Ahad, 27 Oktober 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Perutusan Sambutan Deepavali 2013 Oleh YB Dr Xavier Jayakumar

Posted: 27 Oct 2013 07:45 PM PDT

Saya serta bagi pihak kakitangan Pusat Khidmat ADUN Seri Andalas serta keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada masyarakat yang beragama Hindu yang akan meraikan sambutan ini.

Seperti yang kita sedia maklum Deepavali adalah merupakan perayaan meraikan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan yang membawa sinar harapan untuk masa depan yang lebih baik. Marilah kita meraikan perayaan ini dengan penuh kesyukuran serta harapan untuk terus melakukan kebaikan serta menuju kecemerlangan.
 
Raikanlah bersama keluarga tersayang dan sahabat handai. Teruskan amalan kunjung-mengunjungi dan pandulah secara berhemah ketika membuat perjalanan.
 
Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor akan diadakan di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 31 Oktober 2013 (Khamis) bermula jam 5 petang dan Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Seri Andalas pula akan diadakan pada 9 November 2013 (Sabtu) bermula jam 7 malam di Jalan Nagasari, Desa Latania, Batu 3 1/2 Kampung Jawa. Datanglah beramai-ramai untuk meraikannya bersama-sama.

Sekali lagi saya dan para kakitangan Pusat Khidmat ADUN Seri Andalas serta keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali.

YB Dr Xavier Jayakumar
ADUN Seri Andalas  

Tiga Puluh Wanita Terima Sumbangan Dalam Program PEKAWANIS DUN Seri Andalas

Posted: 27 Oct 2013 07:15 PM PDT

Seramai tiga puluh wanita yang kebanyakannya terdiri daripada ibu-ibu tunggal dengan anak-anak yang masih kecil telah menerima sumbangan RM100 serta goody bag daripada PEKAWANIS di Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Seri Andalas pada 26 Oktober 2013 yang lalu.

YB Dr Xavier Jayakumar telah menyampaikan goody bag dan memberi kata-kata nasihat kepada para penerima sumbangan. Dalam program ringkas tersebut ada penerima yang membangkitkan masalah-masalah kesihatan yang dihidapi dan YB Dr Xavier telah maklum dengan perkara tersebut.

PEKAWANIS adalah persatuan bagi isteri-isteri ADUN dan ahli Parlimen serta ADUN dan Ahli Parlimen wanita yang berminat menyertainya. Matlamat utama PEKAWANIS adalah kebajikan dan persatuan ini juga menguruskan rumah kebajikan di Shah Alam untuk perempuan-perempuan muda yang menghadapi masalah. PEKAWANIS juga menguruskan pusat dialisis di Klang.

Untuk setiap kali perayaan, sebanyak RM3,000 diagihkan kepada wanita / keluarga miskin di kawasan mereka.



Merasmikan Forum Pemilik Haiwan Yang Bertanggungjawab Sempena Hari Haiwan Sedunia 2013

Posted: 27 Oct 2013 07:00 PM PDT

Pada 26 Oktober 2013, YB Dr Xavier Jayakumar telah hadir merasmikan Forum Pemilik Haiwan Yang Bertanggungjawab Sempena Hari Haiwan Sedunia 2013 yang telah diadakan di Dewan Ilmu Perpustakaan Komuniti Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang bermula jam 9 pagi.

Hadir dalam forum tersebut adalah Puan Dr Chitradavi, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ, Puan Dr Hajah Hayati Abdullah, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL serta Ahli-ahli Majlis MBPJ.

Ini adalah tahun keempat sejak tahun 2009 sambutan Hari Haiwan Sedunia telah diadakan di MBPJ. Tema pada tahun ini adalah "Responsible Pet Ownership" bertujuan mewujudkan tahap kesedaran kepada pemilik haiwan dan rasa tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara. 

Dalam majlis yang diadakan, sijil telah diberikan kepada para pemilik haiwan yang bertanggungjawab kemudian diikuti dengan pembentangan kertas kerja dan sesi soal jawab bersama ahli-ahli panel.

Atas sikap prihatin dan tanggungjawab, MBPJ telah menubuhkan Canine Advisory Team (CAT) di negeri Selangor dan juga merupakan PBT pertama di Malaysia yang mengadakan sambutan Hari Haiwan Sedunia pada setiap tahun.

MBPJ turut menguatkuasakan undang-undang kecil perlesenan anjing dan rumah pembiakan anjing bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab  tidak melakukan perbuatan kejam terhadap binatang ini. Penalti sebanyak RM2,000 akan dikenakan atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kecil ini.




Kerajaan Umno-BN Boros, Rakyat Tanggung GST dan Pengurangan Subsidi

Posted: 27 Oct 2013 02:45 AM PDT

SHAH ALAM,27 OKT : Pengurangan subsidi dan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan Umno-BN berbelanja.

Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perlaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan Umno-BN mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasinya dan bukannya ianya terus berboros dengan duit rakyat.

Katanya, rakyat tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila ia diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus bermula 1 April 2015.

"Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian," katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

"Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

"Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minima perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal," katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan kerajaan mengenakan GST tidak mampu menyembunyikan kegagalan mereka mengawal perbelanjaan berlebihan dengan defisit terus kekal.

Lebihan dalam kutipan cukai yang dinyatakan dalam Laporan Ekonomi 2013/14 sepatutnya membantu mengurangkan defisit kronik itu kepada 2.6 peratus tetapi sebaliknya kekal tidak berubah pada unjuran empat peratus.

"Walaupun kerajaan mengumpul jauh lebih tinggi daripada hasil yang dijangkakan, defisit untuk 2013 kekal pada RM39.3 bilion.

"Ini bermakna hampir setiap sen pendapatan tambahan yang dikutip kerajaan terus segera dibelanjakan, bukannya menyumbang ke arah mengurangkan hutang," katanya.

Sumber: SelangorKu

Laksana GST, Makin Banyak Rakyat Kena Tanggung

Posted: 27 Oct 2013 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 27 OKT : Pelaksanaan GST hanya akan meningkatkan harga barangan dan beban cukai yang perlu ditanggung pengguna walaupun selepas pemansuhan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, Kerajaan Umno-BN mengelirukan rakyat dengan memberi gambaran bahawa kebanyakan harga barangan dan cukai yang dibayar oleh pengguna akan dikurangkan selepas pengenalan GST.

"Yang benar adalah bahawa perkara yang dikenakan cukai di bawah SST adalah jauh kurang daripada apa yang dikenakan cukai di bawah GST," kata beliau dalam satu kenyataan.

Kian Ming berkata, antara perkara yang didakwa tidak di bawah cukai jualan tetapi akan di bawah GST termasuk banyak barangan bukan mewah seperti susu, kopi, teh, air mineral , buah-buahan dalam tin , surat khabar , alat tulis, beg sekolah, dan kotak .

Katanya, penggunaan elektrik di atas 200kWh (mana-mana amaun yang melebihi RM50) juga akan dikenakan GST. Harga barang-barang ini pasti akan meningkat selepas GST kerana penghapusan SST mempunyai kesan ke atas harga.

Pada masa ini cukai jualan adalah terhad kepada restoran-restoran tertentu dan perkhidmatan profesional yang diberikan oleh akauntan , arkitek, perkhidmatan kenderaan motor dan pusat-pusat pembaikan, perkhidmatan telekomunikasi , perkhidmatan keselamatan , ejen hartanah, operator perkhidmatan letak kereta ruang dan firma perkhidmatan .

"Liputan yang lebih luas di bawah GST bermakna lebih perkhidmatan akan dikenakan GST berbanding dengan cukai perkhidmatan semasa. Ini bermakna bahawa lebih banyak perkhidmatan hargaya akan meningkat.

"Yang benar adalah bahawa GST akan menaikkan harga majoriti barangan dan perkhidmatan walaupun selepas penyingkiran GST dengan beban kewangan rakyat akan meningkat," katanya.

Sumber: SelangorKu

Bajet 2014 : Belanjawan Orang Kaya, Yang Miskin Papa Kedana

Posted: 26 Oct 2013 02:15 AM PDT

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya di Parlimen adalah satu tamparan hebat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Malah, bermula pada kadar 6%, adalah sangat melampau. Perbandingan pelaksanaan GST yang dilaksanakan di Singapura pada kadar 7% sekarang ini juga adalah cubaan mengelirukan rakyat kerana ia mula diperkenalkan pada tahun 1994 dengan kadar hanya 3%, sejak 13 tahun yang lalu.

Dalam apa keadaan pun, membuat perbandingan dengan negara seperti Singapura dan negara-negara Eropah adalah sia – sia disebabkan tahap urus tadbir yang baik jauh lebih tinggi di negara – negara tersebut.

Bagi rakyat Malaysia, kos sara hidup sudah cukup membebankan tanpa GST. Dengan adanya cukai ini, beban yang lebih berat akan menimpa golongan miskin memandangkan mereka hampir tidak ada pilihan lain selain membelanjakan juga sebahagian besar daripada pendapatan boleh guna (disposable income) yang ada.

Hujah Najib bahawa GST akan menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan semakin berkurang adalah bohong dan sekali lagi cuba mengelirukan rakyat.

Majoriti rakyat tidak akan dapat memanfaatkan GST dengan penjimatan ataupun pelaburan seperti golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Ini akan mewujudkan jurang yang lebih nyata dan menyebabkan ketidakadilan sosial yang lebih berpanjangan.

Jika belanjawan tahun lalu adalah belanjawan rakyat disebabkan pilihanraya bulan Mei lalu, maka yang ini merupakan belanjawan orang kaya kerana kerajaan UMNO dan Barisan Nasional merasakan ia sudah tidak lagi terhutang budi kepada rakyat.

Mereka lewatkan GST kerana mereka tahu rakyat akan membantah dan kini selepas pilihan raya mereka melaksanakannya. Maka Belanjawan 2014 ini hanya akan melebarkan kesenjangan ekonomi rakyat. Jurang kaya – miskin, gini – coefficient rakyat akan terus meluas.

Selain itu, saya meramalkan tekanan inflasi yang bakal menimbun serta kos sara hidup yang kian meningkat.

Dorongan untuk memacu sektor pelancongan, dengan membina lebih banyak hotel bertaraf lima bintang dan bersaing dengan dunia untuk memiliki bandar terhebat tidak memberi kelebihan dan kemakmuran kepada rakyat.

Di mana usaha Kerajaan untuk merendahkan kos pengangkutan atau memperbaiki pengangkutan awam ? Tidak ada disebut tentang perumahan mampu milik. Malah program kesihatan rakyat terus diabaikan.

Meskipun peruntukan yang diumumkan amat substansial, namun yang masih menjadi permasalahan adalah pengagihan dan penggunaan dana tersebut. Perbelanjaan negara tahun lalu tentang latihan Bahasa Inggeris sahaja sudah cukup menjadi contoh bagaimana pembaziran berlaku.

Dana keusahawanan melalui pinjaman mudah bagi mengurangkan pengangguran di kalangan graduan hanya akan menjurus kepada nilai hutang yang semakin memuncak.

Apa yang diperlukan oleh graduan – graduan ini adalah kemahiran 'soft skill' dan lebih banyak latihan kemahiran dan teknikal untuk meningkatkan kebolehan mereka diambil bekerja, bukan hutang yang lebih banyak.

Cadangan untuk memberi dana kepada pelajar lepasan SPM untuk latihan kemahiran adalah baik dari segi prinsip, akan tetapi yang lebih signifikan adalah soal pelaksanaan serta pengkhususan di lapangan.

Kita semua setuju bahawa defisit belanjawan mesti dikurangkan, tetapi memeras lebih banyak wang daripada rakyat bukanlah caranya.

Masalah asas adalah soal ketirisan, pembaziran dan rasuah. Dengan menangani masalah ini secara tidak komprehensif, kita tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah yang tidak akan berkesudahan. Masalah ini tidak mampu diselesaikan dengan hanya mengutip cukai sebanyaknya.

MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden PKR


Sumber: SelangorKU

RM20 Juta Perbaiki Asrama Unisel, Siap Jun 2014

Posted: 26 Oct 2013 02:00 AM PDT

BESTARI JAYA 26 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan asrama Universiti Selangor (Unisel) dan dijangka siap selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun hadapan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri komited membaikpulih bangunan asrama yang tidak boleh digunakan lagi itu bagi tujuan kemudahan infrastruktur pelajar institusi pengajian tinggi berkenaan.

"Blok bangunan itu sudah tidak boleh pakai dan kita akan adakan program penambahbaikan 'Repairs and Maintenance' dan peruntukan diberikan kepada pihak universiti untuk bergerak pada pembaikan," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Unisel Ke Lapan di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya di sini.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad.

Seramai 2,003 graduan bakal memperolehi ijazah masing-masing termasuk tujuh orang menerima ijazah kedoktoran falsafah dan profesional.

Manakala 34 orang menerima ijazah sarjana dan 1,024 orang menerima ijazah sarjana muda dan 937 orang menerima diploma.

Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata masyarakat diharap tidak beranggapan bahawa graduan Unisel sebagai 'graduan pasang siap' iaitu kemampuannya terbatas.

"Saya mahu dan bahkan seluruh rakyat Selangor mahu, bahawa Unisel ini sebenarnya sentiasa mengeluarkan graduan yang mempunyai pelbagai kemahiran berfikir, budiman, pencinta ilmu dan berperibadi mulia.

"Kesepaduan jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah kriteria penting untuk menjadi graduan cemerlang," ujarnya.

Abdul Khalid berkata, Unisel sehingga kini mampu mengekalkan status sebagai antara graduan yang tertinggi memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

"Hal ini dilaporkan dalam media massa dan Kementerian Pendidikan 2012, saya percaya para graduan sedia maklum mengenai pencapaian dan kejayaan universiti ini serta pelbagai pengiktirafan yang diterima, sama ada dalam mahupun luar negara," katanya lagi.

Sumber: SelangorKu

Tujuh Projek Baru Selangor Bernilai RM38.22 Bilion

Posted: 25 Oct 2013 02:15 AM PDT

SHAH ALAM 25 OKT : Ekonomi Selangor dijangka terus berkembang melalui tujuh projek pembangunan membabitkan tanah seluas 3,771.81 hektar dengan nilai perbangunan kasar dianggarkan berjumlah RM38.22 bilion.

Tujuh projek pembangunan itu sudah diluluskan Majlis Perancangan Fizikal Negara membabitkan tanah milik kerajaan dan swasta yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu mesyuarat, pada 17 Oktober lalu.

Projek pembangunan yang dirancang itu membabitkan pembangunan bercampur di Bandar Bukit Raja, Kapar (Sime Darby), pembangunan bercampur di Rawang (Kundang Properties), resort golf 18-lubang di Batang Kali (Mines Gold & City Sdn Bhd) dan pembangunan bercampur di Beranang, Hulu Selangor (Riverside Hills Sdn Bhd).

Selain itu, antara projek lain adalah projek perumahan dan komersil di Dengkil, Sepang (Tristar Acres Sdn Bhd), projek perumahan di Semenyih, Hulu Langat (UEM Land Berhad) dan pembangunan semula kawasan Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Sungai Buloh (Kwasa Ldn Sdn Bhd).

Jabatan Perancangan Bandar dam Desa dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), semalam turut mengesahkan sebanyak 85,415 unit rumah akan dibina melalui pembangunan terbabit untuk didiami 403, 700 orang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri akan terbabit secara aktif dalam projek berkenaan kerana  memberi kesan yang besar dan faedah secara langsung kepada rakyat.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat mingguan itu turut mengarahkan kakitangan kerajaan dan agensi negeri memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi persekutuan yang terbabit dalam pembangunan projek berkenaan.

Abdul Khalid berkata, syarikat air yang akan dilantik kerajaan negeri selepas penstrukturan semula air diselesaikan akan memainkan peranan penting bagi membekalkan air bersih secara cekap sebagai perkhidmatan utama kepada penduduk di kawasan baru berkenaan.

"Kerajaan Selangor sangat komited untuk menyelesaikan penyusunan semula industri air dan berharap pengambilalihan ini selesai, akhir tahun ini seperti yang ditetapkan menteri.

"Pasukan kami terdiri daripada kumpulan profesional yang pakar dan berpengalaman dalam pengurusan air bersedia. Tugas mereka yang pertama adalah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW)," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pagi ini.

Sumber: SelangorKu

Anwar: Belanjawan Hukum Rakyat

Posted: 25 Oct 2013 02:00 AM PDT

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Belanjawan 2014 hari ini yang menurutnya menghukum rakyat dan gagal menyentuh isu asas kebocoran dan urus tadbir yang baik.

"Kamu menghukum rakyat dengan GST (cukai barang dan perkhidmatan). Tiada perubahan antara jurang kaya dan miskin. Kita akan bersungguh-sungguh menentang GST," kata ketua pembangkang.

Anwar juga menyifatkan belanjawan kali ini sebagai paradoks kerana dianggap menyebelahi syarikat dan "orang kaya tetapi dalam masa yang sama memperkenal cukai yang melibatkan banyak pihak.

"Cukai lebih rendah untuk orang kaya, dana khas kepada syarikat, dalam masa yang sama kamu kenakan cukai umum yang akan jejaskan segmen besar masyarakat. Ini paradoks."

Setelah pelbagai spekulasi, kerajaan akhirnya hari ini mengumumkan GST 6 peratus akan diperkenal bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dimansuhkan.

Ia akan berkuat kuasa pada 1 April 2015.

Menyentuh pengurangan subsidi gula mulai esok, ketua umum PKR itu menyifatkan hujah yang digunakannnya "remeh".

Subsidi gula sebanyak 34 sen akan dimansuhkan berkuatkuasa esok bertujuan mengurangkan jumlah pesakit diabetes di negara ini yang agak membimbangkan.

Sumber: MalaysiaKini

Tiada ulasan: