PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
Dr M banyak berahsia, saya tak tahu langsung projek IC Sabah – Anwar Posted: 19 Sep 2013 10:01 PM PDT Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bekas ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mengetahui tentang projek IC di Sabah. Beliau memaklumkan demikian ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Steve Shim hari ini. Katanya, walaupun beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu namun terlalu banyak perkara yang dirahsiakan oleh Mahathir. Malah katanya lagi, beliau juga tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat melibatkan isu dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Saya menafikan setiap apa yang diperkatakan oleh Mahathir sebelum ini dan saya tidak mengetahui langsung dengan projek IC Sabah. "Walaupun saya memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, terlalu banyak perkara yang dirahsiakan, malah saya juga tidak dipanggil langsung untuk menghadiri mesyuarat membabitkan isu keselamatan negara," jelas Ketua Umum KEADILAN itu. Anwar turut menegaskan ketika beliau memegang jawatan sebagai pemangku Perdana Menteri selama dua bulan, beliau tidak pernah diberi taklimat berhubung dengan projek tersebut, apatah lagi menandatangani dokumen berkaitan isu yang dibangkitkan ini. "Ketika memegang jawatan sebagai pemangku Perdana Menteri saya juga tidak diberi taklimat berhubung dengan projek ini. "Malah tidak pernah melihat ataupun menandatangani sebarang dokumen untuk kelulusan pemberian IC. "Dulu dalam kerajaan setiap perkara yang ingin dilakukan perlu mendapat kebenaran ataupun kelulusan dari Perdana Menteri, sesiapa pun tidak boleh membuat sebarang keputusan termasuk memberi IC tanpa kebenaran Mahathir," katanya, lapor Harakah Daily. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut memberitahu isu pemberian IC kepada pendatang asing bukan sahaja berlaku di Sabah malah turut berlaku di beberapa buah negeri di semenanjung sebelum pilihan raya umum lalu. Beliau yang juga turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengatakan beliau ada menandatangani dokumen berkaitan projek IC di Sabah boleh mendedahkannya. "Saya cabar mana-mana pihak terutamanya di dalam Umno yang mengatakan saya ada menandatangani dokumen berkaitan projek tersebut sila kemukakan. "Perkara ini tidak pernah dibincangkan sepanjang saya berada dalam kerajaan sebelum ini, dalam kerajaan tanpa arahan politik dari Perdana Menteri pemberian IC ini tidak akan berlaku," sambung beliau. Beliau yang turut mencadangkan kepada RCI bahawa penguatkuasaan perlu dipertingkatkan terutamanya membabitkan soal keselamatan negara. Katanya lagi, soal pemberian IC yang melibatkan bukan warganegara, perlu melalui proses yang ketat kerana ini bukan sahaja melibatkan soal keselamatan tetapi akan turut melibatkan soal pemilihan sesebuah kerajaan pada pilihan raya. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=55703 |
Tanggal 20 Sept, KEADILAN lancar pusat latihan ‘Reformasi’ Posted: 19 Sep 2013 09:58 PM PDT KUALA LUMPUR 20 SEPTEMBER: KEADILAN hari ini akan melancarkan sebuah pusat latihan dinamakan 'Dewan Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat' (Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives) atau dikenali sebagai Reformasi. Majlis pelancaran yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya 3 petang ini akan disempurnakan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden merupakan Pengarah pusat latihan ini dan Pengarah Eksekutif pula adalah Dr Edmund Santhara. 15 tahun lalu pada tarikh yang sama seperti hari ini, muncul sebuah gerakan kesedaran anak muda yang tercetus dari pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, atas konspirasi peringkat tertinggi. Tanggal 20 September 1998 mencatatkan detik hitam dalam sejarah Malaysia apabila Anwar ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Rakyat bangkit menentang kezaliman yang dilakukan terhadap beliau.Bermula tarikh itu juga, kesedaran dan minat rakyat terhadap politik tanah air meningkat, demi mempertahan pemimpin yang menentang korupsi dan kronisme di saat rakyat menderita akibat krisis kewangan. Misi Anwar jelas, untuk menyelamatkan Malaysia dari kerakusan pemimpin korup Umno yang berterusan menggunakan wang rakyat secara boros, di samping hanya mengaut keuntungan dari projek mega. Sebelum penangkapan berlaku, Anwar telah menjelajah ke serata Semenanjung diselangi solat hajat di seluruh negara. Enam tahun kemudian, pada 2 September 2004, Anwar dibebaskan selepas pertuduhan fitnah terhadapnya digugurkan, lantas beliau bangkit semula ke persada politik tanah air. Tahun 2008, Pakatan Rakyat yang diterajui Anwar berjaya merampas lima negeri dari Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Kelibat pemimpin berjiwa rakyat ini sentiasa menjadi ketakutan kepada pemimpin Umno, tidak cukup dengan Dr Mahathir Mohamad, kini Datuk Seri Najib Razak juga sering mengatur ancaman dan provokasi terhadap Anwar. Namun pada Julai 2008, selepas beberapa bulan Pakatan Rakyat yang diterajui memenangi lima negeri dari BN – Anwar dituduh lagi dengan fitnah jahat. Skrip yang sama pada 1998 diputar kembali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengulangi apa yang pernah dilakukan Mahathir. Perbicaraan di mahkamah menjadi jenaka di peringkat antarabangsa dengan pelbagai kepincangan terbongkar satu demi satu, dan akhirnya mahkamah melepaskan Anwar dari tuduhan itu. Semuanya kerana agenda reformasi yang dibawa Anwar sejak 14 tahun lalu, dengan dokongan dan doa jutaan rakyat Malaysia yang berada di belakangnya, teriakan reformasi, sejak 14 tahun lalu, sebenarnya tidak pernah mati. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=55713 |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan