Pengikut

Nuffnang

Isnin, 22 September 2014

R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang

sumber :-

R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang


ISU MB Sgor - Resolusi MPP PKR

Posted: 22 Sep 2014 06:35 AM PDT

RESOLUSI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN BERHUBUNG PERLANTIKAN MENTERI BESAR SELANGOR

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (MPP) telah mengadakan satu mesyuarat tergempar pada hari ini, 22 September 2014 berikutan perkembangan terbaru perlantikan Menteri Besar Selangor.

Berikut adalah resolusi yang telah diluluskan sebulat suara di dalam mesyuarat tersebut:

MPP mengambil maklum bahawa pada 22 September 2014, pihak Istana telah mengutuskan satu surat memaklumkan kepada Saudara Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN akan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke atas perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau telah juga dijemput untuk upacara angkat sumpah pada 23 September 2014.

MPP melahirkan rasa yang amat kesal dengan layanan yang telah diberikan oleh pihak Istana terhadap pencalonan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah memenuhi kehendak Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dengan sokongan majoriti 30 ahli Dewan Negeri. MPP juga tidak bersetuju dengan cara pihak Istana menangani proses pencalonan yang melibatkan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga beliau langsung tidak dipanggil mengadap walaupun mempunyai sokongan majoriti yang jelas.

Oleh itu, MPP berpendapat bahawa proses memperkenan lantikan Menteri Besar Selangor yang baru ini tidak mengikut kehendak Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan bertentangan dengan amalan prinsip demokrasi berparlimen. Ia juga menjejaskan kemuliaan institusi raja berpelembagaan.

Walau bagaimana pun, MPP juga mengambil kira keperluan menyelesaikan isu perlantikan Menteri Besar Selangor ini secepat mungkin demi menjaga kepentingan rakyat.

Makanya, MPP telah memutuskan untuk menghormati permintaan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk beliau menarik diri dari dicalonkan agar isu ini dapat diselesaikan segera. Berikutan itu, MPP juga bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar Saudara Azmin Ali dikemukakan sebagai calon Menteri Besar supaya pencalonan Saudara Azmin Ali itu adalah dari parti mengikut tuntutan amalan demokrasi. 

Ini selaras dengan pendirian MPP bahawa kemuliaan perlembagaan dan keluhuran undang-undang perlulah dipertahankan sepanjang masa. MPP menegaskan juga bahawa proses yang tidak menepati kehendak undang-undang ini tidak boleh dijadikan satu duluan (precedent) di masa hadapan.

MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN

22 September 2014

0 ulasan:

Pimpinan

Angkatan Muda

Cabang