Sabtu, 9 November 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Ilham Centre: Pakatan Tidak Perintah Selagi Rakyat sokong Politik Wang

Posted: 09 Nov 2013 08:30 PM PST

Badan penyelidik Ilham Centre menyarankan kepada pembangkang Pakatan Rakyat (PR) supaya mendidik pengundi menolak politik wang sekiranya mahu memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14  akan datang.

Berdasarkan penemuan kajian terkini semasa pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Limau baru-baru ini, Ilham Centre mendapati pengundi tidak kisah mengenai politik wang ataupun habuan gula-gula yang diberikan semasa proses demokrasi sedang berjalan.

"Di Sungai Limau, kita tanya mengenai kewajaran pengundi menerima habuan politik dan 63% kata wajar dan boleh diterima," kata Pengerusi Ilham Center Muhamad Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insider.

Muhamad Hisommudin berkata, sikap sedemikian adalah sesuatu yang membimbangkan kerana menunjukkan satu corak demokrasi yang tidak sihat di kalangan pengundi.

"Ini maksudnya mentaliti orang kita ini yang menerima rasuah politik, perkara ini termasuklah pembangkang. Sepatutnya mereka gagaskan menolak politik wang ini.

"Tapi mereka ini beritahu pengundi apabila diberi duit, ambil tetapi jangan pangkah," katanya.

Beliau menggesa PR sekiranya mahu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan perlu mendidik pengundi tentang politik wang ini.

"Sebenarnya dalam iklim demokrasi sebenar, jika kita nak mendidik rakyat menolak rasuah politik politik, kita kena mula sejak awal.

"Kalau dengan peratusan ini, sampai bila-bila pun pembangkang tidak boleh menang," katanya.

Sebelum PRU13 yang berakhir 5 Mei lalu, parti pemerintah Barisan Nasional (BN) berbelanja besar dengan pelbagai pemberian yang dianggap oleh pengkritik sebagai "gula-gula politik".

Pengkritik dan pemerhati tidak menolak berbilion ringgit dihabiskan oleh BN sepanjang tempoh berkempen, malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan berbelanja lebih besar semasa berkempen berbanding perdana menteri sebelumnya.

Bagaimanapun, Najib masih gagal untuk merampas kembali majoriti dua pertiga di Parlimen malah kehilangan undi popular buat kali pertama dalam sejarah kepada PR semasa PRU13 lalu.


Sumber: The Malaysian Insider

Ejen Amerika di Pejabat Peguam Negara: Anwar Gesa “Rehatkan” Gani

Posted: 09 Nov 2013 08:28 PM PST

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail "direhatkan" ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terdapat dua orang ejen agensi perisikan Amerika Syarikat  di Pejabat Peguam Negara.

Anwar, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan segera memandangkan terdapat banyak dakwaan negatif terhadap Abdul Gani.

"Dakwaan oleh Dr Mahathir bahawa Pejabat Peguam Negara mempunyai dua ejen Amerika adalah mengejutkan dan memerlukan tindakan serta merta daripada perdana menteri dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," kata Anwar dalam kenyataan di Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan, Dr Mahathir bukan sahaja mendapatkan pandangan balas daripada bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim dan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahkan menteri juga dibawa berbincang mengenainya.

Menurut sumber, Ahmad Zahid dikatakan turut dibawa berbincang oleh Dr Mahathir mengenai tingkah laku Abdul Gani.

"Gani juga perlu memberi penjelasan terhadap  semua dakwaan ini termasuk yang mengaitkan beliau dengan kegiatan haram dan aktiviti konspirasi yang turut didakwa melibatkan pejabatnya," kata Anwar.

Mat Zain dibawa bertemu Dr Mahathir oleh Muhammad Shafee pada 10 Ogos lalu, tiga hari selepas hari raya Aidilfitri.

Mereka bertemu Dr Mahathir di rumahnya dengan disertai bekas setiausaha politiknya, Matthias Chang.

Dalam perbincangan di meja makan sempena hari raya itu, mereka berbincang mengenai salah laku Abdul Gani yang bermula daripada kes 'mata lebam' Anwar lagi.

Turut dibincangkan adalah kekalahan Malaysia kepada Singapura dalam kes Pulau Batu Putih di Mahkamah Antarabangsa.

Abdul Gani mewakili Malaysia dalam kes itu.

Ekoran pertemuan 10 Ogos itu, Mat Zain pada 7 Oktober membuat satu akuan bersumpah yang antara kandungannya adalah dakwaan salah laku Abdul Gani dalam kes 'mata lebam' Anwar.

Akuan bersumpah itu kemudiannya dihantar kepada Najib.

Ia turut dihantar kepada Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa polis menyiasat Abdul Gani tanpa menunggu laporan polis dibuat.

Karpal berkata, pada masa lalu polis pernah mengambil inisiatif sendiri dengan memulakan siasatan selepas membaca laporan akhbar.

Menurut Karpal, polis mesti merekodkan kenyataan orang penting termasuk Abdul Gani, Dr Mahathir dan Ahmad Zahid bagi memahami kes ini.

"Saya harap tiada apa yang diselindungkan," katanya.

Abdul Gani, 58, menyertai pejabat Peguam Negara pada 1980 dan dilantik sebagai Peguam Negara pada 2002.

Beliau pernah menerima kritikan hebat daripada pembangkang dan badan bukan kerajaan berhubung kegagalan kerajaan dalam kes di bawah seliaannya termasuk kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Sumber: The Malaysian Insider

Rumah Terbuka Deepavali DUN Seri Andalas Meriah

Posted: 09 Nov 2013 07:56 PM PST

Kampung Jawa, Klang, 9 November 2013 - Rumah Terbuka Deepavali DUN Seri Andalas meriah dan dihadiri pelbagai kaum. Majlis Rumah Terbuka telah diadakan pada hari ini dari jam 7 hingga 10 malam di Desa Latania, Kampung Jawa.

Pelbagai juadah sempena Deepavali dihidangkan kepada para hadirin. Dalam majlis tersebut sumbangan hamper telah diagihkan dan 'angpow' telah diberikan kepada kanak-kanak yang hadir.

Turut hadir meraikan Deepavali bersama-sama adalah YB Azmin Ali, Ahli Parlimen Gombak, YB Amirudin Shari, ADUN Batu Caves, para pemimpin Pakatan Rakyat kawasan setempat, Ahli-ahli Majlis PBT dan Ketua-ketua Komuniti.

YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan penghargaan kepada semua sukarelawan yang menjayakan majlis.

















Tiada ulasan: