Isnin, 29 Disember 2014

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Kita Perlu Bertindak Sebagai Satu Pasukan

Posted: 29 Dec 2014 05:29 AM PST

Kejadian bencana banjir besar kali ini merupakan antara yang paling buruk dalam sejarah Malaysia dan telah memberi kesan kepada lebih 220,000 orang di 5 buah negeri dan mengakibatkan kerosakan kepada terlalu banyak harta benda awam dan peribadi. Pada masa yang sama, begitu ramai rakyat Malaysia – tanpa mengenal usia, jantina, kaum, mahupun beda politik – telah tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk dana, barangan keperluan, dan tenaga.

Saya telah berhubung dengan Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Mohamed Azmin Ali dan meminta beliau memberikan bantuan sebanyak yang mampu. Saya juga telah mengarah seluruh jentera parti di semua negeri agar turut membantu dalam usaha pengagihan barangan keperluan serta kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan di mana air bah telah surut.

Saya menggesa agar semua pihak bertindak sebagai satu pasukan, dan menyokong langkah Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani bencana ini, serta menggesa agar diluluskan peruntukan segera untuk makanan dan ubat-ubatan, terutama untuk kawasan-kawasan kritikal.

Saya juga mengusulkan supaya Kerajaan Pusat menyediakan satu rancangan yang menyeluruh untuk memperbaiki atau membangunkan semula rumah-rumah yang telah musnah akibat banjir besar ini.

Saya, Azizah dan seluruh keluarga KEADILAN terus memanjangkan doa kepada Allah SWT agar bencana ini akan reda, dan diringankan beban yang dialami semua yang terkesan.

ANWAR IBRAHIM
29 Disember 2014

Tiada ulasan: