The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Salute untuk isteri saya, Hendon binti Jaafar Posted: 24 Jul 2013 12:39 AM PDT Hanya sekadar tidak sampai beberapa bulan, saya dan isteri saya dapat bersama, kerana saya terpaksa meninggalkan beliau untuk menjalani kursus undang-undang di London. Dari lapurannya, isteri saya sudah mulai mengandung, dan dari nasihat semua adaik beradik di sebelah isteri saya dan juga di sebelah saya, mereka mahu isteri saya melahirkan anak sulung kami di Kuala Lumpur. Maka saya terbanglah ke London manakala isteri saya tinggal di Petaling Jaya di rumah abangnya di Section 14 dan bertugas sebagai PA kepada Pengerusi Lembaga Letrik Negara, Jalan Bungsar, Kuala Lumpur. Saya pergi ke London dengan hati yang serba salah meninggalkan isteri saya di Kuala Lumpur, tetapi sebagai suatu keluarga, saya hormati kehendak adik-beradik saya disebelah isteri saya dan juga di sebelah saya. Saya memang tahu bahawa isteri saya itu selaku anak bongsu kepada keluarga Haji Jaafar Mohd sememangnya mendapat kasih sayang daripada ayahnya dan juga adik beradiknya, dan mereka berjanji kepada saya bahawa setelah dua bulan isteri saya melahirkan anak sulung kami itu, mereka akan menghantarkan isteri saya ke London untuk tinggal bersama-sama saya. Rupa-rupanya rindu orang yang baru kahwin amat terasa di jiwa saya. Hampir setiap hari saya menulis surat kepada isteri saya menceritakan kehidupan saya di London dan betapa rindunya saya kepada isteri saya yang terpisah lebih dari 8000 batu. Isteri saya membalas surat-surat saya dengan nasihat supaya menumpukan kepada pelajaran saya supaya apabila kembali nanti boleh bertugas sebagai seorang peguam. Hidup di London memang boleh tersasar, tetapi oleh kerana saya sentiasa merindui isteri saya, saya banyakkan ruang masa yang saya ada untuk membaca dan melibatkan diri dengan isu-isu hal ehwal pelajar. Pada bulan Mei 1969 anak saya sudah pun berusia beberapa hari. Saya menulis surat kepada isteri saya dan adik-beradik saya supaya isteri saya dapat dihantar ke London. Pada 11hb Mei 1969 isteri saya mengambil keputusan untuk datang ke London dengan membawa anak kecil kami yang saya namakan SURINA. Dari apa yang diceritakan oleh isteri saya, tidak ada direct flight ke London pada hari itu, dan beliau dan anak kami terpaksalah ambil transit dari Bangkok. Alangkah susahnya isteri saya bersama anak kecil kami kerana terpaksa bermalam di Bangkok. Rupa-rupanya ada Hikmah isteri saya bertolak pada 11hb Mei 1969 itu kerana jika ia terlewat maka dia akan terperangkap dengan 13 Mei. Dan saya tidak tahu apa akan terjadi jika beliau terperangkap didalam 13 Mei itu. Saya sudah ceritakan bahawa isteri saya sampai ke London pada 13 Mei, dan semuanya menjadi dugaan kepada saya dan isteri saya serta anak kecil kami bahawa pada hari itu kapal terbang terpaksa mendarat di lapangan yang jauh dari Heathrow, dan dengan bantuan rakan karib di London, seorang Malaysia Worker di London, Sdr Isa Ali, kami sempat berkejar ke lapangan terbang itu untuk mengambil isteri saya dan anak kami. Saya tidak ulang lagi kisah itu di dalam tulisan ini. Apa yang saya nak ceritakan ialah berhubung dengan kehidupan saya, Hendon Jaafar dan Surina Suhaimi selepas kami kembali ke tanah air. Hidup kami bukanlah sempurna sangat. Dari satu tempat kami terpaksa berpindah ke tempat yang lain dengan arahan jabatan. Sehinggalah kami menetap di Kuala Lumpur bila mana di dalam semasa saya menjalani tugas sebagai Pegawai Undang-Undang saya juga turut terlibat dengan pergerakan perjuangan Parti Sosialis Rakyat Malaysia, dan sangat menjadi keresahan kepada saya kerana saya tidak dapat bergerak sepenuh masa di dalam parti itu sedangkan itulah cita-cita saya iaitu bergerak didalam politik sepenuh masa apabila berjaya menjadi seorang peguam. Tetapi semua kerenah politik saya diikuti oleh isteri saya. Jika isteri saya seorang yang suka buat kerenah sudah tentu dia tidak akan bersetuju dengan tindakan-tindakan saya. Saya menjadi ketua jabatan dengan gaji yang pada ketika itu sudah cukup lumayan. Begitu juga gaji isteri saya yang menjadi PA kepada sebuah pengarah syarikat yang membina Subang Jaya, Selangor; dan apabila saya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak kurang RM20,000.00 sebulan kami korbankan pendapatan itu dengan menerima pendapatan yang sangat kecil apabila saya libatkan diri saya dengan program sepenuh masa dengan parti pembangkang. Isteri saya bukan sahaja merestui apa yang saya lakukan bahkan juga beliau menyertai saya didalam semua gerakan politik ini. Dia bergerak aktif didalam PAS dengan memegang jawatan selaku Setiausaha Wanita PAS Negeri Pahang. Dan semasa kami menubuhkan PKN beliau juga terlibat sebagai salah seorang yang aktif berjuang didalam PKN; dan apabila saya melibatkan diri didalam PKR, dia menjadi Bendahari PKR Cabang Kuala Krau dan Naib Pengerusi Wanita PKR Pahang disamping menjadi Setiausaha kepada Wanita PKR Pahang. Beliau bukan sahaja memegang jawatan-jawatan didalam politik tetapi memberikan sokongan kepada saya khususnya apabila saya hampir setiap hari dipanggil berceramah di luar daripada Temerloh dan Kuala Krau, kami bergilir-gilir memandu kereta untuk pergi dan balik dari tempat ceramah. Bukan sekali dua kami terlibat didalam kemalangan jalanraya semasa pemanduan ini, tetapi ini tidak menghalang isteri saya terus membantu saya didalam gerak kerja politik. Saya dan isteri saya dapat lakukan kerja-kerja politik ini dengan sokongan anak saya yang mengambil alih tugas sebagai peguam di firma yang saya tubuhkan. Tidaklah banyak bantuan bulanan yang diberikan oleh anak saya tetapi memadailah untuk perbelanjaan bulanan saya dan isteri saya, cukup untuk minyak kereka, cukup jika perlu kami menginap di hotel-hotel, tetapi jika ada pelawaan tidur di rumah ahli-ahli PKR, kami lebih selesa tidur di rumah mereka. Walaupun kehidupan kami tidak senang tetapi saya merasakan sangat bersalah untuk mengambil sumbangan daripada rakan-rakan yang memanggil saya berceramah. Rakan-rakan yang memanggil saya berceramah itu telah melakukan pengorbanan, mereka kena buat program, kena buat poster dan banner, kena menyediakan makanan kepada para tetapu, maka amat tidak wajar bagi saya menerima sumbangan mereka. Jika saya kekurangan wang untuk pergi berceramah, saya akan beritahu terang-terang kepada tuan rumah bahawa saya tidak mampu pergi ke ceramah itu kerana kekurangan wang, (kurang untuk apa? Sudah tentu minyak petrol, dan mereka sediakan juga belanja minyak untuk saya, Lagi? Oleh kerana tempat ceramah itu sangat jauh dan tidak memungkinkan saya dapat balik selepas ceramah, maka saya pinta tuan rumah menyediakan bilik tidur di rumah tuan rumah atau kawan-kawannya), maka itu sajalah bantuan yang saya perlukan. Surina Suhaimi mula-mula bersekolah di Petaling Jaya, kemudian bertukar ke Ipoh, dan bertukar lagi ke Temerloh, dan menyambung pelajarannya ke Tunku Kursyiah, Seremban, dan menyambung untuk mengambil A Level, dan kemudiannya ditawarkan menjalani kursus undang-undang di Nottingham, United Kingdom. Setelah menjalani Chambering dengan saya sendiri, beliau diterima masuk sebagai Peguambela/Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya dan mengambil alih tempat saya selaku Peguam Utama di Firma Guaman Suhaimi Tan Zamani & Rozilan. Usahanya untuk meneruskan pelajaran sentiasa ada. Beliau menyambung pelajarannya ke Melbourne, Australia dan lulus di bidang Undang-Undang Alam Sekitar; di samping itu beliau adalah juga mempunyai kelulusan di dalam bidang Arbitration, dan boleh menjadi penimbangtara undang-undang. Maka tulisan saya ini juga ingin saya tujukan kepada anak saya Surina Suhaimi, terima kasih anakku. Semasa pilihanraya PRU-13, saya telah diserang dengan penyakit-penyakit yang tidak saya duga samasekali. Saya sakit tulang dari bahu ke bahu dan dari tengkok ke kepala. Sehingga tulisan ini dibuat saya belum tahu apakah sebenarnya penyakit yang menyerang diri saya. Semasa ia menyerang, saya merasakan lebih baik "mati dari hidup" demikianlah sakitnya, tetapi kawan-kawan rapat menasihatkan saya supaya bersabar, penyakit adalah dugaan dari Allah swt untuk menghapuskan dosa. Satu lagi dugaan berlaku apabila isteri saya pula terlibat dengan kemalangan jalanraya. Keretanya dihantar ke workshop dan kena menanggung pula kerosakan kereta yang dilanggar (of course melalui insuran). Maka selagi kereta ini masih di workshop terputuslah alat transport kami, dan jika anak-anak saya tidak ada ruang masa untuk memandukan kereta mereka untuk kami, maka kami terpenjaralah didalam rumah. Tetapi bagi saya sendiri, yang didalam keadaan sakit ini, saya memang tidak mampu untuk berjalan jauh. Saya masih mampu memandu ke bandar Temerloh, tetapi kalau lebih jauh dari itu sudah tidak mampu, kalau anak saya pandukan kereta ke Kuala Lumpur untuk saya pergi berobat, bila balik nanti saya dalam keadaan langsung tidak bermaya. Hari ini saya menjalani MRI sekali lagi, dan selepas MRI tadi, belum di ketahui lagi jenis penyakit yang menyerang saya; tetapi saya disuspek TB Tulang, dan sekiranya nanti ini disahkan oleh gambar-gambar MRI, saya memerlukan tidak kurang dari satu tahun untuk pulih, jika boleh pulih. Oleh kerana itu saya akan melepaskan semua jawatan saya didalam parti agar tempat saya itu dapat dilaksanakan oleh anggota-anggota yang sanggup cergas. Salute saya kepada Mama dan Surina. (...bersambung...) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan