Isnin, 23 September 2013

BULETIN RAKYAT

BULETIN RAKYAT


SEKIM KESELAMATAN KEJIRANAN PANGSAPURI (SEROJA) BANTU POLIS PELIHARA KESELAMATAN DAN CEGAH JENAYAH

Posted: 23 Sep 2013 10:47 AM PDT

BATU CAVES, 23 SEPT: Sebanyak 5 pangsapuri dipilih menjadi perintis Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri (SEROJA) yang dirumus bagi membantu polis memelihara keamanan dan mencegah jenayah di kawasan-kawasan pangsapuri seluruh Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad berkata Skim Seroja ini disasar membantu sehingga 250 pangsapuri di masa akan datang.

Dijangka dilaksanakan Oktober tahun ini, lima pangsapuri itu adalah Laksamana Jaya, Seri Era, Puchong Permai, Mawar Cempaka dan Megah Villa. Penduduk yang dipilih untuk melakukan rondaan pengamanan di pangsapuri masing-masing akan disaring Polis Diraja Malaysia terlebih dahulu, dan dilengkapi dengan belantan, wisel dan lampu suluh.

"Kerajaan negeri akan membantu program bantu mula ini selama tempoh 3 tahun dan selepas itu program ini dapat diteruskan oleh penduduk itu sendiri.

"Pihak kerajaan negeri juga berterima kasih kepada pihak polis yang bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan program berjaya dilaksanakan," kata Iskandar di program pelancaran Skim Seroja di Pangsapuri Laksamana Jaya, 21 September lepas.

Acara dihadiri oleh Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Mohd Azizi Mohd Zain dan Adun Batu Caves, Amiruddin Shari.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10,000 setahun untuk mengadakan program-program keselamatan dibawah SEROJA. Peronda yang terlibat juga diinsuranskan sehingga RM10,200 sekiranya berlaku kemalangan semasa melakukan rondaan.

HADIAH IPT DI NAIKKAN KE RM3000 DI SELANGOR

Posted: 23 Sep 2013 09:53 AM PDT

SUBANG JAYA 23 SEPT : Sempena Belanjawan Selangor 2014, Kerajaan Negeri akan menaikkan had kelayakan Hadiah Anak Masuk Universiti daripada pendapatan seisi rumah RM1,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kedudukan kewangan negeri yang kukuh membolehkan pemerkasaan program-program pro-rakyat seperti ini.
"Kita mampu meningkatkan insentif ini berikutan rezab negeri yang semakin bertambah sehingga mencecah hampir RM3 bilion," katanya dalam majlis perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya.
Skim ini merupakan salah-satu daripada program pro-rakyat dibawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Hadiah RM1,000 diberi kepada anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah, untuk memudahkan mereka melanjutkan pendidikan ke pusat pengajian tinggi awam/swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.
Setakat ini, jumlah direkodkan mencatatkan lebih RM35.7 juta dibelanjakan dengan kira-kira 35,722 peserta mendapat manfaat dari program Hadiah Anak Masuk Universiti itu.
"Sambutan kepada program ini amat membanggakan dan ia ternyata membawa manfaat besar kepada rakyat Selangor," tegas beliau.

Tiada ulasan: