PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
Kongres Nasional Khas KEADILAN 24 November Posted: 29 Oct 2013 09:12 PM PDT PETALING JAYA 29 OKT: KEADILAN akan menganjurkan Kongres Nasional Khas 2013 pada 24 November ini di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di Shah Alam. "Kongres itu nanti bakal dihadiri 2000 perwakilan seluruh negara termasuk Sabah Sarawak dan tetamu jemputan," kata pemangku Setiausaha Agung, Tian Chua yang juga Naib Presiden parti. Turut sama pada sidang media itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datin Paduka Tan Yee Kew dan Setiausaha Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan parti, Hanif Mahmud Pathi. Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil yang ditemui sebelum itu berkata, matlamat Kongres tersebut untuk membentang dan meluluskan beberapa pindaan dalam perlembagaan parti. Menurutnya, pindaan tersebut akan memberi kesan kepada proses pemilihan parti kali ini. Fahmi berkata, antara cadangan yang hangat dan hebat dibincangkan ialah pindaan jumlah undi untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP). "Kalau sebelum ini seorang ahli boleh memilih 20 nama calon tetapi cadangan sekarang adalah meminda kepada lima nama sahaja untuk memudahkan proses pengiraan undi dan ia sedang dipertimbangkan. "Beberapa maklumat berhubung pindaan lain akan kita maklumkan kemudian," katanya yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Lembah Pantai. Mengulas berhubung perkembangan pemilihan pimpinan KEADILAN, Fahmi berkata, pemilihan tersebut akan diadakan antara April atau Mei tahun hadapan. "Kaedah pemilihan di peringkat cabang dan pusat juga akan berlaku perubahan di mana pemilihan akan diadakan sekali untuk menjimatkan masa dan tenaga berbanding sebelum ini dibuat secara berasingan," jelasnya. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56436 |
Gaji pegawai kanan JPM melampau, subsidi rakyat dipotong Posted: 29 Oct 2013 09:11 PM PDT KUALA LUMPUR 29 OKT: Tidak wajar gaji terlalu tinggi dibayar kepada pegawai kanan termasuk berstatus kontrak di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam keadaan subsidi rakyat terbanyak dipotong, kata Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming. "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus sama mengurangkan perbelanjaan tidak perlu jika beliau serius mahu membantu rakyat yang kini berdepan kos sara hidup tinggi ekoran tindakannya memotong subsidi gula, minyak masak dalam bajetnya baru-baru ini. "Najib harus ingat peruntukan jabatannya melonjak 13 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM250 bilion kepada RM264 bilion," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. Beliau mengulas gaji pegawai kanan JPM yang disifatkannya melampau kerana lebih tinggi berbanding gaji penjawat awam. Manakala pada pembentangan Bajet 26 Oktober lalu, Najib memotong subsidi rakyat sebanyak RM7.3 bilion. "Pada 1 Oktober lalu, saya diberitahu gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia RM830,500 (gaji bulanan kira-kira RM69,000). "CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bergaji tahunan RM480,000 (sebulan RM40,000, elaun tahunan RM162,000, bonus RM60,000). "CEO TalentCorp bergaji bulanan RM30,000 tidak termasuk elaun kereta RM5,000 sebulan. "Gaji bulanan semua CEO ini lebih tinggi daripada penjawat awam seperti Ketua Setiausaha Negara bergaji sebulan hanya RM23,577," katanya. Beliau turut mendedahkan pegawai JPM berstatus kontrak yang dibayar gaji setaraf pegawai tinggi penjawat awam. "Contohnya, gaji Pengarah Pengurusan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) setaraf dengan JUSA A/B penjawat awam bergaji maksimum RM49,000 sebulan, Pengarah Bersekutunya bersamaan JUSA C penjawat awam bergaji maksimum RM31,600 sebulan. "Jawatan Pengurus Kanan pula bersamaan penjawat awam Gred 54 bergaji maksimum RM21,000 sebulan," katanya. Ong turut mendesak Najib menjimatkan wang rakyat dengan menghentikan kewujudan agensi baru Yayasan Hijau kerana fungsinya bertindih dengan agensi sedia ada seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGIC). Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56443 |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan