Khamis, 12 Disember 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


FOMCA Puji Selangor Tawar Bas Percuma Galak Rakyat Guna Pengangkutan Awam

Posted: 12 Dec 2013 01:30 AM PST

SHAH ALAM 12 DIS : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memuji tindakan Kerajaan Selangor yang menawarkan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat di negeri itu bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata Kerajaan Pusat perlu mengambil pendekatan sedemikian jika mahu rakyat lebih banyak menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kadar kesesakan trafik.

Katanya, tindakan Kerajaan Pusat menaikkan kadar tambang pengangkutan awam akan menyebabkan matlamat yang mahu menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan itu tidak akan tercapai.

Rabat bas PerantaraMalah, katanya, satu kajian menyeluruh juga perlu dijalankan supaya rakyat tidak berterusan terbeban dengan pelbagai kenaikan mutakhir ini.

"Salah satu faktor kenaikan itu adalah dengan alasan caj elektrik naik tetapi kerajaan perlu faham ia membabitkan kegunaan ramai pengguna, dulu minta perkhidmatan ini digunakan kerana harga minyak naik tetapi sekarang tambangnya juga naik.

"Dalam masa yang sama kerajaan mahu menggalakan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam tetapi bila berlaku kenaikan ini paras penggunaan perkhidmatan akan menurun seterusnya matlamat kerajaan itu tidak tercapai," katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini.

Selain itu, Yusof berkata perkhidmatan pengangkutan awam perlu dipertingkat selaras dengan kenaikan tambang itu.

"Jangan sampai orang ramai tidak mahu gunakan langsung, jika tidak pastikan kadar kenaikan itu mampu dibayar oleh pengguna dan tidak membebankan mereka," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya diskaun atau subsidi bagi perkhidmatan awam diperkenalkan.

"Bagi perkhidmatan komuter, golongan berpendapatan bawah RM3,000 layak menerima diskaun, jadi insentif sebegini boleh diperluaskan kepada pengguna sistem aliran transit ringan (LRT) dan monorail, bagi diskaun kepada pengguna yang menggunakannya setiap hari," katanya.

Sumber: SelangorKu

Selangor, SPAN Jalin Kerjasasama, Pastikan Air Bersih Cukup

Posted: 12 Dec 2013 01:00 AM PST

SHAH ALAM 12 DIS: Kerajaan Selangor memberi jaminan bahawa bekalan air bersih di negeri itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putra Jaya mencukupi sehingga tahun 2016.

Jaminan itu diberikan apabila Kerajaan Negeri sebelum ini sudah pun melaksanakan program mitigasi air untuk menambah kapasiti bekalan air terawat bagi menampung permintaan pengguna sehingga sekurang-kurangnya sebelum Loji Rawatan Air Langat 2 dilaksanakan.

Justeru itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Selangor meminta agar Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempertimbangkan semula permohonan untuk meluluskan pembangunan di Selangor.

"Kerajaan Selangor dan SPAN bersetuju untuk bekerjasama bagi menyelesaikan masalah pembangunan tertangguh yang melibatkan 878 projek baharu yang ditolak atas alasan kekurangan bekalan air.

"Kata sepakat untuk berkerjasama ini dibuat selepas satu mesyuarat yang diadakan pada 3 Disember lepas di mana perwakilan SPAN telah diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teo Yen Hua," Kata Abdul Khalid selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Katanya lagi, dalam mesyuarat itu SPAN menyatakan kesediaan bagi mempertimbangkan semula semua permohonan merancang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang ditangguhkan ekoran pandangan dan unjuran yang diperolehi SPAN menunjukkan akan berlaku kekurangan bekalan air selepas projek terbabit disiapkan.

Sebagai balasan kepada SPAN, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi indemniti ke atas sebarang tindakan atau tuntutan ganti rugi oleh pemaju ke atas SPAN akibat dari ketidakupayaan Kerajaan Negeri membekalkan air dalam kuantiti dikehendaki pemaju.

"Aku janji ini berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2014 namun tidak terpakai sekiranya kegagalan membekal air adalah berpunca dari ketidakupayaan dan kecuaian operator air serta kegagalan agensi perakuan yang dilantik SPAN untuk bertindak secara profesional," kata Abdul Khalid lagi.

SPAN juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang dalam proses mengambil alih industri perkhidmatan air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air melalui surat bertarikh 9 September 2013 mengarahkan agar perkara ini dimuktamadkan sebelum atau pada 31 Disember 2013.

Sumber: SelangorKu

Menyumbangkan Pressure Water Pump Untuk Bantu Mangsa Banjir

Posted: 11 Dec 2013 01:00 AM PST

YB Dr Xavier Jayakumar ADUN Seri Andalas yang merupakan Ketua Cabang Keadilan Kota Raja menyumbangkan 7 unit Preasure Water Pump untuk Misi Bantuan Kemanusian Negeri Selangor untuk mangsa banjir di Pantai Timur. Bersama para sukarelawan di pusat pengumpulan Parlimen Ampang sebelum bertolak ke Kuantan jam 2 pagi nanti. Moga misi kemanusian ini berjalan lancar. Gambar diambil pada 11 Disember 2013 jam 4 ptg.






Menyampaikan Baucar Sumbangan Bantuan Kembali Ke Sekolah

Posted: 10 Dec 2013 01:00 AM PST

Bukit Tinggi, Klang, 9 Disember 2013 - YB Dr Xavier Jayakumar pada hari ini hadir dalam satu program Prihatin Bantuan Sekolah yang dianjurkan oleh Angkatan Muda Keadilan Kota Raja di pasaraya Tesco Bukit Tinggi. Turut hadir dalam program tersebut adalah YB Shuhaimi Shafiei, ADUN Sri Muda.

Seramai 91 orang pelajar yang dipilih daripada keluarga berpendapatan rendah telah diberikan baucar sebanyak RM100 setiap seorang untuk membeli peralatan dan pakaian sekolah.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Kota Raja, Saudara Azmizam Zaman Huri yang juga Ahli Majlis MPK, program ini telah diadakan setiap tahun bagi membantu meringankan beban keluarga untuk membeli peralatan dan pakaian sekolah sebagai persiapan kembali ke sekolah.

Baucar telah disampaikan kepada para peserta oleh YB Dr Xavier Jayakumar dan YB Shuhaimi Shafiei. Turut hadir dalam program adalah Ahli Majlis MPK, Saudara PS Rajoo. Program dimeriahkan dengan kehadiran badut Bubu yang menghiburkan para peserta ketika membeli belah.










Tiada ulasan: