Rabu, 27 Ogos 2014

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Al Fatihah Buat Datuk Mohd Hashim Yahaya

Posted: 27 Aug 2014 01:23 AM PDT

Saya menerima perkhabaran duka mengenai pemergian Datuk Mohd Hashim Yahaya ke rahmatuLlah pada pukul 1.50 petang tadi. Almarhum yang juga mantan Mufti Wilayah Persekutuan merupakan sahabat karib sekian lamanya. Hubungan akrab kami sekeluarga Almarhum dan isteri Ustazah Aminah terjalin sekian lama semenjak mereka di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri tatkala memimpin ABIM Kelantan.

Saban tahun pada hari kedua Eidulfitr', kami berdua akan diraikan oleh Qariah Masjid Kubang Semang, Pulau Pinang.

ltizam Almarhum dalam menegaskan yang haq amat mengesani sanubari saya. Tatkala di Penjara Sungai Buloh, Almarhum pernah mengadakan sesi pengajian khas dengan saya mengupas kitab Imam Abu Zahrah “Usul Fiqh”.

Almarhum sering menceritakan pengalaman anak muda miskin dari desa yang menghadapi masalah mengurus pasport untuk ke Kaherah dan tidak pernah merupakan jasa ayahanda saya yang membantu semasa beliau Ahli Parlimen Seberang Perai Tengah pada tahun 1960-an.

Malah masih terngiang pesan Almarhum usai mengimamkan solat hajat serta sewaktu menyampaikan tazkirah ringkas sehari sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanggal 8 Januari 2012 yang lepas, betapa perjuangan ini menuntut kesabaran dan istiqamah, kerana dengan kuasa rakyat sahaja penguasa yang zalim dapat diubah.

Sepanjang berkhidmat dengan kerajaan, Almarhum terkenal dengan inisiatif berterusan dalam usaha meningkatkan mutu dan pengiktiran Pusat Islam (kemudiannya JAKIM) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sewaktu menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Sesungguhnya, kami kehilangan seorang sahabat, da’i, alim ulama' yang amat berjasa dalam kegiatan Islam dan da'awah.  Saya mendoakan agar keluarga Almarhum dapat menerima ketentuan Ilahi dengan sabar. Bersama-sama kita mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat dan berada di kalangan orang-orang yang soleh.

Sekalung takziah dari kami sekeluarga juga seluruh keluarga besar KEADILAN. Al-Fatihah.

ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan: