli saham selama enam bulan telah anggaran kerugian kertas RM40 juta.

KWAP
•    Pada penyenaraian FGV, KWAP mempunyai 194 juta saham yang diperuntukkan.
•    Dari 29 Jun, 2012 hingga 4 Januari 2013, KWAP menambahkan saham FGV sebanyak 59 juta, membelanjakan kira-kira RM305 juta.
•    Ini adalah peningkatan yang ketara sebanyak 35% daripada saham peruntukkan.
•    59 juta saham telah dibeli pada anggaran harga purata berwajaran RM5.19 se-saham.
•    Pada harga semasa RM4.60, aktiviti jual beli saham selama enam bukan telah menyebabkan anggaran  kerugian kertas RM35 juta.

Saham FGV, masa depan yang gelap:

Kes Senario Pangkal (Base case scenario)?
Harga purata saham penganalisis untuk FGV adalah RM4.19.
Jika saham FGV jatuh ke tahap itu, KWSP dan KWAP akan menimpa anggaran kerugian kertas RM146m (KWSP) dan RM129m (KWAP).

Kes Senario Paling Teruk (Worst case scenario)?
Jika harga turun kepada sasaran Alliance Research iatu pada harga RM3.53 (kedua terendah antara 12 analisis terkini mengenai saham FGV), KWSP dan KWAP akan menimpa anggaran kerugian kertas RM327m (KWSP) dan RM295m (KWAP).


Wong Chen
Biro Pelaburan & Perdagangan PKR
11 Januari 2013

Masalah Air Di Selangor Adalah Sabotaj Politik, KEADILAN Akan Saman Syabas/Puncak Niaga Holdings Berhad

Posted: 14 Jan 2013 11:00 PM PST

Pengumuman Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi Eksekutif Syabas/Puncak Niaga Holdings Berhad bahawa masalah bekalan air akan berlanjutan sehingga ke Tahun Baru Cina adalah bukti kegagalan projek-projek penswastaan Umno/Barisan Nasional kepada kroni yang akhirnya menyusahkan rakyat.
Penjelasan yang diberikan bahawa oleh beliau yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kelangsungan bekalan air di Lembah Klang adalah tidak masuk akal, seperti berikut:

1.      Kerosakan pam air di rumah pam Wangsa Maju – Kegagalan Syabas memastikan dua pam simpanan (spare pumps) berfungsi dan berada dalam keadaan yang baik sudah tentu melanggar segala prosedur dan amalan terbaik industri (industry's best practices). Maklumat yang diterima bahawa keempat-empat pam di Wangsa Maju telah pun rosak buat beberapa ketika dan tiada tindakan berkesan yang diambil oleh Syabas membuktikan kecuaian dan kegagalan Syabas;

2.      Tidak cukup bekalan air terawat (treat water) – Alasan Syabas yang cuba mempolitikkan perkara ini dengan menuding jari kepada Kerajaan Selangor tidak boleh diterima akal apabila Syabas berjaya pula mendapatkan bekalan air terawat yang dihantar melalui lori-lori.

Oleh sebab itu, saya yakin bahawa ini permainan politik Umno yang direstui Dato' Seri Najib Tun Razak kerana mereka beranggapan satu-satunya jalan untuk mendapat undi dan memenangi Selangor adalah dengan menyusahkan hidup rakyat. Hayat politik Dato' Seri Najib sendiri bergantung kepada kemenangan Selangor. Tanpa Selangor, hampir sudah pasti pimpinan Umno akan menggulingkan beliau sebelum atau selepas pilihanraya umum yang akan datang.

Sebab itu, dalam keterdesakan begitu, Umno yang direstui Dato' Seri Najib mengambil keputusan mensabotaj bekalan air di Selangor untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Justeru, sebagai pimpinan yang dipertanggungjawabkan bersama-sama dengan penduduk di Pandan, saya beranggapan sabotaj politik Umno ini diselesaikan secara politik jua. Saya telah diarahkan untuk memberi sepenuh perhatian dalam tempoh terdekat ini untuk berhadapan dengan sabotaj politik yang melibatkan Umno dan Syabas ini supaya masalah bekalan air dapat diselesaikan segera.

Berikut adalah tindakan-tindakan yang akan diambil segera untuk berhadapan dengan sabotaj politik Umno dan Syabas:

1.      KEADILAN dan PAS telah menubuhkan Skuad Air di setiap kawasan yang terkesan dengan masalah ini. Tumpuan skuad ini adalah untuk meringankan beban penduduk yang terpaksa mengangkut air dengan menyediakan kemudahan pam agar air boleh dihantar terus ke tingkat masing-masing. Operasi ini telah berjalan di bawah pimpinan YB Iskandar Abdul Samad dan seluruh jentera Pakatan Rakyat akan digerakkan untuk membantu penduduk

2.      KEADILAN akan mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli pam-pam air untuk dibekalkan ke kawasan-kawasan yang diperlukan

3.      Rundingan dengan pihak Syabas dan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan untuk mendapat komitmen supaya bekalan air melalui lori-lori yang dihantar adalah mencukupi dan mengikut jadual tetap

4.      Satu kumpulan pakar yang pernah terlibat merancang dan membangunkan sistem air di Lembah Klang akan ditubuhkan secara sukarela untuk mengkaji aspek teknikal dan menjawab tuduhan-tuduhan Syabas

5.      Kempen penerangan di seluruh kawasan terbabit akan dijalankan serentak untuk memaklumkan kepada penduduk bahawa dalang sebenar masalah ini adalah Umno dan Syabas

Lebih penting, masalah ini perlu ada penyelesaian politik supaya ia tidak berulang lagi.

Oleh yang demikian, KEADILAN telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan peguam untuk menyaman Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad dalam masa terdekat atas kegagalan menguruskan khidmat air akibat kecuaian, seperti yang diperuntukkan oleh perjanjian konsesi. Mulai hari ini, KEADILAN akan mengumpul seberapa ramai penduduk, peniaga dan pihak yang ingin menuntut pampasan dari Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad untuk turut bersama dengan tindakan menyaman Syabas ini.

Sementara menunggu tindakan mahkamah ini berjalan, KEADILAN juga akan menggerakkan Kempen Potong Gaji Rozalli Ismail di atas kegagalan beliau menguruskan Syabas sehingga menyusahkan rakyat. Mengikut Laporan Tahunan Puncak Niaga Holdings Berhad bagi tahun berakhir 31 Disember 2011, pengarah-pengarah eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad menerima pakej gaji sebanyak RM17.25 juta setahun:

KEADILAN menuntut supaya RM10 juta dari gaji ini dipotong serta-merta dan disumbangkan ke satu tabung untuk memberi pampasan segera kepada penduduk yang terlibat.

Satu demonstrasi menuntut potongan gaji ini akan diadakan di hadapan ibu pejabat Syabas di Shah Alam pada hari Rabu, 16 Januari ini jam 2 petang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
11 JANUARI 2013

Tiada ulasan: