Jumaat, 5 Ogos 2011

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Projek jalan dah 4 tahun tak siap-siap di Felda Pahang

Posted: 04 Aug 2011 04:59 PM PDT



SAYA merupakan antara penduduk yang kerap menggunakan Jalan Persekutuan Lama sejauh lapan kilometer dari tempat tinggal di Felda Sungai Tekam ke Simpang Jengka Lapan.

Laluan berkenaan amat penting kerana ia satu-satunya jalan raya yang digunakan penduduk Felda Sungai Tekam, Felda Tekam Utara, Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam dan Gugusan Felda Kota Gelanggi untuk ke bandar Jerantut melalui Simpang Jengka Lapan.

Apa yang menimbulkan tanda tanya adalah status projek jalan berkenaan dari PPPTR Tekam ke Simpang Jengka Lapan yang masih terbengkalai.

Saya difahamkan sudah dua kali tender dikeluarkan dan pihak berkenaan melantik kontraktor menyiapkan laluan berkenaan tetapi mereka gagal menyempurnakannya yang sudah memasuki empat tahun tetap ditakuk lama.

Senario kegagalan menyiapkan projek itu boleh dilihat dengan jelas menerusi spesifikasi jajaran yang bengkang-bengkok, berlopak dan sistem perparitan tidak sempurna sehingga berlaku takungan air setiap kali hujan lebat.

Kelemahan itu juga ketara dilihat di kiri kanan jalan yang diletakkan pembentung konkrit besar sehingga mengganggu pergerakan kenderaan dan keselamatan pemandu termasuk motosikal terutama ketika berselisih dengan kenderaan besar seperti lori treler.

Persoalannya, bilakah projek itu dapat disiapkan sedangkan kerajaan negeri sering menguarkan jalan terbabit akan dinaik taraf untuk kemudahan rakyat dan jalan alternatif kedua antara Pahang Timur dengan kawasan Pahang Barat.

Kelewatan menyiapkan projek itu sudah tentu mencalarkan imej kerajaan negeri sekali gus merencatkan usaha pembangunan sektor pertanian dan pelancongan.

Ini kerana laluan dari tanah rancangan Felda ke Simpang Jengka Lapan sering digunakan untuk membawa hasil kilang ke Lembah Klang dan kemudahan penduduk berbelanja di bandar Jerantut.

Kelewatan menyiapkan projek jalan raya antara Sungai Tekam ke Simpang Jengka Lapan juga menjejaskan pelawat yang mahu berkunjung ke ke Tekam Plantation Resorts, institusi penyelidikan sawit iaitu Felda Agricultural Services Sdn. Bhd., (FASSB) yang menjadi tumpuan penyelidik seluruh dunia.

Kemudahan itu amat penting untuk memacu pembangunan ekonomi dan sosial penduduk kawasan tersebut selain kita khuatir jika penangguhan projek berskala besar itu memberi impak terhadap keyakinan rakyat khususnya mengganggu agenda kerajaan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya akan datang.

AHMAD DIMAN Felda Sungai Tekam, Jerantut

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_01.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan