Jumaat, 19 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


BERKENALAN DENGAN ANWAR IBRAHIM

Posted: 19 Jul 2013 04:49 PM PDT

Semasa Anwar Ibrahim mulai tertonjol sebagai seorang pemimpin Mahasiswa saya sudah berada di London dan tidak sempat melihat kepimpinannya di Malaysia, walaupun ada juga mendapat berita bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang sangat hebat dan mendapat sokongan meluas dari golongan pelajar.

Tetapi beliau bukanlah dari golongan Mahasiswa kiri yang dipimpin oleh Syed Hamid Ali, Sanusi Osman, Halim Ali, Rohana, Rohani, Syahrom M Dom, dan pimpinan pelajar kiri, saya tidaklah begitu mengikuti perkembangan beliau di tanah air.

Pada suatu hari kami mendapat berita bahawa beliau mahu datang ke London untuk menemui pelajar-pelajar di London dan diantara Persatuan Pelajar yang ingin ditemuinya termasuklah persatuan-persatuan yang duduk dibawah pimpinan kami, pelajar-pelajar kiri di London.  Tetapi beliau mempunyai rakan-rakan yang lebih luas dari kalangan bekas-bekas MCKK di London pada waktu itu seperti Fauzi Abdul Rahman.  Samada dia menemui Fauzi dan mengadakan perbincangan atau dialog dengan pelajar-pelajar di bawah pimpinan KMUK, tidaklah saya ketahui kerana saya tidak berminat langsung dengan KMUK yang sangat kuat sentimen pro-Melayunya.

Walau bagaimana pun sempatlah kami bertemu dengan Anwar dan dapat mendengar agenda perjuangan beliau yang saya fikir adalah agenda yang munasabah untuk perjuangan dan perpaduan.

Saya hanya dapat mengikuti perjuangan Anwar apabila saya sudah kembali dari London ke Malaysia iaitu semasa beliau ditahan dibawah ISA, secara fizikalnya saya tidak menemui beliau.  Dan pada masa itu kami memperjuangkan supaya beliau dibebaskan dari tahanan ISA.

Semasa itu, kalau saya tidak silap, beliau telah menubuhkan ABIM, dan pada penahanan itu, beratus orang pimpinan pelajar juga disenaraikan untuk ditahan dibawah ISA.  Saya sempat ke Dataran Merdeka semasa para pelajar membuat tunjuk perasaan, dan itulah kali pertamanya saya terhidu semburan gas.

Mungkin kerana pada waktu itu saya masih muda (mungkin) hiduan gas itu tidaklah sebegitu teruk jika dibandingkan hiduan gas semasa beberapa siri BERSIH.  Gas yang disembur oleh puak jahiliah semasa BERSIH amat kuat dan jika saya tidak disambut oleh rakan-rakan di Masjid Jameq Kuala Lumpur sudah tentu saya terjatuh tergolek ke dalam longkang dan mungkin kepala saya terhantuk di kepala longkang kerana pada waktu itu saya jatuh pengsan.  Hanya rakan-rakan menyambut saya dan membawa saya ke saluran air paip di Masjid itu dan memandikan saya disana sehingga saya tersedar kembali.

Anwar diberitakan sudah ditahan dibawah ISA dan ramai lagi pimpinan pelajar termasuk Kamarzaman Yaacob, Hishamuddin Rais, Syed Hamid Ali, Bung Selamat dan ramai lagi pimpinan pelajar yang saya sudah lupa nama mereka termasuk pelajar-pelajar bukan Melayu.

Saya menemui kebanyakan mereka ini di Dataran Merdeka, dan saya tidak tahu bahawa mereka itu berada didalam senarai untuk ditahan dibawah ISA.

Saya bawa mereka itu kesemuanya ke Pejabat saya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak jauh dari Dataran Merdeka.  Dan apabila tamat waktu pejabat, saya punggah mereka itu ke rumah saya di SEA Park Petaling Jaya dan mereka tinggal di rumah saya buat beberapa hari.

Didalam perbincangan mereka, mereka mahu melarikan diri ke Negeri Siam dan dari sana akan mengambil langkah yang sesuai.

Saya sempat menegah Kamarzaman Yaacob, kerana dia adik angkat saya, dan juga sekampung dengan saya, Kg Lubok Kawah, Temerloh.  Ayahnya, Pok Kob, sentiasa mengingatkan saya, "Mi, mu tolong jago adik mu, Me tu."

Kamarzaman Yacob ni adalah Pemuda UMNO yang tegar semasa di kampung. Saya amat terperanjat dengan perubahannya dari UMNO kepada perjuangan kiri dengan bukan sahaja menjadi Presiden UMSU tetapi juga Kelab Sosialis semasa di Universiti Malaya.

Bagaimana pun, Kamarzaman tidak mengambil nasihat dari saya, beliau turut bersama-sama rakan-rakannya yang lain menuju ke arah Thailand dan berjaya menyeberangi Sungai Golok.  Entah apa pulak terlintas di hatinya, dia berpatah balik ke Temerloh dan di Temerlohlah beliau ditahan di bawah ISA. Dan diatas budibicara Prof Engku Aziz, beliau dibolehkan mengambil perperiksaan akhir tahun dan berjaya mendapat ijazah pertamannya.

Selepas Anwar bebas dari tahanan beliau bergerak di bawah ABIM yang pada waktu itu amat jelas halatujunya menyokong PAS.  Kalau saya tak silap telah berlaku perbincangan diantara beliau dengan Presiden PAS, Dato Asri Muda bahawa Dato Asri akan mengundurkan diri dari jawatan Presiden PAS dan Anwar akan mengambil alih sebagai Presden PAS jika diperkenankan oleh perwakilan.

Anwar bergerak keseluruh Negara memperjuangkan Islam di bawah ABIM, ramai guru-guru yang tidak mahu berpolitik terlibat dengan ABIM, mereka boleh bergerak didalam Persatuan Belia tetapi tidak dibolehkan bergerak dibawah politik.

Pada waktu itu saya menganjurkan suatu Forum diantara ABIM, Gerakan Belia 4B dan Persatuan Belia (nama tak ingat) yang dipimpin oleh Sanusi Joned.  Yang menjawab berstuju untuk hadir ke Forum di Temerloh itu hanyalah Anwar Ibrahim, manaka Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin, Presiden 4B Malaysia dan Sanusi Joned langsung tidak memberikan respon, maka Forum itu dibatalkan.

Tidak lama kemudian daripada itu saya menyertai PAS, kenapa dan mengapa telah saya terangkan didalam coretan saya yang lepas (sila rujuk kembali).

Mendengarkan berita bahawa Anwar akan menyertai PAS dan diikuti oleh pimpinan ABIM cukup menghairahkan saya.

Malangnya, tiba-tiba Mahathir mengumumkan Anwar menyertai UMNO, bahkan keahlian Anwar didalam UMNO sudah lama kerana keahlianya dibayarkan oleh keluarganya.  Maka bukan sahaja Anwar menyertai UMNO, hampir keseluruhan rakan-rakan ABIMnya yang popular turut menyertai UMNO.

Walau bagaimana pun, PAS juga menghadapi reformasi pimpinan yang dibawakan oleh The Young Turks didalam parti.  Mereka mahukan perubahan.  Mereka pilih Tuan Haji Yusof Rawa sebagai Presiden baru menggantikan Dato Asri dan Ustaz Fadil Nor menjadi Timbalan Presiden manakala Tuan Guru Haji Hadi sebagai Naib Presiden dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Ketua Dewan Ulamak.

Semasa reformasi pimpinan inilah diterima konsep Pimpinan Ulamak didalam parti.

Saya cukup dukacita bahawa Anwar menyertai UMNO dan kami golongan muda didalam PAS mengambil sikap menyerang Anwar dan pada masa itulah teori bahawa kamu tidak boleh membersihkan tong taik dengan memasuki tong yang penuh dengan taik itu.  Ini bererti bahawa UMNO tidak boleh diselamatkan lagi melainkan diubah konsep pemerintahan negara dari sekularisme kepada Islam.

Anwar berjaya dari satu tahap ke satu tahap didalam UMNO.  Pimpinannya didalam UMNO cukup menyerlah, dan Anwar terus mempelopori konsep Islam didalam UMNO sehingga tercetus berbagai institusi Islam di negara ini termasuklah Universiti Islam dan Bank Islam.

UMNO diperingkat Anwar belum menyertai parti itu sudah terumbang ambing kerana rakyat sudah jemu dengan pemerntahan Dr Mahathir tiba-tiba bingkas bangun dengan adanya Anwar di dalam UMNO.  Anwar menjadi pimpinan sanjungan didalam UMNO.

Beliau melangkah kaki dengan menerima pencalonan untuk menentang Datuk Haji Suhaimi diatas jawatan Ketua Pemuda UMNO, dan dengan mudah Anwar mengenepikan Suhaimi.

Pada waktu itu saya sudah menyertai UMNO dan walaupun saya ahli Gerakan Belia 4B saya memihak kepada Anwar (kenapa dan mengapa saya menyertai UMNO, sila rujuk kepada coretan saya yang lalu).

Diatas desakan ahli-ahli peringkat bawah, Anwar akhirnya dicalonkan sebagai calon Timbalan Presiden UMNO, yang menyebabkan Mahathir diletakkan didalam keadaan serba salah.  Tetapi sokongan yang begitu besar terhadap Anwar semacam menyekat air banjir dari kalangan akar umbi tidak akan berjaya.

Akhirnya Tun Ghafar Baba menarik diri dari jawatan Timbalan Presiden, dan Anwar memenangi jawatan itu tanpa tanding.

Tidak semudah itu Mahathir mahu melantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang akhirnya terpaksa juga dilantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana begitulah adat didalam UMNO bahawa Timbalan Presiden UMNO diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, ibarat cerita semut dengan gula.  Pimpinan UMNO peringkat negeri-negeri dan bahagian-bahagian semacam berlumba-lumba mahu menjadi orang kuat Anwar diatas jangkaan bahawa jika Mahathir meletakkan jawatan sudah tentulah Anwar menjadi Perdana Menteri.  Najib Tun Razak adalah orang yang seumpama itu.

Apabila ekonomi Malaysia bergoyang kerana keadaan ekonomi dunia bergoncang, maka di sanalah mula-mula retaknya hubungan antara Mahathir-Anwar kerana Mahathi mahu menyelamatkan golongan korporat yang teruk terancam, manakala Anwar mahu menyelamatkan ekonomi negara, ekonomi rakyat.

Perbezaan dasar ini tidak ada keputusannya melainkan dapat ditentukan siapakan akan menjadi peneraju negara.  Mahathir sangat cepat menghidui keadaan ini dan mengetahui bahawa jika Anwar diangkat oleh bahagian-bahagian menjadi calon Presiden UMNO sudah tentu Mahathir akan tumbang.  Maka sebelum keadaan itu berlaku Mahathir mengambil tindakan memecat Anwar dari UMNO dan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.  Maka terputuslah Anwar dari masyarakat pimpinan UMNO di semua peringkat.

Bukan sahaja Mahathir memecat Anwar, difitnahkan Anwar dengan berbagai kes jenayah, sehingga Anwar dipukul dengan teruk semasa berada didalam lock-up dan dibiarkan tanpa dibawa kepada rawatan doktor.

Fitnah yang jijik diturunkan oleh Mahathir dan kumpulannya bahawa Anwar meliwat drebar kepada Wan Azizah, dan beliau dikenakan penjara selama 6 tahun, walaupun selepas itu Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Anwar bebas dari tuduhan itu, tetapi setelah 6 tahun Anwar merengkok didalam tahanan.

Sebagai pembelaan kepada tindakan terhadap Anwar ini, kami menyokong penubuhan ADIL yang dipelopori oleh Wan Azizah, dan saya diangkat sebagai Pengerusi ADIL Temerloh, dan didalam pada itu sedang diusahakan supaya sebuah parti politik dapat ditubuhkan.  Pada waktu itu ada sebuah parti politik di Terengganu yang dorman, dan melalui parti politik inilah dipinda Perlembagaanya dan namanya untuk membolehkan penyokong-penyokong Anwar dari UMNO dan parti-parti politik lain serta badan-badan NGO yang begitu masif menyokong Anwar.

Pada 4 April 1999 jam 10.00 pagi tertubuhlah sebuah parti politik baru bernama Parti Keadilan Nasional di Hotel Renaissanse, Kuala Lumpur.  Penuh sesak Dewan Hotel itu sehingga orang ramai terkeluar hingga ke lobi dan jalanraya. Itulah parti yang dijiwai oleh rakyat dari semua kaum mahu memperjuangkan REFORMASI dan perubahan di Malaysia.

Kehadiran parti baru ini dan dengan kerjasama dengan PAS dan DAP serta PSRM menampakkan bahawa pimpinan Dr Mahathir sudah goyah, UMNO/BN semacam tidak berupaya untuk meneruskan pimpinannya di negara ini apabila pihak Pembangkang mendapat kemenangan besar walaupun UMNO/BN masih dapat mengekalkan pemerintahan.

Keadaan ini berlarutan hingga ke Pilihanraya 2004, tetapi imej Mr Clean, Abdullah Badawi dapat memulihkan UMNO dan PKN hanya dapat pertahankan hanya satu kerusi sahaja di Permatang Pauh.

Walaupun pada masa itu saya masih menjadi ahli UMNO, tetapi saya sudah meluat dengan telatah UMNO.  Akhirnya apabila Anwar Ibrahim mengadakan ceramah di Sg Gau, saya turut hadir dan duduk jauh dari pentas dan ditempat yang tidak begitu terang; semasa Anwar mahu meninggalkan tempat ceramah beliau memandang ke arah saya dan melaungkan kepada saya, "Suhaimi, please come back!" membuatkan saya benar-benar tersentuh dan saya terpaksa membatalkan hajat saya untuk tidak mahu lagi terlibat dengan politik.

Akhirnya melalui Sdr Ahmad Nizam Hamid dijemputkan Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR untuk menerima kemasukan saya kedalam PKR bersama-sama 20 orang rakan saya.

Hubungan saya dengan Anwar bukanlah hubungan yang begitu rapat, hanyalah hubungan antara "I know you and you know me, that's all"  Tetapi saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kerana semasa saya sakit dahulu Sdr Anwar menghulurkan buah tangannya kepada saya dan didalam keadaan saya sakit sekarang ini pun Anwar juga menghulurkan buah tangannya.  Terima kasih Komrad Anwar.

(...bersambung...)

PAHLAWAN MAT SABU.

Posted: 19 Jul 2013 05:42 AM PDT

Rasanya tak berapa kena kalau saya tak ceritakan beberapa orang kawan didalam PAS yang seangkatan dengan saya atau yang lebih lama sedikit dari saya tetapi sempat bergerak bersama.  Diantara mereka adalah Mat Sabu, yang saya panggil dia sekarang ini Pahlawan.  Sesuai dengan panggilan Pahlawan kerana kesungguhan dan keberaniannya.

Dia bukanlah dari golongan Ustaz dan jauh sekali Ulamak.  Dia mendahului zamannya kerana dari mula dia melangkah diri didalam PAS, di sudah menentang arus dengan cara pakaiannya.

Dia tidak memakai kopiah, malah tidak bersongkok, jauh sekali dia nak pakai sarban, dia cakap mudah-mudah, dan dia diantara yang sangat berjaya jika dia nak bercerita tentang sesuatu kejadian.  Kalau orang lain bawa cerita begitu, tak mendatangkan apa-apa makna yang berkesan.

Ambik satu cerita tentang kutu beruang.  Tentu ada yang masih ingat tentang cerita kejadian kutu beruang yang masa itu melanda negeri Kedah.  Cara dia melakarkan cerita itu mengenai serangan kutu beruang yang memenuhi jalan-jalan raya di kawasan-kawasan yang bersawah-padi, begitu banyak kutu beruang sehingga menyebabkan jalan-jalan itu berbahaya untuk kenderaan-kenderaan, sehingga kereta-kereta itu boleh termasuk kedalam sawah padi kerana jalan-jalan itu menjadi licin.

Mohammed Sabu menjadi icon anak-anak muda, jikalau ceramah-ceramah PAS sudah menjadi lesu, panggillah Mat Sabu, Insya Allah, ceramah-ceramah itu akan bermaya balik dengan ribuan hadirin akan datang.

Penyokong-penyokong PAS suka mendengar kuliyah2 ugama, dan jika didalam ceramah-ceramah PAS pula, mereka lebih suka kalau ada Ulamak dan Non-Ulamak.  Slot untuk non-Ulamak itu akan menjadi lebih berjaya jika Mat Sabu menghadirinya.  Jika pada hari ini memang senang untuk mencari gandingan itu kerana diantara penceramah-penceramah dari PKR boleh mengisi ruang itu.

Saya mengenali Mat Sabu dari ketika dia belum reti atau pandai berceramah.  Di peringkat awal dia menyertai PAS saya menjemputnya untuk berceramah di beberapa rancangan Felda termasuk Jengka 24.  Masa itu bukanlah macam sekarang ni.  Kalau ceramah itu dihadiri oleh 100 orang sudah dianggap berjaya. PAS tidak ada dihati orang Pahang pada waktu itu.

Ceramah Mat Sabu mendatar sahaja.  Tetapi selepas beberapa bulan, sudah jauh perbezaan diantara Mat Sabu 3 bulan dahulu dengan Mat Sabu selepas 3 bulan. Saya pernah dijemput berceramah di Pulau Pinang, di tempat ceramah itu ada Mahfuz Omar, saya baru kenal dengannya di ceramah itu.  Malam itu juga ada Omar Othman, bekas Timbalan Dato Bandar George Town, seorang penceramah yang prolifik. Omar adalah bekas pemimpin PSRM.  Mendengar Mat Sabu berceramah pada malam itu semacam saya mendengar ceramah Omar Othman.

Saya tidak ingat diatas peristiwa apa kami semua berada di Markaz PAS Kedah. Di sana kami bertiga sedang berbincang-bincang tiba-tiba lalu seorang yang berpakaian baju Melayu, bersarban kemas, dan memakai kain pelaikat.  Dia melintasi kami bertiga dan menegur kami dengan kata-kata yang tidak menyeronokkan saya, katanya: "Patutlah PAS  tak pernah menang kerana ada pemimpin-pemimpin yang tak pakai cara Sunnah." Saya terasa tersinggung, tetapi Mat Sabu dan Mahfuz tampak senyum saja.

Saya menjawab, "Yang Pak Cik tak pakai cara Sunnah ni kenapa? Baju Melayu dan berkain pelaikat, rasanya semacam pakaian orang India."  Pak Cik tu nampak marah, dia terus pergi.  Mat Sabu menegur saya, "Hang tau tu sapa?  Itulah Pak Ya, Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, seorang yang sangat disegani di Kedah ni."

Isu pakaian sunnah ini menjadi satu perbahasan di dalam satu Muktamar PAS dengan macam-macam pandangan khususnya daripada yang bukan ulamak tetapi semua terdiam apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberikan pandangan beliau bahawa menutup aurat itu adalah pandangan yang betul.  Nak pakai coat pun boleh, nak pakai jubbah pun boleh, nak pakai kain pun boleh, pakaian yang menutup aurat itu adalah pakaian Islam.

Baanyak pandangan dari Nik Aziz dapat mematikan banyak perbincangan.  Pada masa itu banyak pandangan mengatakan supaya pemimpin-pemimpin PAS yang layak supaya beristeri lebih dari satu untuk membantu golonan Muslimat khususnya ibu tunggal di kalangan Muslimat PAS.  Hujah ini dimatikan begitu saja apabila Tuan Guru Nik Aziz menyatakan bahawa sesiapa yang mampu dan berhajat, bolehlah kawin dua, atau tiga, tetapi dia sendiri memilih untuk tidak berkahwin lebih dari satu.

Selepas itu isu pakaian Islam tidak lagi dibincangkan di Muktamar PAS dan berkahwin lebih dari satu tidak lagi dibincangkan didalam Muktamar PAS.  

Mat Sabu apabila merujuk kepada UMNO sentiasa menyebut UMNUUU.  "Tak ada jalan raya ni kalau tak ada UMNUUUU; tak ada sekolah ni kalau tak ada UMNUUU; tak ada balai raya ni kalau tak ada UMNUUU!!!" Dia suka mengejek begitu dengan reaksi gelak ketawa orang ramai.

Anwar adalah penceramah paling hebat, dan kehebatan Anwar kerana dia sentiasa mendedahkan kelemahan kerajaan dengan fakta-fakta yang padat; Mat Sabu menarik minat penyokongnya dengan andaian yang sukar dibandingkan dengan lain-lain penceramah.

Semasa kami sama-sama ditahan dibawah ISA pada tahun 1985, saya dihantar ke Kem Tahanan Kemunting dan Mat Sabu dibuang daerah ke Kuala Pilah.

Semasa kami ditahan di bawah ISA dibawah  Operasi Lalang, kami sama-sama dimasukkan ke blok yang sama di Kem Tahanan Kemunting bersama-sama dengan Mahfuz Omar, Khalid Samad dan beberapa puluh yang lain yang termasuk juga (?) Anak Rimau yang dituduh menyelewengkan agama Islam.

Walaupun semasa ditahan bersama itu terdapat dua tiga orang ustaz, tetapi Mat Sabu kami pilih menjadi Imam kami bergilir-gilir dengan Khalid Samad.

Didalam PAS amat sukar untuk perwakilannya memilih non-Ulamak atau non-Ustaz menjadi pimpinan parti itu dihampir semua level.  Tetapi keyakinan Mat Sabu menawarkan dirinya menjadi calon Timbalan Presiden parti itu dapat dibayangkan bahawa beliau adalah seorang yang sangat yakin dan berani.  Saya sungguh tidak menjangkakan bahawa beliau boleh mengalahkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tetapi kejayaannya mengatasi Ulamak PAS itu membayangkan bahawa beliau mempunyai sokongan meluas dari kalangan perwakilan PAS.

Jika orang PAS ingin mengakuinya bolehlah saya mengatakan bahawa Mat Sabu adalah penghubung diantara orang ramai (yang bukan PAS) kepada Parti itu yang berpayung di bawah kepimpinan Ulamak.

Mat Sabu ternyata mampu memimpin Parti Islam dan mampu menaikkan imej parti itu dikalangan orang-orang bukan PAS.

(...bersambung...)


PAK HARUN

Posted: 19 Jul 2013 02:45 AM PDT

Selain daripada ahli-ahli keluarga saya dari sebelah saya dan keluarga sebelah isteri saya, Pak Harun dan anak lelakinya sajalah yang sentiasa melawat saya di Kem Kemunting semasa saya ditahan disana.  Setiap kali isteri dan anak-anak saya melawwati saya, jarang-jarang sekali Pak Harun dan anaknya tidak hadir.

Pak Harun adalah orang Kedah.  Dia telah berhijrah ke Temerloh dan berkahwin dengan orang Kerdau, merupakan ahli veteran PAS.

Sebelum PAS berjaya membangunkan Balai Islam di Sg Gau Temerloh, PAS mengujudkan Balai Islam diatas tanahnya dan disana jugalah didirikan sebuah rumah untuk Yang DiPertua PAS Kawasan Temerloh, Ustaz Ishak Abdullah, dan disitulah tempat pengajian mingguan yang diadakan oleh PAS kawasan Temerloh, dan disitulah merupakan tempat saya mula-mula menjadi anak murid kepada Ustaz Ishak.

Ustaz Mokhtar, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Temerloh telah mengajak saya, dan Pak Harun berkongsi membeli sekeping tanah di Sg Gau, dan disamping itu ada seorang ahli PAS yang berjiran dengan tanah itu menginfakkan pula sebahagian daripada tanahnya untuk dijadikan Balai Islam Sg Gau.

Ustaz Mokhtar telah mendirikan komplek rumah sewanya diatas tanah bahagiannya, Pak Harun pula mendirikan beberapa buah rumah, dan sebuah darinya didiami oleh Ustaz Ishak Abdullah, Ketua PAS Kawasan Temerloh dan yang lain-lainnya disewakan.  Pak Harun tidak mempunyai sebarang pekerjaan tertentu.  Beliau hanya berniaga obat-obatan de pekan-pekan sehari.

Tanah saya pula saya infaqkan kepada PAS Kawasan Temerloh untuk dijadikan sebahagian dari kawasan Balai Islam PAS, dan tanah ini digunakan oleh PAS kawasan Temerloh hingga sekarang ini untuk bangunan dan aktiviti PAS Kawasan Temerloh.

Semasa peristiwa Lubok Merbau, Pak Harun ada bersama-sama saya di Felda Lubok Merbau, dan bersama-sama Man Kadir (Pak Jabit) mempertahankan marwah PAS kerana kalau kami juga meninggalkan Lubok Merbau pada hari kejadian itu, tidak lagi orang-orang PAS (termasuk pimpinannya) berada di Lubok Merbau.

Walaupun Azrai meminta kami keluar dari rancangan Felda itu kerana dia tidak sanggup melihat perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepada kami, tetapi demi marwah PAS, saya, Pak Harun dan Man Kadir tetap tidak mahu meninggalkan Lubok Merbau dan sanggup berhadapan dengan apa risiko sekali pun.

Azrai tidak sanggup kami diapa-apakan malam itu dan dia kepergian sekejap pada malam itu, dan kembali dengan beberapa orang pemuda, yang dikatakan, bahawa mereka itu adalah angkatan Fisabilillah, P.A.S. yang sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan Islam.

Pihak kami sendiri yang berada di Markaz PAS di Lubok Merbau pula menyediakan kubu dengan alat-alat besi keras untuk memberikan tentangan jika kami diserang oleh puak-puak jahiliah dari UMNO.  Berita P.A.S. sudah berada di Felda Lubok Merbau itu rupa-rupanya sudah diketahui oleh puak-puak Jahiliah itu kerana pada lewat malam itu diadakan rundingan diantara P.A.S. di sebelah PAS dengan P.A.S. di sebelah jahiliah, dan rundingan itu memutuskan bahawa Jahiliah UMNO tidak akan menyerang Markaz PAS pada malam itu kerana mereka tidak mahu berlaku perpecahan diantara P.A.S. kerana pertubuhan itu tidak memihak dari segi politik.

Pak Harun tidak terlepas dari segi sentiasa mengawasi pergerakan saya, dan tidak pernah menjauhkan diri dari saya.  Walaupun saya sebenarnya mengkagumi keberanian beliau, tetapi dia berbisik-bisik dengan orang PAS sendiri bahawa dia tidak pernah bertemu dengan seorang pemimpin PAS (dimaksudkan saya) yang begitu berani (maaf ya, macam saya puji diri sikit, tapi itu bisikan dari Pak Harun sendiri).

Adakah saya berani seperti yang dibisikkan oleh Pak Harun?  Sebenarnya tidak! Tapi saya memang tidak berkenan dengan sikap meninggalkan kawan-kawan yang sedang menghadapi risiko kususnya risiko kecelakaan seperti yang menimpa orang-orang PAS di Felda Lubok Merbau.

Azrai dan Man Kadir, juga Pak Harun dan rakan-rakan yang saya tidak kenali dari P.A.S. adalah lebih berani dari saya, dan saya pungut keberanian mereka untuk meneruskan perjuangan!

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


TV Itali tidak lagi siar pertandingan ratu cantik, sebaliknya di Malaysia

Posted: 18 Jul 2013 05:55 PM PDT


Di Itali, negara Kristian, televisyennya tidak akan menyiarkan pertandingan ratu cantik. Sebaliknya di Malaysia, 4 gadis Islam telah dipilih menyertai Miss Malaysia World 2013 pada bulan Ramadhan. Teringat kisah Mufti yang lantang bersuara dalam isu ini, Almarhum Dato Ishak Baharom.

Siaran pertandingan Miss Italia dihentikan selepas 25 tahun
19 Julai 2013

ROM - Stesen televisyen milik pemerintah Itali, RAI memutuskan untuk menggugurkan penyiaran program pertandingan ratu cantik Miss Italia yang telah menemui penonton selama 25 tahun. Presiden RAI, Anna Maria Tarantola dilaporkan mahu rancangan itu digugurkan kerana ia memaparkan contoh negatif. Sementara itu, speaker di dewan rendah Itali, Laura Boldrini memuji keputusan RAI dengan berkata, televisyen negara itu mempunyai sedikit ruang untuk wanita menyatakan pendapat.

4 gadis Islam finalis Miss Malaysia World 2013
19 Julai 2013

Seramai empat gadis Islam merupakan antara 20 peserta yang dipilih sebagai finalis pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang akan berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada 2 Ogos ini. Pemilihan finalis untuk pertandingan ratu cantik itu dibuat dalam satu sesi interbiu tertutup yang berlangsung di sini pada 12 Julai lalu dan majlis memperkenalkan mereka berlangsung baru-baru ini.


WARTA KERAJAAN NEGERI SELANGOR JIL. 48 NO. 10 BERTARIKH 11 MEI 1995
["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Media menyiarkan bantahan orang ramai terhadap tindakan menggari tiga gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik itu, Pertandingan itu telah diadakan pada 13 Jun 1997 di di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya dan pengumuman larangan orang Islam menyertai sukan bina badan oleh Mufti Sarawak.