Isnin, 15 Julai 2013

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


MENAMATKAN PERKHIDMATAN DENGAN DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR

Posted: 15 Jul 2013 04:31 PM PDT

Bukan senang untuk saya menamatkan perkhidmatan saya dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.  Saya mempunyai rakan-rakan sekerja yang baik dan saya nak namakan beberapa orang seperti Sdr Zaini Ismail, Sdr Mohamed, Sdr Raja Arif, Pn Asiah, Sdr Sidek, Sdr Khuzaimah, Sdr Abu Sujak.  Abu Sujak juga meninggalkan perkhidmatan Dewan Bandaraya dan beliau akhirnya menjadi Yang Di Pertua Perbandaran Kelang dan kemudiannya Shah Alam sebelum bertanding atas calon Barisan Nasional dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor dan kemudiannya Menteri Besar Selangor.

Saya amat sukar untuk meninggalkan Dewan Bandaraya kerana mengenangkan budi baik daripada Datuk Bandarnya, Tan Sri Yaakub Latiff.  Semasa berkhidmat dengan Dewan Bandaraya saya telah menyakiti hati Datuk Bandar dengan bertanding sebagai calon parti pembangkang tetapi Datuk Bandar yang baik budi itu tetap mengekalkan perkhidmatan saya, dan walaupun dia berkata bahawa dia akan tolak 20 hari gaji saya kerana gagal datang kerja, tetapi itu hanya cakap-cakap dia sahaja, gaji saya tetap juga dapat penuh.

Saya terasa menyakiti hati Datuk Bandar kerana Drama Hang Tuah yang sepatutnya menjadi persembahan pentas yang terbaik bertukar menjadi malapetaka apabila Pengarah/Pelakonnya menukarkan skrip untuk mempersendakan Datuk Bandar.

Walaupun Datuk Bandar marah, cukup marah, tetapi dia langsung tidak mengambil sikap berdendam terhadap saya.

Di Kuala Lumpur saya bersahabat dengan rakan-rakan satu sekolah dengan saya di Abu Bakar School, Temerloh iaitu Sdr Aziz, Sdr Annuarul, Sdr Choong dan Sdr Lee.  Kami membuat satu pakatan dan membuka sebuah syarikat Sama-Senang Sdn Berhad dengan mengadakan pejabat dan pusat jualan di Taman Midah, Kuala Lumpur.

Masing-masing mengeluarkan modal sebanyak RM70,000.00.  Saya memperolehi duit sebanyak itu dengan meminta pertolongan dari bapa mertua saya, Haji Jaafar Mohamed.  

Syarikat ini membawa masuk kereta-kereta Mercedes dan diimport direct dari Germany.  Pada bulan pertama, kedua dan ketiga, kami mendapat permit membawa masuk 5 buah kereta Mercedes setiap bulan.
Kena ingat bahawa Mercedes adalah keutamaan Syarikat Bintang, dan tindakan kami itu ialah memecahkan tradisi. 

Pada bulan-bulan seterusnya kami memohon sekurang-kurangnya kami memperolehi 20 buah Mercedes dapat dibawa masuk.

Menengukkan akan perkembangan syarikat ini, saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan saya di Dewan Bandaraya dan bersama-sama dengan rakan-rakan saya yang lain menumpukan atas perniagaan menjual kereta Mercedes.

Setelah befikir panjang dan berbincang dengan isteri saya yang pada waktu itu adalah PA kepada pengarah sebuah syarikat besar yang mengendalikan perumahan di Subang Jaya, saya pun menyiapkan surat perletakan jawatan saya untuk diserahkan secara peribadi kepada Datuk Bandar.

Itulah kali pertamah saya melihat Datuk Bandar mengalirkan air mata.  Saya cukup terasa bahawa Datuk Bandar memang sayang kepada saya dan kata-katanya yang begitu lembut bahawa dia mahu saya kekal di DBKL untuk mengambil alih kedudukan En Zainul pegawai yang dipinjamkan oleh Kerajaan.

Bagaimanapun dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada saya dan memberitahu saya bahawa jika ada apa-apa yang dia (DBKL) boleh tolong, datanglah berjumpa dengannya.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Bandar diatas baik budi/hatinya terhadap saya selama ini.

Saya merancang untuk berhenti dari perkhidmatan DBKL sejak hampir satu tahun.  Saya membuat persediaan untuk berhenti.  Saya memohon kepada DBKL supaya semasa saya bertugas di DBKL, saya dibenarkan membuat chambering selama 9 bulan dengan gaji penuh dan dalam tempoh itu saya banyak menghabiskan masa di firma undang-undang yang melatih saya iaitu firma guaman Daim & Gamany.  

Namun, segala tugas saya di Dewan Bandaraya tetap saya sempurnakan dengan bekerja hingga larut malam dengan meninggalkan arahan kepada kakitangan saya apa perlu dilakukan pada hari esuknya.

Setelah saya diterima masuk dan didaftarkan sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi, saya berbincang dengan rakan-rakan niaga saya samada syarikat kami sudah boleh menampung pendapatan paling minima RM3000.00 sebulan.  Pada waktu itu, syarikat mampu.

Permohonan syarikat untuk mendapatkan 20 AP sebulan telah ditolak oleh Kementerian.  Kami 5 orang ahli-ahli Pengarah pergi bertemu dengan Menteri Perdagangan Datuk Hamzah Abu Samah yang juga dari Temerloh untuk menimbangkan semula penolakan 20 AP sebulan kepada syarikat kami.

Dato Hamzah menyatakan bahawa permohonan itu akan dipertimbangkan kemudian tetapi tidak dalam jangka masa terdekat, dan dia meminta kami membawa masuk kereta-kereta dari Jepun, dan sebanyak mana AP pun dia boleh berikan, tetapi tidak kepada Mercedes.  

Aziz Sallehuddin yang menjadi Pengerusi kepada Syarikat kami, orang kuat UMNO, menjadi AJK Pemuda UMNO Pusat yang terkenal seorang yang mudah pemarah, pada waktu itu, menghentak meja Dato Hamzah.  Ini membuatkan Dato Hamzah naik angin dan terus meninggalkan kami dibiliknya.

Saya, Annuarul, Choong dan Lee meminta Aziz bersabar dan menerima saja nasihat Menteri supaya membawa masuk kereta-kereta Jepun disamping membawa masuk 5 buah Mercedes tiap-tiap bulan.
Pandangan kami ditolak bulat-bulat oleh Aziz, menyebabkan ahli-ahli pengarah tidak lagi menaruh minat dengan Syarikat itu.

Saya merasakan saya menjadi mangsa didalam isu ini.  Takkan saya nak kembali kepada DBKL!  Ho..ho..No!  Maka oleh kerana saya sudah diterima menjadi sebagai Peguambela & Peguamcara, maka saya terus membuka firma guaman saya diatas nama Suhaimi & Co.  Untuk beberapa bulan bolehlah saya dapat lebihkurang RM500.00 sebulan.  Dan dengan pendapatan isteri saya yang agak tinggi juga dapatlah kami meneruskan kehidupan kami dengan cara yang amat sederhana.

Pada suatu hari seorang rakan peguam datang menemui saya di pejabat bertanya hal dan bertanyakan  kerja-kerja yang saya lakukan.  Saya menyatakan bahawa saya tidak banyak mempunyai pelanggan sekadar yang datang itu mebuat surat-surat perjanjian.  Dia bertanyakan kenapa saya tidak memohon menjadi Panel Bank-Bank.  Dia tunjukkan cara-cara membuat permohonan itu, dan memberitahu saya jika saya kenal mana-mana pegawai tinggi Bank, hantarkan surat itu secara peribadi.

Saya pun buatlah seperti yang dinasihatkan.  Sasaran saya yang pertama ialah Bank Bumiputra kerana saya kenal Pegawai Undang-Undangnya ketika itu iaitu Sdr Syed Hamid Albar, yang hanya satu tahun senior dari saya semasa belajar di England dulu.

Walaupun diperingkat saya menemui Syed Hamid tu dia semacam memperli saya sebab semasa di London itu dia adalah orang kuat UMNO dan bergerak didalam KMUK (Kesatuan Melayu United Kingdom) manakala saya bergerak di dalam pertubuhan kiri iaitu MASS Forum, tetapi tidaklah perbezaan itu menghalangnya untuk meluluskan firma saya menjadi Panel Guaman kepada Bank Bumiputra.  Dia luluskan semua cawangan Bank Bumiputra di Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor.  Dia beri pulak surat recomendation kepada pengurus-pengurus cawangan untuk saya temui mereka.

Tidak lama selepas itu begitu banyak kerja-kerja bank datang kepada firma saya, dan dengan saya seorang disamping seorang kerani-cum-typist, tak sempat saya melaksanakan kerja-kerja itu.  Saya mengajak James Khor, peguam yang dulunya menasihatkan saya supaya memohon menjadi Panel Bank, datang bekerja bersama-sama saya sebagai seorang partner.  Dia setuju dan melepaskan jawatannya di firma guamannya 24 jam dan terus bekerja bersama saya.  

Kerja-kerja begitu rancak.  Banyak. Dan banyak pula mendatangkan pendapatan sehinggakan pada waktu itu saya dan James sudah masing-masing membawa pulang bulanan tidak kurang dari RM7,000 - RM10,000 sebulan.

Saya meneruskan usaha untuk menjadi Panel beberapa buah Bank yang lain seperti United Asian Bank, Affin Bank, dan Malayan Banking.  Semuanya menerima firma saya menjadi Panel dan menghantarkan kerja-kerja Bank kepada firma saya.  Pada masa itu saya sudah ubah nama firma saya dari Suhaimi & Co kepada Suhaimi & Khor (Khor itu ialah James Khor).

Saya memohon pula menjadi Panel Guaman kepada PKNS, DBKL, UDA, dan  Goodyear Management. Semua permohonan itu diluluskan.  Dan dengan kelulusan itu banyaklah kerja-kerja bersangkut dengan dokumentasi perumahan.  Kami mula terasa tak cukup peguam dan tak cukup kakitangan.  Maka pejabat kami di Bangunan MIC itu kami ambil 2 tingkat, dan saya menjemput Zulkifli Amin dan Chang, dua orang peguam, seorang yang terlibat secara ekstensif dengan kerja-kerja perumahan dan seorang lagi peguam yang terlibat dengan litigasi (civil dan criminal), dan saya ubah nama firma itu kepada Suhaimi, Khor, Zulkifli & Chang.

Firma Suhaimi Khor Zulkifli & Chang itu adalah salah sebuah firma guaman yang besar di Kuala Lumpur dan kekal dengan nama itu hinggalah sekarang walaupun saya sudah meninggalkan firma itu untuk menggerakkan frima saya sendiri di Jerantut dan Temerloh, mula-mula atas nama yang sama iaitu Suhaimi Khor Zulkifli & Chang dan kemudian kepada nama Suhaimi Tan Zamani & Rozilan.

Di suatu peringkat saya menggabungkan firma saya ini dengan Firma Guaman yang besar di Kuala Lumpur diatas nama Hisham Sobri & Kadir, tetapi setelah beberapa lama saya kembali semula ke Temerloh dan meneruskan firma saya sendiri diatas nama Suhaimi Tan Zamani & Rozilan.  Walaupun nama firma itu mengandungi nama peguam-peguam Tan, Zamani & Rozilan tetapi kini partnership didalam syarikat guaman itu hanyalah Surina dan Suhaimi, dan Surina menjadi partner utama didalam firma itu.

Dan selepas itu saya menumpukan 100% dari masa saya untuk kerja-kerja politik dan firma guaman saya dikendalikan oleh Surina dan LA dari masa ke semasa.

(..bersambuing..)

Tiada ulasan: