Isnin, 1 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


JANGAN DITEBANG POKOK JERING DAN POKOK PETAI TU....PAK SAKO

Posted: 01 Jul 2013 11:20 PM PDT

Walaupun saya berlatarbelakangkan kepada keluarga perjuangan Kg Lubok Kawah, tetapi kenakalan saya kadang-kadang tidak bertempat.

Rumah Rakit yang saya diami pada tahun 1959 itu berjiran dengan Rumah Rakit Pak Sako di Sg Semantan berhampiran dengan Kuala Semantan.

Pak Sako atau nama penuhnya ialah Ishak Haji Muhammad adalah calon Parlimen di kawasan Parlimen Temerloh mewakili Fron Sosialis, iaitu parti gabungan Parti Boroh Malaya adan Parti Rakyat Malaya.  Pak Sako adalah Pengerusi Parti Boroh Malaya.

Kempen Pilihanraya pada waktu itu tidaklah seperti kempen pada hari ini.  Waktu itu berlangsung tiga jenis pilihanraya.  Yang pertama Pilihanraya peringkat Kerajaan Tempatan.  Kemudian diikuti oleh Pilihanraya peringkat Dewan Undangan Negeri dan akhirnya Pilihanraya peringkat Dewan Rakyat (Parlimen).

Peraturan pilihanraya pada waktu itu adalah jauh lebih demokratik daripada apa yang ada sekarang ini.

Oleh kerana demokrasi berjalan dengan lebih terbuka maka banyaklah Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaran dan Kerajaan Tempatan dikuasai oleh Pembangkang.  Fron Sosialis merupakan parti pembangkang yang terkuat di negara ini pada waktu itu.  Ramai anggota-anggotanya menjadi Ahli Dewan Rakyat sementara itu Majlis-Majlis Bandaraya dan Perbandaran dikuasai oleh parti itu dan sesetengahnya oleh parti-parti pembangkang yang lain.

Bandaraya Pulau Pinang, Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Melaka dikuasai oleh Pembangkang disamping Ahli-Ahli Pembangkang menang besar didalam kebanyakan Majlis-Majlis Bandaran dan Kerajaan-Kerajaan Tempatan.

Perikatan cukup takut dengan perkembangan ini.  Maka diwujudkan satu Suruhanraya Di Raja bergelar Athi Nahappan Commission, dan Suruhanjaya ini membuat rekomendasi supaya Pilihanraya peringkat Majlis Kerajaan Tempatan ini dibatalkan.  Maka tinggallah Pilihanraya peringkat Dewan Undangan Negeri dan Pilihanraya peringkat Parlimen sahaja.

Didalam pada itu Singapura mengadakan Pilihanraya Umumnya dan PAP atau Parti Petir berjaya menguasai Negara itu sebelum Merdeka mengalahkan Parti Perikatan Singapura yang dipimpin oleh Lim Yew Hock. Keadaan ini lebih menakutkan Perikatan di Malaya bimbang kepada angin perubahan yang ditiupkan dari Singapura.

Setiap malam saya mengintai pergerakan Pak Sako semasa dia dan rombongannya balik ke rumah rakitnya. Saya menghendap didalam lalang yang tebal dengan tanah-tanah keras.  Apabila rombongan Pak Sako turun ke rakitnya, saya gunakan tanah-tanah itu (walaupun tanah berbuku tetapi mudah leroi dan kalau kena pun taklah sakit) untuk membaling ke arah rombongan itu.  Biasanya saya ditemani oleh rakan saya bernama Nashid, dia di kelas yang sama dengan saya di ABS.

Pada malam itu Nashid tak dapat bersama saya.  Maka saya menghendap seorang diri.  Apabila rombongan Pak Sako mula turun ke rakit saya pun membaling tanah-tanah itu kearah mereka.  Tanpa saya duga apabila saya mula nak membaling tanah itu lagi tangan saya disambar dan dipegang secara kuat oleh seorang dewasa.  Rupa-rupanya Pak Sakolah yang memegang tangan saya itu.  Alangkah gementar dan takutnya saya.  Apalah yang akan terjadi kepada saya.  Menggeletar takutnya saya.

Dia tarik saya ke rakitnya.  Sampai di rakitnya dia suruh saya duduk.  "Duduk budok, mari kita berborok sikit,"katanya kepada saya.  Saya tak bergerak dan tak berbunyi.  Apalah yang akan dilakukan kepada saya.

"Name oak apa, anok sapa?" Mula-mulanya saya tak menjawab, sangat takut.  Tetapi setelah bertalu-talu ditanyakan dengan bahasa yang sangat lembut, maka saya pun membuka mulut. "Name koi Suhaimi, koi anok Said, Kg Lubok Kawah."

Pak Sako ketawa mendengarkan jawapan saya, bukan dia nak marah.  "La..ayoh awok tu sedare koi, awok ni pangkat anok sedara dengan koi, Aki awok teh pangkat pok sedara koi, napa awok baling tanah kat koi?"

Alangkah malunya saya.  Saya tak jawab soalan dia.  Kemudian Pak Sako menjerang air, dan bila masak, dia kopi untuk semua orang tak ingat dah berapa orang.  Kemudian dia berikan biskut kepada saya.  Malam tu dia tak beri saya balik ke rakit saya tetapi dia ajak tidur di rakitnya.  Ndak tak ndak, sebagai orang berslah saya tidur di rakitnya.  Diberinya saya kain, gebar, tilam dan bantal untuk saya tidur.

Sebelum tidur dia bertanya saya samada saya pandai memancing atau tidak.  Saya jawab boleh juga sikit-sikit.  Dia ajak saya pergi memancing pagi esuknya.  Maka pada pagi esuknya taklah saya pergi ke sekolah tetapi menaiki perahu dan berkayuh menghala ke Kg Bukit Pak Silap, di sana ada sebuah lubuk, maka kami pun memancinglah di sana.  Macam jenis ikan kami dapat.  Sangat pandai Pak Sako memancing.

Sesudah itu kami balik ke rakitnya.  Orang-orang didalam rombongannya sudah memasakkan nasi.  Kami pun makan.  Ikan-ikan yang dipancing itu Pak Sako serahkan kepada saya semuanya.  Dan sebelum saya balik ke rakit saya Pak Sako mempelawa saya mengikutinya untuk berkempen.  Kempen malam itu adalah di bandar Temerloh, iaitu di hadapan kedai Jaafar.  Jaafar adalah pemimpin Parti Rakyat Temerloh pada waktu itu.

Hari itu sekembali sahaja saya dari sekolah saya pun mencari-cari di mana Pak Sako.  Orang di kedai Jaafar mengatakan dia pergi ke Kg Lebak, berkempen rumah ke rumah di kawasan kampung saudara maranya.  Pak Sako mempunyai ramai saudara mara dan kenalan.  Pada waktu itu Kg Buntut Pulau, Kg Pangsenam, Kg Lebak merupakan kampung-kampung yang kuat menyokong Parti Rakyat Malaya.  Begitu juga Kg Paya Batu, Kg Tualang dan Kg Belengu.  Kg Tg Riau boleh katakan menyokong PRM 100%.  Sokongan orang Melayu terhadap PRM pada waktu itu cukup kuat seperti di Kg Paya Kecik membawa ke Kg Songsang dan Chatin.

Di Seberang Sungai Temerloh pula PRM mendapat sokongan kuat di  Kg Tg Batu, Kg Lebak Seberang, Kg Tebal dan pungkar kepada sokongan PRM pada waktu itu ialah Kg Paya Pulai dan Kg Batu 4, Jalan Maran.

Malangnya, orang-orang Cina sangat kuat bertaut dengan MCA.

Malam itu adalah kali pertama saya mendengar ucapan-ucapan dari pemimpin-pemimpin Fron Sosialis.  Yang berucap pada malam itu termasuk pemimpin dari luar, kalau saya tak silap, Nazar Nong.  Pemimpin-pemimpin Fron Sosialis yang lain termasuklah Lim Ong Hang (kini ahli PKR), Jaafar Husin (sudah meninggal dunia), Abu Samah Mat Amin (sudah meninggal dunia) dan Pak Sako sendiri.

Saya tidak ikuti kempen-kempen Pak Sako yang jauh meninggalkan bandar Temerloh kerana saya masih perlu pergi sekolah di waktu pagi.  Tetapi saya tidak berdiam diri.  Saya susun lebih kurang 20 orang kawan-kawan saya yang memiliki basikal, kami letak bendera Fron Sosialis kepada basikal kami dan kami berkayuh sekeliling bandar Temerloh dan Mentakab.

Diatas pasar Temerloh sudah diletakkan oleh Perikatan perkataan VOTE dengan poster-poster Perikatan.  Saya ambil secukupnya poster-poster Fron Sosialis dan saya panjat pasar itu dan saya tambah perkataan Fron Sosialis. Maka terjadilah perkataan VOTE FRON SOSIALIS.  Gempar juga masyarakat bandar pada waktu itu kerana perkataan VOTE dengan poster Perikatan itu diletakkan di hari malam sewaktu orang sedang tidur, saya lekatkan perkataan Fron Sosialis itu pada hari siang ketika orang ramai bertumpu ke kawasan pasar, dihadapan kawasan pasar itu adalah setesyen bas, satu setesyen bas untuk ke Mentakab dan Bentong dan satu lagi untuk ke Chenor dan Triang.

Pada hujung minggu pula saya mengikuti Pak Sako berkempen ke Kg Bangau, Bangau Parit, Telok Ira, Telok Mengkuang, Berhala Gantang, Lubok Kawah, Paya Banir, Kuala Sanggang, Sanggang, Kg Bintang, Bintang Hulu, Kg Sanggang Seberang, Kg Baduk, Kg Telok Sentang.  Pak Sako menggunakan motor boat yang disewa khas untuk kegunaan kempen itu.  Dari pagi hinggalah ke malam gerakan kempen itu berjalan. Tetapi sampai waktunya saya memilih untuk tidak lagi pergi ke sekolah walaupun dibantah oleh Pak Sako.  Saya sudah seronok duduk didalam rombongan Pak Sako.  Kerja saya adalah mengangkat bateri bersama orang dewasa lain.  Bateri itu digunakan untuk pembesar suara.

Satu peristiwa yang tak boleh saya lupakan ialah semasa kami mahu berkempen di Kg Sanggang.  Boat kami ditambatkan di pengkalan, dan semasa kami mula mahu mendaki tebing, tiba-tiba humbanan najis manusia dibalingkan kepada kami.  Punya busuk.  Merebas kami terjun ke sungai di samping membasuk badan dan seluar baju kami.

Begitulah jahat dan fanatiknya ahli-ahli UMNO Kg Sanggang, sebuah kampung yang amat terkenal dengan kekuatan UMNO di situ.

Setelah pakaian kami kering dek matahari yang terik, kami menaiki semula tebing Kg Sanggang terus ke sebuah kedai menjual makanan dan minuman.  Kami masuk ke kedai itu untuk makan nasi.  Wow, dengan bengis tuan kedai itu menjerit: "Pergi, pergi, pergi...kami tak juai (jual)!!!"  Hina betul kami dibuatnya.

Maka menugaslah kami (berjalan kaki) menghala ke rumah pupu Pak Sako di Kampung itu lebih kurang 1/4 batu dari situ.  Pupunya juga orang kuat UMNO.  Tapi tersangat pandai Pak Sako melayan pupunya itu.  Dengan cara layanannya, pupunya dan isteri memasakkan kami nasi dengan lauk ikan kering, sambal belacan berulamkan pucuk ubi.

Sampai dua pingganlah seorang kami makan.  Bukan saja kami sebenarnya sangat lapar, tapi makan nasi dengan ikan kering berulamkan pucuk ubi dan sambal belacan betul-betul menyelerakan.

Entah bagaimana Pak Sako berbincang dengan pupunya itu, pupunya itu membenarkan diadakan Rapat Umum di luar rumahnya.  Tak sangka dengan cara yang tak dirancang itu, ramai juga yang hadir.

Pada malam itulah saya mendengar Pak Sako menjawab beberapa tohmahan yang dihalakan kepadanya.  Pak Sako ditohmah membawa Jepun ke Tanah Melayu.  Ini jawapan Pak Sako.

"Ye..betoi amat.  Koi ni gagoh, koi lah yang membawa Jepun tu.  Koi tindik hidung Jepun tu, koi tarik ke Tanah Melayu ni.  Jepun tu semuanya ngikut koi, dan Jepun tu pulok halau Inggeris dari Tanah Melayu.

"Bukan itu saja, koi juge bawok Boh Besor tahun 26 tu ke Pahang, koi tarik hujan dari langit, maka banjirlah Pahang."

Mula-mula saya tidak faham kenapa Pak Sako bercakap begitu.  Kemudian orang dalam rombongannya beritahu bahawa isu-isu begitu kalau dijawab secara akademik takkan dipercayai oleh orang kampung, tapi bila Pak Sako jawab dengan sindiran begitu orang kampung mudah faham. Takkanlah orang Jepun tu boleh ditarik dengan tali kelikir macam kerbau, dan takkan hujan boleh ditarik supaya turun di Pahang.

Semasa ceramah itu juga Pak Sako meminta orang-orang kampung supaya tidak menebang pokok jering dan petai yang ada di kampung atau di dalam hutan kerana satu hari nanti harga jering dan petai akan naik melambung tinggi.  (Nah, betul tak sekarang ni?)

Pada hari lain saya melawat kampung yang berdekatan dengan bandar Temerloh secara berjalan kaki, dan Pak Sako cukup selesa singgah di rumah semua orang kampung.  Kadang-kadang dia tumpang mandi di perigi-perigi orang kampung.  Apabila dia lihat air perigi itu keruh, dia berkata kepada tuan rumah: "Cukup cantik air perigi ni, tapi kalau dicampok tawas, lagilah cantiknya." Dia tidak kata air perigi itu tidak cantik.

Maka sampailah kepada hari mengundi.  Keputusan pengundian cukup menggalakkan.  Walaupun Perikatan menang, Pak Sako hanya kalah dalam seribu undi sahaja meninggalkan calon PMIP (sekarang PAS) jauh tinggal di belakang.

Selepas Pilihanraya itu saya kembali ke sekolah dan berhadapan dengan deraan dari Guru Besar dan guru kelas seperti yang telah saya ceritakan.

(..bersambung..)

KENAKALAN MURID-MURID SEKOLAH MENENGAH

Posted: 01 Jul 2013 07:05 PM PDT

Semasa berada di Form Two saya mula meminati gerakan Scouts (Pengakap), bersama-sama pengakap yang lebih senior, kami berbasikal ke Kg Lebak Temerloh.  Kami seramai 5 orang.  Kami berkhemah di tebing sungai di hadapan Sekolah Umum Kg Lebak.  Orang-orang kampung terasa pelik, dan ramai mereka datang ke khemah kami.  Tetapi perangai orang kampung di mana-mana sama sahaja.  Mereka bawakan makanan untuk kami, ada yang bawakan nasi, dan lauk-lauk yang sedap-sedap.  Ada yang bawakan buah-buahan.  Kami juga dijemput ke rumah mereka dan makan bersama keluarga mereka.

Minat saya kepada kerja-kerja scout mulai sangat mendalam.  Kerja-kerja sosial yang dilakukan iaitu mencari dana untuk kepengakapan lebih mencabar.  Kumpulan saya menemui tuan-tuan tanah yang menanam semula kebun-kebun mereka dengan getah-getah baru.

Kami mencuci sekeliling anak-anak getah yang baru ditanam sekitar 3 kaki dari pangkal anak-anak getah itu dan menaburkan baja.  Kerja itu meletihkan tetapi seronok kerana banyak mendatangkan dana.  Beberapa pengakap yang sudah berjaya melepasi tenderfoot mengajak saya pergi berkhemah lebih jauh di Selangor.

Hampir 10 orang dari kami menaiki bas ke Rumah Baden Powel.  Kami berkhemah di luar bangunan Baden Powel, dan di sana kami membeli berbagai badges untuk dismatkan dibaju kami.

Seterusnya kami pergi ke Hulu Langat dan berkemping di sana.  Pengalaman ini benar-benar mencabar.  Dan saya mahu buat lebih dari itu.  Saya berpakat dengan dua orang kawan lain, iaitu Hamdan Shamsuddin dan Abu Bakar Mohamad; mengambil keputusan untuk berbasikal ke Pulau Pinang.  Hamdan memiliki basikal yang baru tetapi saya dan Abu Bakar menggunakan basikal tua.  Berbekalkan semawar, minyak gas, beras, ikan kering, kami mulalah mengayuh basikal dari Temerloh, target kami setiap hari hanyalah lebih kurang 80 batu sahaja.  Sampai saja 80 batu kami akan mencari Masjid atau Balai Polis untuk kami bermalam.

Entah hari ke berapa kami pun sampailah ke Feri Pulau Pinang dan kami pun menyeberang ke Pulau Pinang. Perkara pertama yang kami lakukan ialah mencari rumah scout di Pulau Pinang.  Akhirnya, selepas bertanya ke sana ke mari berjumpalah kami dengan Rumah Scout Pulau Pinang, kalau tak silap di Jalan McLister (entah betul ke tidak - tak ingat nama jalan itu, maklumlah sudah berpuluh-puluh tahun) dan semasa sampai di situ ada seorang budak scout Pulau Pinang, dia bukakan rumah itu kepada kami, dan dengan baik hatinya mengajak kami makan di kedai.  Wah, lega.  Dah berhari-hari makan nasi dengan ikan kering dan kicap.  Kini dapat makan dengan berlaukkan daging, ikan dan sayur.

Kami berada di sana selama 4 hari.  Tetapi kami menghadapi masalah yang sangat besar.  Kecuali Hamdan, kami sudah kehabisan wang.

Melalui rakan scout di Pulau Pinang itu, kami dapat bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mr Wong Pau Nee (kalau tak silap, itu namanya).  Di rumah Ketua Menteri, kami dihidangkan dengan makanan yang enak-enak.  Dan apabila habis makan, saya menghadap Ketua Menteri itu dan dengan ikhlas memberitahu beliau bahawa kami sudah kehabisan wang untuk kembali ke Temerloh.  Tanpa banyak bicara, Ketua Menteri itu menghulurkan Seratus Lima Puluh Ringgit, iaitu Lima Puluh Ringgit setiap seorang.  Memang cukuplah dengan jumlah itu, kerana semasa kami datang ke Pulau Pinang dulupun, Abu Bakar dan saya hanya berbekalkan dengan tunai Lima Puluh Ringgit juga.

Maka pada hari kelima kami di Pulau Pinang, mulalah kami berkayuh semula ke Temerloh.  Tapi perjalanan kami ke Temerloh kali ini adalah lebih cepat.  Kami mula menahan dan menaiki lori, dan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur mengambil masa hanya sekadar 2 hari iaitu naik lori dari Pulau Pinang ke Ipoh dan naik lori dari Ipoh ke Kuala Lumpur.  Hanya dari Kuala Lumpur ke Temerloh saja kami mengayuh basikal.  Memang letihlah mengayuh basikal dari Kuala Lumpur ke Temerloh kerana jalan yang berbukit-bukit.

Hamdan Shamsuddin berjaya didalam karier pentadbiran dan politik, akhirnya dia menjadi Pegawai Tadbir di beberapa Daerah di Negeri Pahang dan akhirnya menjadi Wakil Rakyat untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan.  Manakala Abu Bakar pula menjalankan perniagaan pelancungan.

Saya juga terlibat dengan Persatuan Drama dan Persatuan Bahas di ABS.  Pasukan saya berjaya didalam perbahasan di Sekolah dan bersama-sama dengan Abd Aziz Abdul Rahman dan seorang lagi yang saya tidak ingat, kami mewakili sekolah ABS untuk berlawan bahas di Jerantut.  Abdul Aziz Abdul Rahman didalam kariernya pernah menjadi Pegawai Kewangan MAS dan pernah menjadi ADUN dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Pahang semasa Datuk Khalil Yaakob (kini Governor Negeri Melaka) menjadi Menteri Besar.

Didalam Persatuan Drama pula saya dan Yusof Abdullah dipilih untuk mementaskan drama komidi untuk mengakhiri persekolah di ABS.  Tajuk Drama itu ialah KAMU BODES.  Ia menceritakan seorang ayah (Yusof) yang menginginkan anak (saya) yang cerdik dan anak itu dihantar belajar di sekolah.

Ayahnya itu suka membangga diri mengatakan anaknya cerdik di sekolah dan bermegah-megah sehingga ada murid-murid lain naik menyampah dan menulis satu nota untuk dibacanya.  Ayah itu tidak tahu membaca.  Maka apabila dia bertemu dengan anaknya dia memberikan nota itu supaya dibaca oleh anaknya.

Melihat nota itu anaknya enggan membacakan dengan berbagai alasan kononnya tulis itu terlalu buruk dan tak dapat dibaca.  Ayahnya naik marah dan mengugut untuk memberhentikan anaknya dari sekolah kerana anaknya itu kononnya juga seperti dia tak tahu membaca. Maka anaknya itu mulalah membaca nota itu yang dialamatkan kepada ayahnya.

Nota itu berbunyi "Pak Cik, kamu bodoh".  Bagaimana anaknya nak bacakan kepada ayahnya, tentu ayahnya menjadi semakin marah.  Tapi anaknya yang cerdik itu membacakan seperti berikut: "Pak Cik, kamu bodes".  Ayahnya tertanya-tanya pulak apa maksud "bodes".  Anaknya menerangkan bahawa bodes itu adalah perkataan Melayu baru diambil daripada perkataan Inggeris yang bermaksud: "Bagus".   Maka amatlah suka ayahnya dengan "pujian" itu dan amat suka juga ayah itu kerana anaknya pandai membaca.

Pada pemberian hadiah-hadiah untuk perperiksaan OSC pada tahun 1963 itu saya turut juga menerima hadiah kerana saya score A untuk kesusasteraan Melayu, saya dapat sebuah buku novel, dah tak ingat nama buku itu.

Itu semua cerita yang baik-baik.  Tapi bukan semua yang berlaku itu baik.  Satu hari seorang guru muda yang romeo, suka mengurat budak-budak perempuan Form Four dan Form Five, membelanjakan kami dari Form Four dan Form Five menengok wayang di New Capitol Mentakab.  Kami ramai-ramai pergi.  Apabila wayang mula ditayangkan dan di dalam panggung pun gelap; kami semua menyerbu ke arah guru itu, dan melepaskan hayunan penumbuk kepada guru itu sehingga guru itu lembik tersungkur didalam panggung wayang.  Tetapi kisah itu tak habis di situ.  Pada hari Isnin, semua murid-murid yang pergi menegok wayang bersama guru tersebut dipanggil ke Bilik Guru Besar, seorang demi seorang kena "Bend Down" dan mendapat hadiah 5 liang rotan.

Ada seorang lagi guru yang sangat sombong, ek, dengan kereta sport dan bininya yang sangat cantik.  Kami murid-murid Form Four dan Form Five sangat menyampah kepadanya.  Maka pada satu hari semasa rehat jam sepuluh, kami ramai-ramai melepaskan angin tayar keretanya dan mencalarkan cat keretanya dengan batu.  Kali ini kami tak kena panggil ke Bilik Guru Besar kerana tidak ada bukti langsung siapa yang membuatnya, dan kami hanya berkata sesasam sendiri terhadap guru berkenaan: "Padan muka, eklah lagi."

Seorang lagi guru perempuan yang mengajar kami Biology.  Guru ini betul-betul baik, tetapi entah kenapa murid-murid mahu mengenakannya.  Satu hari, ada murid-murid menangkap sesekor ular lidi, letak didalam kotak kapur.  Semasa guru itu mahu mengambil kapur didalam kotak itu, dia terpegang akan ular itu.  Dia menjerit sekuat hati dan lari dari kelas itu.  Selepas itu dia tidak mahu mengajar lagi di kelas kami.  Dan Guru Besar menghadiahkan kepada kami lima liang rotan setiap seorang, semua sekali, samada yang terlibat ataupun tidak.  Seorang demi seorang dari kami pergi memohon maaf kepada guru itu, dan guru yang baik itu mengalirkan air matanya.

Tetapi ada juga kejadian yang melucukan.  Seorang kontrektor datang ke Sekolah kami membawa beberapa alat sukan untuk diserahkan kepada guru sukan.  "Saya mahu jumpa Cikgu Subramaniam," katanya.

Beliau telah dibawa berjumpa dengan guru berkenaan, dan kontrektor menjadi marah. "Eh, aku mau jumpa cikgu Indialah, bukan cikgu Cina!!" merasakan dia sudah dipermainkan.  Cikgu itu menjawab, "Sayalah Subramanian, apa awak mahu."  Tapi kontrektor itu semacam tidak percaya, dia tinggalkan alat-alat sukan kepada cikgu itu dan berkata: "Lu jumpa itu Subramaniam, lu kasi sama dia!!!" dengan marah dia tinggalkan sekolah itu.

Cikgu Subramaniam memanglah rupanya Cina.  Diceritrakan bahawa beliau sebenarnya anak Cina yang diambil angkat oleh keluarga India.

Ada seorang guru yang kerjanya berangan-angan.  Dia mengajar Chemistry.  Setiap kali dia datang mengajar dia akan jemput seorang murid yang cukup pandai melukis, murid itu terkenal dengan nama Jor cembungan dari nama Tajur (bukan Joe). "Jor, you copy the diagram on page ... and students you copy the diagram, ok?"  Selepas itu cikgu ini akan berangan-angan dan tersenyum bersendirian.  Alkisahnya, dia mahu menjadi seorang peguam dan cita-citanya tidak tercapai.

Agak-agaknya dengan guru-guru seumpama ini, bolehkah murid-murid score didalam perperiksaan, subjek Chemistry; juga subjek Mathematics (tidak ada guru mengajar); juga subjek Biology kerana gurunya sudah memboikot kelas?

Walau bagaimana pun ABS adalah sekolah yang tersohor di Pahang.  Ramai daripada anak-anak muridnya berjaya menjadi pegawai-pegawai tadbir, diplomat, pegawai-pegawai daerah, pensyarah-pensyarah universiti, ada yang menjadi wakil-wakil rakyat dan ada pula yang menjadi menteri kerajaan pusat dan ahli-ahli exco kerajaan Pahang; tidak kurang ramai yang menjadi pemimpin-pemimpin parti pembangkang termasuklah saya sendiri.

Memasuki Abu Bakar Secondary School

Posted: 01 Jul 2013 05:49 AM PDT

Semasa di Sekolah Umum Kg Bangau beberapa orang murid telah terpilih untuk perperiksaan memasuki sekolah Inggeris, Abu Bakar Secondary School, Temerloh.  7 orang terpilih untuk perperiksaan, dan seramai 5 orang lulus untuk memasuki sekolah Inggeris itu iaitu Wan Othman Wan Abdullah, cucu kepada Ulamak tersohor Tok Ayah, Said bin Ali, pangkat pupu dengan saya, Mohamed Abdullah, Rokiah Ibrahim dan saya sendiri.  Tetapi Rokiah tidak memasuki Sekolah Menengah Abu Bakar (ABS) itu kerana beliau dikahwinkan.

Kami memasuki Remove Class didalam Form One Remove, dan didalam kelas itu ramai murid-murid dari Temerloh, Bentong, Raub dan Chenor aliran Melayu berjaya memasuki kelas itu; manakala yang lain-lain adalah murid-murid Cina dan Tamil yang datangnya dari aliran Cina dan Tamil.

Kesemua kami tidak tahu berbahasa Inggeris.  Pada hari pertama kami di sekolah itu setelah selesai pendaftaran dan bayaran membeli buku, Guru Besar sekolah itu masuk memperkenalkan guru kelas kami. Nama guru kelas itu ialah Tay Ah Tee.  Garang orangnya.  Nama Guru Besar itu ialah Sivapakiam, lagi garang.

Guru Besar memperkenalkan guru kelas dengan kata-kata, "Ini Mr Tay Ah Tee, guru kelas kamu."  Kemudian dia merepek didalam Bahasa Inggeris yang sepatah haram pun kami tak faham.  Dia akhiri kata-katanya begini, "Ini Sekolah Inggeris, kamu kena cakap Bahasa Inggeris dan kalau kamu bercakap Bahasa Melayu, Bahasa Cina atau Bahasa Tamil, saya akan denda.  Sekali denda 10 sen!"

Wah takut betul kami.  Akhirnya kami terpaksa menjadi murid-murid bisu.  Takut kalau-kalau kami bercakap Bahasa Melayu atau Tamil atau Cina (bagi kawan-kawan bukan Melayu itu), kami dikenakan denda.

Maka setiap dari kami sangat tekun belajar Bahasa Inggeris, bermula dengan yang mudah-mudah seperti, "My name is ... " "His name is..." "Her name is..." "I am a Malay, he is a Malay, she is a Malay, he is a Chinese, he is an India, we are learning English..."

Setelah beberapa minggu barulah kami dikenalkan dengan buku-buku bahasa Inggeris, barulah kami belajar nahu dan sebagainya.  Pelajaran lain belum diperkenalkan kepada kami.  Dari pagi hingga habis waktu sekolah, hanya belajar bahasa Inggeris sahaja.

Setelah beberapa minggu setiap dari kami dikenakan berdiri di depan kelas dan bercerita tentang diri sendiri didalam lebihkurang 20 ayat.  Semasa itu ramai diantara kami yang dipukul dengan ruler kerana melakukan kesilapan dan Mr Tay Ah Tee sentiasa menengking kami dengan kata-kata, "Silly Ass".

Tetapi kami bukanlah pelajar-pelajar yang bodoh.  Kami hanya tidak tahu berbahasa Inggeris.  Kesungguhan dari kami amat menjadi ketara apabila kami bukan sahaja dapat menangkap pelajaran Bahasa Inggeris, dan kemudiannya kami juga dapat mengatasi pelajaran yang lain seperti History, Geography, Mathematics, Science, English Literature.

Pada tahun kedua kami di ABS, kami dinaikkan ke Form One.  Ada tiga kelas Form One dan oleh kerana kami bukan berasal dari aliran Inggeris maka kami dikelompokkan kedalam Form One C, dan mereka yang dari aliran Inggeris termasuk dari Special Malay berada di Form One A dan Form One B.  Maknanya kami adalah dari kelas yang corotlah.

Dipendekkan cerita, pada tahun ke-4, kami menduduki perperiksaan LCE (bersamaan SRP sekarang ini) hampir 80% dari murid-murid Form One C naik ke darjah Form Four A, yang lain-lain masuk ke Form Four B.  Hanya tinggal 2 kelas sahaja untuk Form Four.  Yang tak lulus LCE terkeluar dari sekolah dan ada juga yang masuk Kolej Tentera dan lain-lain Kolej seperti Kolej perguruan.

Sebelum saya memasuki Form Four, saya telah pergi ke Kuala Lumpur dan mendaftar diri di sebuah Kolej Teknik, tetapi Pengetua Sekolah itu pinta saya serahkan Surat Berhenti Sekolah.  Maka pergilah semula saya ke ABS dan bertemu dengan Guru Besar, Sivapakiam.

Masuk saja saya ke Bilik Guru Besar, Mr Sivapakiam menyuruh saya supaya, "Bend Down!!!" Lima liang saya kena rotan.  Lepas itu baru dia tanya kenapa masuk berjumpanya.  Dan apabila saya terangkan bahawa saya meminta Surat Berhenti Sekolah untuk membolehkan saya berdaftar dengan Sekolah Teknik di Kuala Lumpur, sekali lagi Mr Sivapakiam mengarahkan saya, "Bend Down!!!" Kena lagi 5 liang.  Dan dia berkata, "Do you think that Technical School, good. If good Kukarajah would be schooling there."  English Mr Pakiam ini merapu juga.  Kukarajah itu adalah anaknya sendiri di dalam kelas Form Four.

Tetapi Mr Pakiam ini tidak memilih bulu.  Kalau kita kena 5 liang rotan, Kukarajah akan kena lebih dari 7.

Ini bukanlah kali pertama saya dibelasah oleh Mr Pakiam.  Pada tahun 1959, saya tidak hadir ke sekolah lebih dari 2 bulan.  Masa itu saya membantu Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) yang berkempen sebagai calon Fron Sosialis menentang calon Perikatan.

Selepas Pilihanraya Umum itu, saya kembali ke sekolah; guru kelas saya menghantar saya berjumpa dengan Guru Besar dengan satu nota darinya untuk saya serahkan kepada Guru Besar itu.

Sesampai sahaja saya ke Bilik Guru Besar dan belum sempat saya menyerahkan nota itu kepada Mr Pakiam, saya sudah dipinta "Bend Down!" dan 5 liang saya dah kena.  Setelah saya serahkan nota itu kepada Guru Besar, dia pulak maki saya dengan mengatakan bahawa saya telah membantu calon Komunis, tetapi bukan itu yang menjadi maudho' kemarahannya.  Dia marah, betul-betul marah, kerana saya tidak menghadiri sekolah.  Saya terasa betul-betul sakit ditempeleng dengan begitu kuat di pipi dan selepas itu kena lagi 5 liang.

Dia marah kepada saya tak sudah-sudah, dan cerut yang ada di mulutnya hampir-hampir ditekan kepada pipi saya.

Selepas itu barulah dia melepaskan saya dan boleh pulak dia berjenaka dengan saya dan berkata, "Ho..ho..helping Pak Sako, Pak Sako...he..he..." dan dia ketawa.  Adoih, sakitnya hati!

Saya kembali ke kelas dan didalam kelas saya kena lagi 5 liang rotan oleh guru kelas pulak.  Tersiksa betul saya pada hari itu.

Saya akan ceritakan diruang akan datang pengalaman saya dengan Pak Sako.

Entah kerana nakal atau nasib tak menyebelahi saya, satu hari saya pergi ke bilik tandas, bukan untuk buang air tetapi untuk mengambil kotak rokok yang saya letakkan diatas pembahagi tandas.  Biasanya tidak pernah diganggu.

Pada hari itu, sebaik saja saya cuba memanjangkan tangan untuk mengambil kotak rokok itu, tangan saya dipegang.  Saya dipinta keluar dari bilik tandas.  Guru kelas saya sudah menunggu di luar. "Oh..you smoking ah.." Saya berkata "No, sir" Tetapi takkan dia percaya.  Merokok adalah kesalahan yang sangat besar.  Bukan saja guru kelas saya membelasah saya dengan rotan, guru besar juga membelasah saya.  Tetapi masalah kena tangkap kerana merokok ini bukan hanya berlaku kepada saya seorang, ramai juga murid-murid dari Form Three hingga Form Five yang merokok dan kena tangkap oleh guru.

Guru Besar betul-betul lecture kepada saya.  "You are a clever boy but you are very naughty, I want you to discipline yourself.  You must study hard. You are from poor family, your parents want you to excel in your studies, you can get job and you can help your parents."  Berterusanlah dia membebel, bebelannya itu adalah untuk kebaikan saya juga, tetapi masa tu manalah nak terima, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.  Sehingga Guru Besar itu menjanjikan kepada saya, "If you do well in your class dan term exams, I will recommend government scholarship for you."

Selepas itu memang saya berubah sedikit, saya belajar kuat, dan didalam perperiksaan kelas sentiasa dapat tidak jatuh dari nombor 5.  Tapi tak dapat juga biasiswa.  Yang dapat adalah anak orang-orang yang berada dan pelajaran mereka tidaklah sebaik kami dari anak-anak petani.

Ringkaskan cerita, saya berjaya didalam Perperiksaan Overseas School Certificate tetapi oleh kerana saya mendapat F9 didalam Bahasa Melayu, maka saya hanya berjaya dengan Third Grade sahaja.  Saya cukup keciwa.  Pada tahun akan datangnya saya ambil sekali lagi subjek Bahasa Melayu dan saya score A.

(...bersambung...)

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Ada syarikat paksa pekerja buka tudung

Posted: 01 Jul 2013 12:02 AM PDT






Beginilah nasib wanita Islam di Malaysia pada ketika ini

Ada syarikat paksa pekerja buka tudung

1 Julai 2013 - Satu siri laporan akhbar Berita Harian hari ini mendakwa terdapat syarikat yang menetapkan syarat ke atas wanita agar membuka tudung sekiranya ingin menerima tawaran kerja.

Laporan tersebut memetik kenyataan dua orang wanita berbeza – seorang daripadanya mendakwa diberitahu mengenai syarat tersebut apabila ditemuduga untuk jawatan kerani di satu rangkaian kedai fotografi.

Seorang lagi wanita mendakwa diminta untuk membuka tudung apabila beliau menerima tawaran untuk jawatan jurujual di satu kedai di Suria KLCC.

Selain itu, wartawan akhbar tersebut turut menyamar sebagai pencari kerja dan mengunjungi satu kedai fotografi.

Wartawan berkenaan mendakwa ditemuduga oleh pengarah sumber manusia syarikat terbabit yang meminta beliau membuka tudung dan memakai skirt bagi membolehkan beliau diterima untuk bekerja.

"Jika mahu bekerja di sini, awak perlu membuka tudung dan memakai skirt. Itu dasar syarikat. Tiada kompromi," kata pengarah terbabit seperti didakwa dalam laporan di akhbar tersebut.


Eksklusif: 'Buka tudung, boleh kerja'
2013/07/01
 
Kuala Lumpur: Sesetengah syarikat di ibu negara didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap wanita Islam apabila mensyaratkan mereka yang ingin bekerja membuka tudung dan memakai skirt.

Dasar ditetapkan syarikat itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara yang menetapkan bahawa setiap individu mempunyai hak menyatakan dan mengamalkan agama masing-masing serta menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
  

Jenayah, Kenapa tak pohon pada Ilahi?

Posted: 01 Jul 2013 12:00 AM PDT




Kalau kita boleh menunaikan solat sunat 'istisqa' berjemaah untuk memohon kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan bagi mengatasi masalah jerebu yang melanda di negara ini kenapa kita tidak mahu memohon pertolongan Allah SWT dalam soal membenteras kes jenayah.

Kes jenayah seperti rompak, samun, curi, ragut, bunuh, dera, pecah rumah, rogol, terbukti semakin meningkat apabila baru-baru ini pihak polis mencadangkan supaya restoran-restoran yang beroperasi 24 jam memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengupah pengawal keselamatan bagi menjaga premis mereka.

"Polis tidak boleh berkawal di sesuatu tempat itu dalam tempoh yang lama, banyak lagi tugasan penting yang perlu dilaksanakan selain hanya memantau atau memfokus kepada lokasi yang sama, kata Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof.

Kalau kita tidak mampu mengambil Islam sebagai satu cara hidup atau tidak mampu melaksanakan undang-undang Allah setakat ini, sekurang-kurangnya kita harus menganjurkan solat sunat hajat berjemaah dan diselit dengan doa 'qunut nazilah' dalam setiap solat fardhu kita.

Zainal Abidin Nor  -  June 30, 2013

Kes denggi dan malaria semakin meningkat dan membimbangkan

Posted: 30 Jun 2013 11:59 PM PDT




Johor catat kematian tertinggi kes denggi

1 Julai 2013 - Perangkaan Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan menunjukkan Johor mencatat jumlah kematian tertinggi dengan tujuh kes sepanjang enam bulan tahun ini berbanding hanya satu kes tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata jumlah kes denggi mingguan yang dilaporkan sehingga minggu lalu adalah tertinggi tahun ini dengan melebihi tahap kritikal wabak iaitu 658 kes, meningkat 14 peratus berbanding kes minggu sebelumnya hanya 575 kes.
  
"Lapan negeri menunjukkan peningkatan kes tahun ini iaitu Johor meningkat 88 peratus; Sarawak 58 peratus; Sabah 41 peratus; Negeri Sembilan 33 peratus; Perak 15 peratus; Kelantan tujuh peratus; Perlis dua peratus dan Selangor satu peratus," katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

*************
Kes malaria di Kampung Orang Asli meningkat
1 Julai 2013

Bilangan kes malaria di Kampung Orang Asli Sungai Rual, Jeli dilaporkan terus meningkat dan sebanyak 139 kes dikesan berlaku di daerah itu sehingga kini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, sebanyak 124 daripada kes tersebut membabitkan Orang Asli di kampung berkenaan manakala sebanyak 10 kes lagi membabitkan warganegara Myanmar, tiga warga Indonesia dan dua kes lagi melibatkan warga Thailand.

MALAYSIA MESTI BOIKOT SUKAN SEA DI MYANMAR

Posted: 30 Jun 2013 07:21 PM PDT




Mapim lancar rayuan Ramadhan untuk Rohingya     

1 Jul 2013  - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan rayuan Ramadhan untuk umat Islam Rohingya di Arakan Myanmar bermula pada 24 Jun lalu.

Misi Mapim yang akan berangkat ke Sittwe Arakan pada awal Julai ini adalah bertujuan untuk melihat keperluan yang mendesak di kalangan umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa genosid oleh esktremis Rakhine Buddhist di Myanmar.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan yang masih belum reda sepenuhnya sejak keganasan tercetus pada Mei 2012 yang lalu telah mengakibatkan ribuan terbunuh dan ratusan ribu yang menjadi pelarian dalam negeri (IDP).

Kepada mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai rayuan ini sila berhubung dengan Abdullah: 019-9893707, Tarmizi: 017-5606131.

Mapim telah menyediakan sebuah Tabung Khas: ROHINGYA HUMANITARIAN FUND MAPIM di bank akaun Rajhi Bank bernombor 1540 0188 0630 441.


DESAK BOIKOT SUKAN SEA DI MYANMAR

"Layanan kerajaan Myanmar kepada umat Islam di sana keterlaluan. Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR), 125,000 penduduk terpaksa tinggal dalam khemah selain dinafikan hak sebagai warga negara dan ditindas.

"Mereka menjadi mangsa konflik di negara sendiri. Kampung sudah tidak selamat lagi untuk dihuni apabila rumah di bakar, saudara-mara dibunuh dan kehidupan terancam. Sekolah dan masjid turut menerima nasib yang sama.

"Jika dulu kerajaan memboikot Sukan Olimpik di Moscow 1980 berikutan pencerobohan Russia di Afghanistan, mengapa tidak kali ini. Kita perlu membantu umat Islam di sana supaya nasib mereka terbela," katanya pada sidang media selepas majlis Penerangan Konflik Kemanusiaan di Myanmar, di perkarangan Masjid Al-Amaniah, Batu Caves, di sini, semalam.