Khamis, 3 Oktober 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Pelantikan Semula ADUN Sebagai Ahli Majlis PBT Permudah Usaha Selesai Masalah Rakyat

Posted: 03 Oct 2013 09:11 AM PDT

Keberkesanan untuk menyelesaikan masalah dan aduan rakyat terutamanya di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memerlukan penglibatan para ADUN. Ini adalah kerana kebanyakan aduan oleh rakyat dibuat di Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN bagi sesebuah kawasan itu sendiri. Maka adalah perlu bagi ADUN yang menerima aduan rakyat membawa isu untuk dikemukakan secara proaktif di peringkat PBT untuk penyelesaian.

Sekiranya ADUN yang menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih tidak dibenarkan bersuara mahupun terlibat sama dalam proses membuat keputusan dan perubahan diperingkat PBT, bolehkah aduan rakyat diselesaikan secara berkesan? Adalah tidak memadai untuk para ADUN hanya hadir diperingkat eksekutif dan juga PBT sebagai pemerhati.

Saya melihat kekangan yang menghadkan penglibatan ADUN dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah tempatan serta melakukan perubahan adalah suatu langkah yang terbelakang dan merugikan rakyat. Saya mencadangkan supaya para ADUN diberikan semula tempat di PBT sebagai Ahli Majlis yang mewakili rakyat. Ini adalah penting sekiranya kemajuan dan perubahan yang diinginkan hendak dicapai dengan lancar dan berkesan.

YB Dr Xavier Jayakumar
Ahli Dewan Negeri Selangor
N49 Seri Andalas

Gantirugi Tiada Air: Tribunal Nasihat Failkan Kes ke Mahkamah Sivil

Posted: 03 Oct 2013 02:49 AM PDT

SHAH ALAM, 3 OKT: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna memutuskan tribunal itu tidak mempunyai kuasa bagi mendengar perbicaraan tuntutan kerugian akibat masalah bekalan air terhadap Syabas.

Sebaliknya pihak penuntut gantirugi dinasihat agar memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna, Quaik Chong Yu dalam penghakimannya berkata tuntutan yang dibuat lapan pelanggan Syabas itu merupakan tuntutan gantirugi bukan wang.

"Kes ini bukan ditolak tetapi cuma dibatalkan, bermakna pengadu boleh failkan ke Mahkamah Sivil.

"Saya cadangkan agar ambil peguam dan failkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

"Saya memang ingin mendengar dan memutuskan kes ini tetapi dengan berat hati saya buat keputusan bahawa tribunal ini tiada kuasa," ujar beliau.

Sementara itu beberapa penuntut ganti rugi menyifatkan keputusan itu sebagai mengecewakan.

"Kalau mahkamah tribunal batalkan, di mana lagi pengguna boleh dapat pembelaan?" Soal pelanggan Syabas yang hanya mahu diikenali sebagai Lee sahaja.

Selvamayahi yang menetap di Apartment 16 tingkat di Ampang pula menganggap keputusan itu mendorong Syabas berterusan mengabaikan penderitaan yang ditanggung sejak Ogos 2012 lagi.

"Saya buat tuntutan ini bukan kerana wang, tetapi supaya Syabas dan semua pihak mengambil teladan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna," kata beliau.

Adamulhasza Mohd Noor pula berkata masalah ketiadaan air menyebabkan pengguna terpaksa menanggung kerugian bagi mendapatkan bekalan air.

"Kami terpaksa makan di luar, beli air mineral, menumpang rumah saudara dan ada yang terpaksa menyewa hotel," ujar beliau.

Selain itu masalah itu turut menyebabkan pemilik hartanah kehilangan penyewa.

Hari ini Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna di sini mula mendengar lapan dari 300 kes yang difailkan terhadap Syabas yang gagal memberikan perkidmatan bekalan air dengan memuaskan.


Sumber: SelangorKu

Anwar : PR Akan Teruskan Bantahan Besar-besar Pindaan PCA

Posted: 03 Oct 2013 02:47 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 OKTOBER :  Pakatan Rakyat (PR) akan terus membantah pelaksanaan Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaah dan Pemerluasan) 2013 atau Prevention of Crime Act (PCA) walaupun diluluskan kerajaan Umno-BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR akan mempergiatkan penerangan kepada rakyat pindaan PCA melalui penganjuran kempen, forum dan dialog ke seluruh negara kesan pelaksanaannya kelak.

"Kita akan terus membantah baik dalam Parlimen mahupun di luar untuk memberi penerangan kepada rakyat betapa terdesaknya kerajaan tentang pelaksanaan akta ini.


"PR berpendirian undang-undang ini rakus dan akan disalahgunakan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegas Anwar, langkah kerajaan meluluskan PCA terbukti satu tindakan yang angkuh serta mengenepikan prinsip-prinsip keadilan sejagat.

Katanya lagi, pindaan PCA ternyata melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak asasi manusia.

Anwar turut menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pendirian tetap dan lemah menghadapi tekanan sehingga terpaksa bersetuju dengan undang-undang baru ini.

"Ini pembohongan terang-terangan yang kedua terhadap janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 apabila Datuk Seri Najib Razak mengatakan untuk memendekkan tempoh tahanan pencegahan dan memperluaskan peranan mahkamah.

"Termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang sekaligus menamatkan penahanan tanpa bicara," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya lagi, kerajaan sebelum ini meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan kini pindaan PCA 2013.

Jelasnya, undang-undang sekalipun bertujuan baik untuk mencegah jenayah tidak boleh dipertahankan apabila ia mengenepikan prinsip-prinsip keadilan dan mencabul hak-hak asasi yang diperakui dunia.

"Pindaan PCA kini memperuntukkan Seksyen 19A yang membolehkan penahanan tanpa bicara. Malah Seksyen 15A dilihat menafikan semakan kehakiman di mana-mana mahkamah.

"Hakikatnya masalah jenayah di Malaysia memang serius, Pakatan Rakyat tiada berkompromi dalam soal pembanterasan jenayah, namun ia perlu ditangani dengan berkesan secara profesional oleh pasukan polis.

"Langkah-langkah paling berkesan ialah melaksanakan 125 syor-syor yang dirumuskan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005," katanya.

Sumber: SelangorKu

Tiada ulasan: