Selasa, 10 Disember 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Anwar: Rasuah Punca Pendapatan Negara Merosot, Beban Hidup Meningkat

Posted: 09 Dec 2013 01:30 AM PST

PERUTUSAN HARI ANTI-RASUAH SEDUNIA

9 Disember adalah hari Anti-Rasuah Sedunia yang diilhamkan oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu hasil dari resolusi 58/4 bertajuk "United Nations Convention against Corruption". 

Hari ini diraikan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran awam akan bahaya korupsi dan rasuah serta keperluan akan suatu usahasama antarabangsa bagi menangani bersama permasalahan ini.

Korupsi dan langkah pembanterasan rasuah pada mana-mana peringkat dan kadar, perlu ditangani oleh semua lapisan masyarakat, bangsa dan agama. Kesedaran harus wujud agar mana-mana bakal penerima dan pemberi rasuah boleh terus dihapuskan.

Korupsi dan rasuah yang berkekalan akan mambantutkan pembangunan sosial, melebarkan kesenjangan pendapatan dan menambahkan bebanan kewangan pada rakyat terbanyak. Korupsi dan rasuah yang membarah di Malaysia telah menyebabkan pelbagai ketirisan dan pembaziran dalam kewangan kerajaan seperti yang dibangkitkan sendiri pihak kerajaan di dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara.

Hasil ketirisan ini telah mengurangkan pendapatan negara yang akhirnya menyebabkan pertambahan bebanan hidup rakyat melalui pengurangan subsidi bahan keperluan asas seperti gula, elektrik, petrol dan pertambahan cukai kepada rakyat seperti cukai GST yang bakal dilaksanakan kelak.

Kerajaan perlu melipatgandakan usaha-usaha membanteras korupsi dan rasuah pada mana-mana peringkat dalam mana-mana bentuk. Ini memandangkan Malaysia hanya mampu mencapai tangga ke-53 daripada 177 negara dalam Index Persepsi Rasuah Dunia 2013 (World Corruption Index) berbanding Singapura pada tangga ke-5 dan Brunei pada tangga ke-38.

Terbukti permasalahan korupsi dan rasuah dilihat semakin berterusan walaupun setelah berbagai program transformasi politik dan ekonomi dipergiatkan. Jelas, tiada tekad politik dan kesungguhan dari pihak kerajaan untuk memerangi gejala korupsi dan rasuah secara habis-habisan.

Pada hari Anti-Rasuah sedunia ini, marilah kita sama-sama melipatgandakan usaha membanteras korupsi dan rasuah yang seharusnya bermula dengan menambahkan kesedaran individu serta masyarakat awam akan bahaya korupsi dan rasuah berterusan melalui pendedahan isu-isu semasa yang berkaitan. Pimpinan negara perlu menjamin tatakelola yang baik dengan tekad tegas membanteras rasuah.

Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Selangor Optimis Selesai Penstrukturan Industri Air

Posted: 09 Dec 2013 01:00 AM PST

SHAH ALAM, 9 DIS : Kerajaan Selangor berpandangan positif terhadap pengstrukturan semula industri air di Selangor akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan kini adalah tertumpu untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan Puncak Niaga dan pemilik saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berhubung pengambilalihan itu.

"Kita rasa optmistik tentang penyelesaiannya apabila penyusunan semula diterima oleh kedua-dua pihak," kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengambil keputusan untuk membenarkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 billion bagi memulakan proses pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air.

Surat tawaran kepada Syabas, Puncak Niaga, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) akan dikeluarkan secara rasmi sudah dikeluarkan KDEB.

Pengambilalihan ini adalah di antara usaha untuk mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor.

Hasil daripada pengambilalihan ini akan memberi kesan penting terhadap kehidupan rakyat dimana rakyat akan terus menerima kemudahan air percuma 20 meter padu dan tidak akan terperangkap dengan kadar tarif air yang tidak adil serta membebankan.


Sumber: SelangorKu

Sambutan Rumah Terbuka Hari Krismas DUN Seri Andalas

Posted: 08 Dec 2013 01:00 AM PST

Majlis Sambutan Hari Krismas DUN Seri Andalas telah diadakan pada 7 Disember 2013 pada jam 7 malam di Dewan MPK Taman Sentosa, Klang.

Pelbagai aktiviti sambutan telah diadakan dengan disusuli pemberian hadiah dan angpow kepada kanak-kanak. Turut hadir dalam program adalah Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Siti Mariah.





Tiada ulasan: