PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
- Ketirisan, pembaziran: Heret pesalah ke muka pengadilan – Anwar
- Ketua pembangkang DUN Selangor bakal dapat keistimewaan
- Peneroka Palong 2 lapor JKKK, Felda kepada SPRM
Ketirisan, pembaziran: Heret pesalah ke muka pengadilan – Anwar Posted: 09 Oct 2013 11:15 PM PDT KEADILAN merakamkan ucapan terima kasih di atas usaha Tan Sri Datuk Setia Hj Ambrin Buang dan pasukan beliau di Jabatan Audit Negara menerbitkan Laporan Ketua Audit Negara 2012. Namun ianya bagaikan deja vu, satu igauan tak henti-henti. Laporan ini terus membuktikan pentadbiran kewangan dan aset kerajaan pusat yang teruk, pengurusan dan penyeliaan projek-projek kerajaan yang lemah, penyelewengan kewangan yang berterusan, dan yang paling utama – ketiadaan kesungguhan politik untuk menghentikan ketirisan dan pembaziran dalam pentadbiran kewangan negara. KEADILAN mengamati satu perkembangan yang cukup jelas dan membimbangkan, iaitu sikap tak kisah yang berterusan dalam membelanjakan dana kerajaan oleh kementerian-kementerian dengan sebegini rupa, dan tiada langsung kesungguhan politik untuk menghukum pesalah berulang. KEADILAN berpandangan Kerajaan Pusat tidak patut membenarkan penyelewengan kewangan seperti ini berterusan, lebih-lebih lagi tatkala Malaysia telah diberi amaran oleh badan-badan antarabangsa bahawa ia telah berbelanja secara berlebihan dan tiada langkah kukuh untuk menangani ketirisan dan pembaziran. Pihak Kerajaan Pusat tetap berdegil dengan sikap berbelanja tanpa mahu berusaha mengurangkan kos perbelanjaan tahunan dan berjimat – walaupun rakyat seringkali disuruh berbuat sedemikian. Di sini KEADILAN mengangkat beberapa penemuan Jabatan Audit Negara di mana terbukti Kerajaan Pusat terus mengamalkan pembaziran: 1. RM2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM 3.689 bilion yang diperuntuk kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian. Walaupun ia berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan telah mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang, dan juga CCTV yang tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan keselamatan anak-anak kita di sekolah. 2. Kementerian Pengangkutan telah membelanjakan hampir RM 1.42 bilion dari jumlah peruntukan RM1.47 bilion untuk menambahbaik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Walaupun lebih 96% peruntukan telah digunapakai, namun projek yang dimulakan pada tahun 1996 ini masih belum siap: balai ketibaan dan bilik air-bilik air didapati tidak memuaskan, dan 599 lubang telah dijumpai di landasan kapal terbang yang belum dibaiki sejak 2010. 3. Dari 2006 hingga Disember 2012, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah membelanjakan RM 800.3 juta untuk mewujudkan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bersama Telekom Malaysia. Laporan ini menunjukkan hampir RM 41 juta pembayaran yang tidak patut atau berlebihan, termasuk sesi latihan di Geneva untuk seorang pegawai kanan kementerian, berjumlah RM 303,813 untuk 4 hari. 4. Projek-projek infrastruktur lain seperti Projek Pembetungan Negara (RM 744 juta dibelanjakan), Kolej ATM di Port Dickson (RM 190 juta dibelanjakan), Pusat Pemprosesan, Pengeluaran dan Gudang di Bangi (RM 94 juta diperuntukkan) di mana kesemuanya mencatatkan kehilangan antara 16% dan 20% jumlah peruntukan akibat kelewatan projek disebabkan kekurangan perancangan awal dan pemantauan projek. 5. Kelewatan Lembaga Hasil Dalam Negeri memungut cukai dari syarikat-syarikat perniagaan mengakibatkan kehilangan yang dianggarkan bernilai RM 62 juta. 6. Pembelian 5 Beechcraft King Air 350 berjumlah RM 175.24 juta, yang tidak dapat dimanfaatkan kerana juruterbang dan juruteknik telah dilatih menggunakan modul latihan yang tidak diiktiraf Jabatan Penerbangan Awam Malaysia. Antara contoh pembaziran dan budaya 'tak kisah' yang disebut tadi adalah seperti berikut: 1. Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM 67.6 juta untuk Hari Belia 2012, peningkatan yang cukup tinggi dari peruntukan asal RM15 juta; di mana RM1.6 juta telah dibelanjakan untuk membawa masuk kumpulan K-pop. 2. Polis Diraja Malaysia kehilangan aset berjumlah RM 1.33 juta, termasuk 156 pasang gari, 44 pucuk senjata api, 29 buah kenderaan, 26 set walkie-talkie, dan 22 buat radio. 3. Kasut buatan khas untuk pegawai Jabatan Kastam, yang lambat diagih mengakibatkan 7,659 pasang kasut dimusnahkan kerana tidak mengikut spesifikasi. Jumlah kehilangan dianggarkan bernilai RM 602,089. KEADILAN menggesa SPRM menjalankan siasatan yang menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan dan pembaziran ini, dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan. Pada masa yang sama, KEADILAN mengharapkan Kerajaan Pusat akan satu hari nanti mengubah budaya agar mereka yang didapati merancang pembaziran dan penyelewengan wang rakyat akan dihukum, dan bukan sahaja 'kambing-kambing hitam' yang dijadikan teladan. KEADILAN mengulangi pendirian bahawa penyelewengan wang rakyat dan budaya pembaziran yang kita saksikan sekarang di dalam pentadbiran negara wajib dihentikan, lebih-lebih lagi apabila rakyat diminta berjimat dengan harga petrol yang meningkat dan GST yang mungkin akan diperkenal tidak lama lagi. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56070 |
Ketua pembangkang DUN Selangor bakal dapat keistimewaan Posted: 09 Oct 2013 10:42 PM PDT dipetik dari Malaysiakini.com Kerajaan Selangor buat pertama kalinya dalam sejarah akan memberi elaun dan keistimewaan kepada ketua pembangkang DUN negeri itu sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam meluluskan keistimewaan tambahan kepada ketua pembangkang DUN Selangor yang akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980. Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata ketua pembangkang bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan. "Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira ketua pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pemerintah sedia ada. "Kepentingan ketua pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul menjunjung kasih DYMM Sultan Selangor selepas Datuk Menteri Besar pada persidangan Dewan Negeri Selangor," kata Khalid. Ketua pembangkang DUN Selangor kini disandang oleh ADUN Sungai Burong Datuk Shamsuddin Lias. Khalid berkata pembayaran elaun itu sejajar dengan imbuhan yang diberikan kepada ketua pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980. "Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas usul ini dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke-13 yang dijangka mula bersidang pada 19 November depan. "Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat," kata Khalid. |
Peneroka Palong 2 lapor JKKK, Felda kepada SPRM Posted: 09 Oct 2013 10:36 PM PDT dipetik dari FMT.com SEREMBAN: Selepas sebulan menunggu dan gagal mendapat penjelasan daripada Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) serta pengurusan Felda Palong 2 di Jempol; sekumpulan peneroka mewakili 107 peneroka dari tanah rancangan tersebut membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini. Peneroka meminta SPRM menyiasat JKKK Felda Palong 2 dan pengurusan Felda Palong 2 berhubung dakwaan peneroka yang JKKK serta pihak pengurusan Felda Palong 2 gagal membentangkan akaun terperinci tiga tabung yang dilaburkan di dalam saham Koperasi Permodalan Felda (KPF). FMT pernah menyiarkan keluhan 107 peneroka Felda Palong 2 pada 6 September lepas. Mereka menuntut agar Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Felda Palong 2 dan pihak pengurusan Felda Palong 2 memberi penjelasan berhubung status tiga akaun tabung yang melibatkan peneroka Felda Palong 2 yang dilabur di dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF). Wakil peneroka, Awalludin Samah berkata peneroka sudah lama bersabar dan menanti selama sebulan untuk mendapatkan penjelasan terperinci daripada Pengerusi JKKK Felda Palong 2, Arifin Hussin dan Pengurus Felda Palong 2, Kamarudin Hassan. "Pada hari yang kami mengutarakan masalah kami kepada media yang disiarkan dalam beberapa media pada bulan lepas; dalam kenyataan media Arifin memberi maklum balas bahawa dalam masa terdekat beliau akan menghantar surat kepada ke semua 534 peneroka Felda Palong 2 dengan anggaran pendapatan untuk tahun 2013 dan anggaran perbelanjaan untuk tahun 2014. "Walaubagaimanapun sehingga ke hari ini sudah cukup sebulan, kami tidak menerima apa-apa surat penjelasan atau penyata akaun untuk ketiga-tiga tabung tersebut. "Kami sudah memberikan masa yang secukupnya kepada Arifin dan Kamarudin untuk memberikan butiran terperinci berhubung pertanyaan kami tentang status akaun Tabung JKKK, Tabung Ladang dan Tabung Khairat Kematian yang dilaburkan di dalam KPF. Janji tinggal janji "Tetapi janji tinggal janji. Kami tiada pilihan lain melainkan membuat laporan dengan pihak SPRM agar ketiga-tiga akaun ini disiasat," kata Awalludin. Seorang lagi wakil peneroka Hassan Husairi, berkata mereka bukan menuduh JKKK atau pihak pengurusan Felda tetapi mahukan ketelusan dan penjelasan bagaimana wang dalam ketiga-tiga tabung tersebut dibelanjakan dan berapa banyakkah dividen yang diterima melalui pelaburan dalam saham KPF. "Kita tidak menuduh sesiapa dalam JKKK Felda Palong 2 atau pihak pengurusan Felda Palong 2. Tetapi kami sebagai peneroka yang mempunyai kepentingan dalam ketiga-tiga tabung tersebut mahukan akaun ketiga-tiga tabung tersebut dibentangkan kepada peneroka. "Bayangkan selama 13 tahun dari tahun 2000 sehingga 2013, butiran kewangan termasuk bagaimana duit dalam ketiga-tiga akaun ini dibelanjakan dan berapakah dividen yang diterima tidak pernah didedah atau diumumkan kepada 534 peneroka Felda Palong 2. "Saya berharap SPRM akan siasat aduan kami dengan segera dan telus," ujar Hassan. Timbalan Setiausaha Agung PKR Negeri Sembilan, T Kumar yang juga peguam penasihat kepada peneroka terbabit berkata peneroka tiada pilihan lain selain membuat laporan SPRM. "Peneroka bukan sahaja tidak diberikan butiran akaun malah selepas isu ini diketengahkan dalam media pun, JKKK atau pengurusan Felda tidak memanggil peneroka terbabit untuk berjumpa dan memberikan penjelasan berhubung akaun tersebut. "Kami akan melihat perkembangan siasatan SPRM ke atas kes ini dan akan memikirkan apakah langkah seterusnya nanti," katanya. |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan