Khamis, 24 Oktober 2013

www.telokkemang.blogspot.com/

www.telokkemang.blogspot.com/


Pendedahan Isu Jalan(Highway) Terbengkalai Seremban-PD-Pasir Panjang

Posted: 23 Oct 2013 08:20 PM PDT

Disini saya berkongsi jawapan Parlimen, rakyat wajar tahu apakah sebab-sebab kegagalan penyiapan jalan yang terlibat (Seremban-PD-Pasir Panjang).



Dato' Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KERJA RAYA 
menyatakan :-
a.      Mengapakah projek pembinaan jalan baru Lebuh Raya Seremban-Port Dickson ke FR5 di  Pasir Panjang dan dari Pasir Panjang ke Linggi yang terbengkalai sejak 2008 dan ditender semula pada 2012 masih mengalami masalah yang sama sehingga kini; dan
b.     Berapakah kos tender semula dan jumlah pembayaran kos keseluruhan pembinaan lebuh raya tersebut yang telah ditanggung sehingga kini.



Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Projek Menaik Taraf jalan Persekutuan 5 (FT05), Port Dickson - Pasir Panjang - Linggi telah dimulakan pada tahun 2005. Status projek yang dibahagikan kepada 2 seksyen ini ialah seperti berikut:

Seksyen 1, sepanjang 22.5 km telah dimulakan pada bulan Januari 2005 dan sepatutnya siap pada bulan Disember 2009. Kontrak bernilai RM 118.6 juta ini telah ditamatkan pada bulan Jun 2010. berikutan kegagalan pihak kontraktor untuk memenuhi oblogasi kontrak. Sehingga tarikh penamatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membayar sebanyak RM 77.2 juta untuk kemajuan kerja (85%) yang telah disiapkan oleh pihak komtraktor.

Berikutan itu, kontraktor penyiap telah dilantik pada bulan November 2011 untuk meneruskan baki kerja yang tertinggal. Harga kontrak yang terlibat ialah sebanyak RM 46 juta dan projek ini sepatutnya siap pada bulan Mac 2013. Walau bagaimanapun, kontrak ini turut ditamatkan akibat masalah kelemahan pihak kontraktor. Untuk kontrak ini, sebanyak RM 31.8 juta telah dibayar kepada pihak kontraktor dengan berasaskan kemajuan kerja (69%) yang disiapkan.

Pada masa kini, Kementerian sedang dalam proses untuk melantik kontraktor penyiap yang baru untuk meneruskan baki kerja-kerja yang terbengkalai. Berdasarkan perancangan, kontraktor baru dijangka memasuki tapak pada bulan Januari 2014 dengan tempoh siap selama 12 bulan. Anggaran harga kontrak untuk baki kerja ini ialah sebanyak RM 18 juta.

Manakala untuk Seksyen 2 pula, projek sepanjang 10.5 km ini telah dimulakan pada bulan Jun 2005 dengan harga kontrak sebanyak RM 44.9 juta. Projek ini mengalami kelewatan dan kontrak ini telah ditamatkan pada bulan September 2010. Sehingga tarikh penamatan, sebanyak RM 27.7 juta bagi kemajuan kerja (48%) yang disiapkan dibayar.

Sehubungan daripada penamatan itu, kontraktor penyiap yang baru telah dilantik pada bulan Febuari 2011, dengan harga kontrak semasa sebanyak RM 67.5 juta. Pada masa kini kemajuan ditapak berjalan lancar dengan kemajuan fizikal sebanyak 82% sehingga 30 September 2013. Projek ini dijangka siap mengikut jadual pada bulan Disember 2013.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kelewatan projek ini adalah disebabkan oleh pelbagai masalah, khususnya melibatkan aspek kelemahan pihak kontraktor. Walau bagaimanapun, kementerian ini akan memperketatkan lagi aspek pemantauan bagi memastikan projek ini tidak lagi tergendala dan ia dapat disiapkan keseluruhannya mengikut jadual.

Sekian, terima kasih.
 

Tiada ulasan: