Jumaat, 5 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


BERTUKAR PARTI POLITIK SEMACAM BERSALIN BAJU -- BEGITULAH UNGKAPAN TERHADAP SAYA, DAN SAYA UCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH

Posted: 05 Jul 2013 07:54 PM PDT

Saya telah terangkan didalam kisah sebelum ini mengapa dan kenapa saya keluar dari PRM sebuah parti yang saya dokong dari zaman muda saya dan saya perjuangkan sehinggalah saya menjadi calon parti itu di kawasan Parlimen Maran.  Adakah sesiapa menjangkakan bahawa perkara ini akan berlaku?  Saya sendiri tidak menjangkakan, bahkan adakah sesiapa yang menjangkakan bahawa saya gembira kerana keluar dari parti yang saya sayangi dan cintai dan merupakan parti keluarga saya dan ramai sanak saudara saya?  Saya keluar dari PRM dengan penuh kekeciwaan.  Keluar dari parti itu tetapi tetap kasih kepadanya!!!

Bukanlah saya keluar PRM untuk menyertai UMNO, jauh sekali dan bukanlah saya setuju dengan UMNO bahkan saya anggap UMNO adalah musuh rakyat.  Saya bezakan UMNO, dasarnya dan pimpinan atasanya dan perjuangannya memihak kepada golongan feudal dan kapitalis tidak pernah saya terima.

Kisahnya telah saya ceritakan sebahagiannya.  Tetapi terlalu banyak peristiwa yang berlaku yang membawa saya kepada parti UMNO bukan kerana tarikan dasarnya, bukan kerana tarikan dari pimpinannya, tetapi pemberontakan didalam diri saya sendiri bahawa saya merasakan bahawa saya boleh menyumbangkan sesuatu untuk membela rakyat, namun, saya sudah kehilangan platform.  Saya sudah terkeluar dari PRM, dan platform politik saya sudah tiada.  Wujud satu kekosongan dan bagi seorang yang sudah berpolitik secara aktif sejak umur 12 tahun kekosongan mewujudkan satu dialema terhadap saya sendiri.  Jikalaulah pada waktu itu wujud sebuah parti progresif seperti PRM sudah pasti saya akan menyertai parti itu.  Kiranya seperti sekarang ini ada alternatif seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudah tentu pada waktu itu saya sudah menyertai PSM.

Saya bukanlah seorang tokoh atau mempunyai ketokohan untuk mewujudkan parti sendiri kerana untuk itu memerlukan kekuatan dan kemampuan; dan saya tidak mempunyai kekuatan dan kemampuan itu.  Saya cuma mampu menyertai mana-mana parti politik yang sudah ada dan bergerak didalam organisasinya.

Pada waktu itu saya rapat dengan Sdr Abd Aziz Sallehuddin, seorang tokoh pemuda UMNO yang mempunyai pandangan yang luar biasa.  Walaupun pada waktu itu dia adalah hanya seorang sahaja Pemuda dari Pahang di dalam Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia, tetapi dia adalah seorang pemberontak didalam UMNO.  Dia menentang Tun Razak.  Dia ditawarkan menjadi calon didalam Pilihanraya, tetapi dia menolak.  Dia mengkritik UMNO.  Dia mengkritik pimpinan UMNO.  Dia mengkritik Tun Razak.

Kami sama-sama tinggal di Kuala Lumpur, kami sama-sama anak Temerloh (walaupun dia anak Chenor), ayahnya adalah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang.  Hari-hari kami bersama dan membincangkan tentang politik Pahang dan politik Negara.  Kami pernah bincangkan untuk menubuhkan sebuah parti politik Pahang-based tetapi memerlukan sokongan lebih ramai daripada anak-anak Pahang.  Dasar parti yang kami cadangkan menghampiri dasar PRM, dasar pro-rakyat.

Buat sementara waktu kami berlindung dulu di bawah UMNO.  Dan saya bersetuju menjadi ahli UMNO cawangan Kg Chenor, Maran dan didalam pemilihan cawangan pemuda UMNO kampung itu, saya terpilih sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Kg Chenor dan Sdr Hasan, yang kini menjadi Ketua Kampung Chenor sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Tetapi akhirnya jawatan saya itu luput begitu sahaja kerana keahlian saya ditolak atas alasan saya pernah bertanding sebagai calon PRM di kawasan Parlimen Maran.  Maka walaupun saya memohon menjadi ahli UMNO, keahlian saya tidak diterima oleh UMNO.

Keaktifan saya didalam Gerakan Belia 4B Daerah Temerloh justeru Negeri Pahang juga terdedah saya kepada pemimpin-pemimpin UMNO peringkat Negeri.  Sesungguhnya gerakan belia 4B itu adalah barisan hadapan bagi Pemuda UMNO.  Dato Haji Suhaimi Kamaruddin pada waktu itu adalah Presiden 4B Malaysia dan beliau adalah juga  Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Oleh kerana sentiasa berkesampingan dengan pimpinan UMNO lama-kelamaan saya terjerumus juga dengan UMNO.  Diatas dorongan rakan-rakan didalam 4B di seluruh Semenanjung, saya mula berapat dengan UMNO dan akhirnya memohon menjadi ahli UMNO.  Permohonan menjadi ahli UMNO kali ini juga ditolak oleh Ibu Pejabat UMNO diatas alasan yang sama bahawa saya pernah bertanding sebagai calon PRM di Maran diatas bantahan pimpinan UMNO Bahagian Temerloh.

Tetapi pada waktu itu saya mempunyai rakan-rakan diperingkat yang lebih tinggi.  Datuk Khalil Yaakub meminta Datuk Omar Othman, Ketua UMNO Cawangan Lipis menerima saya dan memanjangkan permohonan saya kepada Ibu Pejabat UMNO.  Datuk Omar melantik saya sebagai Ketua Penerangan UMNO Cawangan Kg Medang iaitu cawangan kampungnya sendiri.

Keahlian saya didalam UMNO diluluskan.  Semasa Dato Mohamed Rahmat menjadi Setiausaha Agung UMNO, saya telah bertemu dengannya untuk permohonan bertukar cawangan dari Kuala Lipis ke Temerloh, dan Mohamed Rahmat memberikan sokongan dan beliau mengarahkan Cikgu Khalil Ismail, Setiausaha UMNO Bahagian Temerloh menerima saya bertukar ke Temerloh dan saya memilih menjadi ahli UMNO di kampung saya sendiri iaitu Kg Paya Pulai dan didalam mesyuarat agung tahunan cawangan itu saya dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Cawangan.

Kehadiran saya didalam UMNO kali ini tidak diterima baik oleh Sabbaruddin Chik dan kebanyakan Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, saya dianggap sebagai duri didalam daging.

Bagaimanapun hubungan saya dengan cawangan-cawangan adalah baik terutamanya kebanyakan pemimpin-pemimpin 4B diperingkat Daerah dan juga cawangan-cawangan sudah mulai menguasai cawangan-cawangan UMNO.

Saya dicadangkan bertanding sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian dan mendapat tentangan habis-habisan dari dua orang tokoh (Khususnya) UMNO Bahagian iaitu Sabbaruddin Chik dan Ismail Sabri Yaakub.  Saya boleh mendapat pencalonan yang banyak dari cawangan-cawangan jika saya mahu tetapi sebagai menjaga taktik agar tidak begitu ketara saya hanya mendapatkan 5 cawangan sahaja mencadangkan nama saya sebagai calon Naib Ketua.

Maka berlangsunglah pertandingan 3 penjuru iaitu calon yang disokong oleh Bahagian (anak saudara saya sendiri, iaitu Hayani) dan Datuk Zaghlol, anak saudara kepada Dato Hamzah Abu Samah.  Anak saudara saya yang menjadi calon yang disokong oleh Sabbaruddin dan semua AJK UMNO Bahagian Temerloh mendapat semua kemudahan, Bahagian menyediakan segala ruang untuknya sehingga pada satu ketika hampir semua perwakilan dibawa didalam rombongan ke Kuala Lumpur dan makan malam di rumah Sabbaruddin.  Tetapi elok juga kejadian itu berlaku.  Ramai perwakilan itu amat berasa dukacita kerana semua ucapan disitu menentang saya tetapi apabila masuk waktu solat hanya sebahagian kecil sahaja daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian yang solat.  Ini menimbulkan kekeciwaan kepada perwakilan-perwakilan yang agak sudah berumur.

Mereka yang pulang selepas itu berikrar memberikan sokongan kepada saya.  Dan saya juga menjalankan kempen tersendiri saya.  Oleh kerana saya tidak berwang maka kempen saya berjalan secara orang yang tidak bermodal.  Setiap hari saya beli ikan kembung basah, sayur dan ulam dan ikan kering juga; saya senaraikan antara 5 hingga 10 cawangan, kami bergotong royong memasak dan menjemput perwakilan-perwakilan dari cawangan-cawangan itu untuk makan bersama.  Aktiviti begini bukan saja dapat merapatkan saya dengan ahli-ahli perwakilan tetapi dapat membezakan cara saya yang menumpukan ke kampung-kampung tidak seperti calon sokongan bahagian itu sentiasa membawa perwakilan ke Kuala Lumpur dan Temerloh.

Didalam makan rakyat itu bukan saja kami dapat berbual mesra, tetapi juga ramai yang sudi dilantik menjadi jawatankuasa kempen untuk saya.

Di dalam saya kekurangan wang itu, saya dapat juga sedikit sebanyak bantuan wang dari YB Md Zain dari Melaka (yang akhirnya menjadi Ketua Menteri Melaka), dia cukup bersimpati dengan saya.  Dia pernah jemput saya dan rakan-rakan saya ke rumahnya di Melaka untuk makan tengah hari.

Kempen saya pada masa itu digerakkan oleh Sdr Hamzah Lateh dari Kg Paya Luas (beliau meninggal dunia kerana serangan jantung).  Hamzah cukup komited dengan kempen itu dan beliau sendiri amatlah cekap mengaturkan kempen untuk saya.

Kemudian saya bertemu dengan Datuk Zaghlol meminta supaya dia mengundurkan diri dari pertandingan kerana didalam pandangan saya hanya Hayani dan saya sahaja mempunyai harapan untuk menang, 50-50.
Tetapi Zaghlol pulak meminta saya menarik diri kerana peluang dia sangat cerah, walaupun saya menyatakan kepada dia bahawa jika saya dan dia berlawan dengan Hayani, kedua-dua dia dan saya akan kalah, dan Hayani akan menang.   Zaghlol menyatakan bahawa semua cawangan-cawangan sebelah Bera menyokongnya dan memerlukan hanya sedikit sahaja lagi sokongan dari Kuala Semantan untuk dia menang.

Maka kami bertiga meneruskan pertandingan itu.

Apabila Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Temerloh berlangsung, dan pengundian dijalankan, Zaghlol hanya mendapat lebk 30 undi, Hayani mendapat 100 undi, dan saya mendapat 106 undi.  Majoriti 6 undi itu menyerupai nombor kereta Sabbaruddin Chik No. 6 dan Sabbaruddin meninggalkan Dewan sebelum pengumuman dibuat.

Sabbaruddin mempunyai sebab kenapa dia tidak boleh menerima saya.  Peristiwa pertamanya ialah setelah ia menang menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh.  Daripada seorang yang rapat dengan saya tiba-tiba dia bertukar memusuhi saya atas nasihat lingkungan kawan-kawan barunya didalam Jawatankuasa Pemuda.

Kawan-kawannya menggalakkan Sabbaruddin menentang saya merebut jawatan Ketua Gerakan Belia 4B Daerah Temerloh, walhal, saya sendiri mempelawanya untuk menjadi Ketua supaya memperkukuhkan kedudukan politiknya.  Tetapi Sabbaruddin memang angkuh.  Dia merasakan bahawa dia sudah menang sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh dia juga menjangkakan bahawa dia boleh dengan mudah mengalahkan saya sebagai Pengerusi 4B.

Tetapi saya masih bersikap supaya Sabbaruddin menjadi Pengerusi 4B tanpa bertanding, saya mahu memberikan laluan kepadanya.  Dengan angkuh dia menyatakan bahawa dia tidak mahu menang percuma, dia mahu menang berlawan.  Dan dia minta supaya diadakan undi sulit.  Biasanya didalam 4B Temerloh kami tidak pernah buat secara undi sulit, hanya angkat tangan sahaja.

Maka dilantiklah Sdr Mohd Nor, Setiausaha Gerakan Belia 4B Negeri Pahang yang sangat memihak kepada Sabbaruddin menjadi Pengerusi pemilihan itu.

Apabila semua perwakilan sudah mengundi dan kertas undi sudah terkumpul, tiba-tiba Sabbaruddin menarik diri sebelum kiraan dibuat.  Saya bantah kerana perbuatan itu benar-benar tidak beretika.  Tetapi Sabbaruddin dengan keras hati menyatakan bahawa dia yang bertanding maka dia ada hak untuk tarik diri, dan dia terus umumkan untuk bertanding sebagai Timbalan Pengerusi.  Saya yang duduk berdekatan dengan dia memberitahu dia bahawa saya sanggup mengosongkan jawatan saya untuk disandang oleh dia, tetapi dia tetap berkeras juga mahu bertanding Timbalan.  Perbuatannya sangat pelik.

Untuk jawatan Timbalan Pengerusi ada 5 orang calon, iaitu Sdr Mahmud Md Diah, Sdr Shamsuddin Shukor, Sdr Mokhtar dan seorang lagi bernama Mokhtar juga.  Sabbaruddin adalah calon kelima.  Kali ini Sabbaruddin tidak pula mahukan undi sulit.  Maka undi dibuat secara angkat tangan.  Sabbaruddin mendapat undi yang tercorot hanya sekadar dalam lingkungan 30 undi sahaja dan Sdr Mahmud menang mengalahkan calon-calon yang lain.

Kerana kekalahan itu Sabbaruddin dengan Jawatankuasa Pemuda UMNOnya yang menjadi perwakilan di Persidangan 4B itu terus meninggalkan Dewan, dan sejak hari itu dia tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan saya.

Semasa saya bergerak didalam 4B itu saya tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti politik kerana permohonan saya menjadi ahli UMNO sudah ditolak.

Pada tahun 1982, saya mengerjakan Haji dan kembali dari Haji itu saya merasakan bahawa saya perlu menambah pengetahuan ugama Islam saya.  Saya telah menemui Ustaz Ishak Abdullah, Yang Di Pertua PAS kawasan Temerloh yang menjadi guru  ugama bebas mengajar di surau-surau dan masjid-masjid dan juga di rumah-rumah.  Saya bersetuju mengadakan transport untuk Ustaz Ishak mengajar, dan saya mengikuti pengajaran ugama dengan Ustaz Ishak.  Kelas yang diajarkan oleh Ustaz Ishak termasuklah Hadis, Tafsir Al-Quran dan politik Islam.  Cukup seronok dapat mendalami ilmu ugama, setelah hampir setahun saya belajar dengan Ustaz Ishak, tiba-tiba Ustaz mempelawa saya untuk mendengar ceramah politik oleh Ustaz Haji Abdul Hadi di Balai Islam, iaitu markas PAS Temerloh.

Saya hadir awal.  Begitu ramai manusia yang hadir.  Ratusan kereta memenuhi kawasan ceramah.  Cikgu Haji Hashim, Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan turut berceramah sebelum Haji Hadi dipengerusikan oleh Ustaz Mokhtar.

Saya tidak pernah dengar ceramah yang begitu padat dan memberangsangkan daripada Ustaz Haji Hadi, kerana sebelum ini saya langsung tidak berminat dengan politik yang dibawakan oleh PAS.

Saya cukup berminat.  Selepas ceramah saya diajak makan bersama-sama Haji Hadi, dan di dalam kebodohan saya sendiri, saya terlepas soalan yang memalukan iaitu "Dah lama ustaz buat kerja ini?".  Saya tengok Ustaz Hadi tercengang.  Saya terus membetulkan soalan saya, "Ustaz ada membuat kuliah di Rusila, Terengganu?"  Ustaz Hadi menjawab bahawa Kuliahnya diadakan seminggu sekali di Rusila dan beliau menyatakan hari-harinya dalam seminggu.

Selepas hari itu saya pergi ke Rusila setiap minggu untuk mengikuti kuliah Haji Hadi, kadang-kadang ditemani oleh seorang berdua rakan, kadang saya seorang sahaja.  Dan selang beberapa bulan pula saya teruskan perjalanan saya ke Kota Bharu untuk turut mengikuti kuliah Tuan Guru Haji Aziz.  Begitulah jadual saya.  Di Temerloh saya mengikuti kuliah Ustaz Ishak, seminggu sekali kuliah Haji Hadi dan Haji Nik Aziz.

Sehingga satu ketika, Ustaz Ishak mempelawa saya menyertai PAS.  Saya cukup berat untuk berpolitik semula.  Saya lebih berminat belajar ugama dan tidak dikaitkan dengan penyertaan didalam parti politik.

Berat atau tidak, saya sertai PAS memandangkan orang yang mengajak saya itu adalah Ustaz saya sendiri, takkan ilmunya saya ambil tetapi partinya saya tolak.

Apabila saya menyertai PAS, Ustaz Ishak terus lantik saya menjadi Setiausaha kawasan.  Saya dapati organisasi PAS Temerloh pada waktu itu sangat kucar kacir.  Tidak ada sistem filing dan minit-minit mesyuarat hanyalah minit diatas riba.  Selain dari kuliah-kuliah tidak ada program parti untuk mendekati masyarakat.  Keahliannya hanya beberapa ratus orang sahaja, tak sampai pun 500 orang.

Saya susun gerakan perluasan cawangan-cawangan dan pertambahan ahli-ahli, dan saya gembira kerana program yang saya aturkan itu mendapat sokongan positif daripada Ahli-Ahli Jawatankuasa dan begitu juga ahli-ahli biasa.   Dengan itu memudahkan kerja memperkukuhkan parti.

Di samping itu saya melakukan gerak kerja didalam rancangan-rancangan Felda dengan mengemukan isu-isu yang pada waktu itu menindas peneroka-peneroka.  Akhirnya PAS Temerloh berjaya menubuhkan cawangan-cawangannya di setiap rancangan Felda di kawasan Parlimen Temerloh.  Saya gembira juga kerana ada beberapa orang daripada kalangan pimpinan 4B cawangan-cawangan turut menyertai PAS.

Di samping itu saya tidak memutuskan hubungan baik saya dengan ahli-ahli UMNO, sikap mesra saya dengan mereka saya teruskan.

Kami mulalah mengaturkan ceramah-ceramah terutamanya di kampung-kampung yang Ustaz Ishak mengadakan kuliah, iaitu ceramah selepas Isya' selepas kuliah Ustaz Ishak.  Peringkat awalnya cerama-ceramah PAS itu tidaklah ramai, kadang-kadang tak sampai 50 orang pun yang hadir.

Sistem ceramah yang saya lakukan ialah dengan mengedarkan surat-surat jemputan kesetiap buah rumah dikawasan di mana ceramah hendak diadakan.  Caranya ialah jika ceramah dibuat di kampung Tengah, maka edaran itu akan dibuat ke setiap rumah di Kg Tengah dan kesetiap buah rumah di kampung jiran sebelah seperti Kg Buntut Pulau dan Kg Pengkalan Manggis disamping poster-poster ditampaalkan di kawasan yang lebih besar.  Saya tengok ahli-ahli PAS benar-benar bersemangat menjalankan tugas baru ini apatah lagi program ini berjaya menambahkan keadhlian dan cawangan.

Akhirnya saya terlibat memberikan penerangan di kawasan-kawasan di luar Temerloh seperti Bentong, Maran, Kuantan, Jerantut, Kuala Lipis, Pekan dan Rompin terutamanya didalam kawasan-kawasan Felda. Isu yang saya bawa untuk rancangan Felda ialah hak mendapatkan geran tanah secara individu, hak perwarisan, isu pendapatan yang terlalu kecil, isu pemecatan peneroka-peneroka dari rancangan felda, isu baja yang tidak berkualiti, isu harga barang di PNF yang lebih tinggi dari barang-barang yang dijual diluar, isu  ptongan pendapatan yang terlalu besar sehingga pendapatan yang boleh dibawa balik menjadi sangat kecil, isu jalan ladang yang potongan dibuat dari pendapatan setiap bulan tetapi jalan ladang tidak juga diperbaiki.

Isu-isu ini menarik minat peneroka-peneroka.  Ramailah ahli-ahli UMNO dan orang atas pagar menjadi ahli PAS; dan sehinggakan saya terus dijemput berceramah di rancangan-rancangan Felda di luar negeri Pahang seperti di Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor, Perak, Kedah dan Perlis.

Setiap malam saya terlibat dengan ceramah, dan bukan sedikit cawangan-cawangan PAS dapat dirasmikan khususnya di rancangan-rancangan Felda.  Akhirnya saya semacam diisytiharkan sebagai "persona non grata" di rancangan-rancangan Felda dan rancangan-rancangan itu menutup gate untuk menghalang saya masuk ke rancangan berkenaan.

Peristiwa yang tidak dapat saya lupakan adalah Peristiwa Berdarah Felda Lubok Merbau.  Saya pergi ke Felda Lubok Merbau kerana saya diberikan nama seorang ahli PAS di sana dan saya diberitahu bahawa PAS tidak akan dapat bertapak di rancangan itu.

Sesampai saya di gate rancangan Felda itu saya telah dihalang oleh Pengurus dari masuk ke rancangan itu.  Pelik juga bagaimana Pengurus itu dapat tahu tentang kedatangan saya walhal saya bukan kesana untuk mengadakan ceramah.  Saya hanya ingin bertemu dengan seorang ahli PAS untuk meninjau kemungkinan melibarkan pengaruh PAS ke rancangan itu.

Apabila saya dihalang masuk, saya pun meninggalkanlah rancangan itu tetapi bukan untuk pulang.  Saya tercari-cari rumah orang PAS di kampung-kampung berdekatan.  Akhirnya saya nampak sebuah rumah yang ada bendera PAS, maka sudah pastilah itu rumah orang PAS.  Saya parkir kereta saya di depan rumahnya dan memberi salam.  Dari susuk badannya dia itu lebih tua dari saya dan saya panggilnya abang.

Saya menerangkan kepadanya siapa saya dan halangan yang dikenakan kepada saya oleh Pengurus Felda Lubok Merbau.  Saya memohon kepada abang itu untuk meminjam motorsikalnya dan juga baju dan seluar kerjanya serta beg plastik untuk mengisi kain baju saya untuk saya masuk semula ke Felda Lubok Merbau dan saya tinggalkan kereta saya di rumahnya.

Abang itu setuju, maka berangkatlah saya semula menuju Felda Lubok Merbau menaiki motorsikal itu, saya nampak Pengurus itu masih ada di gate, tetapi tidaklah pulak dia menghalang saya.  Sampai di dalam rancangan saya pun mencarilah rumah ahli PAS seperti nama dan alamat yang ada pada saya itu.

(Untuk pengetahuan, pada awal tahun 2013, saya dijemput berceramah di Felda Lubok Merbau oleh pihak PKR, dan saya dapat bertemu kembali dengan tuan rumah berkenaan dan beberapa ahli PAS yang lama-lama dahulu.  Man Kadir yang juga ada semasa Peristiwa Berdarah Felda Lubok Merbau itu hadir bersama-sama saya di dalam jadual ceramah kami di bawah Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, turut bersama adalah Rebin Birham, Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Siti Khalijah Mohamed, Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR dan isteri saya, Hendon bt Jaafar).

Setelah bertemu orang yang dicari di alamat yang diberikan, saya memperkenalkan diri, dan saya dipelawa masuk ke rumahnya, hanya dia pelik kenapa saya berpakaian kotor begitu.

Saya mengambil kesempatan untuk mandi bertukar pakaian, dan tak lama lagi selepas itu, abang PAS itu membawa kereta saya dan dia mengambil motorsikalnya.

Saya memberitahu tuan rumah, saya dah tak ingat namanya, kalau tak silap Ishak, saya ada misi untuk menubuhkan sebuah cawangan PAS di rancangan itu, dan saya nak mulakan dengan mengadakan ceramah kecil-kecilan di rumahnya.  Pada mulanya dia tidak setuju kerana dia takut akan dipulaukan oleh peneroka-peneroka lain kerana selain dari dia hanya ada 2 orang lain sahaja yang menjadi ahli PAS di situ.  Seorang darinya adalah kerani di Pejabat Pengurus Felda disitu dan seorang lagi bernama Azrai yang rumahnya berdekatan dengan rumahnya.

Tetapi saya berdegil untuk mengadakan juga.  Sebentar dia menghilangkan diri, rupa-rupanya dia menjemput kerani Felda itu ke rumahnya.  Dia ni nampak berani.  "Betul abang nak buat ceramah?" Saya katakan betul, dan saya katakan kalau dapat 10 hingga 20 orang hadir sudah cukuplah.

Azrai dan abangnya sudah tentu hadir, Ishak dan isterinya juga akan hadir, kerani itu sudah tentu hadir.  Maka hanya tambahan sedikit lagi untuk mencari 10 hingga 20 orang.

Kerani itu berlalu dari rumah Ishak.  Lebih kurang beberapa jam selepas itu dia kembali semula dan dia kata dia dah edarkan jemputan untuk lebih kurang 200 orang.  Pada malam selepas Isya' tu ramai juga yang datang melebihi 30 orang, di luar jangkaan saya.

Didalam ceramah saya itu saya menerangkan hak-hak peneroka Felda seperti hak kepada hakmilik individu dan lain-lain.  Tidak saya sangka bahawa ceramah itu mendapat sokongan daripada yang hadir.  Tetapi sebelum ceramah itu selesai, rumah Ishak telah dibaling dengan batu dan kayu.  Saya berhentikan ceramah, dan selepas itu saya edarkan borang keahlian PAS, saya tak ingat berapa ramai yang mengisi borang, tetapi lebihlah dari separuh daripada yang hadir.  Salah seorang yang mengisi borang PAS itu adalah Bendahari salah satu cawangan UMNO di Felda Lubok Merbau.

Lubok Merbau adalah sebuah rancangan yang sangat besar, lebih besar dari mana-mana rancangan Felda dan di sana ada beberapa buah cawangan UMNO.

Saya tinggal di Lubok Merbau buat beberapa hari, dan dalam tempoh saya tinggal di sana, ramai golongan muda, termasuk peneroka-peneroka itu sendiri yang muda-muda, datang ke rumah Ishak untuk menjadi ahli PAS, dan sebelum saya keluar dari Felda Lubok Merbau, saya tubuhkan sebuah cawangan PAS dan mengujudkan Jawatankuasanya.

Selang tak berapa lama Ahli Parlimen Padang Terap meninggal dunia dan Pilihanraya Kecil akan diadakan.  Ustaz Fadhil Nor melantik saya bertugas di Felda Lubok Merbau.  Saya bersama-sama Man Kadir (sekarang Pak Jabit) dan Pak Harun (orang Kedah tetapi bermastautin di Temerloh dan diantara ahli PAS yang lama di Temerloh) pergi ke Lubok Merbau untuk menubuhkan Bilik Gerakan.

Saya pilih rumah Azrai sebagai Bilik Gerakan diatas tawaran darinya sendiri.  Azrai mempunyai hubungan yang rapat juga dengan ahli-ahli PAS dari luar Felda Lubok Merbau, dan dia mengundang ramai juga kawan-kawannya dari luar untuk sama-sama bertugas di Bilik Gerakan kami di rancangan itu.

Alhamdulillah, semasa kempen rancak dijalankan ramai lagi peneroka-peneroka di rancangan itu menyertai PAS.

Tetapi di Felda Lubok Merbau bukanlah kawasan yang selamart untuk menjalankan kempen, harus kalau kami mahu pergi rumah ke rumah, kena pergi beramai-ramai, begitu juga untuk memasang poster dan banner.

Pernah saya dengan dua orang lain ahli PAS sedang memasang poster tiba-tiba didatangi oleh seorang yang bermotorsikal.  Dia datang dengan cara yang sangat selamba.  "Pasang poster ya?  Tunggu kat sini sat, aku nak panggil puak-puak aku, nanti kita lawan bertumbuk di sini!!!"  Dia betul-betul kotakan apa yang dia cakap, sebentar lagi dia dan lebih dari 5 orang kawan-kawannya datang bermotorsikal. Kami lari meninggalkan tempat itu.

Pengalaman kawan-kawan lain pun begitu juga.  Jangan haraplah poster-poster atau banner dapat bertahan lebih dari 20 minit.  Terang-terangan mereka akan tanggalkan di hadapan orang-orang kita.  Cukup angkuh, cukup sombong mereka itu, mereka bukan berlagak sebagai gangster tetapi memang mereka itulah gangster. Itulah UMNO di Felda Lubok Merbau ketika itu.

Calon PAS untuk kawasan ini ialah Ustaz Halim Arshad.

Bilik Gerakan kami mempunyai ramai petugas-petugas, tetapi kebanyakannya petugas-petugas dari luar kawasan, dan ada yang datang dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Perak dan lain-lain tempat.

Untuk makan minum, masing-masing memberi sumbangan untuk membeli keperluan seperti beras, ikan masin, gula, kopi, teh dan lain-lain.  Kami kena berdikari kerana bantuan kewangan dari parti tidak ada.

Pimpinan Pusat pun ada juga bermalam di sana seperti Syed Ibrahim, Bendahari Agung PAS.

Selain dari bertumpu di Felda Lubok Merbau saya juga berceramah di lain-lain kampung di kawasan Parlimen Padang Terap itu, dan saya tidak pernah lupa bahawa ke setiap tempat yang saya pergi ada beberapa orang yang ditugaskan sebagai menjaga keselamatan saya.  Mereka ini tidak bercakap-cakap, tetapi sebaik saja saya sampai ke satu-satu tempat ceramah salah seorang dari mereka akan bersalam dengan saya, cara bersalamnya ialah dengan menekankan jari telunjuknya ke pergelangan tangan.  Azrai mengatakan bahawa kalau ada orang bersalam begitu, itulah orang kita yang menjaga keselamatan saya.

(Saya akan sambung kisah ini di lembaran akan datang, mungkin petang ini, kerana sekarang ini sudah sampai ke jadual saya yang satu lagi iaitu membaca Al-Quran, Hadis-Hadis, dan selepas itu meneruskan bacaan buku Memoir Perjuangan Syed Husin Ali.  Dalam keadaan saya tidak sihat ini, saya akan bertumpu di rumah saya sahaja, dan saya bertekad untuk membaca Quran, Hadis, Kisah Nabi-Nabi dan buku-buku politik; dengan keadaan saya ini, saya tidak lagi mampu bergerak dari segi politik, maka saya habiskan masa saya untuk menulis sahaja).

(...bersambung...)

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


[KENYATAAN MEDIA] Rampasan Kuasa Oleh Pihak Tentera Di Mesir

Posted: 04 Jul 2013 10:34 PM PDT

Setiap negara yang mengiktiraf demokrasi berperlembagaan mesti mengecam tindakan yang tidak berperlembagaan dan tidak demokratik dalam meraih kuasa.

Tindakan pihak tentera di Mesir merupakan satu tamparan hebat terhadap Kebangkitan Arab. Apa pun matlamat mereka, ianya tidak sekali-kali menghalalkan cara.

Pemimpin yang dipilih secara demokratik menerusi pilihan raya yang bebas dan adil tidak sepatutnya diturunkan dengan cara sebegitu.

ANWAR IBRAHIM

[PRESS STATEMENT] Military Coup In Egypt

Posted: 04 Jul 2013 10:33 PM PDT

All nations that profess constitutional democracy must condemn such unconstitutional and undemocratic means to seize power.

The military coup in Egypt is a major setback for the Arab Spring. Whatever the ends, the means are not justified.

A leader democratically elected through free and fair elections should not be deposed in such a manner.

ANWAR IBRAHIM

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Laporan Dan Penyata Bantuan Yang Disalurkan Melalui Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang (P132)

Posted: 04 Jul 2013 09:04 PM PDT

Laporan Dan Penyata Bantuan Yang Disalurkan Melalui Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang (P132)
  1.      Tahun 2009 : Rm 32 827
  2.      Tahun 2010 : Rm 170 867.85
  3.      Tahun 2011 : Rm 35 240
  4.      Tahun 2012 : Rm 36 500 (Setakat Mac 2012)
Bantuan Peribadi Ahli Parlimen Kepada Rakyat,Pertubuhan & Persatuan (2008/2009)
  1. 1 Unit Pendingin Hawa              ( Surau Al Rhaudah T.Kemang)
  2. Baik Pulih Atap                         (Kg Chuah)
  3. Cermin Mata                            (Ladang Seliau)
  4. Kerusi Roda                             (Kg Chuah)
  5. Hamper Barang Keperluan         (Seluruh Parlimen/Aidilfitri/Tahun Baru Cina/Thaipusam/Natal)
  6. Lawatan Ke Hospital PD             (Hamper Kepada Pesakit)
  7. Baik Pulih Atap                         ( Kg Telok Kemang)
  8. Baik pulih Atap                         (Kg Sirusa)
  9. Hamper Kepada Program Belia   ( Tanah merah | Pertandingan Bola)
  10. Hamper Kepada Program Belia   ( Chuah | Pertandingan Sepak Takraw)
  11. Asnaf                                       ( Sumbangan pada fakir/miskin/pelajar)
  12. Baik Pulih Rumah                      ( Telok Pelandok)
  13. White Board                             ( Sekolah Agama Telok Kemang)
  14. Sumbangan Laptop                   (Sekolah Tamil Parlimen T.Kemang)
  15. Tongkat & Kaki Palsu                (Dun Bagan Pinang)    

Sekitar Majlis Tahlil di rumah anak yatim Darul Aminan, Ampangan

Posted: 04 Jul 2013 09:01 PM PDT


Satu majlis tahlil yang diadakan oleh Setiausaha MPN, Saudara Sabaruddin Mohd Yassim telah berlangsung di Rumah Anak Yatim Darul Aminan, Ampangan pada malam Isnin lepas.

Turut sama hadir beberapa pimpinan AMK NS. Ketua AMK NS saudara Nazree Yunus mengetuai bacaan tahlil dalam majlis tersebut.

MB: SYABAS guna 'wang NRW' beli kereta, baiki pejabat

Posted: 04 Jul 2013 08:48 PM PDT



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menurunkan kadar air tanpa hasil (NRW) mendorong kerajaan negeri membekukan perbelanjaan modal kepada syarikat itu.

Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan RM784 juta kepada SYABAS dalam tahun 2011 seperti termaktub dalam perjanjian konsesi bagi membantu mencapai sasaran mengurangkan NRW kepada 20 peratus.

Namun, sehingga kini kadar NRW SYABAS tetap kekal melebihi 33 peratus, dakwanya.

Menurutnya, SYABAS hanya menggunakan 32 peratus daripada wang tersebut untuk mengurangkan NRW.

"Yang lain, mengikut audit negara diguna untuk membeli kereta dan membaiki pejabat-pejabat yang tiada kena mengena dengan NRW itu," katanya di sidang DUN Selangor pagi ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Abdul Razak Sulaiman tentang kesan pembekuan perbelanjaan modal kepada SYABAS.

Geran guaman bantu saman SYABAS

Beliau sebelum itu menjelaskan bahawa kerajaan negeri menyediakan geran bantuan guaman agar rakyat Selangor boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap SYABAS.

"Pengguna diberi peluang itu (ambil tindakan undang-undang terhadap SYABAS). Kerajaan negeri tak campur hal itu tetapi hanya menyediakan peruntukan geran bantuan guaman

"Ini salah satu usaha reformasi kerajaan negeri dalam menggalakkan rakyat membangkitkan isu-isu penting bahawa mereka tidak mendapat keadilan daripada kerja-kerja yang dilakukan (SYABAS)," jelasnya.

Selangor tetap mahukan Shamsudin ketuai PAC

Posted: 04 Jul 2013 08:37 PM PDT

dipetik daripada FMT

Menurut Speaker, kedudukan Shamsudin dalam PAC amat penting kerana mampu berperanan sebagai 'check and balance' prestasi kerajaan negeri.
SHAH ALAM: Selangor tetap berkeras untuk meletakkan Ketua Pembangkang dari Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Shamsudin Lias mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri.
Speaker Selangor Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada BN untuk menjawat jawatan tersebut.
"Saya tidak pernah meletakkan apa-apa syarat kepada beliau. Saya hanya kata saya harap perkara yang sama dapat dilakukan di Parlimen kerana kita melaksanakannya di Selangor.
"Ini bukanlah kali pertama jawatan Pengerusi PAC ditawarkan kepada wakil rakyat Barisan Nasional,"  katanya pada sidang media di Lobi DUN Selangor pada Khamis.
Shamsudin Isnin lalu menolak jawatan tersebut kerana mendakwa Pakatan Rakyat meletakkan syarat jawatan sama harus diberikan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Parlimen.
Sekaligus menyifatkan lantikan jawatan itu bersifat politik, tambahan suara minoriti yang diwakili BN tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam sesuatu keputusan.
'Check and balance'
Menurut Hannah, kedudukan Shamsudin dalam PAC amat penting kerana mampu berperanan sebagai 'check and balance' prestasi kerajaan negeri.
"Sebagai pengerusi PAC banyak peranan yang boleh dimainkan oleh beliau sebagai contoh menyemak projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri," katanya.
Katanya, tawaran jawatan Pengerusi PAC itu masih terbuka dan berharap Shamsudin dapat mempertimbangkannya semula.
"Tawaran kita masih terbuka, jawatan Pengerusi PAC akan tetap diberikan kepada BN tanpa apa-apa syarat yang ditetapkan," katanya.
Adun Subang Jaya itu bagaimanapun berkata pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan Shamsudin untuk meletakkan wakil BN lebih ramai menganggotai PAC berdasarkan kuota ahli dewan Pakatan Rakyat.
"Kita kena faham Pakatan Rakyat mempunyai tiga perempat wakil di DUN Selangor, kita perlu berlaku adil," katanya.
Manakala senarai anggota jawatankuasa PAC menurut beliau akan diumumkan minggu depan untuk mendapat kelulusan Dewan.

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Indeks jenayah Malaysia tertinggi di Asia

Posted: 05 Jul 2013 02:26 AM PDT





Sebuah laman web Numbeo.com yang menjalankan kajian data telah meletakkan Malaysia negara yang mempunyai kadar jenayah yang tertinggi di Asia iaitu 67.75 dan yang ke 9 tertinggi di dunia. Apa agaknya komen Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri terhadap laporan ini?


About Numbeo.com

Numbeo.com was launched in April 2009. The research and available data at Numbeo.com is not influenced by any governmental organization.

This website was mentioned or used as a source by many international medias, newspapers and magazines including Forbes, Business Insider, The Telegraph, Time, San Francisco Chronicle, The Age, The Sydney Morning Herald, China Daily, The Vancouver Sun, Elmundo and dozens more.

Lepas ni semua klinik kena ada pengawal bersenjata

Posted: 04 Jul 2013 05:32 PM PDT




Selepas ini mungkin akan ada saranan atau undang-undang yang mewajibkan semua klinik, semua restoran, semua premis perniagaan perlu ada pengawal keselamatan bersenjata. Siapa pula yang akan untung bila ramai pengawal keselamatan digajikan?

Penyamun samun poliklinik mati ditembak
5 Julai 2013

Percubaan empat penyamun cuba menyamun sebuah poliklinik ternyata membawa padah apabila seorang daripada mereka mati ditembak di Taman Pertama, Cheras di sini malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, tiga suspek telah memasuki poliklinik dengan bersenjata parang lalu menyamun doktor, jururawat dan pesakit yang berada di situ.

Namun, salah seorang suspek berkenaan telah ditembak selepas cuba menyerang seorang pesakit iaitu ahli perniagaan berpangkat Tan Sri dengan menggunakan parang.Ahli perniagaan itu cuba melawan dan mengacukan pistol ke arah suspek selepas suspek cuba menyamunnya.

Disebabkan itu, mangsa terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sehingga menyebabkan kesemua suspek melarikan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

e-Plat, rakyat lagikah akan tanggung kosnya?

Posted: 04 Jul 2013 05:26 PM PDT




Dapatkah sistem e-Plat ini menghapuskan kes kenderaan curi, samun dan sebagainya? Pelekat cukai jalan sebelum ini dah diubah, penguatkuasa JPJ bertambah, ada SPAD lagi, ada AES lagi, tapi masih banyak jenayah berkaitan kenderaan. Sekarang e-Plat pula. Siapa pula yang akan untung dengan sistem e-Plat ini, dan siapa pula akan menanggung kosnya?

Penggunaan e-Plat perlu segera dilaksana - KPN
5 Julai 2013

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik langkah kerajaan untuk segera melaksanakan sistem nombor plat pintar atau e-Plat yang telah dicadangkan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pelaksanaan itu selaras usaha bagi mengatasi kejadian curi kenderaan dan jenayah-jenayah lain membabitkan kenderaan curi yang semakin berleluasa.

"PDRM berpendapat sudah tiba masanya kerajaan segera melaksanakan sistem e-Plat ini bagi memudahkan polis membendung kes curi kenderaan yang semakin berleluasa serta pelbagai lagi jenayah yang berlaku melibatkan kenderaan.