Selasa, 23 September 2014

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Azmin akan manfaatkan rizab tunai RM3 bilion

Posted: 23 Sep 2014 01:15 AM PDT


Dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu, Azmin Ali berikrar untuk memanfaatkan rizab tunai RM3 bilion dalam perbendaharaan negeri Selangor untuk "manfaat rakyat Selangor".

Menurut Azmin, beliau tidak mahu rizab itu kekal di atas kertas semata-mata.

"Setiap sen dana negeri Selangor adalah milik rakyat dan bukan milik pemimpin.

"Cara saya dana itu bukan di atas kertas tetapi diterjemahkan kepada program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor," katanya dalam ucapan di hadapan rumah ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang, tengah hari ini.

Dalam ucapan sama, Azmin berikrar untuk menjalankan tugas secara turun padang dengan mendekati sendiri masalah penduduk Selangor.

"Banyak kerja yang tertangguh selama dua bulan ini.

"Cara kerja saya bukan dengan tie (tali leher) dan kot tetapi dengan lengan pendek dan seluar panjang... turun ke daerah untuk mendengar sendiri masalah rakyat dan selesaikan semuanya," katanya.

Terus masuk pejabat

Beliau memaklumkan orang ramai yang beliau akan terus ke pejabat menteri besar pada petang ini juga untuk membincangkan pelantikan exco yang akan diumumkan pada hari Jumaat ini.

"Saya juga akan masuk ke pejabat petang ini untuk berbincang tentang barisan exco yang baru," katanya.

Beliau turut berhasrat meningkatkan imej penjawat-penjawat awam Selangor untuk lebih dikenali sebagai penjawat awam yang cekap apabila bekerja dalam satu pasukan.

"Saya akan mengangkat martabat penjawat awam di negeri Selangor sebagai pasukan yang boleh menjalankan tanggungjawab secara kolektif," katanya dalam ucapan di hadapan kira-kira 300 orang hadirin.

Hadirin yang hadir rata-ratanya kelihatan ceria walaupun cuaca panas terik.

Mereka menghadiri kenduri kesyukuran yang diadakan di perkarangan rumah ibu Azmin, Che Tom Yahya di Kampung Klang Gate Baru, Ulu Klang.

Terdahulu, beliau berikrar untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri besar baru dalam mengekalkan keharmonian di Selangor bermula hari ini.

Imamkan 300 orang

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas selepas mengimamkan solat Zuhur berjemaah di masjid berhampiran rumah ibunya, Masjid Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang pada jam 1.25 tengah hari tadi.

"Amanah ini bukan satu keistimewaan tetapi tanggungjawab yang cukup besar untuk mengangkat martabat orang Melayu-Islam khususnya.

"Saya harap dengan dokongan tuan-tuan saya dapat jalankan tanggungjawab ini dengan jujur dan ikhlas kerana akhirnya saya perlu menjawab pada Allah Taala.

"Jadi saya berharap sekarang adalah waktu untuk kita mula bekerja.

"Saya juga telah menerima akujanji dengan Tuanku Sultan Selangor untuk menjaga keharmonian di negeri ini," katanya dalam ucapan tersebut di hadapan kira-kira 300 orang menyertai solat Zuhur berjemaah diimamkan Azmin.

Satu kenduri kesyukuran menyambut pelantikan Azmin sebagai MB akan berlangsung pada bermula jam 2.30 petang ini di kediaman ibunya di kampung yang sama.

Azmin mengangkat sumpah sebagai MB baharu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim di Istana Alam Shah Klang, pagi tadi

Istana perjelas sebab Azmin dipilih MB baru

Posted: 23 Sep 2014 01:13 AM PDT



Istana Selangor menjelaskan bahawa kelewatan pelantikan menteri besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR dan ketidaksefahaman parti dalam Pakatan Rakyat dalam pencalonan menteri besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, keengganan DAP dan PKR mematuhi arahan Istana pada 27 Ogos untuk mencalonkan lebih dua nama, menyulitkan lagi tindakan Sultan sehingga terpaksa meneliti calon lain dalam parti itu yang tidak dicalonkan.

Menurutnya, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi menteri besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.

"Baginda mengambil maklum bahawa kerajaan negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen parti PAS, PKR dan DAP.

"Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa menteri besar Selangor perlu dilantik di kalangan ADUN PKR untuk mendapatkan kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti Pakatan Rakyat di Dewan Negeri Selangor," katanya.

Kenyataan tersebut juga menyatakan Azmin, yang dilahirkan di Singapura telah bermastautin dan dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak tahun 1968.

Azmin mendapat surat lantikan dari Istana semalam untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyelesaikan tanda tanya siapa bakal menerajui negeri terkaya di Malaysia ini.

PKR dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong Azmin memberikan sokongan majoriti kepada beliau.

Kedua parti itu sebelum ini hanya menghantar satu nama iaitu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga ditegur oleh Istana yang mahukan lebih dari dua nama dari setiap parti.
PAS pula telah menyatakan akan mengikut pilihan dari Sultan Selangor.

Bagaimanapun Munir tidak memberikan sebab mengapa Wan Azizah ditolak.

Beliau dalam kenyataan sama turut menyanggah kenyataan yang mendakwa Sultan Sharafuddin Idris Syah telah mencampuri pentadbiran kerajaan negeri termasuk pelantikan menteri besar Selangor.

"Untuk makluman umum, ingin dijelaskan sekali lagi bahawa Sultan Selangor tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain dari menasihati Datuk Menteri Besar Selangor.

"Di dalam urusan pelantikan menteri besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," kata beliau

Azmin mahu perkukuh Selangor sebagai negeri maju, harmoni & bersatu padu

Posted: 23 Sep 2014 01:10 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 SEPT: Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali berjanji akan menggalas amanah ini dengan penuh tanggungjawab, jujur dan berintegriti untuk memperkukuhkan Selangor sebagai negeri maju, harmoni serta bersatu-padu.
Azmin Ali
"Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan konsep Negeri Pembangunan atau developmental state berlandaskan amalan tata kelola yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban," kata Azmin dalam kenyataan pertama beliau selepas mengangkat sumpah jawatan itu pagi tadi.

Tambahnya, beliau juga akan mendukung institusi demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas perlantikan ini dan saya menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku Sultan melantik saya sebagai Datuk Menteri Besar," kata Azmin lagi.
Beliau turut menghargai sokongan dan laluan yang diberikan Presiden KEADILAN termasuk dokongan daripada 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dan Pakatan Rakyat.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan terima kasih kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN serta seluruh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Adun Selangor atas kepercayaan serta sokongan untuk saya menerajui Selangor," kata Azmin.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=63076

MB Selangor: Exco baharu angkat sumpah Jumaat ini

Posted: 23 Sep 2014 01:09 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 SEPT: Exco Kerajaan Selangor yang baharu akan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat ini.
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan mengenai pemilihan Exco akan dimulakan petang ini dan dijangka dapat diputuskan selewat-lewatnya pada Khamis.
Azmin Ali
"Kita akan ada perbincangan petang ini untuk lihat komposisi Exco. Saya akan segerakan kerana Tuanku menitahkan perkara ini agar dapat diselesai segera.

"Proses perbincangan belum bermula dan kita akan maklumkan. Istiadat angkat sumpah exco negeri akan diadakan Jumaat ini dan keputusan tertakluk kepada perbincangan," kata Azmin pada sidang media selepas majlis mengangkat sumpah Menteri Besar di Istana Alam Shah di Klang, hari ini.
Menurut Azmin, perbincangan bersama pemimpin komponen Pakatan Rakyat itu nanti turut merangkumi kedudukan empat Exco daripada PAS sedia ada.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=63078

Azmin angkat sumpah MB baharu Selangor

Posted: 23 Sep 2014 01:08 AM PDT

KLANG 23 SEPT: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Istana Alam Shah, Klang pada jam 10.50 pagi ini.
Azmin Ali
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji itu berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Azmin yang berbaju Melayu hitam serta bertanjak sambil memegang lembing Sang Buana turut melafazkan ikrar 10 aku janji.
Beliau kemudiannya menandatangani surat cara perlantikan jawatan Menteri Besar sambil disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa menerima surat perlantikan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, petang semalam.
KEADILAN dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong perlantikan Azmin dengan memberikan sokongan majoriti kepada beliau.
Kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu sebelum ini hanya menghantar satu nama calon iaitu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ekoran itu, Wan Azizah dalam kenyataan menyatakan, beliau menerima dengan hati terbuka perlantikan Azmin sekaligus menarik diri dari pencalonan dan mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN agar Azmin diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor.
MPP yang bermesyuarat pada semalam juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.
Menurut Wan Azizah, keputusan tersebut demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin.
"Saya yakin bahawa KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi Raja Berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor," katanya.
Munir dalam kenyataan hari ini berkata, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi Menteri Besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.
PAS pula menyatakan akan mengikut  calon pilihan dari Sultan Selangor.
Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih enam tahun bermula 2008.
Turut hadir, isteri Azmin, Shamsidar Taharin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan empat Exco PAS iaitu Dr Halimah Ali, Iskandar Samad, Dr Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi serta Speaker Selangor, Hannah Yeoh.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=63055

Azmin Ali dilantik sebagai MB Selangor baharu

Posted: 23 Sep 2014 01:07 AM PDT

SHAH ALAM 22 SEPT: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu berkuatkuasa 23 September 2014.
Azmin Ali MB
Pelantikan itu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa menerima surat pelantikan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, petang tadi.
Menurut surat itu, majlis angkat sumpah akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang pada pukul 10.30 pagi esok.
"Sukacita dimaklumkan bahawa Sultan Selangor telah berkenan melantik YB (Yang Berhormat) tuan untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor berkuat kuasa 23 September (Selasa).
"Sehubungan itu, YB diminta hadir ke istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor,"
"Kerjasama pihak YB dalam menyempurnakan perkara Sultan Selangor amat dihargai dan diucapkan terima kasih," jelas surat berkenaan.
Pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu sekaligus menamatkan spekulasi pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=63043

Tiada ulasan: