Sabtu, 11 Januari 2014

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Penghakiman BERSIH 3.0 Berteras Semangat Perlembagaan, Jamin Hak Rakyat Untuk Berhimpun

Posted: 10 Jan 2014 03:55 AM PST

KENYATAAN MEDIA YB AMIRUDIN SHARI

10 Januari 2014

Penghakiman BERSIH 3.0 berteras semangat Perlembagaan, jamin hak rakyat untuk berhimpun

Saya mengalu-alukan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini yang melepaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim, saudara Azmin Ali dan empat yang lain daripada tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

Susulan penghakiman Mahkamah Rayuan minggu lalu bahawa perintah majistret melarang perhimpunan tersebut adalah tidak sah, maka Hakim Ahmad Bache di dalam penghakiman beliau pada hari ini turut memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Dato' Seri Anwar dan saudara Azmin serta empat yang lain adalah tidak berasas.

Melihat kepada keputusan ini yang bersifat precedent bagi kes-kes susulan yang berkaitan, jelas sekali bahawa pihak mahkamah bertindak berasaskan tuntutan Perlembagaan yang memaktubkan hak untuk berhimpun sebagai hak asasi rakyat di negara ini.

Justeru, penghakiman pada hari ini merupakan satu isyarat yang baik buat rakyat dan secara tidak langsung membuktikan bahawa peruntukan yang termaktub di dalam Akta Perhimpunan Aman 2011 ini bersifat otokratik dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan yang menjamin kebebasan berhimpun.

Sehubungan dengan itu, rakyat seharusnya tidak perlu lagi gentar dan gerun dengan momokan pemerintah yang sering menggunakan akta tersebut untuk menakut-nakut dan menafikan hak kebebasan berhimpun yang sememangnya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

AMIRUDIN SHARI
Ahli Dewan Negeri Selangor
kawasan Batu Caves

Tiada ulasan: