Khamis, 11 Ogos 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Lawatan kerja Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Ke Negeri-Negeri

Posted: 11 Aug 2011 04:05 PM PDT

Mesyuarat Jawatankuasa Biro Felda dan Orang Asal yang diadakan pada 8hb Ogos 2011 jam 12.00 tengah hari di Pejabat Task Force Felda Negeri Selangor telah memutuskan untuk mengadakan siri lawatan ke Negeri-Negeri khususnya Negeri-Negeri yang mempunyai pertaburan rancangan Felda dan perkampongan Orang Asal yang ramai.

Setakat ini, Biro telah berjaya mengadakan siri lawatan kedua ke Negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang Timur.

Manakala lawatan kerja ke Negeri Perak dan Pahang tengah memerlukan satu siri lagi sebelum mengakhiri bulan Oktober 2011.

Siri-siri lawatan ke Negeri Sembilan berjaya menubuhkan Ranting Parti Keadilan di Palong 5 dan Palong 9 dan menghidupkan semula Ranting di Palong 10, serta menambahkan keanggotaan di kawasan Parlimen Jempol serta di rancangan-rancangan Pasoh 1 dan 2.

Disamping itu lawatan Biro juga telah berjaya mengumpulkan cukup ramai dari kalangan generasi ke-2 dan ke-3 didalam penawaran Peneroka Baru apabila Felda Plantation akan dibubarkan dengan pemerintahan Pakatan Rakyat.

Di Negeri Johor pula lawatan Biro telah berjaya menubuhkan 2 buah ranting baru iaitu di Felda Nitar 2 dan di Felda Lok Heng, sementara keanggotaan parti di Kg Selai, sebuah perkampongan Orang Asal di Mukim Bekok bertambah kepada 40 orang dan sebuah ranting pertama akan ditubuhkan di Mukim Bekok di perkampongan Orang Asal apabila dapat dikumpulkan kesemua 5 buah kampong Orang Asal di Mukim itu didalam lawatan siri ketiga Biro ini ke Negeri Johor.

Sementara itu lawatan itu juga berjaya mengumpulkan keanggotaan baru bagi parti disamping berjaya pula menerima begitu banyak borang penawaran Peneroka Baru.

Lawatan kerja itu menerima begitu banyak aduan daripada peneroka-peneroka Felda yang ditempat masing-masing kini sudah pun menubuhkan jawatankusa bertindak untuk mengemukakan saman samada dibidang peratusan KPG, mahupun menuntut kembali caruman tanam semula dan juga menuntut gantirugi kerana kegagalan Felda Technoplant menjalankan kerja-kerja tanam semula keatas tanah-tanah peneroka yang sudah ditebang.

Lawatan siri satu ke Pahang Timur berjaya membongkar kegagalan Felda Technoplant menjalankan tanam semula diatas ladang-ladang yang mereka sudah tebang; kegagalan Felda mengembalikan wang caruman tanam semula yang dicarum oleh peneroka-peneroka, dan kegagalan Felda didalam pengurusan dan penyeliaan tanam semula.

Disamping itu lebih dari 500 orang anak-anak peneroka di Rompin telah memohon untuk menjadi Peneroka Baru diatas tanah Felda Plantation yang bakal dimansuhkan apabila Pakatan Rakyat memerintah Negara ini.

Pengumpulan akan juga dibuat di gugusan Chini, Pekan bagi pengembalian borang tawaran menyertai Felda sebagai peneroka baru dari kalangan generasi ke-2 dan ke-3, manakalah lebih 200 borang permohonan telah terkumpul di Gugusan Felda Mempaga Bentong.

Lawatan ke Felda Suharto, Sg Tengi, Sg Tengi Selatan, dan Gedangsa menyaksikan kejayaan mengumpulkan lebih 1000 permohonan untuk menjadi Peneroka baru; dan bersama-sama Task Force Felda Negeri Selangor berjaya mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri Selangor untuk 50 ekar tanah bagi perumahan generasi ke-2 dan ke-3, dan berjaya mendapatkan geran tanah untuk peneroka-peneroka di Fasa 6 Felda Suharto, Felda Sg Tengi dan Felda Sg Tengi Selatan; manakala 20 orang dari pemohon-pemohon tol untuk kolam ikan yang telah mereka jayakan sedang diproses.

Di Negeri Perak sudah pun terkumpul borang-borang permohonan untuk menjadi peneroka baru dan akan membuat majlis penyerahan didalam siri lawatan kedua biro ini ke Negeri tersebut.

Didalam mesyuarat pada 8hb Ogos lepas, keputusan telah dibuat untuk meneruskan siri lawatan kerja ini. Negeri pertama yang akan dilawati adalah Negeri Pahang yang mempunyai 215 Rancangan Felda.

Biro akan memberikan masa selama 6 hari didalam siri lawatan kedua ke Pahang, iaitu 2 hari di Pahang Timur, 2 hari di Pahang Tengah dan 2 hari di Pahang Barat, dan pada setiap hari akan dilangsung 12 program, iaitu 6 program dialog dan 6 program ceramah setiap hari dan akan melibatkan tenaga2 penceramah yang disediakan oleh Biro serta penceramah-penceramah yang disediakan oleh PKR Negeri Pahang dan Cabang-Cabang.

Penumpuan didalam siri lawatan ke Pahang kali ini ialah penawaran Borang Menjadi Peneroka Felda yang baru hasil pemansuhan Felda Plantation didalam tempoh 100 hari Pakatan Rakyat memerintah Negara dan juga Borang Pengiktirafan Tanah Orang Asal untuk perkampongan Orang Asal seluruh Pahang.

Siri lawatan Biro ke Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor dan Perak akan ditetapkan selepas selesai siri lawatan ke Negeri Pahang.

Peranan sebagai seorang Setiausaha

Posted: 11 Aug 2011 01:55 PM PDT

Ada eloknya jika setiausaha-setiausaha sesuatu organisasi itu diberikan kursus mengenai tanggungjawab dan tanggungan seseorang setiausaha.

Seseorang setiausaha itu perlu disetiap masa berkerja rapat dengan ketua/pengerusi. Untuk tujuan menjalankan mesyuarat, setiausahalah yang menghantar notis kepada setiap AJK, dan Setiausaha itu tidak boleh membuat pilihan yang mana satu AJK yang dia mahu panggil mesyuarat atau yang dia tidak mahu panggil.

Didalam mesyuarat beliau kena mengambil minit/nota mesyuarat untuk dia bentangkan minit itu didalam mesyuarat yang akan datang. Dia tidak boleh berlenggang tangan dengan tidak membawa buku minit, dan dia tidak boleh hadir mesyuarat apabila mesyuarat sudah berjalan separuh jalan, kerana dia tidak akan tahu apakah yang berlaku didalam mesyuarat sebelum kehadirannya.

Lagi tidak boleh untuk dia ponteng dari mesyuarat.

Tanpa minit, apakah boleh diperhatikan samada kerja yang diputuskan didalam mesyuarat telah diambil tindakan, dan apakah tindakan-tindakan yang sudah diambil dan yang masih perlu diambil. Minit mesyuarat bukanlah satu formaliti, tetapi catatan kerja, tugas dan panduan.

Apa juga keputusan yang dibuat didalam mesyuarat Jawatankuasa hendaklah diminitkan dan keputusan itu hendaklah dilaksanakan dan Setiausaha tidak mempunyai kuasa untuk memilih keputusan mana yang hendak diambil tindakan dan yang mana tidak diambil tindakan, seumpamanya, jika mesyuarat telah memutuskan untuk menghantar 8 nama untuk dijadikan bakal calon didalam pilihanraya, maka nama 8 calon itu wajib dihantar ke badan yang lebih tinggi, Setiausaha tidak berhak membuat saringan sendiri.

Jika Setiausaha itu benar-benar tidak dapat hadir mesyuarat, dia kena maklumkan kepada Ketua/Pengerusi dan memberi sebab kenapa dia tidak hadir. Memang dibolehkan dia tidak hadir jika dia sakit, ada kematian, atau keraian dalam keluarga yang dia tidak dapat elakkan. Tetapi bukan ketidakhadirannya semata-mata kerana dia sengaja tidak mahu hadir.

Apabila Ketua/Pengerusi mengetahui bahawa dia tidak dapat hadir, maka bolehlah Pengerusi melantik seorang pengganti bagi mencatat minit. Walaubagaimana pun, minit yang lepas hendaklah disediakan oleh Setiausaha tersebut.

Setiausaha yang cekap menyediakan fail mesyuarat untuk setiap AJK, dan semua dokumen yang sewajarnya seperti minit mesyuarat, laporan-laporan dari Setiausaha, dari Biro-Biro akan berada didalam fail itu, dan fail itu menjadi hakmilik organisasi dan tidak dibawa balik kerumah AJK-AJK.

Hubungan luar (seperti surat menyurat) disediakan oleh Setiausaha, dan Setiausaha adalah nadi kepada organisasi, lemahnya seorang Setiausaha maka lemahlah organisasi itu.

Ada Setiausaha sesebuah organisasi itu dipilih didalam mesyuarat agung tahunan organisasi itu, dan ada yang dilantik oleh Pengerusi/Ketua.

Setiausaha yang dipilih tidak boleh diberhentikan oleh Pengerusi/Ketua dan hanya boleh diberhentikan mengikut peruntukan didalam Perlembagaan organisasi itu; manakala seorang Setiausaha yang dilantik oleh Pengerusi/Ketua, maka Pengerusi/Ketua itu berhak menggantikan Setiausaha itu dengan seorang Setiausaha yang baru.

Kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan untuk melantik atau melucutkan jawatan itu terbagai kepada dua kategori, samada kuasa mutlak atau kuasa yang disuarakan didalam mesyuarat Jawatankuasa. Jika kuasa mutlak, maka Pengerusi itu boleh melantik seseorang setiausaha dan boleh pula melucutkannya; tetapi jika kuasa itu tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa, maka perlantikan itu atau perlucutan jawatan itu hanya boleh dibuat melalui keputusan mesyuarat jawatankuasa.

Jika jawatankuasa sudah mempersetujukan dengan perlantikan atau perlucutan, maka tidak timbul bahawa Pengerusi telah menggunakan kuasa "veto"nya walaupun cadangan untuk melantik atau melucutkan jawatan setiausaha itu datangnya dari cadangan pengerusi.

Ini adalah ABC mengenai pemahaman kedudukan seseorang Setiausaha agar tidak dipertikaikan jika tindakan melucutkan jawatan setiausaha itu diambil.

Seseorang yang dilucutkan jawatan Setiausaha itu perlu akur kepada keputusan yang diambil terhadapnya sebagai menghormati prinsip berorganisasi.

1 ulasan: