Khamis, 29 Ogos 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Hebahan Media - Sumbangan Motosikal Roda Tiga Kepada OKU Oleh YB Dr Xavier Jayakumar

Posted: 29 Aug 2013 08:30 PM PDT

Kepada Semua Editor Media dan Wartawan

Sumbangan Motosikal Roda Tiga Kepada OKU Untuk Bantu Perniagaan

Adalah dimaklumkan bahawa YB Dr Xavier Jayakumar akan menyampaikan sumbangan motosikal roda tiga kepada seorang OKU (Orang Kelainan Upaya) bagi membantunya memula dan mempermudah urusan perniagaan hariannya.

Butiran adalah seperti berikut:

Tarikh: 30 Ogos 2013 (Jumaat)

Masa: 2.45 petang

Tempat: Pejabat Khidmat ADUN Seri Andalas, No. 15A, Jalan Mohd Tahir 8, Taman Sri Mewah 4, Off Jalan Sungai Jati, 41200 Klang, Telefon: 03-33734595

Semua wartawan media dijemput hadir untuk membuat liputan.

Perutusan YB Dr Xavier Jayakumar Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-56 dan Sambutan Hari Malaysia Ke-50

Posted: 29 Aug 2013 06:59 AM PDT

Salam sejahtera,
 
Selamat meraikan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-56 dan juga sambutan Hari Malaysia yang ke-50.
 
Sambutan kemerdekaan bukan semata-mata perarakan dan melaungkan kemerdekaan malah yang penting adalah erti disebalik kemerdekaan itu sendiri. 

Telah lebih lima dekad kita meraikan kemerdekaan saban tahun, namun kemerdekaan bukan sahaja boleh diertikan sebagai bebas daripada sebarang bentuk penjajahan kuasa luar, malah rakyatnya mestilah bebas daripada sebarang penindasan dan pemerasan, bebas mengamalkan hak berdemokrasi, bebas beragama dan berbudaya, bebas memberi pendapat dan mengamalkan fahaman politik termasuk memilih pemimpin serta kerajaan yang diingini. Namun kebebasan ini mestilah berdasarkan etika, ajaran agama serta undang-undang.

Pada ketika kita meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-56, kita dikejutkan setiap hari dengan berita-berita jenayah ragut, tembak dan bunuh. Apakah ertinya kemerdekaan sekiranya rakyat takut dan risau dengan kadar jenayah yang membelenggu ini. Kadar jenayah yang agak serius ini perlu ditangani dengan berhemat serta punca sebenar berlakunya perlu diteliti.

Di Malaysia dan Selangor khususnya, rakyat adalah majmuk dan berbilang kaum, kita harus terus memupuk perpaduan, mengelakkan diskriminasi dan menghormati antara satu sama lain. Saya percaya dengan menghargai antara satu sama lain barulah keharmonian sebenar dapat dinikmati bersama. 

Bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan ini marilah kita beriltizam menolak sebarang bentuk penjajahan, penindasan dan ketidakadilan dan terus berusaha mengubah negara yang kita cintai ini kepada sebuah negara yang kita bangga dan gembira untuk wariskan kepada generasi kita yang akan datang.

Akhir kata, saya dan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat, mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-56 dan selamat merayakan Hari Malaysia yang ke-50 kepada seluruh rakyat Malaysia samada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

YB DR XAVIER JAYAKUMAR
Ahli Dewan Negeri Seri Andalas

Bharani Project 2013

Posted: 29 Aug 2013 03:00 AM PDT

Gambar sekitar program - Bharani Project 2013. YB Dr Xavier Jayakumar hadir pada 24 Ogos 2013. Program diadakan oleh Indian Cultural Society, Cyberjaya di SJKT Pulau Carey Barat sepanjang 23 hingga 25 Ogos 2013.













Check Your TNB Meter

Posted: 29 Aug 2013 02:45 AM PDT

Laporan Khas Selangorku melaporkan mengenai masalah rakyat yang dibebani dengan bil elektrik yang melambung tinggi sejak penukaran meter analog kepada digital yang didakwa masih banyak kelemahan sehingga membebankan penggunanya.

Tandatangan petisyen di http://www.checkyourtnbmeter.com

100 Hari Pakatan Rakyat Selangor

Posted: 29 Aug 2013 02:30 AM PDT

Pentadbiran Ikhlas 100 hari Kerajaan Pakatan Rakyat
100 hari pentadbiran masih terlalu singkat untuk melihat segala pencapaian namun Pakatan Rakyat Selangor efektif dengan mengorak beberapa agenda dari awal pemerintahan mereka untuk penggal kedua berbanding Barisan Nasional yang masih lagi seperti dulu yang hanya tahu mempertahankan kepentingan mereka.

KEADILAN Lancar Kempen Bantu Pengguna Tuntut Pampasan Syabas

Posted: 29 Aug 2013 02:15 AM PDT

Kegagalan Syarikat Bekalan Air Syabas (Syabas) menyelia dan menyelenggara rumah pam di Wangsa Maju sehingga menyebabkan gangguan bekalan air yang semakin meruncing di sekitar Selangor Timur (meliputi Parlimen Pandan, Ampang, Gombak, Wangsa Maju dan Setiawangsa) benar-benar mengecewakan rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali. Selepas kejadian yang menyebabkan gangguan bekalan air selama tiga minggu dalam bulan Disember 2012, kegagalan yang sama berulang melibatkan rumah pam yang sama.

Rafizi RamliIni memburukkan lagi keadaan di seluruh Selangor apabila kawasan-kawasan lain seperti Puchong dan Kelana Jaya turut terjejas. Syabas seringkali hanya memberi kenyataan mudah menyalahkan kadar penggunaan air yang kian bertambah yang menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan terbabit.

Kegagalan Syabas untuk menyelia/menyenggara rumah pam Wangsa Maju dengan baik (untuk mengelakkan kerosakan yang berlaku dalam bulan Disember 2012 berulang) dan merancang untuk memastikan bekalan air sentiasa bertepatan dengan kadar penggunaan air semasa membayangkan kelemahan-kelemahan ketara dalam pengurusan dan operasi Syabas.

Sebagai pemegang konsesi yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang, kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diterima sama sekali oleh pengguna. Syabas mempunyai tanggungjawab untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan ini dan selagi gangguan berterusan akibat kelemahan-kelemahan ini, perlulah memberi pampasan kepada pengguna yang terkesan dari gangguan bekalan air.

Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen di salah sebuah kawasan yang paling terkesan dengan gangguan bekalan ini, saya telah membuat keputusan untuk memfailkan seberapa banyak kes tuntutan terhadap Syabas di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mengikut Seksyen 53, Akta Perlindungan Pengguna 1999, "Jika perkhidmatan dibekalkan kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu gerenti bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah." Jika Syabas mempunyai ketelitian dan kemahiran yang munasabah, kelemahan-kelemahan yang menyebabkan gangguan bekalan air berulang telah lama dapat diatasi.

Pusat Khidmat Parlimen Pandan akan menghubungi seberapa banyak isirumah yang terjejas dengan gangguan bekalan air dan akan memfailkan kes terhadap SYABAS untuk menuntut pampasan di Tribunal Tuntutan Pengguna. Pengguna juga boleh mengisi sendiri maklumat di blog saya www.rafiziramli.com/tribunalpengguna. Saya mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 kes untuk difailkan terhadap Syabas bermula minggu depan.

Langkah untuk memaksa Syabas bertanggungjawab kepada rakyat perlu bermula dengan memastikan Syabas memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air. Selagi tidak ada kempen tersusun untuk memaksa SYABAS memberi pampasan kepada rakyat, selagi itulah Syabas tidak menghiraukan kesusahan yang dihadapi rakyat setiap kali gangguan bekalan air berlaku.

Saya telah menghubungi YB Azmin Ali (Gombak), YB Zuraida Kamaruddin (Ampang), YB Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), YB Hannah Yeoh (Subang Jaya), YB Tiew Way Keng (Teratai), YB Iskandar Abdul Samad (Cempaka), YB Wong Chen (Kelana Jaya) dan YB Gobind Singh Deo (Puchong) untuk memulakan kempen tersusun memaksa Syabas memberikan pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air.

Saya juga telah menulis secara rasmi kepada Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi Syabas untuk beliau turun sendiri ke Pandan menerangkan kepada penduduk sebab-sebab kegagalan Syabas membekalkan air dengan baik seperti yang diamanahkan mengikut perjanjian konsesi.
 
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

Rasuah, Hutang Jadi Punca Negara Alami Krisis Kewangan – Rafizi

Posted: 29 Aug 2013 02:00 AM PDT

 SHAH ALAM 29 OGOS : Krisis kewangan Asia pada 1997-1998 berulang jika kerajaan Pusat tidak mengambil langkah proaktif dalam menangani krisis itu lebih awal.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan perlu memperbaiki mekanisme pembayaran hutang negara yang mencapai tahap kritikal.

Ia kerana, katanya, keadaan itu menyebabkan negara berdepan kesukaran apabila ekonomi dunia tidak mencapai pertumbuhan memberangsangkan.

"Jika berlaku gangguan dalam aliran tunai dunia dan ekonomi dunia, kerajaan hilang pilihan untuk menangani masalah itu," katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Rafizi berkata, pelabur akan mula menjual dan mengeluarkan wang dari negara ini apabila mereka meragui kemampuan kerajaan dalam hala tuju ekonominya.

"Keadaan itu ada persamaan dengan krisis ekonomi pada 1997," katanya.

Beliau berkata, keadaan ekonomi negara ketika ini membimbangkan kerana Malaysia turut terheret dalam kegawatan ekonomi dunia berbanding Indonesia.

"Masalah di Malaysia ialah kerajaan Umno BN boros dan banyak rasuah dengan projek yang melibatkan komisen," kata beliau.

Rafizi berkata, kerajaan perlu mengelakkan pembaziran kewangan dalam perbelanjaan agar tidak perlu membuat pinjaman sehingga menambah hutang negara.

"Kita perlu memulakan dengan perang habis-habisan terhadap rasuah supaya kita boleh mengurangkan pembaziran," kata beliau.

Sebelum ini, nilai ringgit jatuh melebihi 7.0 peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap dollar dan ia rekod terburuk di kalangan negara Asia lain.

Bank Negara juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus sebelum ini.

Agensi penarafan kredit dunia, Fitch Ratings baru-baru ini meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif serta mempersoal langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan: